Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Taring belum tajam

Posted:

Shah Alam: Arab Saudi menepati ramalan selaku jaguh Asia apabila menang mudah 4-1 ke atas skuad negara dalam aksi persahabatan malam tadi.

Rembatan pemain gantian Mohd Safiq Rahim pada minit ke-70 yang menggegar gawang lawan memberikan sedikit kegembiraan kepada 5,000 penonton yang hadir di Stadium Shah Alam.


Ia dilihat mampu mengembalikan reputasi kapten kebangsaan itu yang sebelum ini dikecam berikutan prestasi tidak konsisten dalam kancah domestik. Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila Arab Saudi kembali garang menyumbat dua gol lagi selepas itu. Apapun aksi perlawanan semalam dilihat bukan berstatus `A' seperti yang dilaporkan sebelum ini apabila kedua-dua pasukan melakukan pertukaran melebihi enam pemain dengan Arab Saudi memasukkan keseluruhan pemain baru di babak kedua.

Pelawat kendalian Lopez Caro terlebih dulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan kebelakang penyerang kelab Al-Ettifaq, Yousef al-Salem.


Kesilapan penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat membaca gerakan lawan jelas membawa padah apabila Yousef menyentap semangat anak buah Datuk K Rajagobal yang nampak tenggelam dengan hantaran pendek dan kombinasi pemain lawan.


Kehadiran Mohd Badhri Radzi yang bergandingan bersama Shakir Shaari mengemudi jentera tengah belum mampu menggerakkan serangan berbahaya sepanjang 45 minit babak pertama.

Foto

AMRI (tengah) dihalang dua pemain Arab Saudi Abdullah Aldossary (kiri) dan Taiseer Aljassam malam tadi.

Malah lawan sebaliknya menambah jaringan menerusi Yahya al-Shehri m-30 diikuti kealpaan benteng pertahanan membuka ruang Naif Hazazi merembat masuk m-89 dan Hamdan al-Hamdan pada masa kecederaan babak kedua.


Ketumpulan sentuhan penyudah yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha dilihat menjadi penyumbang kekalahan Harimau Malaya walaupun mendapat beberapa peluang meledak gol pada babak awal separuh masa kedua.

Rajagobal yang melakukan rombakan pemain pada babak kedua masih belum mampu menyaingi kehebatan lawan. yang turut membuat persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Indonesia.


Kekalahan itu menambah kesangsian akan keupayaan skuad negara sendiri berdepan Yaman, Jumaat ini selepas tumbang kepada Qatar pada aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

One Ton ungguli bowling

Posted:

Kuala Lumpur: Buat pertama kali Kelab Sukan SportsUnite bersama Bijirin Sarapan Nestle Cornflakes dan Sunway Mega Lanes menganjurkan Kejohanan Tenpin Bowling khas untuk peserta dewasa dan warga emas berbilang kaum.

Program berjaya menggamit penyertaaan 48 regu. Sambutan hangat membuktikan misi perpaduan Kelab Sukan SportsUnite mendapat pengiktirafan semua golongan.


Setiap pemain bermain empat perlawanan dan markah campuran setiap beregu dengan handicap telah menentukan pemenang. 10 beregu teratas menerima hadiah wang tunai RM200 hingga RM1,000 termasuk pingat dan hamper Bijiran Sarapan Nestle Cornflakes.

One Ton membuktikan kejaguhan mereka apabila melakukan 1,788 jatuhan pin mengatasi pencabar terdekat regu KH Lim, Mat Salleh dengan 1,736 jatuhan pin.


Tempat ketiga milik pasangan SM Salleh-Ken Ng dengan 1,698 jatuhan pin manakala pasangan Suhaimi-Martin, 1,613 jatuhan pin menduduki tempat keempat. Kelima milik Sheila- Jimmy, 1600 jatuhan pin.


Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal berkata program itu formula terbaik untuk mempromosikan perpaduan dan integrasi kaum melalui sukan.

"Amat membanggakan sekali untuk melihat peserta dewasa dan warga emas berbilang kaum bertanding dengan penuh semangat perpaduan dan kesukanan yang pertama dianjur di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

KBB janji pertahan kejuaraan

Posted:

Kulim: Skuad bola tampar daerah Kulim/Bandar Baharu (KBB) berjanji mempertahankan gelaran juara yang dimiliki tahun lalu apabila bersaing dalam Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan Kedah (PSKPPK) 2013 yang bakal diadakan di daerah Baling/Sik (BS), penghujung Ogos nanti.

Biar pun mengetahui pasukan pesaing lain juga mempunyai pemain berkualiti, skuad KBB tetap yakin dengan kemampuan pemain mereka yang memiliki kemahiran individu yang dapat menyumbang kepada kejayaan pasukan.


Pengurusnya Adnan Jaafar, berkata momentum kejayaan tahun lalu adalah bekalan semangat yang menjadi pemangkin untuk skuad KBB memasang impian bergelar juara sekali lagi.

"Sepanjang PSKPPK tahun lalu, bermula peringkat kumpulan hingga final, KBB tidak pernah tewas. Ia satu tonik untuk kami mengulanginya lagi tahun ini.


"Justeru, kami kini mula melakukan latihan sekerap mungkin agar gelaran juara dapat dipertahankan sekali gus meletakkan KBB pencabar utama dalam sukan bola tampar," katanya selepas tamat latihan di Dewan Kelab Rekreasi Cina, Kulim, Kedah, baru-baru ini.


Adnan, berkata hasil tunjuk ajar daripada jurulatih Zarani Wahab, dan ketegasan ketua pasukan Tuan Shamri Tuan Ali, skuad KBB yakin mampu muncul juara untuk tahun kedua berturut-turut.

Katanya, pencapaian terbaik skuad KBB ialah naib juara pada 2010 selepas gagal melepasi saingan Kuala Muda/Yan (KMY) dalam aksi akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Pesona hebat, raih RM3,000

Posted:

Seremban: Gandingan mantap pasukan Pesona terserlah apabila berjaya menewaskan Sri Andalas 3-0 untuk menjuarai kategori terbuka Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2013 dan membawa pulang wang tunai RM3,000 pada kejohanan berlangsung di Pusat Sukan Paroi, baru-baru ini.

Bagi kategori Bawah 18 Tahun pula, pasukan Waris menewaskan Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS), 2-1 untuk muncul juara dan membawa pulang hadiah wang RM500.


Hairul Azizi dari pasukan Waris dinobatkan selaku tekong terbaik manakala Mohd Fadil Ahmad (Pesona) selaku apit kanan terbaik.

Kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) disertai 53 regu bagi kategori terbuka manakala kategori Bawah 18 Tahun (33 regu).


Pegawai Seranta PESTANS Mohd Zahir Mohd Noor berkata, pihaknya berpuas hati terhadap penganjuran kejohanan itu kerana sambutan hebat pasukan tempatan selain prestasi yang mereka pamerkan sepanjang kejohanan.


Katanya, tawaran hadiah wang yang agak tinggi menjadikan persaingan sengit antara setiap pasukan terutama bagi kategori terbuka.

"Kami puas hati dengan kejohanan kali ini kerana pasukan bertanding berusaha menunjukkan persembahan mantap bagi memburu kejuaraan.


"Matlamat kejohanan untuk menjadi medan mencungkil bakat baru dan membangunkan kembali sukan sepak takraw negeri ini tercapai," katanya.

Hadiah disampaikan Presiden PESTANS Zamry Fareed dan sebahagian kutipan yuran penyertaan disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Ar-Rayyan Paroi Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Hajat Harrif tak kesampaian

Posted:

New Delhi: Impian pemecut handalan negara Mohd Harrif Salleh untuk menyumbang pingat tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat ke-8 pada perlumbaan lepas beramai-ramai elit lelaki Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 (ACC 2013) sejauh 156.2 kilometer di Litar Formula Satu Buddha International Circuit di Greater Noida, Uttar Pradesh semalam.

Pemecut Terengganu Cycling Team (TSG) muncul sebagai pelumba terbaik negara melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 36 minit 38 saat.


Muhammad Nur Rauf Misbah (gambar) pula menduduki tempat ke-15 (3:37.17s), Mohd Zamri Salleh no 16 (3:39.38s) manakala Amir Mustafa Rusli no 24 (3:39.43s).

Acara itu dimenangi pelumba Uzbekistan Muradjan Halmuratov yang merakam masa 3:33.59s diekori tonggak Iran, Arvin Moazemi Goudarzi, 3:34.11s dan Andrey Mizurov dari Kazakhstan, 3:34.16s./ Kejayaan itu bermakna Halmuratov mendominasi pingat emas acara ujian masa individu (ITT) elit lelaki dan acara lepas beramai-ramai elit lelaki.


Harrif bagaimanapun berazam untuk menyumbang pingat pada kejohanan sama di Astana, Kazakhstan tahun depan.


"Saya dimaklumkan laluan di Astana juga landai. Saya akan berusaha lebih mantap untuk menang pingat. Saya memang mengidam pingat menerusi acara lebuh raya kerana pernah menang acara trek," katanya.

Bagi jurulatih negara Aminuddin Sulaiman pula, beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya biarpun mereka gagal berada di podium.


"Apa yang saya lihat, prestasi pelumba negara menunjukkan peningkatan sejak Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu. Ini cukup membanggakan saya kerana mereka sudah dapat memperlihatkan kerjasama berpasukan yang cukup baik.

"Pada perlumbaan hari ini (semalam), setiap pelumba melakukan kerja masing-masing dengan baik. Mereka sudah tahu tugas masing-masing dan hanya disebabkan silap strategi, kita gagal untuk melihat seorang pelumba negara berada di podium." katanya.


Menurut Aminuddin, barisan pelumba yang dipertaruhkan adalah yang terbaik, sekali gus memberi petanda awal betapa skuad lebuh raya negara mampu menampilkan prestasi lebih baik pada temasya Sukan SEA di Myanmar hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Rashidiq juara Melaka Go-Kart

Posted:

Melaka: Pelajar Tingkatan Enam Rendah Sekolah Menengah Datuk Bendahara Jasin Mohd Rashidiq Hata 17, muncul juara Kejohanan Melaka Go-Kart Challange bawah 22 tahun yang berlangsung di Litar Motorsport Antarabangsa Melaka (MIMC) Durian Tunggal, semalam.

Program anjuran Bahagian Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) menyaksikan Rashidiq turut mencatat masa terpantas pusingan dengan 1.09s mengatasi 168 pencabarnya.


Manakala tempat kedua diraih Muhamad Shahrul Azim Zakaria dan Nasirudin Atan yang jauh lebih berusia daripadanya.

Mohd Rashidiq yang menerima hadiah daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, dia berazam untuk muncul pelumba F1 satu hari nanti.


Menurutnya, kejayaan berkenaan memberi suntikan motivsi buatnya untuk lebih menyerlah dalam sukan terbabit bersama seorang lagi adiknya Mohd Rashihan, 15, yang turut aktif dalam sukan itu.


Dia yang pernah meraih tempat ketiga Formula Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2012 di litar USJ Petaling Jaya yakin merealisasikan hasrat berkenaan menerusi latihan konsisten.

Hadir sama pada majlis penutup Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Yusof Jantan dan Pengarah Sahabat Belia Firdaus Hamzah.


Penyertaan percuma kepada peserta menyertai kejohanan berkenaan turut membabitkan saingan kategori agensi awam, swasta dan golongan belia dan wanita.

Kategori bawah 40 tahun dimenangi Mohamad Shirajuddin Bolhi, kedua dan ketiga milik Safrin Sahak dan Mohamad Khalid.


Kategori wanita pula diungguli Rossidah Muhamad diikuti Norhayati ABdullah dan Farahiyah Jasmy tempat kedua dan ketiga.


Sementara itu, Mohd Ali berkata, kejohanan berkenaan memberi impak besar terhadap aktiviti permotoran dalam misi mendedahkan generasi muda terhadap program sihat dan cergas.


Beliau berkata, program berkenaan juga mampu membentuk pelumba terbaik go-kart serta F1 peringkat kebangsaan dan antarabangsa satu hari kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

DBKL sukar digugat

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad futsal DBKL membuktikan mereka layak bergelar juara selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan. Pada aksi final Cabaran Standard Chartered 'Road To Anfield' mereka tidak menghadapi masalah apabila mudah membelasah wakil media BH 7-0 yang berlangsung di Sports Planet Kota Damansara.

Walaupun tewas, skuad BH bersama DBKL layak ke peringkat grand final yang akan berlangsung pada 14 Julai depan di Ampang Sports Planet.


Sebelum itu pada saingan separuh akhir, BH mengetepikan cabaran Polis Kuala Lumpur 3-2 melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 manakala DBKL mudah membenam MOH 4-0. Hadiah disampaikan Ketua Bahagian Perhubungan Korporat Standard Chartered Liz Kamaruddin. Program itu turut diisi dengan perlawanan futsal selingan antara kakitangan Standard Chartered dengan Pilihan Selebriti Sukan. Penyerang import Tentera, Marlon Alex James turut beraksi bersama Azlan Johar, Asmawi Bakiri, Nazzab Hidzan dan Arif Hakimi.

Sebanyak enam siri jelajah lagi akan diadakan di venue terpilih bagi mencari empat pasukan terbaik setiap siri akan ke grand final. Antara venue terpilih adalah Safira Sports Planet, Pulau Pinang (23 Mac), Sports Prima, Johor Bahru (31 Mac), Ferro Futsal Kuantan (6 April) dan Sports Arena Klebang, Melaka (7 April).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

'Cukup sampai di sini Folan'

Posted:

Kuala Terengganu: Cukup sampai di sini Folan! T-Team sudah tidak mampu menunggu lebih lama lagi bagi Caleb Folan mencari gol pertamanya untuk pasukan Titans.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh berkata, peluang secukupnya sudah diberikan kepada bekas penyerang Hull City itu dan tindakan drastik untuk mencari penggantinya terpaksa diambil demi kebaikan pasukan.


"Persetujuan bersama sudahpun dicapai dan pemain kelahiran Leeds, England, itu akan memberi laluan kepada penyerang import lain apabila jendela perpindahan pemain dibuka 8 April nanti.

"Folan mungkin seorang pemain yang baik sebelum menyarung jersi T-Team namun dia terbukti gagal menyerlah dan setakat ini masih belum menjaringkan sebarang gol dalam saingan Liga Super dan Piala FA," katanya.


Setakat ini, pasukan Titans cuma mampu menjaringkan tiga gol sahaja dalam 10 perlawanan liga dan menurut Ab Rasid, itu tidak mencukupi untuk meletakkan pasukan di kedudukan selesa dalam carta Liga Super.


"Kami sekarang berada dalam keadaan getir di tangga kedua tercorot liga selepas menang dua kali, seri tiga kali dan kalah lima kali setakat ini.

"Mungkin itu bukan salah Folan seorang sahaja namun memandangkan dia adalah pemain harapan kami sejak awal musim lagi, kami tidak ada banyak pilihan selain daripada mencari penyerang baru yang mampu melakukan tugasannya dengan lebih baik," katanya.


Katanya, beberapa pemain akan diuji sebelum liga bersambung semula akhir bulan ini termasuk Igor Sani, penyerang kelab Fatima, Portugal, berusia 27 tahun yang mungkin diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang PDRM di Kuala Lumpur hari ini.

Dua lagi penyerang muda, Fabrice Fosso dari Cameroon dan Tajudeen Oyelakin dari Nigeria, juga dijangka hadir untuk sesi ujian pemilihan pemain yang akan diadakan sama ada di Kuala Lumpur ataupun Kuala Terengganu.


"Kedua-dua pemain berkenaan baru berusia 20 tahun dan kami yakin salah seorang daripada mereka mampu mengambil tempat yang dikosongkan Folan dan boleh menjaringkan gol dengan lebih kerap lagi supaya kami dapat mencatat kemenangan pula selepas ini," katanya.


Menurutnya, ada juga pemain yang lebih ternama berminat untuk datang ke Kuala Terengganu namun pihaknya berasakan nama besar tidak menjamin keupayaan mereka dalam menjalankan tugasan kerana sebelum ini sudahpun mengambil dua pemain yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.


"Namun hasilnya tidak memberangsangkan dan itu yang menyebabkan kami mahu pemain diuji terlebih dahulu serta panel pemilih mestilah berpuas hati dengan persembahan mereka sebelum menawarkan kontrak bermain kepada mereka.


"Pada masa ini, kami juga sedang mengenal pasti beberapa pemain tempatan yang dapat diserapkan dalam pasukan kerana peraturan baru FAM turut membenarkan pasukan Liga M mengambil tiga pemain tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Tok Gajah sedia lakar kemenangan

Posted:

Kuantan: Pemain pertahanan Pahang Mohd Saiful Nizam Miswan percaya rakan sepasukan akan lebih bersedia dan mampu melakar kemenangan apabila saingan Liga Super bersambung 30 Mac ini.

Justeru, pemain kelahiran Kota Tinggi, Johor itu berkata, dia bersama rakan sepasukan bersedia untuk mengembalikan prestasi terbaik yang pernah dipersembahkan pada awal saingan liga.


Menurutnya, setakat ini, keazaman meletakkan skuad Tok Gajah pada pencapaian lebih baik dilakukan sepanjang sesi latihan yang turut memberi fokus terhadap persefahaman.

"Persefahaman dan disiplin di padang kini diberi keutamaan dan percaya apabila liga bersambung nanti, kami lebih bersedia terutama kembali meraih kemenangan.


"Ini kerana pada lima perlawanan lalu, kami gagal untuk mencatat kemenangan, sebaliknya sekadar seri dua kali dan tewas dalam tiga perlawanan.


"Situasi itu meletakkan pasukan di pertengahan liga tetapi jurang mata yang sedikit membolehkan Pahang menaiki takhta liga," katanya semalam.

Segalanya kini terpulang kepada rakan sepasukan dan percaya misi merampas kembali takhta liga akan menjadi kenyataan.


"Pada pendapat saya, persefahaman di bahagian pertahanan memuaskan dan seharusnya terus kekal," katanya.

Selain Saiful benteng Pahang turut diperkuatkan Jalaluddin Jaafar yang juga kapten pasukan, diikuti Mohd Shahrizan Salleh dan Mohd Razman Roslan.


Sementara itu, Shahrizan mengharapkan rakan lain dapat meningkatkan prestasi semasa dan mengembalikan semangat serta persefahaman untuk memastikan Pahang kembali mencatat kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Keserasian belenggu pemain Red Warriors

Posted:

Kota Bharu: Pemain pertahanan Kelantan Zairul Fitree Ishak mengakui masalah keserasian pemain masih membelenggu skuad The Red Warriors (TRW) dan menjadi punca utama pasukan itu menunjukkan prestasi yang tidak menentu.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu tetap yakin kemenangan 3-1 ke atas kelab Myanmar, Ayeyawady United dalam saingan Piala AFC 13 Mac lalu, membuktikan Kelantan berjaya mengatasi masalah itu malah rentak kemenangan boleh dikekalkan untuk perlawanan seterusnya.


Katanya, penyokong setia Kelantan tidak perlu bimbang dengan prestasi semasa pasukan itu kerana skuad kendalian Bojan Hodak semakin mendapat sentuhan sebenar selepas ketiadaan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain musim ini.

"Memang kami akui masih belum mendapat keserasian sepenuhnya antara semua pemain. Untuk membentuk pasukan yang kuat memerlukan masa yang lama bagi mendapat keserasian yang maksima antara pemain.


"Kehilangan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Awe (Nurul Azwan Roya) dan Mohamed Ghaddar menyebabkan kami terpaksa bekerja keras dalam mendapat keserasian dengan pemain baru yang menggantikan tempat mereka.


"Kini kami mencatat sedikit kemajuan selepas berjaya menewaskan Ayeyawady United. Penyokong juga perlu memainkan peranan dengan memberi sokongan penuh kepada kami dalam usaha mendapatkan semula keserasian antara pemain seperti musim lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

No comments:

Post a Comment