Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak nak pulang awal

Posted:

Kuala Lumpur: "Tidak akan pulang awal dan mengecewakan jurulatih".

Itu antara janji dilontarkan dua pemain muda negara yang terpilih mewakili kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu dan bakal menandatangani kontrak secara rasmi dalam masa terdekat.


Namun hanya masa dapat menentukan sejauh mana kekuatan mental pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim dan pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor selepas sering kali kelibat pemain tempatan di kelab luar negara tidak bertahan lama.

"Saya rasakan tidak ada masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru walaupun tidak pernah beraksi di Jepun seperti Wan Zack yang pernah menjalani ujian percubaan selama beberapa minggu sebelum ini.


"Malah saya pasti pengalaman menjalani latihan di Slovakia untuk tempoh lama akan membantu saya berdikari," kata Nazirul Naim, pemain pertahanan kiri berusia 20 tahun dari Perak.


Menurutnya, dia juga tidak akan membelakangkan pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee dalam membuat keputusan penting kerana pengendali terbabit menjadi satu-satunya jurulatih yang membentuk kariernya sejak berusia 17 tahun bersama Harimau Muda B.

Foto

AKSI Nazirul berjaya pikat FC Ryukyu.

Arena bola sepak tempatan sebelum ini dikejutkan kepulangan mengejut bekas pemain tengah Harimau Muda A Mohd Nazmi Faiz Mansor menyertai kelab tempatan, PKNS FC walaupun hanya beberapa bulan bersama kelab Portugal, SC Beira Mar.


Sementara itu, Wan Zack yang juga pemain sayap skuad senior negara menjelaskan pemilihan terbabit pencapaian terbaik kariernya dan mahu menggunakan peluang diberikan kelab Jepun itu bagi membuktikan rakyat Malaysia turut mampu bersaing di tahap tertinggi.

"Saya mempunyai misi peribadi iaitu menggunakan peluang diberikan untuk cuba melangkah lebih jauh dengan beraksi di liga utama negara itu," katanya yang pernah menjalani ujian percubaan selama dua minggu bersama Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sebelum ini.


Menurut Kim Swee, kedua-dua pemain terbabit ditawarkan kontrak dua tahun bagi menyarung jersi pasukan yang berpusat di Okinawa itu.


Kedua-dua pemain dijangka berangkat dalam masa terdekat apabila segala urusan dan kontrak ditandatangani dengan tarikh akhir pendaftaran pemain bagi liga negara itu pada 29 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Rampas kejuaraan

Posted:

Baling: Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar (SMKSAB) merampas semula gelaran jaguh Bawah 15 Tahun Zon Kuala Pegang selepas muncul juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) peringkat Zon Baling/Sik.

Gelaran itu mengubat kekecewaan SMKSAB yang kemarau kejuaraan sejak tiga tahun lalu apabila terkandas sama ada di peringkat kumpulan, suku akhir atau separuh akhir saingan sebelum ini.


Bagaimanapun, aksi pasukan bimbingan Mohamad Fouzi Hussain itu nyata berbeza kali ini hasil himpunan pemain berkualiti untuk berdepan pesaingnya.

"Sudah lama kami kempunan juara tetapi tahun ini, pemain sudah berjanji menamatkan kemarau itu.


"Biarpun menerima tentangan sengit, pemain akhirnya berjaya melaksanakan misi menggenggam juara Zon Kuala Pegang," katanya.


Mohamad Fouzi berkata, dedikasi dan disiplin serta sikap tidak mengenal putus asa menjadi rencah kejayaan SMKSAB untuk bergelar juara.

"Terima kasih kepada semua pemain kerana meletakkan semula nama sekolah di persada saingan. Mereka berhak meraikan pencapaian ini.


"Yang penting, kerjasama sepasukan dan kemahiran individu membantu kejayaan kami." Pada kejohanan secara liga itu, juara dikira berdasarkan jumlah mata dan SMKSAB unggul selepas membelasah SMK Bakai, 7-0 pada aksi pertama sebelum menang tipis 1-0 ke atas SMK Jerai.

Mereka kemudian menewaskan SMK Agama Baling, 3-1 sebelum menamatkan liga dengan kekalahan mengejut 0-1 kepada SMK Kuala Pegang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Pelumba pelapis pamer kehebatan

Posted:

Kangar: Pelapis kebangsaan, Muhd Hakimi Muhd Khir dinobat juara acara lepas beramai-ramai lelaki 17 dan 18 tahun Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya Sirkit 1-2013, di sini, baru-baru ini.

Pada perlumbaan 91.3 kilometer membabitkan 52 pelumba muda seluruh negara itu, Muhd Hakimi dengan gaya kayuhan hebat terlebih dulu melepasi garisan penamat dengan catatan 2 jam 14 minit 54 saat.


Bagaimanapun, kejayaan itu tidak mudah kerana dicabar pelumba Terengganu, Muhd Zulkakri Hamdan yang menduduki tempat kedua 2:15.07s manakala Muhammad Mustazlee Ishak dari Johor, ketiga, 2:16.01s.

Bagi acara lepas beramai-ramai wanita 17 dan 18 tahun 74km, pelumba Akademi Serantau Zon Utara, Siti Zulaikha Hamdan muncul juara manakala Sian Wilson (Kuala Lumpur) dan Nurainna Syarah Amran (Akademi Serantau Zon Utara) menduduki tempat kedua dan ketiga.


Sementara itu, dalam acara lepas beramai-ramai lelaki B-16 74km menyaksikan pelumba Kuala Lumpur Muhamad Alif Farhan Abu Samah dinobat juara, Mohd Ahza Md Shauffi (Terengganu) kedua dan Muhammad Helmi M Ismail Abdullah (Kuala Lumpur) ketiga.


Acara lepas beramai-ramai wanita B-16 74km menyaksikan Siti Nur Adibah Akma Fuad dari Kedah mengungguli acara itu manakala Nur Aisyah Mohammad Zubir (Terengganu) kedua dan NorAfifah Amirah Fadzillah (Akademi Serantau Zon Utara) ketiga.

Kejohanan dua hari itu dianjur Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) dengan kerjasama SportsExcel, Milo, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Berbasikal Negeri Perlis (PBNPs).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Jagoan ragbi cilik!

Posted:

Melaka: Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang muncul juara Kejohanan Ragbi Bawah 12 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Melaka (MSSM), baru-baru ini.

Naib juara pula disandang SK Paya Rumput manakala SK Kesang Tua, ketiga.


Majlis penutup disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Tahir Hassan.

Majlis penyampaian sijil, medal dan piala disampaikan Penyelia Cemerlang Unit Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka Kamarudin Othman.


Tahir berkata, sukan ragbi menjadi elemen penting menyediakan ruang dan peluang untuk atlet di peringkat akar umbi, khususnya bagi menarik minat murid sekolah membabitkan diri dalam sukan.


"Murid dapat menimba pengalaman bagi mengembangkan bakat dan kemahiran dalam suasana pertandingan yang sihat, harmoni dan menyeronokkan," katanya.

Kejohanan itu dianjur MSSM Negeri Melaka dengan SK Tanjung Minyak menjadi tuan rumah.


"Tahniah kepada semua peserta yang bertanding khususnya pasukan yang menang."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Pemain Brazil ganti Karim

Posted:

Ipoh: Kelibat seorang awang import dari Brazil di Pejabat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) baru-baru ini menimbulkan spekulasi pemain itu mungkin pengganti Karim Rouani semasa tingkap perpindahan dibuka bulan depan.

Walaupun tiada pengesahan pegawai PAFA termasuk Presiden Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengenai perkara itu, beliau mengaku menerima cadangan beberapa calon untuk menyarung jersi pasukan itu.


"Sebenarnya saya tidak tahu-menahu perkara itu tapi pengurusan pasukan ada mengemukakan beberapa nama.

"Justeru saya serahkan kepada pengurusan pasukan khususnya jurulatih untuk membuat keputusan bagi memantapkan pasukan," katanya.


Menurut sumber, pemain berasal dari Brazil itu dibawa ke Ipoh oleh ejen sama dengan tonggak pertahanan, Rafael Souza Silva Novais.


"Dia juga beraksi dalam Liga Thailand tapi tidak diketahui pasukan mana. Tidak pasti sama ada dia sudah diikat Perak atau tidak," katanya.

Karim, 32 berasal dari Bordeoux, Perancis diambil oleh Perak bagi menggantikan pemain Cameroon, Albert Bodjongo yang gagal memberikan sumbangan bermakna kepada Perak.


Pemain itu hanya menyumbangkan satu gol ketika Perak tumpas 2-4 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), minggu lalu.

Berikutan itu pengurusan pasukan dikatakan tidak puas hati dengan sumbangannya hingga menyebabkan usaha dilakukan untuk mencari penggantinya.


Menurut sumber, Karim sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sebagai seorang profesional terpaksa menerima hakikat aksinya dengan PKNS FC 30 Mac ini yang terakhir buatnya bersama Perak kerana gagal memenuhi piawaian PAFA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Jalaluddin idam tebus hampa

Posted:

Kuantan: Kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar mahu kegagalan meraih kemenangan pada lima perlawanan Liga Super lalu ditebus apabila saingan bersambung 30 Mac ini.

Pemain pertahanan itu berkata, beberapa kegagalan diharungi tidak seharusnya melunturkan semangat serta komitmen rakan sepasukan untuk memastikan skuad Tok Gajah kembali bersaing dalam kelompok pasukan teratas.


"Jurang empat mata dengan pendahulu liga tidak jauh dan kami masih mampu mengejar bagi memastikan Pahang tidak ketinggalan jauh.

"Meskipun sekadar memungut dua mata daripada lima perlawanan, kedudukan pasukan belum boleh dianggap genting.


"Saya harap rakan sepasukan dapat meningkatkan prestasi dan mengembalikan semangat dan persefahaman untuk memastikan Pahang kembali mencatat kemenangan.


"Tempoh rehat panjang ini diharap dapat membantu mengembalikan prestasi pasukan yang kurang menyerlah kebelakangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Hamidin persoal kenyataan Taufek

Posted:

Kuala Lumpur: Selangor hairan dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abd Razak mengenai surat pertuduhan terhadap pemainnya susulan insiden pergaduhan ketika perlawanan pusingan pertama Piala FA, Januari lalu.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada badan induk bola sepak negara terhadap pemain tertentu yang didakwa terbabit dalam pergaduhan sejurus selepas pertemuan antara Selangor menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


"Saya sebenarnya hairan dengan kenyataan Taufek kerana kami tidak menerima apa-apa sama ada bentuk pos, e-mel atau faks. Tiada apa yang boleh kami lakukan," katanya menjawab dakwaan pemainnya gagal memberikan maklum balas terhadap pertuduhan yang dikemukakan FAM.

Pergaduhan itu membabitkan sejumlah pemain kedua-dua pasukan yang berlaku di bangku simpanan pemain ATM selepas penyerang Selangor, Afiq Azmi didakwa melakukan provokasi terhadap lawan susulan kemenangan 3-2 diraih Merah Kuning menerusi sepakan penalti.


Taufek dilapor berkata, terdapat beberapa pemain ATM sudah mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan dan akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi menjatuhkan hukuman terhadap mereka.


Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad pula berkata, ia adalah salah faham dan badan induk terbabit tidak pernah menghantar surat pertuduhan kepada pemain Selangor dan hanya menghantar kepada pemain ATM.

Sementara itu Hamidin ketika mengulas keputusan seri 3-3 yang dicatat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam saingan Piala AFC malam kelmarin melahirkan kekecewaannya selepas Merah Kuning mendahului Tampines Rovers sebanyak tiga kali.


"Saya tidak puas hati. Terdapat beberapa pemain yang tidak mempamerkan permainan yang serius terutamanya di barisan pertahanan hingga lawan mampu mencuri satu mata di Stadium Shah Alam. Saya ingin memberi amaran kepada mereka segera meningkatkan permainan." Tambahnya kegagalan barisan pertahanan menahan asakan lawan dan melepaskan gol mudah mencetuskan kekecewaan di jentera serangan yang tampak menyerlah terutamanya Francis Forkey Doe dan Mohd Amri Yahyah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

RM39,000 duit syiling

Posted:

Kangar: Kumpulan yang menggelar diri mereka Briged Jihad al-Qassam bakal 'menyerang' Wisma FAM hari ini, bertujuan membayar denda dijatuhkan ke atas bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Melalui laman sosial facebook miliknya, Shahidan menjelaskan kumpulan itu akan hadir di bangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membayar RM39,000 bagi pihaknya yang didenda badan induk itu pada 20 Februari lalu.


Difahamkan, kumpulan penyokong berkenaan akan membayar denda itu dalam bentuk wang syiling.

Selain denda, Shahidan turut dihukum gantung dua tahun enam bulan serta dilarang daripada terbabit dengan bola sepak. Hukuman ke atasnya juga tidak boleh dirayu.


Hukuman itu dikenakan ke atas Shahidan selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu didapati bersalah kerana membuat kenyataan menyentuh pentadbiran FAM sekali gus dianggap melanggar Artikel Statut 88.


Shahidan turut menggesa penyokong Johor Darul Takzim (JDT) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersama-sama menyertai rombongan dari Perlis itu dengan berkumpul di depan Wisma FAM.

"Saya menyeru kawan-kawan dari Johor menyertai kami selain mengalu-alukan mereka dari Kelantan untuk turut serta," katanya.


Gesaan kepada penyokong JDT itu dibuat berikutan hukuman dikenakan FAM ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang digantung enam bulan serta denda RM18,000 manakala bagi peminat Kelantan, selepas Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa dihukum 30 bulan.

Sementara itu, sumber PFA memberitahu kumpulan itu akan menaiki sebuah bas dari Kangar dan dijangka tiba di Wisma FAM menjelang tengah hari ini sebelum mereka menyerahkan beberapa kantung wang syiling kepada FAM.


"Kita membayar denda itu dalam bentuk wang syiling kerana beliau (Shahidan) nyata dizalimi FAM," katanya.


Arena Metro sebelum ini melaporkan Shahidan mempunyai tempoh hingga jam 12 tengah hari ini bagi melunaskan bayaran denda ke atasnya atau PFA terpaksa membayar bagi pihaknya dalam tempoh seminggu atau tarikh akhirnya pada 22 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Badhri sertai latihan pertama negara

Posted:

Kelana Jaya: Perancang tengah Kelantan, Mohd Badhri Radzi tampil buat kali pertama dalam kem latihan skuad kebangsaan tanpa sebarang tekanan walaupun harapan tinggi disandarkan peminat bola sepak tempatan.

Pemain tengah yang menjulang Kelantan memenangi tiga piala musim lalu itu antara sembilan pemain Kelantan dan Selangor yang melaporkan diri kepada ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal semalam termasuk pemain tengah Merah Kuning K Gurusamy yang berada dalam senarai simpanan sebelum ini.


Badhri yang dikenali sebagai Piya berkata, tumpuan dan fokusnya terarah untuk memberikan aksi terbaik buat skuad negara yang berdepan misi getir menentang Yaman dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac ini selepas tewas 0-2 kepada Qatar pada aksi pertama.

"Ia bukan tugas mudah kerana ini kali pertama saya dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan. Saya tidak pernah memendam rasa untuk mewakili skuad kebangsaan namun peluang diberikan jurulatih akan digunakan sebaik mungkin," kata pemain berusia 31 tahun itu.


Menurutnya, persembahan dirinya yang dilihat peminat berada di tahap terbaik termasuk menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan Piala AFC tidak boleh dijadikan ukuran kerana dia tidak mampu menilai dirinya sendiri namun mahu mempamerkan peningkatan yang diharapkan semua pihak.


"Saya kena tanggung (harapan peminat) yang juga bermakna apabila peluang diberikan, saya mahu mempamerkan aksi terbaik. Saya akan cuba membawa pengalaman beraksi dengan baik di peringkat negeri untuk dimanfaatkan pula di pentas negara. Saya akan cuba membawa perubahan dan merebut tempat dalam kesebelasan utama namun segala-galanya terpulang kepada jurulatih untuk menilainya," katanya.

Kehadiran Piya di jentera tengah bakal menambahkan saingan merebut posisi penting itu dengan skuad negara kini sudah mempunyai beberapa pemain seperti Safiq Rahim dan Abdul Shukor Jusoh.


Bagi Rajagobal, tumpuannya bukanlah kepada seorang pemain dan beliau turut tidak mahu memikirkan perkara lain selain membuat persediaan pasukan negara menentang Arab Saudi (persahabatan) pada Ahad ini dan Yaman.

Rajagobal bagaimanapun terus dibayangi masalah kecederaan membabitkan pemain pertahanan apabila pemain Kelantan, Nik Shahrul Azim Ab Halim turut mengalami kecederaan selain tiga pemain pertahanan iaitu Amir Ridzwan Taj Tajudin, K Reuben dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak serta pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Harimau Malaya turun lima anak tangga

Posted:

Kuala Lumpur: Pasukan Malaysia turun lima anak tangga ke posisi ke-164 dalam senarai terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Walaupun FIFA tidak menyatakan punca kejatuhan skuad kebangsaan, namun boleh diandaikan kekalahan 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2013, 6 Februari lalu, menyebabkan Malaysia kehilangan mata.


Berdasarkan senarai ranking dunia terkini, skuad bimbingan Datuk K Rajagobal menghuni tangga ke-164 berbanding 158 pada Januari lalu dan dan tangga ke-159 bulan lalu.

Kedudukan skuad Harimau Malaya itu meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan Singapura yang berkongsi tempat dengan Chad pada posisi ke-162 dunia, Kepulauan Maldives (161) dan Bermuda (160).


Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam di belakang Vietnam (129) Thailand (135), Filipina (145), Myanmar (155) dan Singapura (162).


Di peringkat Asia, Malaysia turun lima anak tangga pada kedudukan ke-31 dari 46 negara.

Sementara itu, juara Euro 2012 Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,610 mata.


Jerman dan Argentina turut mempertahankan kedudukan selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia apabila masing-masing mengutip 1,473 dan 1,309 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu membabitkan 209 buah negara.


Ranking Malaysia dijangka berubah pada bulan depan apabila pasukan negara menentang Arab Saudi pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Ahad ini.


Skuad Harimau Malaya juga menentang Yaman pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam pada 22 Mac, sebelum beraksi dalam perlawanan amal persahabatan bertemu Palestin di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 26 Mac. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

No comments:

Post a Comment