Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masih tambah gemuk

Posted:

London: Selepas hanya beberapa bulan terselamat dalam operasi menyelamat yang dramatik, remaja tergemuk Britain sudah menambah berat badan sebanyak 25 kilogram.

Georgia Davis sekali lagi mencecah berat yang sangat membimbangkan iaitu 292 kilogram ketika berusaha untuk mengurangkan berat badannya.

Dengan bantuan jururawat di hospital, remaja berusia 19 tahun itu berjaya mengurangkan lebih 127 kilogram.

Tetapi sejak dia keluar hospital, dia masih berhempas-pulas untuk mengekalkan diet pemakanannya.

Foto

Georgia Davis


Peningkatan berat badan Georgia dan jangkitan pada kakinya menjadikan dia banduan di kerusi sendiri. Berikutan sukar untuk bergerak, dia terpaksa tidur di kerusi.


Bercakap dari kediaman flet dua biliknya, Georgia memberitahu The Sun: "Saya cuba makan secara sihat tetapi tidak dapat memasak dalam situasi begini.

"Keadaan berjalan dengan baik untuk beberapa minggu tetapi selepas itu keadaan bertukar menjadi buruk.

"Minggu lalu adalah yang terburuk dan saya makan terlalu banyak biskut.

"Saya makan terlalu banyak. Saya tidak boleh membuka bungkusan biskut dan makan sekeping saja. Saya perlu makan semuanya.

"Malam ini saya akan makan KFC kerana saya rasa sangat sakit untuk berdiri dan memasak di dapur," katanya.

Georgia berpindah ke flet di Aberdare, selatan Wales itu bersama rakannya, Sian Thomas November lalu selepas keluar dari Hospital Putera Charles di Merthyr Tydfil.

Dia dimasukkan ke hospital terbabit Jun tahun lalu selepas operasi yang memakan belanja 100,000 pound (RM500,000) untuk membawanya keluar dari kediaman keluarganya.

Sebahagian rumah itu terpaksa diruntuhkan untuk membolehkan dia diselamatkan.

Berat badan Georgia berkurangan 88 kilogram ketika menjalani rawatan selama sembilan bulan di 'kem gemuk di Amerika Syarikat.

Di hospital, perkiraan kalori hariannya dikurangkan daripada 13,000 kepada 1,500 dan beratnya turun kepada 266 kilogram.

Pada awalnya, dengan bantuan Sian, Georgia mengekalkan pelan diet pemakanannya di kediaman baru mereka.

Tetapi rutin itu tergelincir dan jangkitan selulitis menyebabkan kakinya bengkak dan sakit.

Dia kini menghabiskan masa berjam-jam di kerusi, menonton televisyen dan membaca novel.

Georgia yang bakal mencapai usia 20 tahun dua minggu lagi berkata: "Saya cuba untuk tidak bersedih. Memang ketara ini bukan berat badan ideal dan saya tidak mahu jadi begini.

"Susah untuk mengekalkan rutin apabila saya sukar bergerak. Sian banyak membantu tetapi dia perlu bekerja dan tidak dapat menolong sepanjang masa.

"Tidur memang sukar kerana saya terpaksa menjadikan kerusi ini sebagai katil dan saya terjaga kerana kesakitan setiap dua jam.

"Tetapi saya masih ada di tempat yang lebih baik daripada di hospital. Sekurang-kurangnya saya sentiasa mengukur berat badan saya. Sebelum ini, saya selalu putus asa.

"Jururawat yang merawat saya menyelamatkan nyawa saya. Demi mereka, saya perlu terus mencuba," katanya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

8 bulan tidur bersama mayat ibu

Posted:

Munich: Seorang wanita yang kesedihan tidur bersebelahan mayat ibunya selama lapan bulan di flet satu bilik kediaman mereka kerana tidak mampu mengebumikannya.

Kisah mengejutkan itu terbongkar selepas seorang pegawai dihantar ke rumah berkenaan di Munich untuk menuntut hutang pesara berusia 70 tahun itu.


Dia menemui mayat reput wanita itu di atas katil.

Menyedihkan lagi apabila anak perempuannya yang hidup dengan bergantung kepada bantuan kerana menganggur tidak menyedari dia mungkin ditangkap kerana tidak mengebumikan ibunya, kata polis.


Di Jerman, mereka yang tidak mampu membayar upacara pengebumian boleh memohon bantuan sebanyak 3,200 euro (RM12,834) daripada kerajaan untuk menampung kos itu.


Wanita berusia 39 tahun itu dimasukkan ke pusat psikiatrik atas permintaannya.

Polis mula menyiasat sama ada dia menuntut wang pencen ibunya kerana menyimpan mayat ibunya di rumah.


Warga emas terbabit meninggal Julai tahun lalu dan meninggalkan anak perempuannya dengan jumlah hutang yang banyak. Kerana tidak mampu menerima hakikat kematian ibunya dan beban hutang ditanggung, dia merahsiakan kematian wanita tua itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

10,000 jadi pelarian

Posted:

Yangon: Jumlah pelarian akibat keganasan kaum di Meikhtila meningkat kepada hampir 10,000 orang dan mereka kini ditempatkan di lima kem berasingan.

Menteri Hal Ehwal Sempadan Wilayah Mandalay, Kol Aung Kyaw Moe berkata, kem itu penuh sesak tetapi tiada masalah kekurangan makanan.


Seorang daripada pelarian itu pula berkata, mereka tidak kelaparan tetapi berdepan masalah apabila terlalu ramai orang ditempatkan di kawasan sama.

"Kumpulan lain yang akan tiba selepas ini terpaksa berlindung di bawah pokok," katanya.


Menurut pelarian di kem Thamone Gone itu, mereka hidup dalam ketakutan sentiasa. Pelarian lain pula mendakwa, mereka terpisah daripada anggota keluarga akibat kekacauan berkenaan.


Meiktila adalah sebuah bandar di tengah Myanmar dan berada dalam wilayah Mandalay.

Keganasan kaum meletus ekoran perselisihan faham di antara seorang pemilik kedai emas beragama Islam dengan pelanggan Buddha pada pagi Rabu minggu lalu.


Seramai 32 orang terbunuh dan ribuan yang lain terpaksa meninggalkan rumah untuk mencari perlindungan.

Laporan lain mendakwa, sebuah masjid musnah dibakar dan ia mencetuskan keganasan berkenaan. Sebahagian daripada pelarian itu ditempatkan di sebuah stadium, tetapi dipindahkan ke bangunan sekolah bagi memberi perlindungan daripada panas matahari.


Sementara itu, Ketua Menteri Mandalay, Ye Myint berkata, ramai mengadu mahu dipertemukan semula dengan keluarga masing-masing.


"Kami sedang mengusahakannya," katanya. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Tiada sengketa di Yangon

Posted:

Yangon: Pihak tidak bertanggungjawab mendakwa, sebuah masjid dimusnahkan di Yangon dalam usaha mereka melebarkan kekacauan di bandar berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi dan kini menjadi orang awam, Phyu Phyu Thin berkata, dua kereta dipandu di tengah kawasan didiami penduduk Islam selepas tengah malam semalam untuk menyebarkan maklumat berkenaan.


Ekoran pengumuman itu, kata Phyu Phyu, penduduk setempat keluar dengan parang dan kayu.

"Sesetengah daripada mereka menyerang kumpulan kami ketika kami cuba menjelaskan bahawa tiada masjid dimusnahkan di Yangon," katanya. Lebih 30 anggota polis dikejarkan ke kawasan Pasar Mingalar bagi mengawal keadaan, pagi semalam. Ketegangan di antara penganut Islam dan Buddha semakin meningkat di Myanmar ekoran pergaduhan di Meiktila, Mandalay. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Suspek kes rogol masuk hospital

Posted:

New Delhi: Seorang defendan dalam kes rogol berkumpulan di dalam bas di New Delhi dimasukkan ke hospital semalam kerana mengadu sakit dada.

Masalah kesihatan itu dikesan selepas saudara kandungnya juga tertuduh bersama ditemui mati dalam tahanan di penjara berkenaan.


Pegawai pendakwa, Dayan Krishnan berkata, Mukesh Singh dikejarkan ke Hospital Safdarjung kerana mengadu tidak sihat ketika dipindahkan dari Penjara Tihar ke mahkamah.

Disebabkan itu, prosiding perbicaraan di Saket, selatan New Delhi, ditangguhkan. Mukesh adalah seorang daripada empat lelaki dituduh merogol dan membunuh seorang mahasiswa perubatan berusia 23 tahun pada Disember tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Tiada kudeta

Posted:

Jakarta: Kebimbangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono terhadap tunjuk perasaan besar-besaran untuk menggulingkannya ternyata tidak berlaku.

Majlis Kedaulatan Rakyat Indonesia (MKRI) yang dikatakan merancang tunjuk perasaan itu menyangkal dakwaan mahu menggulingkan kerajaan.


"Kami hanya memusatkan tunjuk perasaan kami di sini hari ini (semalam) kata pemimpin kanan majlis, Razman Arif di Jakarta Pusat.

Beliau menolak tuduhan kononnya kegiatan itu yang bertujuan menyelar kepimpinan Susilo adalah sebahagian usaha untuk menggulingkan kerajaan.


"Apa yang kami lakukan hari ini ialah untuk memberi gambaran kepada SBY (Susilo) agar mendengar secara langsung suara rakyat yang inginkan pemimpin yang jujur.


"Yang mendakwa ada usaha menggulingkan kerajaan itu ialah SBY. Kami tidak pernah berkata mahu guling kerajaan. Yang kami mahukan ialah bagaimana SBY merealisasikan kata dua kami. Kami baru merancang tunjuk perasaan, tetapi sudah dituduh mahu menggulingkan kerajaan," katanya.

Selain menunjuk perasaan, aktivis itu turut mengagihkan kira-kira 3,000 bungkusan makanan kepada warga miskin di kawasan berkenaan.


Sementara itu, detikcom melaporkan, hanya 20 orang hadir pada tunjuk perasaan itu sementara yang lain, terdiri daripada wanita dan kanak-kanak kerana menantikan pembahagian makanan yang dijanjikan MKRI.

Pihak berkuasa keselamatan Indonesia mengadakan kawalan ketat di Jakarta bagi menghadapi kemungkinan tunjuk perasaan besar-besaran itu, semalam. Metrotvnews.com melaporkan, kira-kira dua batalion atau 700 anggota polis di kerah berjaga-jaga, lengkap dengan meriam air dan barracuda. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Ibas beri keterangan isu terima rasuah RM600,000

Posted:

Jakarta: Setiausaha Agung Parti Demokrat Edhie Baskoro Yudhoyono, yang lebih dikenali dengan nama Ibas, semalam memberi keterangan kepada polis berkaitan laporannya tentang kes mencemar nama baik beliau.

Bercakap kepada pemberita sejurus tiba di ibu pejabat Polis Jakarta, anak lelaki bongsu Presiden Indonesia itu berkata beliau hadir di situ kerana dipanggil pihak penyiasat.


Ibas minggu lalu membuat laporan polis mengenai kenyataan bekas timbalan pengarah kewangan syarikat Kumpulan Permai, Yulianis baru-baru ini yang menuduhnya menerima AS$200,000 (RM600,000) ketika Kongres Parti Demokrat di Bandung pada 2010.

Menurutnya, tuduhan itu mencemar nama baiknya.


Ibas menyangkal menerima wang berkenaan dan menegaskan beliau tidak kenal Yulianis.


Yulianis menyebutkan bahawa ada catatan aliran dana kepada Ibas sebanyak RM600,000 berkaitan projek pembangunan kompleks sukan nasional di Bukit Hambalang, Jawa Barat.

Kes rasuah projek di Bukit Hambalang itu telah mengheret dua pemimpin parti Demokrat, bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia Andi Mallaranggeng dan bekas Ketua Umum Parti Demokrat Anas Urbaningrum.


Kepercayaan rakyat terhadap Parti Demokrat yang diasaskan Presiden Susilo terjejas teruk berikutan penglibatan beberapa pemimpin parti itu dalam kes rasuah.- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Dua bebas tuduhan

Posted:

Bangkok: Dua penyokong kumpulan Baju Merah Thailand dibebaskan daripada tuduhan membakar pusat beli-belah ketika perhimpunan antikerajaan di bandar raya ini pada 2010.

Mahkamah membebaskan kedua-dua tertuduh kerana tiada saksi melihat mereka membakar pusat beli-belah terbesar di Thailand, Central World yang musnah dalam kejadian itu. Saichon Paebua, pengawal keselamatan kumpulan itu dan rakannya, Pinit Chanarong menafikan tuduhan membakar bangunan itu. "Keputusan hari ini membuktikan penunjuk perasaan Baju Merah tidak membakar Central World," kata seorang pemimpin mereka, Weng Tojikaran.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Lelaki lumpuh tetak kepala isteri

Posted:

Jombang: Seorang lelaki, Saminten, 65, yang lumpuh menetak isterinya, Komsiatun, 50, kerana mendakwa wanita itu tidak melayannya dengan baik.

Saminten juga mendakwa dia disihir isterinya hingga menyebabkan dia lumpuh.


Mangsa yang cedera parah selepas ditetak tidak sedarkan diri dan berlumuran darah. Dia cedera di hidung, mata kiri, tengkuk dan tangan kanan.

"Mangsa cedera parah dan masih menjalani rawatan di Hospital Mojowarno," kata Ketua Polis Jombang, Sugeng Widodo.


Menurut Widodo, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam, kelmarin. Ketika kejadian mangsa dikatakan mahu menghantar makanan kepada suspek. Bagaimanapun, tiba-tiba Saminten berang. Dia menuduh mangsa tidak mahu melayannya. Malah, Saminten menuduh mangsa menyihirnya hingga lumpuh. Sikap tidak mempedulikan tuduhan suaminya itu menyebabkan suspek bertambah berang.


Saminten mencapai parang lalu menetak kepala isterinya dan mengenai muka dan tengkuk mangsa. Mangsa yang kesakitan kemudian meluru keluar dari rumah dan menjerit meminta tolong. Mangsa sebelum pengsan dibantu jiran tetangga yang membawanya ke hospital. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

Tanah runtuh: 6 mati, 18 hilang

Posted:

Bandung: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 18 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cililin, daerah Bandung Barat, semalam.

Pegawai Agensi Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, kejadian berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari lalu.


"Sembilan rumah tertimbus apabila tanah dari bukit di sekeliling kampung itu runtuh awal pagi semalam. Pasukan penyelamat menemui enam mayat, empat daripadanya kanak-kanak," kata Sutopo.

Ratusan anggota polis, tentera dan penduduk membantu mencari mangsa yang dilapor hilang. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26

No comments:

Post a Comment