Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pelajar mati dibaham 5 anjing

Posted:

Manchester: Seorang pelajar Jade Lomas-Anderson dibaham lima anjing hingga mati semalam selepas dia berjalan masuk ke dalam bilik sambil memakan pai daging.

Seekor haiwan berkenaan menerkam makanan itu dan ketika Jade, 14, cuba merampasnya semula anjing berkenaan menerkam lehernya hingga dia jatuh ke lantai.


Empat lagi haiwan berkenaan kemudian datang dan menyerang remaja itu.

Polis yang bergegas ke kediaman itu terpaksa menembak mati empat anjing itu yang dikatakan daripada spesies kacukan anjing pit bull Staffordshire kerana terlalu ganas.


Haiwan kelima dipercayai juga jenis pit bull berjaya ditenteramkan.


Rakan Jade yang terkejut memberitahu dia dibaham di kediaman temannya, Kimberley Concannon di Atherton, Manchester tengah hari semalam selepas bermalam di rumah itu.

Foto

JADE mati akibat diserang sekumpulan anjing.

Seorang rakan berkata: "Jade pergi ke kedai untuk membeli pai daging dan membawanya ke kediaman Kimberley. Kami dengar anjing itu menyerangnya ketika dia makan pai itu. Dia cuba mengelak tetapi anjing berkenaan berang dan menerkam lehernya.


"Dia tewas diserang haiwan itu di dalam rumah Kimberley.

"Ketika polis tiba, empat anjing berkenaan berada di luar rumah.


"Jade berada di dapur. Kami dengar bunyi tembakan. Kami percaya anjing terbesar ditembak sembilan das sebelum ia mati." Thomas Jefferies, 18, berkata: "Sepupu saya kata, dia dengar bunyi tembakan dan jeritan." Seorang lagi rakan berkata: "Anjing itu memang menakutkan. Tetapi Jade kenal dengan haiwan itu. Saya tidak faham mengapa haiwan itu menyerangnya. "Mungkin ia terbau darah selepas anjing pertama menyerang Jade. Ia satu tragedi. Jade benar-benar gadis yang baik." Seorang penduduk berkata: "Anjing itu selalu menyalak dalam rumah kecil itu. Semua kanak-kanak di sini takut dengan anjing itu." Oliver Carrick, 15, berkata: "Ia betul-betul anjing yang jahat - ia tidak pernah dibiarkan di taman dan tiada siapa pun masuk ke situ." Anjing berkenaan milik ibu Kimberley, Beverley. Kedua-dua beranak itu berada dalam kediaman terbabit ketika kejadian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Upah untuk menangis di majlis pengebumian

Posted:

London: Keluarga yang dilanda kesedihan ketika kematian orang tersayang dan merasakan tidak ramai yang meratapinya ketika upacara pengebumian kini boleh mendapatkan khidmat profesional untuk berbuat demikian.

Semakin ramai mendapatkan khidmat mereka dengan bayaran 45 pound (RM210) untuk upacara pengebumian selama dua jam. Mereka akan menangis selain turut berbicara dengan rakan si mati. Amalan itu bermula di Asia Barat dan China, tetapi ia kini kian popular di Britain.


Kumpulan ini yang dikenal sebagai ahli moirologi adalah pelakon terlatih yang mahir untuk tampil sedih di khalayak ramai.

Sebelum upacara pengebumian, mereka diberi taklimat ringkas mengenai kehidupan si mati agar mereka dapat berbicara mengenainya dengan orang yang menghadiri upacara itu seolah-olah mereka kenal rapat dengan si mati.


Pekerjaan itu sangat popular hinggakan sebuah firma di Essex kini mempunyai 20 kakitangan yang boleh melakukan tugas itu. Pengasas Rent a Mourner di Braintree, Ian Robertson mengakui idea itu mungkin jarang berlaku di kalangan masyarakat Britain, tetapi meramalkan ia akan mendapat sambutan ramai kelak. "Kami sebenarnya mendapat ilham daripada perkembangan perniagaan di China.


"Cara masyarakat Asia Barat ialah menyediakan kumpulan yang meratapi wanita menangis ia menyerlahkan lagi kaedah yang kami gunakan," katanya.

"Ia kini semakin berkembang di Britain tempahan kami mencecah 50 peratus setiap tahun.


"Kakitangan kami akan bertemu dengan pelanggan terlebih dulu untuk membolehkan kakitangan kami mengenali si mati secara profesional atau secara sosial. Mereka akan dimaklumkan mengenai latar belakang, pencapaian, kegagalan dan lain-lain mengenai si mati agar mereka dapat berbicara dengan hadirin lain yang datang dengan yakin. Syarikat itu mengiklankan di laman webnya: "Kami terdorong untuk membantu meramaikan upacara pengebumian yang mungkin kurang dihadiri. Ia mungkin perkhidmatan yang baru di kawasan atau di negara ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Lagi masjid dibakar

Posted:

Yangon: Perusuh beragama Buddha semalam membakar sebuah lagi masjid dan kediaman penduduk Islam di bandar di tengah Myanmar.

Ia kejadian keganasan terbaru membabitkan penduduk berbeza agama itu yang setakat ini sudah meragut kira-kira 40 nyawa.

Dalam kejadian terbaru yang berlaku selepas keganasan meletus, polis berkata, sebuah masjid di bandar Nattalin dibakar perusuh.

Penduduk berkata, polis tidak dapat berbuat apa-apa ketika sekumpulan perusuh Buddha tiba di bandar itu dan membakar masjid berkenaan.


"200 perusuh datang ke bandar ini. Polis tidak dapat mengawal mereka...mereka memusnahkan masjid dan beberapa kediaman. Kemudian mereka beredar," kata seorang penduduk.


Perintah berkurung dari senja hingga ke Subuh turut dikenakan di tiga lagi bandar, lapor media kerajaan ketika pihak berkuasa cuba untuk menghentikan keganasan itu yang mula tercetus di Meiktila 130 kilometer ke utara Naypyidaw, hab komersial Myanmar.

Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar, Vijay Nambiar yang mengunjungi Meiktila berkata semalam, penduduk Islam menjadi sasaran kekejaman penganut Buddha.

Keganasan bermula 20 Mac lalu berikutan pertengkaran di kedai emas di Meiktila. Ia bertukar menjadi ganas dengan masjid dan kediaman penduduk Islam dijadikan sasaran.

Ia adalah keganasan terburuk sejak penduduk Islam Rohingya di negeri Rakhine diserang oleh penganut Buddha tahun lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 180 orang dan menyebabkan lebih 110,000 kehilangan tempat tinggal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Budak 12 tahun diharam guna FB

Posted:

Manitoba (Kanada): Seorang hakim di Kanada mengharamkan seorang murid sekolah berusia 12 tahun daripada menggunakan Facebook selama setahun.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu dibuat selepas dia mengancam dua remaja menerusi rangkaian sosial berkenaan .


Menurut stesen radio CJOB, tertuduh memuatnaikkan ancaman dengan berkata dia mahu mencekik hingga mati dua bekas rakannya kerana berebutkan seorang budak lelaki.

Murid itu mengaku bersalah membuat ancaman itu dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun di samping 50 jam kerja kebajikan. Selain itu, hakim juga mengarahnya memadamkan akaun Facebooknya.


Ibu murid itu menyokong keputusan mahkamah tetapi peguamnya membantah dengan alasan Facebook adalah kehidupan sosial remaja masa kini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

12 lemas selepas bot dilanda puting beliung

Posted:

Cotabato: Seramai 12 orang maut apabila puting beliung kecil menyebabkan bot yang sesak dengan penumpang terbalik di kawasan berpaya di selatan Filipina, semalam.

Bot kecil yang boleh memuatkan 10 penumpang itu membawa 18 orang dari sebuah bandar kecil menyusuri kawasan berpaya di Pulau Mindanao ketika nahas berlaku, kata Datuk Bandar Alan Aguas.


"Angin sangat kuat dan terdapat puting beliung kecil. Beberapa penumpang panik menyebabkan bot itu terbalik," katanya memetik kenyataan daripada mangsa yang terselamat. Menurutnya, antara yang maut ialah kanak-kanak.

Menurut Aguas, beberapa mayat masih belum ditemui hingga kini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Singapura masih diancam pengganas: Lee

Posted:

Singapura: Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam memberi amaran republik itu tidak boleh berpuas hati dengan keadaan aman ketika ini kerana negara itu masih berpotensi menjadi sasaran serangan pengganas.

Keganasan, katanya, terus menjadi ancaman di seluruh dunia meskipun banyak negara mencatatkan kemajuan dalam memeranginya.


"Kita sering mendengar laporan pengganas di rantau ini yang mahu melancarkan serangan ke atas Singapura atau aset warga republik ini di negara jiran. Kita tidak boleh leka," katanya.

Lee memberitahu demikian ketika bercakap di persidangan antarabangsa mengenai keganasan yang turut dihadiri pakar mengenai isu itu dari seluruh dunia.


Merujuk kepada usaha memerangi pengganas peringkat global, Lee berkata, banyak kemajuan dicapai, seperti pembunuhan Osama bin Laden dan pegawai al-Qaeda yang lain.


Kumpulan Jemaah Islamiah, kumpulan militan paling terkenal di Asia Tenggara juga terjejas selepas pemimpin dan anggota mereka dibunuh atau ditahan.

"Namun, kumpulan pengganas seumpama itu masih terus aktif," kata Lee. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

1 mati dalam gempa bumi di Taiwan

Posted:

Taipei: Seorang terbunuh manakala 19 lagi cedera apabila gempa bumi kuat menggegarkan Taiwan semalam, menyebabkan banyak bangunan rosak dan terbakar.

Pusat Kaji Geografi Amerika Syarikat berkata, gempa itu berukuran 6.0 magnitud dan berlaku jam 10.03 pagi (waktu tempatan), 48 kilometer ke timur wilayah Nantaou di tengah Taiwan pada kedalaman 20.7 kilometer.


Biro Kaji Cuaca Taiwan berkata, gegaran itu berukuran 6.1 magnitud dan menyifatkannya sebagai yang paling kuat tahun ini. Ia dapat dirasakan di seluruh negara.

Lima gegaran selepas gempa berukuran 3.7 hingga 4.3 magnitud berlaku dua jam selepas gempa pertama.


Agensi penyelamat Taiwan berkata, seorang wanita berusia 72 tahun mati dalam sebuah kuil selepas dihempap dinding yang runtuh.


Sebahagian besar bangunan di Taipei bergoyang akibat kejadian itu sementara rakaman televisyen menunjukkan kanak-kanak sekolah di Nantou bertempiaran lari dari kelas masing-masing.

Taiwan terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik menyebabkan ia sering dilanda gempa bumi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

No comments:

Post a Comment