Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pope baru dikecam membisu

Posted:

Buenos Aires: Kumpulan hak asasi kemanusiaan Argentina semalam berusaha mencari bayi dicuri ketika "Perang Kotor" negara itu dengan menuduh Pope Francis yang baru dilantik gagal bersuara menentang bekas pemerintah tentera negara itu.

Organisasi Grandmothers Plaza de Mayo yang diasaskan pada 1977 untuk membantu mencari kanak-kanak diculik ketika era tentera. Kata Jorge Mario Bergoglio, Francis tidak melakukan yang terbaik untuk membantu mangsa yang dinafikan hak mereka. Perang Kotor Argentina menyaksikan 30,000 orang maut atau hilang dari 1976 hingga 1983 dikaji secara terperinci.


Kelmarin, Vatican menolak dakwaan Francis gagal melakukan yang terbaik untuk melindungi dua paderi yang diculik dan diseksa ketika pemerintahan tentera ketika dia menjadi ketua paderi di Argentina pada waktu itu. Bagaimanapun, ketua Grandmothers Plaza de Mayo, Estela Carlotto, menyertai sebilangan pengkritik yang mengecam pope baru itu.

"Grandmothers sudah memberi teguran kepada pope baru itu.


"Dia tidak pernah bercakap mengenai masalah mereka yang hilang ketika pemerintahan tentera dulu dan 30 tahun sudah berlalu sejak negara ini mengamalkan demokrasi," katanya.


Anak perempuan Estela, Laura diculik dan dibunuh selepas dibawa ke pusat tahanan rahsia. Bayi lelaki dilahirkannya ketika ditahan tidak pernah ditemui. - AFP

Foto

Jorge Mario Bergoglio

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

330 juta janin mangsa bunuh

Posted:

Beijing: Hampir 330 juta pengguguran dilakukan di China dalam tempoh 40 tahun sejak negara itu mula-mula melaksanakan langkah mengehadkan pertumbuhan populasi di negara paling ramai penduduk di dunia itu, dedah data rasmi semalam.

China mengumumkan perubahan struktur dalam sistem merancang keluarga yang menyaksikan polisi kontroversi seorang anak bagi setiap keluarga ketika mesyuarat tahunan secara berterusan penggubalan undang-undang nasional di Beijing. Data yang dimuat naik di laman web kementerian kesihatan awal tahun ini menunjukkan dari 1971 - sejurus sebelum China mula menggalakkan rakyatnya mempunyai kurang anak hingga 2010 sejumlah 328.9 juta pengguguran dilakukan di negara terbabit yang mempunyai populasi 1.35 bilion. China berkata, polisi seorang anak yang diperkenalkan pada 1980-an menghalang lebihan populasi dan melonjakkan perkembangan ekonomi. Polisi itu terkecuali kepada beberapa keluarga di luar bandar daripada kalangan etnik minoriti dan pasangan yang masih muda. Bagaimanapun, gesaan dipertingkat agar polisi itu dihentikan kerana tenaga buruh negara terbabit semakin menurun dan bilangan warga tua semakin ramai.


Mengikut polisi berkenaan, keluarga di bandar secara amnya dibenarkan mempunyai hanya seorang anak, manakala keluarga di luar bandar boleh mempunyai anak kedua jika anak yang pertama ialah perempuan. Mereka yang melanggar undang-undang itu perlu membayar denda.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan gabungan Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Populasi Nasional mengkaji semula polisi itu dengan kementerian kesihatan tidak lagi bertanggungajawab. Media kerajaan berkata, ia bertujuan untuk memperbaiki polisi seorang anak itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

'Pawang' sebar HIV ditahan

Posted:

Zurich: Polis Switzerland menahan seorang lelaki yang mengaku sebagai 'pawang' selepas dia gagal menghadiri perbicaraan atas tuduhan menyebarkan HIV kepada 16 mangsa menggunakan jarum akupuntur.

Jurucakap polis semalam berkata, mereka menyerbu rumah lelaki berusia 54 tahun itu selepas dia enggan keluar dari premisnya.


"Tertuduh bersenjata sebilah pisau dan berkali-kali mengugut untuk bertindak ganas," katanya.

Jurucakap polis itu berkata, seorang wanita tidak dikenali bersama suspek turut ditahan.


Lelaki terbabit dibebaskan dengan ikat jamin sejak Ogos tahun lalu.


Perbicaraan sepatutnya bermula pada 6 Mac lalu, tetapi tidak dapat diteruskan apabila dia tidak hadir kelmarin.

Kes itu menjadi perhatian selepas seorang pesakit di hospital di Berne menyiasat semula bagaimana dia dijangkiti virus maut itu. Pesakit terbabit kemudian mendapati dia mula dijangkiti HIV selepas mendapatkan rawatan akupuntur daripada suspek.


Bagaimanapun, suspek mengaku tidak bersalah. Media melaporkan, majoriti mangsa adalah penuntut sebuah sekolah muzik yang dikendalikan oleh tertuduh. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Bom haram di Syria

Posted:

Beirut: Rejim Syria meningkatkan penggunaan bom berangkai yang diharamkan, kata kumpulan hak asasi manusia antarabangsa dalam satu laporan semalam ketika konflik di negara itu memasuki tahun ketiga.

Dalam tempoh enam bulan lalu, tentera Syria telah menggugurkan sekurang-kurangnya 156 bom berangkai di 119 lokasi di seluruh negara, menyebabkan kemalangan jiwa terhadap orang awam, kata Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan yang berpangkalan di New York. Dua serangan sejak dua minggu lalu membunuh 11 oarng awam termasuk dua wanita dan lima kanak-kanak, kata laporan itu. Kumpulan terbabit berkata, ia memperoleh penemuan itu ekoran siasatan di tempat kejadian dan menganalisis lebih 450 video amatur. Bom berangkai membentuk lebih banyak bom kecil, ia menyebabkan ancaman kepada orang awam kerana kebanyakannya tidak meletup serta-merta. Banyak negara melarang penggunaannya.


Laporan itu dibuat sehari selepas rakyat Syria menyambut ulang tahun kedua kebangkitan menentang Presiden Bashar al-Assad. Pemberontakan bermula dengan bantahan secara aman tetapi sebagai tindak balas terhadap kekerasan rejim ia akhirnya berubah menjadi perang saudara. Perang itu telah membunuh kira-kira 70,000 orang dan menyebabkan empat juta daripada 22 juta penduduk Syria terpaksa berpindah, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Konflik masih menemui jalan buntu walaupun kumpulan penentang mencapai kejayaan baru-baru ini yang menguasai sebahagian besar wilayah utara dan timur Syria. Tentera rejim secara rutin menyerang kubu penentang dengan artileri dan menggugurkan bom dari udara menyebabkan orang awam terpaksa melarikan diri mencari perlindungan untuk keselamatan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

23 tentera terbunuh

Posted:

Peshawar: Sekurang-kurangnya 23 tentera Pakistan terbunuh semalam apabila bas dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di lebuh raya utama Pakistan-China di kawasan pergunungan di utara negara itu, kata pegawai kanan ketenteraan.

"Berdasarkan maklumat awal, 23 anggota tentera maut dalam nahas jalan raya apabila bas dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di lebuh raya Karakoram," katanya.


Tentera berkata, kira-kira 27 orang berada dalam bas itu, termasuk 25 anggota tentera yang pulang ke kediaman masing-masing untuk bercuti, selain pemandu serta seorang tukang cuci. Anggota tentera terbabit daripada batalion Northern Light Infantry (NLI) yang dikerah bertugas di lembah Swat yang bebas daripada askar Taliban pada 2009. Seorang pegawai pentadbir tempatan berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan bantuan ke lokasi nahas yang terpencil itu. "Semua anggota tentera terbabit ingin pulang bercuti meninggalkan Swat untuk ke Gilgit," katanya.

Perjalanan di kawasan pergunungan di utara Pakistan sangat rumit dan tentera serta orang awam lebih gemar membuat perjalanan secara berkumpulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Percaya rundingan damai akhiri konflik

Posted:

Bangkok: Institut Nasional mengenai Pembangunan Pentadbiran (Nida) semalam mendedahkan hampir dua pertiga rakyat Thailand percaya rundingan damai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dapat mengakihiri konflik di selatan negara itu.

Nida memperoleh keputusan itu berdasarkan kaji selidik dijalankan terhadap 1,669 responden dari semua lapisan masyarakat dan latar belakang pada 14 dan 15 Mac lalu. Nida berkata 64.9 peratus responden percaya rundingan damai akan menamatkan konflik di selatan. Mereka berpendapat rundingan damai akan menyelesaikan masalah lebih baik berbanding menggunakan kekerasan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Persetujuan bersejarah

Posted:

New York: Negara Islam dan Barat mencapai persetujuan bersejarah di PBB semalam apabila wakil masing-masing menyokong deklarasi menetapkan kod etika bagi memerangi keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak.

Walaupun sebelum ini mengancam untuk menghalang deklarasi itu, diplomat Iran, Libya, Sudan dan negara Islam lain akhirnya bersetuju apabila deklarasi berkenaan menyatakan bahawa, keganasan terhadap wanita tidak boleh dibenarkan "atas apa saja pertimbangan budaya, tradisi atau agama." Negara Barat pula, terutama dari Scandinavia, mengendurkan tuntutan mereka untuk mengaitkan hak pengamal homoseksual dan golongan menghadapi masalah seksual.


Iran, Vatican, Russia dan negara Islam membentuk pakatan bagi melemahkan gesaan supaya standard global lebih tegas diperkenalkan bagi mengekang keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak. Persetujuan dicapai dua minggu selepas semua 193 diplomat di PBB berunding mengenainya. Kira-kira 6,000 pertubuhan bukan kerajaan berada di New York untuk menghadiri pertemuan Suruhanjaya Status Wanita itu.

Sebaik persetujuan itu diumumkan di Ibu Pejabat PBB, mereka bersorak dan bertepuk tangan meraikannya. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, anggota badan pertubuhan dunia itu komited untuk bertindak bagi menghalang keganasan dan memberikan keadilan serta bantuan kepada mangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Pelancong disekat kerana Buddha

Posted:

Colombo: Pihak berkuasa Sri Lanka enggan membenarkan seorang pelancong Britain memasuki negara itu kerana mempunyai tatu Buddha pada tangannya.

Akhbar tempatan melaporkan, warga Britain itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike kelmarin.


Pegawai imigresen berkata, apabila ditanya, pelancong lelaki terbabit menjawab tanpa sebarang rasa hormat kepada Buddha.

"Jika dia mempunyai pandangan begitu selepas memasuki Sri Lanka, ia hanya akan membahayakan dirinya," katanya. Sebagai negara yang didiami sebahagian besar rakyat beragama Buddha, Sri Lanka sangat sensitif kepada sebarang tindakan dianggap mengancam agama berkenaan. Ogos tahun lalu, tiga pelancong Perancis dihukum penjara enam bulan kerana mencium patung Buddha tindakan dianggap tidak menghormati agama itu di mata pihak berkuasa. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Kepala dalam peti sejuk

Posted:

Hong Kong: Kepala sepasang suami isteri ditemui dalam sebuah peti sejuk dipenuhi darah di sebuah apartmen di Tai Kok Tsui, lapor media tempatan semalam.

Polis Hong Kong berkata, anak pasangan terbabit ditahan untuk membantu siasatan.


Dalam kenyataan dikeluarkan, polis berkata, pihak berkuasa menemui "sebahagian mayat manusia" di apartmen terletak di pinggir bandar raya Hong Kong.

"Polis percaya mangsa adalah sepasang suami isteri warga emas, masing-masing berusia 64 dan 63 tahun," kata kenyataan itu. Pasangan terbabit, kata polis, dikesan hilang sejak 9 Mac lalu.


Akhbar South China Morning Post melaporkan, mangsa dikenali sebagai Chau Wing-ki dan isterinya, Siu Yuet-yee.


Sumber berkata, selain kepala mangsa ditemui dalam peti sejuk, tangan dan kaki mereka turut ditemui di premis berkenaan.

Bagaimanapun, badan mereka masih belum ditemui.


Kata sumber, polis menemui gergaji, pisau dan alas pemotong daging di rumah berkenaan. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

No comments:

Post a Comment