Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ugut bunuh lepas gagal rompak

Posted:

Zengzhou: Seorang lelaki mengacu dua pisau pada leher seorang pembantu kedai, mengancam membunuh mangsa selepas cubaannya untuk merompak gagal, semalam.

Drama ngeri yang berlarutan selama empat jam itu bagaimanapun berakhir dengan wanita itu dibebaskan tanpa sebarang kecederaan selepas anggota keluarga perompak terbabit berjaya memujuknya supaya membebaskan mangsa.

Kejadian bermula apabila lelaki itu menyerbu kedai menjual kelengkapan dapur di Zengzhou di wilayah Henan dan mengambil dua pisau dari rak.

Dia kemudian memaut tengkuk pembantu kedai dan mengacu pisau itu pada leher mangsa.

Foto

SITUASI cemas ketika perompak mengancam membunuh pembantu kedai.

Foto

PEROMPAK terbabit ditahan polis selepas menyerah diri.


Satu ketika darah dilihat mengalir dari pipi mangsa akibat daripada tusukan pisau itu.


Polis yang gagal memujuk lelaki itu menyerah diri, terpaksa memanggil anggota keluarganya untuk berbuat demikian.

Empat jam selepas ia bermula, lelaki itu akhirnya akur dengan pujukan keluarganya dan menyerah diri. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Minat aksi seks dengan haiwan

Posted:

London: Seorang lelaki didapati memuat turun imej yang memaparkan aksi wanita mengadakan hubungan dengan pelbagai haiwan, termasuk ular, harimau dan gajah.

Turut dimuat turun oleh Stephen Thresh ialah aksi lucah membabitkan beberapa ekor kuda dan anjing. Menurut polis, mereka tidak dapat memastikan sama ada harimau dan ular yang dijadikan objek pemuas nafsu dalam aksi berkenaan masih hidup atau sudah mati.


Bagaimanapun, jurucakap polis berkata, mereka yakin gajah yang dipaparkan dalam imej itu memang hidup. Dalam perbicaraan semalam, mahkamah diberitahu, polis percaya Thresh tidak berminat dengan aktiviti seks normal.

Thresh, 47, dari Hull mengaku salah terhadap lima tuduhan memiliki imej lucah melampau serta enam tuduhan memiliki 405 imej lucah yang ditemui dalam komputer ribanya. Dia ditangkap selepas diperdaya melalui mesej palsu yang dihantar melalui komputernya.


Melalui mesej itu, pihak berkuasa mendakwa, mereka dimaklumkan mengenai aktiviti Thresh.


Mempercayai mesej itu benar, Thresh menyerahkan komputer ribanya kepada polis dan dia ditahan sejurus selepas itu. Sementara itu, hakim menangguhkan keputusan terhadap kes Thresh kerana dia juga menghadapi tuduhan lain membabitkan kesalahan menyerang.

Hakim, Mark Bury berkata, dia akan menentukan hukuman selepas semua perbicaraan Thresh berakhir. Sementara itu, penyiasat berkata, imej utama yang dimuat turun oleh Thresh ialah aksi lucah wanita dengan kuda dan anjing. "Imej membabitkan gajah, ular dan harimau itu sangat berbahaya untuk dilakukan.


"Memang jelas Thresh meminati aksi seks seumpama itu lebih daripada biasa," katanya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Trend fesyen paling buruk abad ini

Posted:

London: Trend berpakaian Justin Bieber dengan seluar panjang terlondeh sehingga menampakkan seluar dalamnya dipilih sebagai trend fesyen paling buruk abad ini.

Ia berdasarkan keputusan kaji selidik yang dijalankan oleh JonesandJonesfashion.com, kedai online yang meninjau fesyen sepanjang 13 tahun lalu.


Kaji selidik berkenaan meminta wanita memilih gaya yang seharusnya tidak wujud.

Remaja yang berseluar panjang di bawah pinggul dipilih lebih daripada seperlima responden atau 21 peratus. Mereka berkata, fesyen seumpama itu adalah kesilapan terbesar abad 21.


"Bintang pop seperti Justin Bieber menjadi contoh paling teruk dengan menggayakan fesyen seumpama itu," kata responden.


Kajian itu juga mendapati, responden menolak beberapa fesyen lain, termasuk seluar diperbuat daripada kulit, memakai perhiasan murah dengan jumlah yang banyak dan seluar singkat (hot pants).

Penggunaan beg tangan tiruan pula dianggap sebagai gaya fesyen 'menyedihkan'. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Thailand lanjut perintah darurat

Posted:

Bangkok: Kabinet semalam meluluskan cadangan Majlis Keselamatan Kebangsaan untuk melanjutkan undang-undang darurat di tiga wilayah paling selatan negara itu selama tiga bulan lagi.

Undang-undang darurat yang dilaksanakan sekarang akan berakhir 19 Mac ini.


Dalam perkembangan lain, langkah keselamatan ditingkatkan menjelang hari ulang tahun penubuhan kumpulan pejuang pemisah selatan Thai, Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Cadangan itu mengesyorkan sekiranya Markas Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) melihat keadaan di lima daerah di ketiga-tiga wilayah itu semakin baik dan selari dengan rundingan kerajaan dengan kumpulan pemisah, perintah darurat akan ditarik balik di lima daerah wilayah itu dan digantikan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Ia akan dilaksanakan tanpa perlu menunggu tempoh tiga bulan bagi undang-undang darurat berakhir.


Kawasan yang disebutkan itu ialah daerah Kabang dan Betong di Yala, Sukhirin dan Waeng di Narathiwat dan Mai Kaen di Pattani.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Paradorn Pattanatabut menjelaskan, pelaksanaan serta-merta ISA di kelima-lima daerah itu tidak mungkin dapat dilakukan kerana pertimbangan perlu dilakukan terhadap keadaan di situ serta perkembangan selepas rundingan dengan BRN.


Lebih penting lagi, katanya, orang awam dan polis bersedia untuk menangani perkembangan yang berlaku.

Paradorn yang menandatangani perjanjian persetujuan berunding dengan pegawai hubungan BRN Hassan Taib di Malaysia berkata, perbincangan dengan kumpulan pemisah itu akan membantu mengurangkan keganasan. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Bukti Thaksin 'ketua' Parti Pheu Thai

Posted:

Bangkok: Ucapan Thaksin kepada Parti Pheu Thai menerusi Skype Isnin lalu membuktikan sekali lagi bahawa beliau masih menjadi 'ketua' parti berkenaan.

Adiknya yang juga Perdana Menteri Yingluck Shinawatra selama ini menafikannya secara terbuka.


Thaksin bercakap mengenai beberapa perkara, dari peribadi hingga isu politik, dalam gaya yang menunjukkan dia berkuasa penuh ke atas Pheu Thai.

Arahan secara langsungnya kepada anggota parti itu ialah bukti bahawa beliau yang membuat keputusan dalam kerajaan dan parti pemerintah.


Ketika berucap kelmarin, Thaksin mengarahkan parti itu memberi tumpuan kepada pindaan perlembagaan, khususnya yang berkait dengan pembubaran parti dan juga rang undang-undang mengenai tawaran pengampunan.


Beliau turut mengarahkan menteri menjelaskan kepada rakyat Thai mengenai dakwaan kononnya beliau memiliki sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat awam. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Terselamat tiga bulan lagi

Posted:

Manila: Langkah Raja Arab Saudi menangguhkan semua pelaksanaan hukuman mati selama tiga bulan semalam memberikan keluarga seorang pekerja dan kerajaan Filipina masa untuk mendapatkan pembebasannya.

Pekerja terbabit Joselito Zapantag sepatutnya menjalani hukuman pancung semalam atas kesalahan membunuh.

Penangguhan itu dibuat sehingga 8 Jun.

Presiden Benigno Aquino sebelum ini menulis surat kepada Raja Abdullah untuk meminta tempoh lebih lama bagi mengumpulkan wang darah berjumlah AS$1 juta (RM3 juta) seperti yang diminta keluarga lelaki Sudan yang dibunuh Zapantag.


Menurut pihak berkuasa Filipina, setakat ini hanya suku daripada jumlah wang yang diminta itu berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan peribadi dan kerajaan.


Manila menganggarkan terdapat lebih sejuta rakyat Filipna bekerja di Arab Saudi, sebahagian daripada 10 juta warganya yang bekerja di luar negara. - Manila Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

SBY mahu pilih sendiri pengerusi PD

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mungkin akan menggunakan kuasa vetonya sekali lagi sebagai pengerusi majlis tertinggi Parti Demokrat untuk melantik orang kepercayaannya sebagai satu-satunya calon untuk pengerusi parti itu.

Ia dilapor akan dilakukan tanpa melalui mekanisma undian pada kongres luar biasa akan datang parti berkenaan.


Penganalisis percaya langkah itu bertujuan menangkis usaha untuk menyokong speaker Dewan Perwakilan, Marzuki Ali bagi menjadi pengerusi baru parti.

Seorang anggota majlis, Jero Wacik semalam berkata, majlis berkenaan akan membuat keputusan sedikit masa lagi bahawa semua anggota parti hingga ke peringkat tempatan perlu mematuhi keputusan Susilo.


"Saya percaya semua cawangan parti di peringkat wilayah, daerah dan perbandaran akan menyokong dasar itu," katanya.


Beliau bagaimanapun enggan mengilas sama ada keputusan itu akan membabitkan penggunaan kuasa veto oleh Susilo tetapi mengesaghkan satu nama akan diumumkan tidak lama lagi.

Marzuki mendakwa Sabtu lalu bahawa beliau sudah memperoleh sokongan daripada pelbagai cawangan parti, khususnya dari Jawa, sekali gus meletakkannya di depan dalam kongres luar biasa parti yang dijadual diadakan hujung Mac.


Beliau yang berkata demikian di Surakarta, Jawa Tengah juga mengaku kumpulan yang setia kepada bekas pengerusi parti, Anas Urbaningrum menyokong pencalonannya.

Akhbar tempo.co memetik beliau sebagai berkata, Anas turut menyuarakan sokongan pencalonannya. Setiausaha parti cawangan Surakarta, Supriyanto mengaku sebahagian besar anggota parti cawangan itu mahu Marzuki mengetuai Demokrat.


Setiausaha Agung parti, Saan Mustofa, juga penyokong setia Anas, turut membayangkan Marzuki mungkin menjadi pengerusi baru parti. - JP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Singapura rancang guna jet pejuang F-35

Posted:

Singapura: Singapura kini di peringkat akhir menilai kemampuan jet pejuang F-35 Joint Strike Fighter untuk menggantikan jet F-15 dan F-16.

Dalam kenyataan kepada Parlimen kelmarin, Menteri Pertahanan, Ng Eng Hen berkata, kerajaan juga mencari pengganti sesuai untuk kapal selam negara itu dalam usaha mereka meningkatkan keupayaan ketenteraan.


Setakat ini, Singapura dianggap negara memiliki kelengkapan ketenteraan terbaik di Asia Tenggara. Menurut Ng, walaupun jet F-35 masih dibangunkan, Singapura tetap berminat mendapatkannya untuk keperluan masa depan.

"Jet F-35 akan menjadi pesawat tempur barisan depan dalam operasi akan datang," katanya.


Rakaman kenyataan itu diposkan di laman sesawang kerajaan semalam.


Ng berkata, pesawat pejuang F-15 keluaran Boeing yang dimiliki Singapura ketika ini "menghampiri tempoh akhir hayat operasi," manaala F-16 Lockheed Martin berada di peringkat pertengahan. "Untuk jangka panjang, Tentera Udara Republik Singapura mengenal pasti jet F-35 sebagai pesawat sesuai dalam proses pemodenan negara.

"Kerajaan dalam peringkat akhir menilai kemampuan jet berkenaan," katanya dalam satu kenyataan akhbar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

No comments:

Post a Comment