Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Geng Topeng Ski tumpas

Posted: 15 Apr 2013 03:29 PM PDT

Shah Alam: Geng Topeng Ski yang paling dikehendaki polis Selangor kerana terbabit dalam 81 kes samun berkumpulan dan bersenjata di sekitar Lembah Klang sejak 2011 tertumpas apabila tujuh ahlinya ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dengan penahanan semua suspek berusia 21 hingga 30-an itu, polis berjaya menyelesaikan 27 kes samun di Klang Selatan, Serdang (15), Subang Jaya (11), Klang Utara (sembilan), Gombak (tujuh), Shah Alam (enam), Petaling Jaya (empat) dan Kajang (dua). Beliau berkata, sebelum menahan semua suspek, polis menerima maklumat kejadian samun bersenjata di Putra Heights, Subang Jaya pada 25 Mac lalu membabitkan kerugian RM20,000.


Katanya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya menjalankan risikan sebelum menahan mereka dalam beberapa serbuan berasingan di Puchong, Subang Jaya, Bandar Sunway dan Pelabuhan Klang. Polis turut menahan seorang pemilik kedai pajak gadai dalam serbuan jam 10.30 malam hingga 1 pagi pada 27 dan 28 Mac lalu.

"Polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dipercayai digunakan anggota sindiket untuk melakukan jenayah dan kereta berkenaan juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pernah dilaporkan hilang di Klang.


"Selain itu, polis turut merampas barang kemas seperti rantai, cincin, gelang, loket, parang, telefon bimbit dan resit jualan barang kemas dan semua barangan dianggarkan bernilai lebih RM100,000," katanya.

Foto

TUN Hisan (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Lelaki bongkar jenayah sendiri

Posted: 15 Apr 2013 03:21 PM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan seorang bapa tiri membuat laporan polis atas kehilangan anak perempuannya berusia 11 tahun memakan diri apabila penemuan semula kanak-kanak itu membongkar rahsia dia sebenarnya dirogol lelaki terbabit.

Difahamkan, lelaki durjana itu mengambil kesempatan melakukan perbuatan keji itu ketika isterinya tiada di rumah mereka di sebuah flat di Jalan Raja Laut, di sini.


Berikutan rakaman keterangan terhadap kanak-kanak terbabit, polis yang menjalankan siasatan menahan bapa tirinya itu beberapa jam kemudian selepas rakaman keterangan itu selesai, awal pagi kelmarin.

Sumber mendedahkan, pada mulanya lelaki berusia 41 tahun itu membuat laporan kehilangan anaknya itu kira-kira jam 10 malam, Jumaat lalu, selepas kanak-kanak terbabit tidak pulang ke rumah.


"Kononnya bimbang keselamatan anak tirinya itu, lelaki terbabit ke Balai Polis Chow Kit membuat laporan dan meminta bantuan polis membawa anaknya pulang selepas dipercayai lari dan tinggal di rumah seorang rakannya di Chow Kit.


"Sepasukan polis bersama lelaki terbabit kemudian ke rumah berkenaan untuk mencari anak tirinya itu. Sebaik tiba di rumah itu, seorang wanita membuka pintu dan mengesahkan kanak-kanak terbabit berada, di situ," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, namun hasil siasatan kanak-kanak itu mendedahkan dia melarikan diri kerana diperkosa bapa tirinya itu.


"Berikutan pengakuan mangsa, dia dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Polis kemudian mengambil tindakan dengan menahan lelaki terbabit untuk siasatan," katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak itu mendakwa sering dirogol bapa tirinya itu di rumah mereka ketika ketiadaan ibu dan bimbang diperlakukan sedemikian lagi menyebabkan dia bertindak nekad melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Saksi kes samun, bakar diminta tampil

Posted: 15 Apr 2013 03:21 PM PDT

Kajang: Polis meminta saksi kejadian kes samun dan bakar sebuah rumah di Saujana Impian di sini, kelmarin tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan usaha mengesan suspek juga masih dilakukan.


"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 4.36 pagi sebelum memaklumkan kebakaran itu kepada pasukan bomba," katanya.

Beliau berkata, sebaik api dipadamkan, pemeriksaan ke atas rumah itu mendapati terdapat kesan umpil pada pintu belakang dan kesan pecah pada tingkap.


"Kami percaya suspek masuk melalui tingkap rumah sebelum membakar rumah itu dipercayai mahu menghilangkan bukti," katanya.


Katanya, tiada saksi menyaksikan kejadian itu manakala pemilik tiada di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Bapa angkat keluar memancing ditemui lemas

Posted: 15 Apr 2013 03:21 PM PDT

Kuala Lumpur: Kebimbangan seorang lelaki apabila bapa angkatnya tidak pulang selepas keluar memancing sejak Sabtu lalu terjawab apabila mayat mangsa ditemui terapung orang ramai di Sungai Gombak berhampiran Jalan 1/48A Sentul, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 56 tahun dan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dikatakan keluar memancing seorang diri di sungai berkenaan sebelum dilaporkan hilang. Anak angkatnya yang keluar mencari hanya menemui kereta dan peralatan memancing milik mangsa di lokasi kejadian kelmarin.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, pengadu yang tinggal di Jalan Genting Klang membuat laporan polis Ahad lalu berkenaan kehilangan bapa angkatnya itu.

"Kami pergi ke lokasi tempat mangsa dilaporkan hilang bersama pasukan bomba pada malam mangsa dilaporkan hilang, namun gagal mengesan lelaki itu," katanya.


"Kira-kira jam 7.20 pagi tadi (semalam) pihak polis sekali lagi membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum dimaklumkan orang ramai tentang penemuan mayat seorang lelaki terapung berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang," katanya.


Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut berikutan tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Aksi pencuri komputer riba dirakam CCTV

Posted: 15 Apr 2013 03:19 PM PDT

Kajang: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, 7 April lalu.

Hasil siasatan polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu sempat merakam pergerakan dua lelaki.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis menjalankan siasatan dalam usaha memburu suspek berdasarkan rakaman CCTV yang diperoleh.

Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek menghubungi Inspektor Azrul di talian 012-8372793 atau Ibu Pejabat Daerah Kajang (IPD) talian 03-89114222. Harian Metro Isnin lalu melaporkan lebih 52 unit komputer riba jenama HP dan Acer dicuri selepas pusat khidmat itu dipecah masuk membabitkan kerugian lebih RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

No comments:

Post a Comment