Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Keberanian drebar elak tragedi

Posted: 17 Apr 2013 03:06 PM PDT

Alpe d'Huez: Pemandu bas yang kemalangan di sebuah kawasan luncur salji di Alps Perancis berusaha memberi amaran kepada 50 penumpang bahawa kenderaan itu berdepan dengan masalah sejurus sebelum kemalangan itu berlaku.

Pemandu warga Britain berusia 64 tahun itu yang dipercayai berasal dari Timur Laut dipuji kerana keberanian menakjubkannya selepas dia dikatakan menjerit kepada penumpang : "Ada masalah dengan brek' sambil berusaha menyelamatkan mereka.


Menteri Pengangkutan Perancis Frédéric Cuvillier berkata: "Anda tidak boleh menyifatkannya sebagai keajaiban kerana ada satu kematian dan ramai yang cedera. Tetapi, jumlah kematian mungkin lebih tinggi jika tidak kerana tindakannya.

"Keberanian pemandu berkenaan menyelamatkan ramai nyawa. Kenyataan ramai penumpang yang kami temui mengesahkannya. Sikap dan tindakannya mengelak daripada keadaan menjadi lebih buruk." Pemandu itu maut dalam kemalangan ngeri ini. Penumpang lain tercampak keluar dan ada yang melompat keluar dari kenderaan yang bergerak itu.


Terdapat 53 orang di dalam kenderaan itu, termasuk dua pemandu.


Kenderaan itu mengalami kerosakan brek ketika menuruni laluan bengkang-bengkok di kawasan peranginan ski Alpe D'Huez.

Foto

Kemalangan berlaku di pusat peranginan ski Alpe d'Huez. Tiga penumpang dilapor cedera parah.

Saksi berkata, ramai penumpang, kakitangan sebuah syarikat ski yang dalam perjalanan pulang ke Britain melompat menerusi tingkap bas itu ketika ia terbakar.


Seorang wartawan akhbar tempatan yang kebetulan dalam perjalanan ke situ berkata: "Ia kelihatan seperti babak dalam peperangan. "Waktu hampir 3.30 petang. Saya baru hendak memulakan pendakian ke Alpe d'Huez apabila melihat asap tebal. Apabila tiba di tempat kejadian bahagian depan bas itu sudah terbakar dan api merebak ke belakang kenderaan itu.

"Bas itu tersadai pada batu besar yang menghalangnya jatuh ke gaung.


"Saya meninggalkan kereta untuk memastikan sama ada mangsa memerlukan bantuan. Seorang daripada mereka berkata: 'Ada orang terperangkap di dalam.'" Tiga orang dimasukkan ke hospital kerana cedera parah. Seorang daripadanya dipindahkan ke hospital di Grenoble ke hospital di Lyon yang memiliki unit pakar melecur. Dia dipercayai melecur sehingga 80 peratus anggota tubuhnya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Air terjun beku sebagai tanda protes

Posted: 17 Apr 2013 02:57 PM PDT

Tindakan seorang penduduk membiarkan paip airnya sentiasa terbuka sepanjang musim sejuk menyebabkan terbentuknya air terjun beku di luar rumah pangsanya.

Wen Hsu, 58, menetap di situ sejak 35 tahun lalu dan tidak merancang untuk berpindah bagi membolehkan sebuah pusat beli-belah dibina.


Tetapi, apabila penduduk lain mengambil keputusan berpindah, dia bimbang paipnya akan beku di bawah flat yang tidak mempunyai sistem pemanas itu.

Dia mengambil keputusan membuka paip air panas dan mengalihkan laluan air itu luar rumah pangsa itu di Jilin, China.


"Pemaju tidak menawarkan wang secukupnya untuk meminta saya berpindah. Tetapi mereka mungkin akan membuat tawaran lebih baik selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

4 maut hidu karbon monoksida

Posted: 17 Apr 2013 02:56 PM PDT

Quakertown: Rakan dan jiran masih tergamam dan bersedih atas kematian empat sekeluarga yang terbunuh akibat terhidu gas karbon monoksida dalam kejadian dipercayai dirancang terlebih awal.

Pendakwa Daerah Bucks, David Heckler semalam berkata, siasatan menunjukkan Gary Reitnauer pergi ke garaj di sisi rumah dan menghidupkan enjin kereta selepas bertengkar dengan isterinya, Michelle.


"Dipercayai Michelle dan dua anak perempuan mereka cuba menyelamatkan Reitnauer tetapi gagal kerana turut terhidu gas berkenaan," katanya.

Penyelamat yang tiba tidak lama kemudian turut gagal menyelamatkan nyawa keluarga terbabit. Polis dipanggil ke rumah Reitnauer di Milford Township di daerah Bucks - kira-kira 72 kilometer di barat laut Philadelphia - pada jam 11.20.


Pihak berkuasa kemudian mendapati rumah berkenaan mengandungi gas karbon monoksida yang tinggi akibat asap dikeluarkan dari sebuah kenderaan. Penyiasat percaya Reitnauer membunuh diri dan keluarganya turut terbunuh akibat terhidu karbon monoksida ketika mereka cuba menyelamatkannya. Jurucakap polis, Vincent D'Angelo berkata, bedah siasat akan dijalankan hari ini.


"Polis tidak menemui sebarang nota, tetapi tombol pintu garaj tertanggal akibat dihentak - membayangkan Reitnauer masuk ke situ dan tidak mahu diganggu atau diselamatkan," katanya Michelle pula, katanya, memecahkan tingkap pintu lain untuk menyelamatkan Reitnauer tetapi dia terhidu gas beracun dan tidak sedarkan diri.

Mayat Michelle ditemui dalam garaj berkenaan. Anak mereka, Kimberly, 16, dipercayai pergi ke dapur yang bersambung dengan garaj.


Mayat Kimberly ditemui di atas lantai dapur.

Adik Kimberly, Jamie, 10, dipercayai mengikuti tindakan kakaknya tetapi turut mengalami nasib sama. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Video klip baru Psy catat tontonan lebih 100 juta kali

Posted: 17 Apr 2013 02:56 PM PDT

Seoul: Video muzik terbaru bintang Gangnam Style mencatat tontonan lebih 100 juta kali di YouTube, semalam, sekali gus mencatat satu lagi rekod bagi laman sesawang itu.

Klip video Gentleman itu memang ditunggu-tunggu selepas Psy menggegarkan dunia dengan single Gangnam Style sebelum ini. Gentleman mencatat 105.4 juta tontotan walaupun baru dimuat naik pada Sabtu lalu, mengatasi rekod bintang Britain's Got Talent, Susan Boyle, yang menyampaikan lagu I Dreamed A Dream.


Klip video Susan mencatat 100 juta tontonan selepas seminggu dimuat naik. Lagu terbaru Psy yang berjudul 'Gentleman' itu dilayari 20 juta kali hanya dalam tempoh 24 jam selepas dimuat naik.

Rekod bagi tempoh sama sebelum ini dicatatkan oleh bintang Kanada, Justin Bieber, yang menyanyikan lagu Boyfriend dengan lebih lapan juta tontonan pada Mei tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

2 budak maut bom lama meletup

Posted: 17 Apr 2013 02:55 PM PDT

Hanoi: Dua kanak-kanak maut dan enam lagi cedera parah apabila sebutir bom tangan tinggalan Perang Vietnam meletup ketika mereka bermain-main dengannya, kata polis semalam.

Jurucakap polis berkata, semua mangsa adalah kanak-kanak berusia 11 tahun dan belajar di kelas yang sama.


Katanya, mereka dalam perjalanan pulang dari sekolah di wilayah Dak Nong apabila terjumpa bom berkenaan.

"Bom itu dipercayai jenis M79 buatan Amerika Syarikat," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Budak terkurung dalam van mati

Posted: 17 Apr 2013 02:54 PM PDT

Bangkok: Pengurusan dan guru di sebuah tadika di Samut Perakan akan berdepan dengan tuduhan baru berhubung kematian seorang kanak-kanak, Manassanan Thongphu selepas dia terkurung dalam sebuah van selama beberapa jam di luar tadika itu.

Bapa kanak-kanak terbabit, Ekachai Thongphu mengumumkan kematian mangsa di laman Facebook 'Nong Oey' awal semalam.


Menurutnya, dia ingin memaklumkan kepada lebih 21,000 pengikut bahawa anaknya yang berusia tiga tahun sudah meninggal dunia "Kira-kira jam 8.50 pagi pada 17 April 2013, semoga anak saya terus tidur dalam aman," tulis Ekachai dalam mesejnya di laman sosial itu.

Manassanan dirawat di Hospital Bangkok selepas koma dengan mengalami bengkak di otak akibat terlalu lama terdedah kepada kepanasan di dalam van yang tertutup rapat. Dia menaiki kenderaan itu bersama-sama kanak-kanak lain untuk ke tadika berkenaan.


Kanak-kanak itu tertinggal di dalam van berkenaan tanpa disedari selepas tertidur di satu sudut apabila kenderaan itu tiba di Tadika Anongvet di daerah Muang pada pagi 3 April.


Pengarah Hospital Bangkok Paisal Chantarapitak berkata, Manassanan hanya ditemui selepas terperangkap selama lima jam di dalam van itu, menyebabkan dia mengalami dehidrasi dan kesan daripada kekurangan oksigen yang mengalir ke otaknya menyebabkan serebrumnya membengkak.

Dua guru, Daorong Srisumang, 37, dan Santiphap Wanchai, 42, yang bertanggungjawab terhadap van berkenaan pada hari kejadian, sebelum ini mengakui kepada polis bahawa mereka cuai. Manassanan adalah antara 13 murid dalam van itu dan Daorong ditugaskan menjaga mereka. Kedua-dua guru itu, bersama pengarah tadika, Banong Kiriwong, 77, dan Yuwares Kiriwong, 42, akan dipanggil untuk mengakui tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian, kata polis. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Rancangan sedia khidmat MRT percuma dapat reaksi berbeza

Posted: 17 Apr 2013 02:53 PM PDT

Singapura: Langkah terbaru kerajaan untuk mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak dengan menganjurkan tambang percuma menaiki kereta api ke pusat bandar sebelum jam 7.45 pagi disambut baik sebahagian penumpang.

Bagaimanapun, ada yang sangsi sama ada ia akan mendorong orang ramai pergi kerja lebih awal.


Ini kerana sebahagian majikan mungkin tidak bersedia untuk membenarkan kakitangan mereka untuk memula dan menamatkan kerja awal. Ia mungkin hanya menyebabkan pekerja terpaksa bekerja untuk masa yang lebih panjang.

Penganalisis perniagaan, Yvette Kan, 28, yang menetap di Sengkang berkata, dia perlu bangun jam 6 pagi untuk membolehkannya tiba di tempat kerja di Tanjong Pagar pada jam 7.45 pagi. "Wang yang dijimatkan itu tidak bernilai. Ia hanya akan bermakna jika syarikat saya menyokong langkah itu dan membenarkan saya habis kerja awal atau ia bermakna saya terpaksa bekerja untuk tempoh yang lebih panjang," katanya.


Ketika melawat stesen MRT di Raffles Place kelmarin, Menteri Pengangkutan Lui Tuck Yew mengumumkan Lembaga Pengangkutan Darat akan memulakan percubaan selama setahun, bermula 24 Jun ini untuk menawarkan perjalanan percuma kepada mereka yang turun di 16 stesen MRT sebelum jam 7.45 pagi pada hari bekerja.


Ia termasuk di perhentian seperti Orchard, Raffles Place, Tanjong Pagar, Clarke Quay dan Chinatown. Bagaimanapun, penumpang yang memulakan perjalanan mereka di stesen terbabit tidak akan menikmati tawaran itu.

Diskaun sebanyak 50 peratus pula ditawarkan kepada pengguna jika mereka turun di stesen itu antara jam 7.45 dan 8 pagi.


Lui berharap langkah itu akan mendorong 10 hingga 20 peratus penumpang memulakan perjalanan mereka lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

BlackBerry Z10 turun harga di Batam

Posted: 17 Apr 2013 02:52 PM PDT

Batam: Kira-kira dua bulan selepas BlackBerry Z10 dilancar di seluruh dunia, harga telefon pintar skrin sesentuh itu jatuh di pasaran telefon bimbit tempatan di sini.

Di Lucky Plaza, pusat jualan telefon bimbit terbesar di Batam, Z10 dijual dengan harga Rp 5.8 million (RM1,800) seunit. Kejatuhan harga seumpama itu dilihat mengesahkan khabar angin yang tersebar luas bahawa ramai pemilik Z10 di Amerika Syarikat memulangkan telefon pintar baru itu kerana kecewa dengannya.


Ahai, pemilik Batam Seluler berkata, ramai pembeli menjual semula Z10 mereka di kedainya.

Kedainya tidak menawarkan khidmat lepas jualan tetapi memandangkan ramai pelanggan mengambil keputusan menyerahkan semula Z10 mereka, dia menerimanya dengan harapan ada pelanggan yang bersedia membeli produk yang sudah digunakan itu.


Menurutnya, ramai pelanggan mengadu bateri Z10 hanya membazir bersama-sama dengan Perkhidmatan Internet BlackBerry.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

No comments:

Post a Comment