Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kejutan positif beregu, Wei Feng

Posted: 19 Apr 2013 12:06 PM PDT

Goh V Shem-Lim Khim Wah makin membara selepas berjaya menempah tempat ke Kejohanan Dunia, apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Taiwan semalam, diiringi perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng.

Kedua-dua wakil negara ini mengatasi lawan dari China.


V Shem-Khim Wah yang tidak lagi dibelenggu tekanan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia beraksi cemerlang untuk membalas dendam ke atas pilihan keempat dari China yang menewaskan mereka di Terbuka Malaysia tahun lalu, Hong Wei-Shen Ye 21-14, 19-21, 21-13.

Kemenangan itu membolehkan mereka melakar sejarah baru selepas beraksi di suku akhir tahun lalu, namun berdepan pilihan utama, Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae yang tiga kali mengatasi mereka sebelum ini.


"Kemenangan ini terhasil apabila beraksi tanpa tekanan selepas layak ke Kejohanan Dunia secara merit. Saya sudah berbincang dengan mereka agar terus positif dan bermain penuh keyakinan," kata ketua jurulatih Tan Kim Her.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Lorenzo, Rossi tekad takhluk Litar Austin

Posted: 19 Apr 2013 09:32 AM PDT

Austin, Texas: Dua pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo (gambar) dan Valentino Rossi yang membuat permulaan meyakinkan pada perlumbaan pembuka tirai di Qatar akan mencuba sekali lagi menamatkan perlumbaan 1-2 pada perlumbaan sulung MotoGP di Austin.

Lorenzo dari Sepanyol menang perlumbaan pertama di litar Losail, awal bulan ini. Lorenzo berlepas daripada petak utama tiba di garisan penamat diikuti Rossi pada penampilan pertamanya bersama Yamaha sejak meninggalkan Ducati.


"Qatar mengejutkan kami. Permulaan hebat pada musim benar-benar kompetitif," kata Lorenzo selaku juara bertahan. "Perlumbaan pertama untuk musim yang panjang." Perlumbaan Ahad ini adalah perlumbaan pertama di litar baru sepanjang 5.51 kilometer (3.4 batu) dikenali Sirkit Amerika selaku tuan rumah perlumbaan kedua MotoGP 2013.

"Kami perlu menukar cara berfikir," kata Lorenzo. "Kami tiba di litar berbeza bukan saja reka bentuk tetapi permukaan, cuaca dan beberapa keadaan berbeza." Litar itu menjadi sirkit ketiga MotoGP di Amerika Syarikat bersama Laguna Seca dan Indianapolis.


Perlumbaan di Laguna Seca berlangsung pada Julai manakala Indianapolis berlangsung pada Ogos.


"Perlumbaan di Austin pasti tidak mudah tapi podium di Qatar memberikan motivasi tambahan kepada kami." "Reka bentuk trek ini sangat istimewa kerana terdapat sedikit laluan menurun dan mendaki bukit dengan zon membrek pertama yang sangat teknikal," kata Rossi. Lorenzo memiliki kelebihan lima mata di depan Rossi dengan baki 17 daripada 18 perlumbaan.

Lorenzo dan Rossi memiliki kelebihan Ahad ini kerana mereka antara kelompok kecil pelumba diberi kebenaran berada selama tiga hari di sirkit baru itu bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Raikkonen terpantas

Posted: 19 Apr 2013 09:31 AM PDT

Pemandu 'Iceman' Lotus, Kimi Raikkonen mencatat masa terpantas sesi latihan kedua Grand Prix Bahrain, semalam.

Jagoan Findland yang juga juara dunia 2007 mencatat kepantasan 1:34.154 saat ketika cuaca panas gurun pasir itu sekitar 42 darjah selsius.


Terdahulu pada sesi latihan pertama, pemandu Ferrari dari Brazil, Felipe Massa mengetepikan rakan sepasukan, Fernando Alonso.

Massa mencatat masa sepusingan terpantas 1:34.487 saat di litar padang pasir Sakhir itu.


Alonso pemenang perlumbaan ketiga musim ini di China minggu lalu muncul pelumba kedua terpantas, ketinggalan 0.077s daripada masa dicatat Massa.


Bintang Jerman, Nico Rosberg yang memandu Mercedes merekod masa ketiga terpantas manakala rakan sepasukan, Lewis Hamilton sekadar menduduki tangga ke-14 dengan juara dan pendahulu keseluruhan dari Red Bull, Sebastian Vettel di tempat keempat.

Pelumba Australia, Mark Webber yang menyertai perlumbaan ke-200 minggu ini dengan penalti tiga petak selepas insiden di Shanghai menghuni tangga ketujuh untuk Red Bull di belakang wakil McLaren, Jenson Button Pelumba dari Finland, Heikki Kovalainen yang digugur Caterham di penghujung musim lalu kembali bersama pasukan itu sebagai pemandu simpanan hanya meraih tempat ke-20 daripada 22 pelumba.


Seorang lagi pelumba simpanan, Rodolfo Gonzalez dari Venezuela membuat penampilan pertama semalam untuk Marussia bagi menggantikan Jules Bianchi sekadar melengkapkan tujuh pusingan akibat masalah kotak gear.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Terry kecam Benitez

Posted: 19 Apr 2013 09:31 AM PDT

London: Kapten Chelsea John Terry tidak puas hati selepas Rafa Benitez mendakwa dia tidak cergas.

Pengurus sementara Chelsea itu mendakwa Terry jarang diturunkan kerana kerap tidak turun latihan.


Bagaimanapun Terry mengecam dakwaan dibuat Benitez.

"Saya mahu membetulkan semula kenyataannya. Saya cergas dan berlatih setiap hari termasuk tiga bulan terakhir. Saya boleh beraksi dua atau tiga kali seminggu." Pemain pertahanan tengah berusia 32 tahun itu menjadi pemain simpanan 13 kali sejak pulih daripada kecederaan lutut 12 Januari lalu.


Benitez yang mempertikaikan rekod Alex Ferguson di Manchester United dengan fakta yang salah pada 2009 kerap mendakwa Terry tidak cukup cergas.


Selepas Terry menyumbat dua gol ketika Chelsea menang 3-0 di Fulham dalam aksi Liga Perdana Rabu lalu, Benitez berkata: "Saya memberitahu JT, jika dia boleh berlatih setiap minggu ia akan memudahkan saya menurunkannya pada setiap perlawanan." Kenyataan itu susulan komen Benitez Februari lalu yang menggesa Terry perlu lebih kerap berlatih dengan pasukan.

Pada bulan sama dua individu itu bertengkar di padang latihan selepas Chelsea kalah 0-2 di tangan Manchester City.


Terry juga menyindir Benitez dengan memuji pengurus Liverpool Brendan Rodgers yang pernah menjadi jurulatih skuad simpanan Chelsea.

Skuad Blues berkunjung ke Liverpool esok dan Terry berkata: "Rodgers adalah pengurus yang hebat bagi saya dan pemain Chelsea yang lain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Dedah cara musnah City

Posted: 19 Apr 2013 09:31 AM PDT

Emmanuel Adebayor sudah mendedahkan kepada rakan sepasukan di Tottenham cara untuk menewaskan bekas kelabnya, Manchester City esok.

Penyerang Togo itu menganggap tekanan tinggi ke atas anak buah Roberto Mancini bakal menyebabkan lawan goyah dan bertengkar sesama sendiri.


Spurs melayan kunjungan City dalam perlawanan yang bakal memberikan impak besar perebutan empat tempat teratas.

Ketika dia merancang kejatuhan pelawat hujung minggu ini, pemain berusia 29 tahun itu mendedahkan pergaduhan kecil tercetus di bilik persalinan.


Adebayor menjadi pemain City selama tiga tahun dengan nilai £25 juta (RM116.4 juta) sebelum melengkapkan perpindahan kekal ke White Hart Lane dengan harga £5 juta (RM23.2 juta) musim ini.


"Jika kami memberikan tekanan, pasti kami mempunyai peluang untuk menang.

"Saya pernah bersama mereka dan jika terdapat perkara yang diingini tidak tercapai, mereka pasti bergaduh atau tidak sependapat di padang dan itu caranya untuk menewaskan mereka," katanya.


Mark Hughes mengikat Adebayor dari Arsenal pada Julai 2009.

Namun keadaan tidak menjadi buat penyerang itu apabila Hughes dipecat lima bulan kemudian dan digantikan Mancini yang menyatakan dia tiada dalam perancangannya. Adebayor menegaskan dia tidak perlu membuktikan apa-apa kepada Mancini atau City.


"Perkara terbabit berlaku di City namun saya sudah melupakannya. Bagi saya Mancini hanya seorang pengurus seperti saya hormat kepada Arsene Wenger, Harry Redknapp dan itu saja. Tidak lebih daripada itu.


"Saya tidak perlu buktikan apa-apa, mereka kelab yang bagus. Saya amat menghormati pemain kerana sesetengahnya layak dianggap sebagai keluarga. Yaya dan Kolo Toure, Vincent Kompany adalah kawan yang bagus.


"Saya juga tidak tertekan untuk menewaskan City meskipun cara mereka melayan saya, membeli saya dengan harga mahal dan menjual saya pada harga murah." Spurs kelihatan makin hampir menamatkan saingan di empat tempat teratas. Namun selepas rentetan persembahan hambar yang menyaksikan mereka disingkir Basel daripada saingan Liga Europa, minggu lalu, mereka mungkin di kedudukan keenam apabila menentang pasukan tempat kedua, City esok.


"Sejak musim bermula sasaran kami adalah menamatkan saingan di empat tempat teratas.


"Kini kami sudah tersisih daripada Liga Europa, kami cuma perlu fokus pada liga.


"Kami masih mempunyai baki enam perlawanan. Itu yang kami beritahu diri sendiri dalam bilik persalinan, kami mempunyai enam final."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Detik fikir masa depan

Posted: 19 Apr 2013 09:28 AM PDT

Alan Shearer percaya Wayne Rooney terpaksa membuat keputusan sukar musim panas ini kerana kariernya di Old Trafford sudah tidak berkembang.

Rooney dilihat tidak gembira apabila dikeluarkan 19 minit sebelum permainan tamat ketika Manchester United ketinggalan 1-2 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas itu di Upton Park Rabu lalu.


Kekecewaan itu susulan kegagalannya berada dalam skuad menentang Real Madrid di gelanggang sendiri bulan lalu sekali gus menarik minat Paris St Germain yang memantau situasi Rooney itu.

"Melihat kepada situasi itu, kelihatan ada yang tidak kena.


"Dia diketepikan daripada skuad, sering bertukar posisi dan digantikan dengan pemain dalam perlawanan lebih dari sekali. Jika dia tidak gembira, dia perlu pindah," kata Shearer.


Kehadiran Robin van Persie pada musim panas lalu menyebabkan Rooney terpaksa bermain di posisi sayap.

Sebelum bintang Belanda itu meninggalkan Arsenal untuk beraksi di Old Trafford, Rooney adalah pemain utama dalam senarai pemain setiap minggu.


Bulan lalu Alex Ferguson tidak menurunkannya dalam perlawanan paling penting United musim ini, perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

"Memang jelas dia bukan lagi pemain utama. Van Persie adalah pilihan utama untuk beraksi di posisi penyerang.


"Malah Rooney langsung tidak berada dalam senarai skuad dan kita dapat lihat ketika menentang Real di Old Trafford.


"Saya tidak setuju dengan keputusan itu dan ia pasti menyebabkan Rooney tertanya-tanya kedudukannya bersama United sekarang.


"Dia masih lagi pemain harapan England tapi dia sekarang tidak cukup bagus untuk beraksi dengan United pada perlawanan paling penting atas alasan taktikal." Rooney menjaringkan 16 gol untuk United musim ini namun ketika menentang Stoke dia terpaksa bermain di posisi tengah bertahan bersama Michael Carrick.


Ferguson mendakwa keputusan itu untuk membolehkan Rooney mendapat semula keyakinan selepas dikritik hebat sejak akhir-akhir ini.


"Saya yakin United tidak mahu melihat dia berpindah ke kelab Liga Perdana lain dan pilihan yang ada adalah pergi ke kelab luar dan PSG antara kelab yang mampu membayarnya," kata legenda England itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Fokus tingkat prestasi Real

Posted: 19 Apr 2013 09:28 AM PDT

Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho hanya sedia memberikan keputusan muktamad mengenai masa depannya di kelab itu pada hujung musim ini.

Spekulasi masa depan jurulatih dari Portugal itu meninggalkan kelab terbabit kerap ditimbulkan sejak meninggalkan Inter Milan pada 2010 dan dia dikaitkan dengan perpindahan ke kelab kaya, Paris St Germain dan bekas kelab kendaliannya, Chelsea.


Mourinho jarang hadir pada sidang media sehari sebelum perlawanan La Liga, sentiasa menghantar penolongnya Aitor Karanka namun hadir semalam dan dihujani soalan sama ada dia akan menamatkan kontraknya yang berakhir penghujung 2016.

"Perkara utama adalah menamatkan musim ini sebaik mungkin dan kemudian duduk bersama mencapai penyelesaian paling positif untuk semua pihak," katanya.


Real yang menduduki tangga kedua La Liga dan bertemu Real Betis hari ini hampir pasti menyerahkan kejuaraan liga kepada seteru utama Barcelona namun mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara berdepan Borussia Dortmund dan bertemu musuh setempat, Atletico pada final Piala Raja Sepanyol bulan depan.


Mourinho menegaskan, Real kini harus fokus kepada bolasepak dan keputusan tepat untuk semua pihak akan diambil selepas tamat musim ini.

"Keputusan itu perlu yang terbaik untuk semua pihak dan tidak lebih daripada itu.


"Jurulatih yang sempurna tidak pernah wujud, kelab yang sempurna tidak wujud, tempat yang sempurna juga tidak wujud."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Berbasikal tangani tekanan bekerja

Posted: 19 Apr 2013 09:24 AM PDT

Sintok: Warga Unit Komunikasi Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM) menjayakan Program We Love Cycling ke sekitar kampus, baru-baru ini.

Pengarah Marzura Abdul Malek berkata, program itu lanjutan daripada Program Transformation Team Building "Simply the BestT" bagi mengeratkan hubungan sesama staf di samping memantapkan lagi kerjasama pasukan untuk menjadi cemerlang seterusnya mencapai visi dan misi unit.


Katanya, aktiviti berbasikal seperti ini saluran tepat bagi menangani tekanan dalam kesibukan tugas harian dan sebagai langkah penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Rosmanira Rosli daripada Seksyen Grafik berkata, objektif program ini tercapai, walaupun letih selepas berhempas pulas menamatkan kayuhan sejauh enam kilometer tapi semangat dan komitmen ditunjukkan peserta wajar dipuji.


"Majoriti peserta berusia antara 30 hingga 40 tahun dan jarang melakukan aktiviti riadah sedemikian namun melalui kerjasama antara staf, program tersebut berjalan lancar," katanya selepas program itu berakhir.


Mohd Helmi Khairul Hisyam Abu Hanifah menyambut baik program yang mampu mengeratkan silaturrahim seksyen dan staf.

"Sebelum ini kami tidak mengenali satu sama lain dengan lebih rapat terutamanya jika berlainan seksyen dan program ini menyatukan semua staf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Dedah teknik asas bolasepak

Posted: 19 Apr 2013 09:24 AM PDT

Seramai 50 peserta mengikuti program pembangunan sukan bolasepak bersama Akademi Bolasepak Titans Muda yang mula membuka pra pendaftaran di padang Terengganu Equesterian Resort (TER), semalam.

Ketua jurulatih dan pengarah teknikal Eduardo Almeida (gambar) mengaku amat bangga dengan sambutan menggalakkan ibu bapa peserta yang datang seawal jam 8 pagi sekali gus membuktikan ia satu perkembangan positif terhadap program julung kali diadakan itu.


Menurutnya, kehadiran lebih 50 peserta itu jumlah yang amat baik buat permulaan dan berharap jumlah itu meningkat seperti disasarkan dengan 200 peserta untuk musim ini.

"Ini baru sesi pendaftaran bagi kategori umur enam hingga 12 tahun dan kita jangka jumlah itu meningkat bermula minggu depan dengan pengambilan kategori umur 13 hingga 17 tahun.


"Pada sesi pengenalan ini, peserta diajar teknik asas bagaimana bolasepak sebenar dimainkan antaranya termasuk tendangan dan mengawal bola dan apa yang diharapkan mereka seronok ketika menjalani latihan," katanya.


Almeida yakin dengan semangat ditunjukkan peserta dan pembabitan ibu bapa sepanjang sesi latihan, usaha membangunkan sukan bolasepak di negeri ini pasti membuahkan hasil pada masa akan datang.

"Saya lihat kesungguhan peserta untuk belajar dan mereka juga memiliki bakat seperti kanak-kanak lain yang mengikuti program bola sepak di seluruh dunia.


"Kita tidak boleh nilai hasilnya dalam jangka masa singkat, namun bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang pastinya mereka ini mampu beraksi di peringkat lebih tinggi." Sesi latihan dua kali seminggu, setiap Jumaat dan Sabtu akan dijalankan sepenuhnya di padang Kompleks Sukan Gong Badak mulai 26 April dengan yuran pendaftaran RM130 dan RM50 yuran bulanan selain dibekalkan dua pasang jersi bagi setiap peserta.

Selain Eduardo, 12 bekas pemain pasukan T-Team dan Terengganu turut membimbing peserta akademi antaranya Subri Sulong, Badrulhisham Abdullah, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Alfian Aziz, Jalal Wahid dan Shahril Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

T-Team harap penyudah Ibric

Posted: 19 Apr 2013 09:23 AM PDT

Kuala Terengganu: Pasukan T-Team yakin penampilan sulung penyerang import baru, Damir Ibric mampu membantu pasukan menewaskan Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Abd Rasid Jusoh berkata, penyerang kelahiran Turki itu diharap berjaya membawa sinar baru buat Titans untuk menamatkan tujuh perlawanan liga tanpa kemenangan.


"Kami kini menaruh harapan tinggi kepadanya untuk menyelamatkan maruah pasukan yang kini menghuni tangga kedua tercorot liga.

"Misi utama adalah keluar daripada zon penyingkiran selepas gagal meraih sebarang mata dalam tujuh perlawanan terdahulu. Saya yakin Damir mampu menghasilkan gol berdasarkan prestasi ditunjukkan sepanjang sesi latihan bersama pasukan sejak lebih seminggu yang lalu.


"Kami masih memiliki baki 10 perlawanan dan tidak mustahil usaha memperbaiki kedudukan dapat direalisasikan dengan gandingan pemain sedia ada yang komited untuk bangkit mengutip mata," katanya.


Sementara itu, Abd Rasid turut melahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan penolong jurulatih Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor yang kini mengemudi pasukan selepas Peter Butler direhatkan selama sebulan sejak awal April lalu.

Katanya, ini dapat dilihat pada aksi pertama pusingan kedua Liga Super ketika T-Team yang mempamerkan corak permainan lebih konsisten bertemu Pahang, Sabtu lalu .


"Biarpun gagal meraih mata, persembahan pasukan terutama benteng agak sukar untuk dibolosi lawan, malah jentera serangan juga mampu menghasilkan beberapa gerakan menarik. Saya yakin kami mampu mengalahkan Perak."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

No comments:

Post a Comment