Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Pemulihan mewah' militan

Posted: 21 Apr 2013 10:49 AM PDT

Riyadh: Militan Arab Saudi yang ditangkap di negara itu dikatakan tidak berdepan dengan suasana penjara seperti sepatutnya, malah disediakan "pemulihan mewah."

Menurut media, kerajaan Arab Saudi berharap dapat menarik militan al-Qaeda daripada pegangan agama melampau melalui kaunseling, rawatan spa serta riadah di pusat tahanan mewah.


Agensi berita tempatan melaporkan, pusat tahanan itu yang dibina dengan peruntukan besar menyediakan kolam renang tertutup bersaiz Olimpik, sauna, gimnasium dan dewan menonton televisyen. Bagi tahanan yang berkelakuan baik, mereka mungkin diberi cuti dua hari untuk bertemu isteri masing-masing di sebuah suite khas di dalam kompleks berkenaan. Pusat tahanan terbaru di Riyadh itu akan menempatkan tahanan yang mempunyai cita rasa mewah sebagai galakan supaya lebih bersederhana dalam memahami agama. Semua lima pusat tahanan khas itu diberi nama Menteri Dalam Negara Arab Saudi yang mengetuai gerakan membasmi al-Qaeda di negara itu.

Penjara mewah di Riyadh itu dibina di kawasan seluas kira-kira 10 padang bola dan direka untuk menempatkan 228 banduan daripada "kumpulan sesat" - istilah digunakan kerajaan merujuk kepada al-Qaeda.


Setiap satu daripada 12 bangunan di situ akan menempatkan 19 banduan yang disediakan ruang suite bagi memberi peluang mereka bertemu ahli keluarga yang datang berziarah.


Ketika siang, banduan terbabit dikehendaki menghadiri seminar mengenai Islam untuk mendidik mereka memperbetulkan salah faham yang dilakukan melalui jihad.

Foto

ANTARA kemudahan yang disediakan Arab Saudi untuk memulihkan banduan di kalangan militan.

Pengarah penjara itu, Said al-Bishi berkata, dalam usaha memerangi keganasan, mereka perlu memberi keseimbangan intelektual dan psikologikal.


"Ia dapat dicapai melalui dialog dan pujukan," katanya. Said berkata, setakat ini seramai 2,336 tahanan al-Qaeda menjalani rawatan di situ.

Bagaimanapun, tidak semua tahanan bersedia menerima pendidikan yang disediakan di situ.


Malah, kata Said, kira-kira 10 peratus banduan yang melalui program itu kembali ke kumpulan militan masing-masing.


"Ada beberapa individu berprofil tinggi sebaliknya menjadi lebih ganas," katanya.


Sementara itu, pengkritik berkata, arahan yang diberikan terhadap tahanan di pusat itu tidak cukup sederhana dan terlalu hampir dengan pentafsiran militan terbabit mengenai pandangan al-Qaeda. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Pakar akademik AS dirogol dalam hutan

Posted: 21 Apr 2013 10:41 AM PDT

Port Moresby: Seorang ahli akademik AS menjadi mangsa rogol berkumpulan di Papua New Guinea, kira-kira seminggu selepas seorang warga Australia dibunuh dan teman wanitanya dirogol di negara itu.

Dalam kejadian terbaru, ahli akademik berkulit putih itu berkata, dia diserang Jumaat lalu ketika menjalankan penyelidikan mengenai burung dan kesan perubahan iklim di hutan terpencil di Pulau Karkar, Madang. Polis di Port Moresby mengesahkan kejadian itu.


Jurucakapnya berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa tetapi tiada tangkapan dibuat setakat ini. "Insiden ini sangat serius," katanya.

Menurut mangsa berusia 32 tahun itu, dia sedang meredah belukar bersama suaminya dan seorang penunjuk jalan apabila diserang sembilan lelaki bersenjata raifal dan pisau.


Penjenayah terbabit kemudian membogel dan mengikat suami serta penunjuk jalan terbabit.


Dia kemudian dibogelkan, diikat dan kepalanya dibotakkan sebelum dirogol bergilir-gilir selama kira-kira 20 minit.

Bagaimanapun, lelaki terbabit melarikan diri selepas ada sesuatu yang menakutkan mereka di dalam hutan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Warga Pakistan dibunuh depan anak

Posted: 21 Apr 2013 10:40 AM PDT

London: Seorang wanita berusia 20 tahun ditahan untuk disoalsiasat malam kelmarin selepas seorang ibu ditemui mati dengan lehernya dikelar.

Mayat ibu dua anak itu ditemui polis pagi kelmarin selepas pihak berkuasa menerima panggilan seseorang yang bimbang terhadap "keadaan" di rumah berkenaan.


Jiran berkata, mereka nampak anak lelaki mangsa dipercayai berusia tujuh tahun dibawa polis keluar dari rumah itu sejurus kemudian. Budak itu dipercayai berada di rumah berkenaan ketika ibunya dibunuh.

Jabeen Younis, 30, berasal dari Pakistan dan menetap di Oldham untuk memulakan hidup baru selepas berpisah dengan suaminya yang dikahwini selama lima bulan. Rakan mangsa berkata, Jabeen berkahwin semula tahun lalu selepas suami pertamanya menceraikannya.


Namun, kata rakan mangsa, Jabeen bercerai sekali lagi baru-baru ini.


"Saya ada bercakap dengan Jabeen sehari sebelum dia ditemui mati.

"Jabeen berkata, perkahwinannya berakhir dan dia bercadang kembali ke Pakistan untuk melupakan pengalaman pahitnya," katanya.


Jabeen dipercayai pindah dari Pakistan ke Oldham kira-kira 10 tahun lalu sejurus selepas kelahiran anak perempuannya. Jurucakap polis berkata, seorang wanita berusia 20 tahun ditahan kerana disyaki membunuh.

"Dia masih disoal siasat," katanya.-The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Wanita disyaki ahli sihir mati ditikam

Posted: 21 Apr 2013 10:39 AM PDT

Mindanao: Seorang wanita dipercayai jirannya sebagai ahli sihir mati ditikam di sebuah kampung terpencil di Zamboanga del Sur, kata polis semalam.

Mangsa dikenali sebagai Rosalita Requina, 33, yang menetap di kawasan Aurora.


Jurucakap polis berkata, Rosalita ditikam di punggungnya kira-kira jam 12.15 pagi Jumaat ketika dia tidur di sebuah bangsal bersama beberapa orang anaknya. "Disebabkan mangsa tidak berasa sakit, dia menyangka hanya datang bulan apabila ternampak darah pada pakaiannya.

"Dia hanya sedar ditikam apabila menyalin pakaian," katanya. Rosalita kemudian meninggal dunia sebelum sempat dirawat di hospital. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Pelantikan Hatta satu kejutan

Posted: 21 Apr 2013 10:39 AM PDT

Jakarta: Pelantikan Menteri Penyelaras Ekonomi, Hatta Rajasa sebagai pemangku Menteri Kewangan mengejutkan banyak pihak kerana mereka menjangkakan jawatan itu akan diisi seorang tokoh teknokrat bebas.

Istana Presiden Indonesia kelmarin mengesahkan Pengerusi Parti Amanat Negara itu serta bakal calon presiden dalam pilihan raya 2014 dipilih memangku jawatan yang dikosongkan Agus Martowardojo.


Agus bakal dilantik sebagai Gabenor Bank Indonesia pada akhir bulan depan.

Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha berkata, Susilo Bambang Yudhoyono memutuskan melantik seorang pemangku kerana beliau belum ada calon yang sesuai.


Hatta yang juga besan Susilo mendapat ijazah kejuruteraan petroleum dari Institut Teknologi Bandung dan kini bertanggungjawab menetapkan dasar fiskal Indonesia ketika negara itu berdepan masalah inflasi yang kian meningkat.


Indonesia juga berdepan defisit perdagangan yang bertambah meluas serta keadaan rupiah kian lemah.

Kata Julian, dia tidak tahu bila menteri baru akan dilantik.


"Pelantikan Hatta hanya sementara," katanya.

Pelantikan Hatta menafikan khabar angin kononnya Susilo akan melantik dirinya ke portfolio itu bersama portfolio sedia ada.


Walaupun Hatta bukan memegang jawatan itu sehingga 2014, dia tetap boleh mengetuai kementerian membincangkan belanjawan negara pada tahun berkenaan yang dijangka diluluskan pada Oktober atau November tahun ini. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Gerila komunis Filipina serang datuk bandar

Posted: 21 Apr 2013 10:38 AM PDT

Cagayan De Oro: Gerila komunis Filipina mencederakan seorang datuk bandar dan membunuh dua pembantunya dalam serangan prapilihan raya di selatan negara itu, kata polis semalam.

Ahli Parti Liberal, Ruth Guingona cedera di tangan dan kaki dalam serangan lewat kelmarin di Pulau Mindanao.


Jurucakap polis, Generoso Cerbo berkata, Ruth bersama enam anggota polis pengiring dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu perayaan di bandar apabila mereka diserang hendap pemberontak Tentera Rakyat Baru (NPA).

Pemandu Ruth dan seorang lagi pembantunya terbunuh, manakala semua enam anggota polis pengiring cedera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Sukar hantar bantuan

Posted: 21 Apr 2013 10:38 AM PDT

Lushan: Anggota penyelamat terus menghadapi kesukaran untuk tiba ke kawasan terpencil di barat daya China semalam ketika jumlah kematian dan mangsa hilang akibat gempa bumi terburuk di negara dalam tempoh tiga tahun meningkat kepada 203 orang.

Hampir 1,000 orang mengalami kecederaan parah. Gempa sekuat 6.6 magnitud itu berlaku di daerah Lushan, dekat Yaan di wilayah Sichuan.


Satu gempa bumi sekuat 7.9 magnitud pernah berlaku di kawasan berhampiran pada Mei 2008 mengakibatkan kira-kira 70,000 orang terbunuh.

Kebanyakan mangsa yang maut berada di Lushan tetapi gerakan menyelamat dibatasi oleh laluan yang sempit dan tanah runtuh.


Pegawai Pertubuhan Palang Merah Antarabanga, Kevin Xia berkata, bantuan kecemasan sukar dihantar ke kawasan bencana kerana masalah kesesakan lalu-lintas. "Kebanyakan bantuan kami masih dalam perjalanan," katanya. Di Yaan, pekerja bantuan dari seluruh China menyatakan kekecewaan mereka kerana gagal masuk ke Lushan serta perkampungan yang lebih jauh di kawasan pergunungan.


Sukarelawan dari Shandong berkata, mereka perlu sampai ke kawasan bencana secepat mungkin.

"Di sana ada mangsa yang perlukan bantuan dan bekalan kami masih ada di dalam kenderaan," katanya. Sementara itu, kenyataan Kementerian Luar China menghargai bantuan dari negara asing tetapi menyatakan, mereka mampu menangani masalah itu sendiri. "Ketika ini kemampuan penyelamat dan anggota perubatan China terjamin dan bekalan yang diperlukan mencukupi," katanya. Agensi berita Xinhua melaporkan, 18,000 tentera berada di kawasan itu untuk membatu kerja menyelamat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Korea Utara alih peluru berpandu jarak dekat

Posted: 21 Apr 2013 10:38 AM PDT

Seoul: Korea Utara mengalihkan dua pelancar peluru berpandu jarak dekat ke pantai timur negara itu, lapor agensi berita Korea Selatan semalam.

Ia dianggap sebagai persediaan Pyongyang untuk meneruskan ujian pelancaran peluru berpandu yang dirancang. Korea Selatan dan sekutunya menjangka Pyongyang akan membuat ujian pelancaran dalam tempoh beberapa minggu ini. Sumber berkata, tentera Korea Selatan memerhati perkembangan itu dengan teliti. April lalu, Korea Utara memindahkan dua peluru berpandu jarak sederhana, Musudan dan meletakkan tujuh pelancar bergerak di kawasan sama.


Usaha mempamerkan kekuatan tentera itu mungkin dibuat sempena sambutan ulang tahun penubuhan pasukan tentera Korea Utara pada 25 April ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

H7N9 ragut mangsa ke-18

Posted: 21 Apr 2013 10:37 AM PDT

Beijing: Jumlah kematian akibat selesema burung di China mencecah 18 orang, dengan berpuluh-puluh lagi dijangkiti penyakit berbahaya itu, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Media melaporkan, seorang lelaki berusia 69 tahun adalah korban terbaru virus H7N9 itu.


"Mangsa mati pada Jumaat di wilayah Zhejiang," lapornya.

Sebelum ini, pakar Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, tiada sebarang bukti menunjukkan virus itu berjangkit melalui manusia ke manusia. Virus H7N9 berkenaan ditemui pada 96 orang, kebanyakannya di wilayah timur China.


Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit berkata, 40 peratus daripada mangsa tidak bersentuhan dengan ternakan, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana mereka dijangkiti virus berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

No comments:

Post a Comment