Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jururawat bantu datuk jual cucu

Posted: 25 Apr 2013 02:53 PM PDT

Chandigarh (India): Seorang bayi berusia tiga hari dijual datuknya sendiri pada harga RM44,770 melalui laman sesawang Facebook.

Kejadian itu berlaku selepas lelaki terbabit berbohong kepada anak perempuannya kononnya bayi itu meninggal dunia ketika dilahirkan. Polis Punjab berkata, lelaki itu hanya dikenali sebagai Firoz ditawarkan wang bernilai Rs45,000 (RM2,518) oleh seorang jururawat hospital dan temannya yang terbabit dalam sindiket penjualan bayi.


Selepas Firoz mencuri bayi berkenaan, dia menjualnya kepada jururawat terbabit sebelum ia dijual pula kepada seorang ahli perniagaan New Delhi dengan harga Rs800,000 (RM44,770) melalui perjanjian yang dilakukan melalui Facebook. Media tempatan melaporkan, ibu bayi itu hanya dikenali sebagai Noora bersalin di sebuah hospital di Ludhiana pada 8 April lalu dan dibenarkan pulang sehari kemudian.

Namun, pada 10 April, seorang jururawat bernama Sunita dan rakannya, Gurpreet Singh mengambil semula bayi lelaki itu kononnya kerana tidak sihat. Sehari kemudian, Firoz berbohong kepada anaknya dan mendakwa bayi terbabit meninggal dunia.


Pada 12 April, beberapa orang dilaporkan datang ke rumah Noora dan menyerahkan bayaran Rs45,000 kepada Firoz dan lelaki itu meninggalkan rumahnya.


Bagaimanapun, Noora mengesyaki sesuatu apabila Firoz tiba-tiba memiliki wang yang banyak dan dia membuat aduan kepada polis mendakwa anaknya hilang.

Foto

Noora mencium anaknya yang baru berusia 10 hari selepas dia diselamatkan daripada sindiket penjualan bayi.

Foto

SUNITA (bertutup muka) diiringi polis selepas ditahan di sebuah hospital.

Pihak berkuasa kemudian berjaya mengesan Firoz di bandar Saharanpur di Uttar Pradesh.


Jurucakap polis berkata, ketika disoal siasat, Firoz akhirnya mendedahkan rancangan jahat berkenaan.

Katanya, polis kemudian bergegas ke hospital tempat Sunita berkerja dan berjaya menemui bayi terbabit. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Usah tonton video lucah melalui BlackBerry

Posted: 25 Apr 2013 02:32 PM PDT

London: Pemilik BlackBerry yang gemar menonton klip video lucah melalui telefon pintar mereka perlu berhati-hati kerana ada perisian yang mampu menghebahkan aktiviti itu kepada semua kawan mereka.

Kemudahan baru dikenali sebagai 'Show What I'm Listening To' itu direka untuk pengguna yang gemar berkongsi video muzik atau lucu di YouTube. Bagaimanapun, sesetengah pengguna BlackBerry yang menonton klip video lucah melalui telefon pintar itu akan diaibkan kerana aktiviti itu akan dimaklumkan kepada rakan mereka secara automatik. Seorang pengguna yang menggunakan nama Sosof di laman forum Crackberry memuat naik paparan menunjukkan bagaimana seorang rakannya menonton video lucah. Sementara itu, pengeluar BlackBerry berkata, kemudahan berkenaan perlu dihidupkan terlebih dulu sebelum dapat digunakan.


Namun, beberapa pengguna mendakwa, ia memang sudah berfungsi ketika mereka membeli BlackBerry dan terpaksa mematikannya sendiri. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Wira kaki judi

Posted: 25 Apr 2013 02:30 PM PDT

Bangkok: Seorang pemandu teksi yang didakwa mencuri daripada lebih puluhan penumpang selepas meminta bantuan mereka akhirnya ditahan selepas dibantu kaki judi.

Polis berkata, taktik pemandu teksi itu ialah berpura-pura kehabisan petrol dan meminta penumpang membantunya menolak teksi itu ke tepi jalan. Apabila mereka keluar untuk membantu, suspek akan memecut kenderaan dengan barangan milik mereka.


Bagaimanapun, seorang kaki judi berjaya menangkap suspek.

Polis berkata, kaki judi itu yang juga seorang pembantu rumah, di mana majikannya menjadi mangsa terakhir suspek menulis nombor plat teksi itu untuk digunakan sebagai nombor pertaruhan loteri pada 1 Mei ini.


Apabila majikannya menceritakan kes penipuan pemandu teksi itu, wanita terbabit menyerahkan 'senarai nombor loterinya'. Ia kemudian membawa kepada penangkapan suspek, Wanlop Ou-thong, 54, di sebuah pusat peranginan di Suphan Buri tempat dia menyembunyikan diri. Ketua Polis Nonthaburi Thanayuth Wuthijamrasthamrong memberitahu media, suspek mengakui dia menggunakan taktik kehabisan minyak terhadap 12 mangsa di kawasan Bangkok Utama.


Dia akan memberitahu penumpang bahawa kakinya tidak berfungsi dengan baik kerana patah akibat nahas dan meminta mereka keluar dari kenderaan serta menolaknya ke tepi jalan. Polis menggeledah kediamannya di Nonthaburi dan menemui dompet, beg sandang wanita, barang perhiasan, komputer riba, iPhone, iPad, beg pakaian dan sejumlah wang tunai. Pihak berkuasa turut menemui anjing betina Pomerania berusia empat bulan yang dicuri.

Suspek memberitahu polis, dia mendapat anjing itu selepas menipu seorang penumpang di kawasan Bang Yai tiga bulan lalu. Dia kemudian menipu isterinya dengan mengatakan bahawa anjing itu dibeli untuk wanita terbabit sebagai hadiah. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Mekanik jumpa bom dalam enjin kereta pelanggan

Posted: 25 Apr 2013 02:29 PM PDT

Manila: Polis Filipina telah menemui bahan letupan di dalam kereta seorang ahli perniagaan warga India, kata pihak berkuasa semalam.

Sebuah bengkel membaiki kereta dekat Manila menghubungi polis selepas seorang mekanik menemui bahan letupan itu kelmarin dalam bahagian enjin kenderaan berkenaan. Pemilik kereta itu dan dua lagi rakan senegaranya membawa kenderaan itu ke situ untuk dibaiki, kata Ketua Polis daerah, Cif Superintendan Benito Estipona.


"Kelihatannya mereka tidak menyedari mengenai bom itu. Secara teori, mereka mungkin menjadi sasaran," katanya kepada wartawan.

Dia menyifatkan bom itu dibuat daripada bahan letupan tentera C-4 yang disambung pada telefon bimbit sebagai alat pembidik.


Estipona berkata, tiga lelaki warga India itu masih disoal siasat oleh polis di Alaminos, tiga jam pemanduan di selatan Manila tempat bahan letupan itu ditemui.


Dia menolak untuk mengulas lanjut mengenai tiga lelaki berkenaan.

Keganasan berhubung dengan perniagaan atau pesaing politik adalah perkara biasa di Filipina di mana terdapat kegiatan pasaran gelap yang aktif untuk senjata seperti pistol dan bahan letupan. - Philippines Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Wajib pakaian Islam setiap Jumaat

Posted: 25 Apr 2013 02:27 PM PDT

Jakarta: Pentadbiran Tangerang Selatan akan mewajibkan semua penjawat awam beragama Islam memakai pakaian Islam pada hari Jumaat bagi mengiktiraf apa yang dikatakan datuk bandar sebagai identiti keagamaan di perbandaran itu.

"Kami sudah lama bercadang untuk mewajibkan semua penjawat awam muslim memakai pakaian Islam setiap Jumaat agar nuansa keagamaan majlis perbandaran dapat dilaksanakan di semua pejabat pentadbiran," kata Datuk Bandar Airin Rachmi Diany semalam.


"Tangerang Selatan mendakwa ia pentingkan agama tetapi bukti apa yang kita ada bagi menunjukkan kepada pelawat yang dapat menyokong kenyataan itu?," katanya.

Airin berkata, penjawat awam bukan Islam akan dikecualikan daripada polisi itu dan setiauasa majlis perbandaran Dudung S Direja masih menjalankan penyelidikan sebelum pelaksanaannya. Menurutnya, penjawat awam lelaki perlu memakai baju koko (berkolar tinggi serta berlengan panjang) dan songkok, manakala kakitangan wanita perlu mengenakan tudung, baju kurung merah dan skirt labuh putih atau seluar panjang putih. Bagaimanapun, kakitangan bebas memilih gaya atau stail yang selesa dengan mereka.


"Kebanyakan penjawat awam wanita di sini sudah pun memakai pakaian Islam setiap hari, malah, sebelum polisi itu dilaksanakan. Jadi, saya tidak rasa ada bantahan terhadap polisi itu selagi ia bertujuan baik," katanya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Tentera bunuh wanita hamil

Posted: 25 Apr 2013 02:27 PM PDT

Bandung: Mahkamah Tentera Bandung semalam memutuskan seorang anggota pasukan itu, Prebet Kedua Mart Azzanul Ikhwan dihukum mati kerana membunuh seorang wanita hamil dan ibunya di Garut.

Hakim Sugeng Sutrisno berkata, Mart Azzanul, 23, dibuktikan dengan kukuh melakukan pembunuhan terancang itu.


"Justeru defendan dihukum mati," katanya.

Hukuman itu jauh lebih berat berbanding dicadangkan pendakwa tentera yang meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara selama 20 tahun ke atas Mart Azzanul.


Pendakwa juga memohon defendan disingkirkan daripada pasukan Komando Simpanan Strategik Tentera Darat (Kostrad).


Mart Azzanul yang hadir dengan memakai seragam tentera dan beret hijau kelihatan terkejut dengan keputusan itu.

Sejurus sebelum keputusan dibacakan, Sugeng mengarahkan dua polis tentera mengawal tertuduh dan tertuduh tidak membantah selepas diarahkan kembali tempat duduknya kemudian.


Mart Azzanul didakwa membunuh mangsa, Shinta ketika itu hamil lapan bulan selepas wanita terbabit mendakwa dia mengandung anak tertuduh. Apabila dia enggan bertanggungjawab, ibu Shinta, Opon, 39, mengugut untuk memaklumkan perkara itu kepada pegawai defendan.

Mart Azzanul kemudian membawa Shinta, 19, dan Opon ke sebuah kebun di Panagan di Sukawargi di daerah Garut menaiki motosikal.


Apabila tiba di kawasan kebun itu, Mart Azzanul mendakwa mereka terpaksa berjalan untuk masuk.


Ketika berjalan itu, Mart membunuh Opon dan Shinta menggunakan sebilah bayonet yang memang dibawanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Industri pelancongan Singapura dijangka lembab sepanjang 10 tahun akan datang

Posted: 25 Apr 2013 02:26 PM PDT

Singapura: Era kegemilangan industri pelancongan Singapura kini berakhir dan perkembangannya dijangka lembap sehingga separuh sepanjang 10 tahun akan datang.

Keadaan itu berlaku, kata Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negara dan Perdagangan Dan Industri, S Iswaran, disebabkan persaingan persaingan sengit dari negara lain.


Kata Iswaran, kelembapan juga berlaku disebabkan masalah tenaga buruh Singapura.

"Justeru, kadar pertumbuhan ketibaan pelancong dijangka meningkat antara tiga hingga empat peratus setiap tahun," katanya ketika membentangkan laporan jangkaan sektor pelancongan sempena Persidangan Industri Pelancongan, semalam.


Kata Iswaran, perbelanjaan pelancong juga dijangka meningkat empat hingga enam peratus untuk tempoh 10 tahun akan datang.


Ia berbeza daripada perkembangan dicatatkan antara 2002 dan 2012 apabila kedatangan pelancong meningkat pada kadar 6.6 peratus setiap tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

Tentera Filipina nafi bunuh 35 tentera Sulu

Posted: 25 Apr 2013 09:07 AM PDT

Manila: Tentera Filipina semalam mempertikai laporan akhbar bahawa pasukan pengawal pantai dan tentera lautnya membunuh 35 lelaki bersenjata bagi menghentikan mereka daripada memasuki negeri Sabah di Malaysia.

Akhbar The Star di Malaysia yang memetik kenyataan Menteri Pertahanan negara itu, Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata dalam satu sidang akhbar di Pulau Penang semalam, bahawa pasukan tentera Filipina menembak kumpulan lelaki bersenjata dari selatan wilayah Sulu sebelum mereka dapat memasuki perairan Malaysia selepas kumpulan lelaki berkenaan enggan berpatah balik. Komander tentera laut Filipina, Kapten Renato Yonque berkata, kawasan sempadan dengan Malaysia 'sangat senyap' dan berkata, "kami tiada maklumat mengenai kenyataan berkenaan".


Ahmad Zahid dan pembantunya tidak dapat menjawab panggilan telefon bimbit mereka ketika dihubungi.

Sejak Mac lalu, tentera Malaysia bertempur dengan askar pengikut Jamalul Kiram III yang menuntut hak ke atas Sabah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/26

No comments:

Post a Comment