Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


96 korban bangunan runtuh

Posted: 24 Apr 2013 10:05 AM PDT

Savar (Bangladesh): Sebuah bangunan lapan tingkat terdiri daripada beberapa kilang pakaian runtuh semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 96 orang terbunuh.

Ia sekali gus menyerlahkan isu keselamatan dalam industri pakaian di negara itu.


Hanya tingkat bawah Plaza Rana di bandar Savar di pinggir Dhaka itu masih tegak apabila bangunan itu, yang menurut seorang menteri dibina secara haram, runtuh jam 9 pagi (11 pagi waktu Malaysia).

Beratus-ratus anggota bomba, tentera dan pekerja penyelamat yang menggunakan pemotong konkrit dan kren berusaha mencari mangsa yang terselamat dalam runtuhan itu.


Mayat dan mangsa yang cedera ditarik keluar dari bahagian atas runtuhan itu dengan mengguna gelungsur sementara yang diperbuat daripada kain yang beberapa jam sebelum itu dipotong untuk dijadikan baju dan seluar untuk dieksport ke pasaran Eropah.


Tangisan mereka di bawah runtuhan berkenaan, merayu supaya diselamatkan boleh didengar ketika ribuan anggota keluarga menanti dengan cemas tidak jauh dari tempat kejadian, sebahagiannya bertahlil.

Foto

ANTARA mangsa yang berjaya ditarik keluar dari runtuhan.

Foto

ORANG ramai berkumpul di luar bangunan yang runtuh semalam.

"Tolong selamatkan kami. Ada 30 orang di sini. Tolong selamatkan kami," kedengaran tangisan seorang wanita dari dalam runtuhan itu. Mereka yang terselamat berkata, bangunan itu mengalami keretakan Selasa lalu, menyebabkan pekerja diminta keluar. Bagaimanapun, mereka diarah kembali bekerja semalam. "Pengurus memaksa kami bekerja semula dan hanya sejam selepas memasuki kilang itu, bangunan berkenaan runtuh," kata seorang pekerja, Mousumi, 24.


Dua kilang dalam bangunan itu, New Wave Style dan New Wave Bottoms, menghasilkan pakaian untuk syarikat Mango dari Sepanyol dan Benetton dari Itali.

Bangladesh mempunyai industri pakaian kedua terbesar di dunia. Bagaimanapun, ia berdepan dengan kemalangan dan tunjuk perasaan pekerja yang menuntut gaji dan keadaan bekerja yang lebih baik.


Menurut Persatuan Pembuat dan Pengeksport Kain Bangladesh, syarikat di bangunan itu mempunyai lebih 2,600 pekerja. Lebih 70 orang terbunuh apabila sebuah kilang pakaian runtuh di kawasan sama pada 2005. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Kartunis ditahan polis

Posted: 24 Apr 2013 09:58 AM PDT

Singapura: Seorang kartunis rakyat tempatan ditahan kerana dituduh menghasut dalam lukisan bersifat sindiran dalam laman Facebooknya.

Lukisan itu seolah-olah menuduh kerajaan bersifat perkauman terhadap penduduk minoriti Melayu, kata peguamnya, Choo Zheng Xi Leslie Chew, 37, dibebaskan dengan ikat jamin selepas ditangkap Jumaat lalu, dua hari selepas satu laporan dibuat mengenai lukisan kartunnya.


Karikatur berkenaan menggambarkan seorang ahli politik berucap di depan khalayak ramai dan memuji bakat ekspatriat dari India, China dan Serani. Satu karektor di khalayak ramai bertanya: "Mengapa tidak disebut bakat Melayu?" sementara karektor lain menjawab : "Celaka! Kerajaan perkauman." Jurucakap Pejabat Peguam Negara berkata: "Perkara itu kini dalam siasatan polis." Chew sering memuatnaik karikatur politik yang berkait dengan keadaan semasa di Singapura dalam Facebooknya yang mempunyai 21,000 pengikut.

Karektor dalam karikaturnya biasanya menyerupai ahli politik tempatan walaupun kenyataan penafian dalam lamannya itu berkata 'ia hanya rekaan semata-mata dengan karektor rekaan yang berdasarkan pada keadaan rekaan di sebuah negara rekaan. Chew berkata, dia 'terkejut' kerana ditahan polis tetapi akan terus melukis kartun walaupun ketika disiasat kerana polis tidak mengenakan sebarang sekatan, "Saya ingin menghiburkan peminat saya. Komik itu hanya untuk lawak," kata Chew yang tidak mempunyai pekerjaan dan menyara kehidupannya dengan sumbangan daripada pembaca online. Singapura mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang dilihat mencetuskan ketegangan antara kaum. Jika didapati bersalah, dia berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM12,000 atau kedua-duanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Penyeludupan dadah meningkat tahun ini

Posted: 24 Apr 2013 09:58 AM PDT

Jakarta: Penyeludupan dadah ke Indonesia dijangka meningkat semula tahun ini dengan penyeludup antarabangsa menggunakan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sebagai pintu masuk mereka.

Kali terakhir penyeludupan itu memuncak ialah pada 2010 sebelum ia berkurangan secara berperingkat-peringkat tahun berikutnya.


Kes penyeludupan paling tinggi ialah pada 2004 apabila heroin dan kokain menjadi dadah utama diseludup. Sementara itu, pada 1998, dadah methamphetamine mula menguasai cubaan menyeludup.

Pejabat Kastam dan Eksais mencatatkan 15 kes penyeludupan pada 2008, 38 pada 2009 dan 63 pada 2010.


Jumlah itu menurun sedikit kepada 52 pada 2011. Bagaimanapun ia meningkat kepada 33 kes sepanjang empat bulan pertama tahun ini.


Pegawai kastam merampas 15 kilogram methhamphetamine dalam satu pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta 2 April lalu yang disifatkan yang terbesar.

Dadah itu disembunyikan dalam lima bekas susu tepung yang dibawa seorang penumpang pesawat penerbangan Garuda dari Hong Kong menerusi Filipina, bukan Malaysia atau Singapura yang sebelum ini menjadi laluan kegemaran penyeludup. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Jawatankuasa tentera siasat kes dera pelatih

Posted: 24 Apr 2013 09:57 AM PDT

Bangkok: Sebuah jawatankuasa tentera dibentuk untuk menyiasat dua kes penderaan terhadap pelatih yang dimuat naik ke YouTube.

Ketua Tentera Prayuth Chan-ocha berkata, kira-kira 20 jurulatih didakwa terbabit dan siasatan juga akan dilakukan ke atas pegawai mereka. Jika didapati bersalah, jurulatih itu boleh dipenjara sehingga 30 hari sementara pegawai mereka berdepan potongan gaji.


Rakaman video mengenai kejadian itu beredar di Internet sejak beberapa hari lalu dan mengundang kecaman orang awam.

Rakaman pertama yang dimuat naik minggu lalu menunjukkan tiga anggota tentera menendang dan menampar seorang pelatih muda berulang kali.


Klip kedua dimuat naik beberapa hari lalu pula menunjukkan tiga prebet bergilir-gilir menendang dua pelatih.


Kedua-dua pelatih terbabit mendakwa mereka tidak merokok tetapi prebet berkenaan berusaha memaksa mereka mengaku.

Pravuth menggesa media dan orang awam menyiar bukti lain mengenai penderaan terhadap pelatih.


"Mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan tegas bagi menghalang keganasan berulang," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

5 pelajar Indonesia dituduh hina Islam

Posted: 24 Apr 2013 09:57 AM PDT

Tolitoli (Indonesia): Lima gadis belasan tahun dituduh menghina Islam dan berdepan dengan hukuman penjara selepas merakam video yang menggabungkan solat dengan tarian lagu kumpulan Maroon 5.

Kelima-lima pelajar itu dibuang sekolah di Tolitoli, Sulawesi dan dilapor kepada polis selepas video mereka menari mengikut rentak lagu kumpulan itu 'One More Night' tersebar di Internet.


Ia adalah kes menghina Islam terbaru di negara yang paling ramai penduduk Islam di dunia itu hingga mendorong kumpulan hak asasi menggesa supaya undang-undang mengenainya dipinda dengan mendakwa ia ketinggalan zaman dan disalah guna.

Dalam video lima minit itu, pelajar terbabit memakai pakaian sukan, bersolat dan diselang-seli dengan tarian.


Beberapa versi video itu di YouTube sudah ditonton lebih 500,000 kali.


Puluhan anggota Front Pembela Islam menunjuk perasaan di luar balai polis tempatan membantah tindakan pelajar terbabit, kelmarin.

Sekolah berkenaan membuat laporan polis berhubung video itu yang dimuat naik ke Internet Mac lalu dan mereka disiasat atas tuduhan disyaki menghina Islam.


"Pihak sekolah dan anggota masyarakat kecewa dengan video berkenaan dan merasakan ia menghina Islam. Kami akan mengesyorkan mereka didakwa di mahkamah sekiranya berpendapat ia serius selepas menyiasatnya,," kata Ketua Polis Tolitoli, Rudi Mulyanto.

Menurutnya, kelima-lima pelajar itu yang tidak ditahan ketika ini, boleh dihukum penjara jika sabit kesalahan tetapi tidak pasti tempoh yang mungkin dihadapi mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Nikita dihukum 4 bulan penjara

Posted: 24 Apr 2013 09:55 AM PDT

Jakarta: Olivia dan Beverli Mai Shandie menyambut baik keputusan mahkamah yang mendapati Nikita Mirzani bersalah melakukan serangan ke atas mereka.

Mengulas mengenai hukuman penjara selama empat bulan yang dikenakan terhadap Nikita, Olivia berkata, sejak awal kes itu mereka mahu aktres terbabit meminta maaf atas perlakuannya.


"Dan akhirnya memang terbukti dia bersalah.

"Berapa lama dia perlu dipenjarakan, terserah kepada mahkamah," katanya kepada media selepas hakim membacakan keputusannya, semalam. Menurut Olivia, dia berharap Nikita menyedari kesilapannya dan berazam untuk mengelak daripada mengulanginya.


Pada masa sama, kata Olivia, Nikita perlu mengubah sikapnya supaya tidak terus angkuh. "Apa yang saya kesalkan, dia pernah berkata kepada media bahawa dia memiliki bukti berupa rakaman kamera litar tertutup mengenai insiden kami diserang.


"Ternyata dia tidak pernah menunjukkan rakaman itu," katanya. Sementara itu, Nikita kelihatan tenang apabila hakim membacakan hukumannya.

Nikita juga masih menimbangkan sama ada perlu merayu atau sebaliknya. "Saya perlu berbincang dengan peguam sama ada mahu menerima hukuman itu akan merayu," katanya ketika ditemui semalam. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Pencuri ditangkap, dipotong tangan

Posted: 24 Apr 2013 09:55 AM PDT

Lahore: Seorang lelaki dipercayai pencuri ditangkap dan dipotong kedua-dua tangannya oleh pemilik sebuah rumah yang dipecah masuk suspek, kata polis semalam.

Pegawai polis Dera Ghazi Khan, Muhammad Ayub berkata, kejadian berlaku kelmarin selepas Muhammad Tufail, 34, menceroboh sebuah rumah di Kampung Chak Nangar.


"Empat lelaki yang ada dalam rumah itu menangkap suspek dan memotong tangannya," katanya.

Dua lelaki ditahan untuk siasatan, manakala dua lagi suspek masih diburu. Muhammad Ayub berkata, seorang daripada tahanan itu mengaku mereka memotong tangan suspek kerana marah.


"Suspek pencuri itu kini dirawat di hospital dan keadaannya stabil," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Polis tahan suspek terbabit kes bunuh

Posted: 24 Apr 2013 09:54 AM PDT

Moscow: Polis Russia berkata, mereka menahan seorang lelaki bersenjata dipercayai membunuh enam orang dalam serangan di sebuah pusat bandar sibuk, semalam.

Bekas banduan itu, Sergei Pomazun ditahan selepas pihak berkuasa memburunya lebih 24 jam.


Rakaman televisyen menunjukkan Pomazun, 31, diberkas polis ketika dia cuba menaiki kereta api di bandar Belgorod berhampiran sempadan Ukraine. Bercakap kepada media, Pomazun berkata, dia tidak menembak kanak-kanak.

"Saya menembak mereka," katanya.


Dia dipercayai individu yang melepaskan tembakan di sebuah kedai menjual alat berburu kelmarin sebelum keluar dari premis itu dan melepaskan tembakan ke arah orang awam di Belgorod.


Menurut penyiasat, antara mangsa Pomazun ialah dua remaja perempuan berusia 14 dan 16 tahun.

Dia kemudian melarikan diri menaiki kereta. Penyiasat berkata, Pomazun mengambil selaras raifal berburu milik bapanya dan menembak mati tiga pekerja kedai berkeanan sebelum mengambil sekurang-kurangnya satu lagi senjata dari situ. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

No comments:

Post a Comment