Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Azlan Shah tak bimbang

Posted: 20 Apr 2013 05:55 AM PDT

Sepang: Azlan Shah Kamaruzaman berada di landasan terbaik memburu podium pertama saingan SuperSports 600cc musim ini selepas berjaya mencatat masa kedua terpantas sesi kelayakan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Pelumba MUSASHi Boon Siew Honda Racing itu mencatat masa 1:05.654 saat dan memulakan perlumbaan di barisan hadapan di samping pelumba BEET Kawasaki Racing, Katsuaki Fujiwara.


Pelumba Jepun yang juga juara berganda dua musim berturut-turut di Litar Antarabangsa Sepang itu mencipta masa terpantas 1:05.569 saat namun gagal mengatasi catatan terpantas litar, 1:05.330s dicipta Azlan pada sesi latihan bebas, semalam.

Turut tidak ketinggalan memberikan cabaran ialah seorang lagi pelumba negara, Mohd Zamri Baba (PETRONAS Hong Leong Yamaha) yang mencatat masa ketiga terpantas 1:05.901s.


Walaupun sedikit kecewa, Azlan tetap yakin mampu menamatkan perlumbaan di atas podium.


"Kedudukan ini tidak menjejaskan peluang saya kerana tetap di barisan hadapan dan perlu bermula dengan baik pada perlumbaan akhir," kata Azlan.

Foto

KEYAKINAN Azlan memuncak.

"Permukaan litar hari ini sangat panas hingga mengganggu rentak saya. Setiap kali cuba untuk lebih laju, keadaan tayar tidak begitu selesa dan tidak dapat membantu. Akhirnya saya membuat keputusan untuk beraksi secara konsisten hingga tamat sesi kelayakan." Dalam kategori Underbone 115cc, selepas muncul pelumba terpantas sesi latihan bebas semalam, Mohd Amirul Ariff Musa terus memperagakan aksi konsisten apabila mencatatkan masa terpantas sesi kelayakan, 1:22.783s.


Pelumba GiVi Honda Yuzy Pachie Team itu mengetepikan juara keseluruhan musim 2012, Hadi Wijaya (R9 Racing Team), 1:22.974s manakala seorang lagi pelumba negara, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) ketiga, 1:23.292s.

"Cuaca sangat baik dan begitu sesuai untuk jentera saya., berbeza dengan keadaan petang semalam apabila kami terpaksa melakukan sesi latihan bebas kedua dalam keadaan litar yang agak licin. Saya harap cuaca esok sama seperti hari ini," kata Amirul.


"Jika dibanding dengan latihan bebas, tidak banyak perubahan saya lakukan, hanya sedikit pelarasan di bahagian suspensi jentera supaya lebih selesa. Ini membuktikan keupayaan jentera kami berada pada tahap terbaik.


Begitupun Amirul yang meraih tempat kedua pada Perlumbaan 2 ARRC di sini, tahun lalu mengambil pendekatan lebih waspada untuk aksi hari ini. "Saya tidak mahu terlalu yakin. Hadi masih antara pencabar utama musim ini dan aksinya semakin baik hari ini. "Saingan rakan senegara seperti gandingan Norizman dan Mohd Affendi Rosli juga tidak boleh diketepikan. Norizman memenangi Perlumbaan 2 di sini musim lalu dan saya perlu bekerja keras selain memilih strategi terbaik untuk menghadapi perlumbaan sebenar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Balotelli setaraf Obama

Posted: 20 Apr 2013 05:43 AM PDT

Milan: Mario Balotelli disenarai majalah TIME sebagai antara individu berpengaruh di dunia, biarpun penyerang AC MIlan itu digantung tiga perlawanan.

Balotelli kembali ke pangkuan Serie A dari Manchester City, Januari lalu ketika bergelut mencapai prestasi selepas berjaya meraih kejayaan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.


Sejak itu, pemain berusia 22 tahun itu kembali mendapat sentuhan berbisa tetapi penyenaraiannya dalam majalah berpengaruh itu bersama Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama, Pope Francis dan artis Beyonce mencetuskan kekecohan di media Itali.

Balotelli adalah satu-satunya pemain bolasepak dalam senarai itu dengan bintang NBA, LeBron James, pemain tenis Li Na dan atlet ski Lindsey Vonn adalah antara atlet yang turut tersenarai.


Ejen Balotelli, Mino Raiola, menegaskan pemilihan pemain bolasepak kontroversi itu adalah pilihan bijak dan bakal memberi inspirasi kepada sesiapa saja di seluruh dunia pada 2013 dan seterusnya.


"Saya tidak terkejut," kata Raiola. "TIME melihat sesuatu dalam dirinya yang tidak dapat dilihat orang lain.

"Dia boleh memberi pengaruh kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak. Mario juga boleh memberi kesan di Itali dengan pelbagai cara, bermula dengan bagaimana isu perkauman boleh ditangani.


"Dia adalah seorang lelaki muda yang normal tetapi jelas sekali banyak tanggungjawab penting digalasnya sejak berusia 16 tahun." Selepas dijual pada harga 20 juta euro (RM79.2 juta), Balotelli membalas kepercayaan Milan dan Raiola yakin sahamnya akan terus naik.

"Ia satu pembelian yang berbaloi memandangkan Mario membalas pelaburan terhadapnya dengan persembahan hebat dan sikapnya juga semakin baik," kata Raiola.


"Tidak lama lagi dia akan menjadi tidak ternilai, bagaikan hasil seni yang indah." Begitupun Balotelli terus digantung untuk perlawanan penting menentang Juventus tetapi ahli lembaga Bianconeri, Pavel Nedved berharap penggantungan itu dibatalkan bagi memastikan kedua-dua pasukan membariskan pemain terbaik.


"Lebih baik jika kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang lengkap, bukan saja untuk Milan tapi untuk semua," katanya.


"Jika penggantungan terhadap Balotelli dibatalkan, kita boleh menjangkakan perlawanan hebat antara kedua-dua pasukan tetapi jika dia tidak bermain sekalipun perlawanan tetap menarik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Marquez kuasai sesi latihan bebas

Posted: 20 Apr 2013 05:43 AM PDT

Austin, Texas: Marc Marquez dari Sepanyol menguasai kedua-dua sesi latihan bebas menjelang perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat (GP AS), sirkit kedua saingan MotoGP musim 2013, semalam.

Pelumba berusia 20 tahun yang menggunakan jentera Repsol Honda, mencatat masa terpantas di litar baru Texas itu menamatkan latihan dengan lebih separuh saat mengatasi rakan senegara Dani Pedrosa.


Stefan Bradl dari Jerman, juara dunia Jorge Lorenzo dan pemenang Grand Prix Qatar serta sensasi dari Itali Valentino Rossi berada pada kelompok lima teratas.

Marquez melakarkan masa terpantas sepusingan pada sesi latihan kedua.


"Pada sebelah pagi, kami memberikan saingan hebat tapi sebelah petang ketika permukaan litar semakin baik, mereka pula memberikan cabaran," kata Lorenzo.


Pelumba Sepanyol itu menduduki tempat ketiga pada perlumbaan di Qatar di belakang Lorenzo dan Rossi.

Lorenzo dan rakan sepasukan Yamaha, Rossi menjalani latihan sehari kelmarin tetapi dikejutkan insiden kebakaran di bangunan bersebelahan garaj utama.


Kebakaran itu mengakibatkan jentera MotoGP dan peralatan pasukan basah terkena air daripada sistem pancuran keselamatan. Motor terpaksa ditanggalkan bahagian demi bahagian untuk dicuci serat dikeringkan sebelum dipasang semula.

GP AS kini menjadi venue ketiga perlumbaan di negara itu dalam kalender MotoGP selepas Laguna Seca dan Indianapolis. Laguna Seca dijadual pada Julai, manakala Indianapolis, Ogos. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

City takutkan Bale: AVB

Posted: 20 Apr 2013 05:42 AM PDT

London: Andre Villas-Boas optimis Manchester City pasti gentar dengan kemunculan semula Gareth Bale.

Pemain sayap Spurs itu terpaksa berehat dua perlawanan baru-baru ini akibat kecederaan buku lali pada pertemuan Liga Europa menentang Basel, 4 April lalu.


Bale diusung keluar padang dan dikhuatiri mengalami kecederaan serius hingga terpaksa disisihkan untuk tempoh panjang.

Namun agak luar biasa apabila pemain berusia 23 tahun itu sembuh dengan pantas untuk turun menentang City, juara Liga Perdana di White Hart Lane, malam ini.


"Saya rasa City pasti gentar memandangkan impak Bale musim ini. Keinginannya memburu gol sudah memadai untuk membuatkan mereka bimbang.


"Bagus memiliki pemain utama yang mampu merubah keputusan terutama pada penghujung musim. Senario ini memberi inspirasi buat semua orang dan bagus untuk Bale kembali.

"Kepulangannya ke padang dalam tempoh yang pantas amat menakjubkan sekali gus membuktikan kecekapan jabatan perubatan dan apa yang sudah mereka lakukan ke atas Bale," katanya.


Aksi hebat Bale musim ini meletakkan Spurs pada landasan tepat memburu slot Liga Juara-Juara dan keupayaannya itu kunci dia dicalonkan antara penerima Anugerah Pemain Terbaik PFA.

Tidak cukup dengan itu, pemain Wales itu turut tersenarai dalam calon Pemain Muda Terbaik dan Villas-Boas percaya tuah bakal memihak kepadanya selepas meledak 22 gol dalam 38 penampilan musim ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

'Benitez berhak dirai peminat'

Posted: 20 Apr 2013 05:42 AM PDT

London: Rafael Benitez berhak menerima sambutan meriah apabila kembali ke Anfield bersama Chelsea hujung minggu ini, menurut pengurus Liverpool Brendan Rodgers.

Benitez menjuarai gelaran Liga Juara-Juara 2005 bersama kelab itu sepanjang enam tahun bersama Merseyside dan mengakui kepulangan ke Anfield adalah satu peristiwa yang penuh emosi.


Ini kali pertama pengurus Chelsea yang mempunyai keluarga di Wirral mengurus pasukan lain di Anfield sejak meninggalkan Liverpool pada 2010.

Manakala Rodgers yang menggantikan Kenny Dalglish selaku pengurus Jun lalu yakin Benitez disambut meriah.


Bagaimanapun Rodgers pasti berdepan situasi pelik apabila menjadi pengurus di laman sendiri tapi penyokong kelab memberi sorakan kepada pengurus pasukan pelawat.


"Tidak aneh. Bagi saya, fokus terarah kepada tugas memperbaiki pasukan." Rodgers dipertanggungjawab membangunkan Liverpool dan merebut tiket Liga Juara-Juara.

Kelab itu tidak pernah bermain dalam kempen elit itu sejak Disember 2009 dan tidak mungkin layak musim depan kerana ketinggalan 10 mata daripada tangga keempat Liga Perdana Inggeris dengan baki lima perlawanan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Adrian 'gila gajet'

Posted: 20 Apr 2013 05:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh bowling negara Adrian Ang dalam diam sebenarnya seorang yang 'gila' gajet.

Pemenang pingat emas acara beregu dan perak berpasukan Sukan Asia Guangzhou pada 2010 itu turut berkongsi minat sama dengan juniornya, Aris Ardila Santosoh.


Menariknya selain berkongsi minat bermain bowling, masing-masing yang melabel diri mereka sebagai 'raja gajet' sering mengambil tahu mengenai perkembangan gajet terkini di laman web.

Hubungan Adrian dan Aris masing-masing berasal dari Pulau Pinang dan Sarawak itu semakin akrab bukan saja di medan bowling tapi di luar gelanggang. Apatah lagi, Aris menghormati Adrian yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamannya dalam arena bowling.


"Bukan terhad pada bowling saja, kami turut sama berkongsi info terkini mengenai gajet. Minat kami bukan saja terhad pada produk terkini telefon mudah alih tetapi semua jenis gajet.


"Kami juga ada mengumpul gajet tersendiri pelbagai jenis dan sering melihat produk baru atau keluaran akan datang di laman web," kata Adrian.

Kenyataan Adrian itu disokong Aris yang berpendapat minat sama ini juga merapatkan hubungan mereka.


"Minat sama ini juga merapatkan hubungan kami di luar pusat bowling. Ia sesuatu topik lain yang boleh kami kongsi bersama," katanya.

Selain itu, Adrian berkata, mereka juga gemar bermain permainan komputer.


"Permainan komputer dapat merehatkan minda selepas penat mengharungi latihan padat selain perlu meningkatkan kecerdasan di gimnasium.


"Amat menyeronokkan untuk mengembalikan semula kecerdasan minda selepas seharian 'bekerja'." menyerlah selepas mengumpul empat pingat emas dan satu gangsa di Sukan SEA Indonesia 2011 sekali gus menerima ganjaran tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bernilai RM20,333.


Di Indonesia, Adrian meraih habuan pingat emas menerusi acara Masters (RM10,000), RM5,000 (Beregu), RM3,333 (Trio) dan RM2,000 dalam acara lima sepasukan.


Dia juga dicalonkan sebagai Olimpian negara 2011 namun tewas di tangan Robin Hood negara, Cheng Chu Sian yang membidik dua emas di Lapangan Memanah Jakarta. Lantaran itu, Adrian ingin melakar kejayaan lebih baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Semangatnya turut dikagumi Aris yang menjadikan Adrian contoh terbaik untuk mencipta nama kelak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Fokus pendikit!

Posted: 20 Apr 2013 05:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Hanya tumpu kepada pendikit dan fokus mencatat keputusan terbaik pada setiap perlumbaan.

Begitulah pesan Ketua Pegawai Operasi Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali kepada dua pelumba muda berpangkalan di Barcelona, Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik.


Dua pelumba terbabit akan membawa cabaran Malaysia bersaing pada tujuh pusingan perlumbaan Kejuaraan Terbuka Sepanyol CEV Repsol.

Mereka mewakili pasukan Touchline SIC AJO, bernaung dibawah Projek Remaja Malaysia yang menjalin kerjasama bersama juara dunia tiga kali AJO Motorsports. Mereka akan memulakan cabaran pertama di Litar Catalunya pada 28 April ini.


Amirul, 16, adalah bekas pelumba rookie Red Bull manakala Husni Aizat, 19 pernah beraksi sebagai pelumba persendirian Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan lepasan Piala Ninja 250 SIC.


Kata Amirul, dia mensasarkan kedudukan lima terbaik pada kejuaraan menawarkan prospek beraksi dalam kategori Moto3 pada kejuaraan MotoGP Dunia dalam tempoh dua tahun lagi.

"Itulah sasaran saya, berada dalam Top 5. Berbekal bimbingan pasukan bergelar juara dunia dan inspirasi daripada Zulfahmi Khairuddin sebagai pelumba bertaraf dunia, saya mahu memanfaat peluang terbaik membuktikan kemampuan diri dalam kejuaraan kompetitif," katanya yang berjaya menaiki podium sembilan kali dengan tujuh kemenangan pada Kejuaraan New Zealand tahun lalu serta beraksi dalam beberapa sirkit di Eropah dan Jerman sejak dua tahun lalu. Husni Aizat yang muncul naib juara keseluruhan Kejuaraan Piala Ninja 250 SIC berkata: "Saya perlu mengubah cara berfikir apabila bersaing bersama pelumba antarabangsa di Sepanyol. Ini peluang terbaik mendapatkan tempat berada dalam kejuaraan dunia pada masa depan." Razlan yang hadir pada majlis pelancaran pasukan di Kuala Lumpur, Jumaat lalu berkata, SIC akan memastikan dua pelumba itu dapat beraksi pada pusingan tertentu kategori Moto3 dalam Kejuaraan MotoGP berdasarkan pencapaian mereka.


"Kami berbesar hati dapat terus membentuk pelumba profesional masa depan Malaysia, yang ada keinginan menjadi juara melalui inisiatif Program Remaja Malaysia. Sekarang fokus kepada pendikit, jangan fikirkan teman wanita dan menu makanan di Sepanyol sama seperti di Malaysia jika mahu berjaya. Kuatkan azam dan jiwa mesti kental," katanya. Majlis itu turut dihadiri Naib Pengerusi Global Vision Datuk Zamri Rahmat. Touchline MAS adalah sebahagian Kumpulan Global Vision memberi sokongan kepada pasukan Moto3 bersama SIC dan AJO.

Enam lagi perlumbaan dilalui Amirul dan Aizat akan berlangsung di litar MotorLand Aragon (26 Mei), sirkit Albacete (23 Jun dan 8 September), sirkit Navarra (22 September), sirkit Valencia (17 November) dan sirkit Jerez (24 November).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Perpindahan 'sampah'

Posted: 20 Apr 2013 05:40 AM PDT

Beijing: Seorang bekas pemain bola keranjang remaja China dilabel sebagai 'sampah' selepas dia dilihat bermain dalam liga Jepun dengan menggunakan kerakyatan Jepun yang mencetuskan pertikaian mengenai patriotisme dalam sukan di China.

Li Mingyang teruk dikritik di Internet selepas pegawai persatuan bola keranjang di China minggu ini berkata, pemain itu menggunakan nama Jepun dan layak bermain untuk pasukan negara barunya dalam tempoh tiga tahun.


"Tidak kiralah jika dia mempunyai nama China atau nama Jepun, dia pasti dikecam semua pihak yang mencintai bola keranjang di China kerana sikapnya yang tidak patriotik," kata jurulatih pasukan remaja China, Li Xin di akaun Sina Weibo milik atlet terbabit, iaitu Twitter versi China.

"Inilah sampah dalam bola keranjang China," tulis jurulatih terbabit yang kemudiannya dipadamkan. Tarikh mesej itu juga tidak dapat disahkan.


Ramai pengguna Internet menyokong kecaman jurulatih itu manakala beberapa pengulas menyalahkan sistem sukan di China yang melatih atlet secara intensif sejak kecil lagi tetapi hanya memberikan sedikit insentif kepada mereka yang tidak mencapai ke tahap tinggi.


"Jika kita mahu kekalkan bakat di negara sendiri, pihak pentadbiran, penaja dan seluruh masyarakat perlu melakukan tugas yang lebih baik untuk menangani masalah pendidikan, gaji dan kerjaya pemain selepas bersara untuk menjadikan liga itu lebih menarik daripada liga luar negara," kata pengulas sukan popular, Xu Jicheng di China Daily.

Kes pemain berusia 18 tahun itu yang mendapat liputan meluas media China turut mencetuskan maklum balas kurang menyenangkan daripada Persatuan Bola Keranjang China (CBA).


Pegawai CBA berkata, dia meninggalkan pasukan Olimpik Beijing pada 2010 untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan tetapi kemudian didapati bermain untuk pasukan Jepun, Chanson V-Mag.

Dia menggunakan nama Miyuki Sugiyama di negara itu.


China Daily melaporkan CBA sepatutnya cuba menebus kembali Mingyangmenerusi perbincangan dengan pegawai bola keranjang Jepun.


Mingyang yang mempunyai ketinggian dua meter, bukan atlet pertama dari China yang mewakili negara luar.


Bagaimanapun beberapa penganalisis berpendapat pertelagahan antara China dan Jepun memainkan peranan penting mencetuskan reaksi negatif orang ramai.


Pemain ping pong, He Zhili yang memenangi gelaran dunia untuk China pada 1987 dituduh sebagai 'pengkhianat' oleh media tempatan apabila menukar namanya kepada Chire Koyama dan meraih pingat emas untuk Jepun pada Sukan Asia 1994. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Terima tawaran berlakon

Posted: 20 Apr 2013 05:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain skuasy nombor tiga negara, Delia Arnold ingin menjadi pelakon andai tidak bergelar atlet.

Soalan: Jika bukan atlet, anda seorang...


Jawapan: Saya minat menceburi industri hiburan, ingin menjadi pelakon atau penyanyi.

: Antara pelakon dan penyanyi, mana yang anda lebih minati? Jika diberi pilihan saya lebih minat berlakon.


Mengapa memilih industri hiburan khususnya lakonan? Bagi saya, industri ini berbeza dan ada kelainan. Bukan mudah seseorang itu untuk menggilap bakat berlakon apatah lagi melakonkan watak berbeza.


Anda seorang yang cantik dan jika diberi peluang, mungkin anda akan benar-benar berlakon? Apa salahnya, jika ada tawaran saya akan cuba nasib.

Siapa yang memberi dorongan? Mungkin ada ahli keluarga yang menceburi bidang hiburan? Tiada ahli keluarga yang terbabit dalam industri hiburan. Ia minat saya sendiri.


Rasa-rasa keluarga akan memberi sokongan andai suatu hari nanti bergelar pelakon? Ya. Sebenarnya, saya pernah berlakon dalam iklan televisyen masa kecil. Tidak ingat pula waktu usia berapa.

Ada ikuti kelas lakonan atau nyanyian? Setakat ini tidak, kerana saya terlalu sibuk dengan jadual latihan yang padat.


Selain minat bersukan dan hiburan, apa yang anda lakukan di masa lapang? Saya gemar keluar bersama kawan-kawan. Kami selalu makan bersama.


Mungkin ada meminati sukan lain selain skuasy? Ada. Saya suka bermain badminton dan tenis. Ia aktiviti santai bersama keluarga.


Jika orang tidak mengenali anda, mereka biasanya akan menganggap anda seorang...


Pendiam. Tetapi bila sudah kenal, kawan-kawan mengatakan saya seorang yang 'gila-gila'.


Apa misi anda dalam sukan skuasy tahun ini? Saya ingin melakukan yang terbaik di Kejohanan Asia di Pakistan, bulan depan, sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Hup Wei tak lokek kongsi ilmu

Posted: 20 Apr 2013 05:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei disifatkan tidak sombong di kalangan 'adik-adiknya' di skuad pelapis. Malah mereka menghargai usaha Hup Wei yang sentiasa memantau pergerakan mereka di medan latihan demi membangunkan lagi sukan olahraga kebangsaan terutama acara lompat tinggi.

Bagi Mohd Azly Ghazali dan K Prakash, nasihat Hup Wei 'sentiasa positif sebelum melakukan lompatan' dijadikan azimat setiap kali berdepan kejohanan terutama dalam persediaan ke Sukan SEA Myanmar dan Sukan Komanwel Glasgow tahun depan. Masa diluangkan bersama Hup Wei baru-baru ini, pastinya menjadi kenangan terbaik buat mereka.


Soalan (S): Bagaimana boleh membabitkan diri dalam sukan ini? Jawapan (J): Sebenarnya secara tidak sengaja, waktu itu usia baru 15 tahun. Di sekolah dulu saya mula aktif dengan acara lompat jauh tapi ternampak tiada siapa menyertai acara lompat tinggi. Disebabkan tiada orang menyertai acara lompat tinggi di sekolah waktu itu, sayapun tukar angin dan masuk sajalah. Tidak sangka pula terus berjaya dalam acara lompat tinggi hingga ke tahap ini.

S: Sememangnya nama 'Lee Hup Wei' amat terkenal dalam acara lompat tinggi dan ia diakui 'adik-adik' anda dalam skuad pelapis. Berdasarkan pengalaman anda, bagaimana prestasi pelapis masa kini? J: Jujurnya, skuad pelapis negara berada di landasan tepat untuk lebih maju. Malah, berdasarkan pemantauan saya di SUKMA Pahang tahun lalu, mereka mencatat ketinggian sama dan ada yang lebih baik berbanding pemenang pingat Sukan SEA Indonesia. Jika kekal konsisten saya optmis mereka mampu pergi lebih jauh.


S: Apa usaha anda untuk membangunkan lagi sukan lompat tinggi negara? J: Sebagai atlet senior, saya sememangnya sentiasa memantau pergerakan pelapis. Bukan apa, pelapislah bakal menggantikan tempat saya dan pastinya saya ingin mereka pamer persembahan lebih baik.


Lantaran itu, saya sering mengikuti perkembangan mereka di medan latihan dan berbincang dengan jurulatih pelapis kebangsaan Alim Ahmejanov. Misi saya untuk membantu mereka ke Sukan SEA Myanmar dan Sukan Komanwel tahun depan. Saya curahkan segala ilmu dan semua pengalaman yang ada kepada mereka. Harap mereka menggunakannya sebaik mungkin.

S: Mungkin ada nasihat untuk pelapis bagi berdepan dua temasya utama ini kerana ia bakal menjadi yang pertama buat mereka andai layak? J: Belajar selagi mampu, kerana ilmu itu tiada noktah. Ingat nasihat serta tunjuk ajar jurulatih dan jangan ambil teguran sambil lewa. Sentiasa positif dan buat yang terbaik.


S: Berdasarkan pandangan anda, bagaimana prestasi kami (Mohd Azly dan Prakash)? J: Bagi saya, anda berdua amat hebat. Saya kagumi kebolehan anda cuma perlu kekal konsisten dan terus melakukan yang terbaik.

S: Yakin pelapis mampu menyerlah di Sukan SEA tahun ini? J: Saya tahu mereka mampu lakukan yang terbaik dan tidak mustahil membawa pulang pingat buat Malaysia, tidak kira apa warnanya.


S: Apa pencapaian terbaik anda setakat ini? J: Pencapain terbaik saya ialah meraih pingat emas Kejohanan Asia 2007. Bermula daripada situ saya semakin mencipta nama dengan meraih pingat emas tiga kali berturut-turu di Sukan SEA 2007, 2009 dan 2011. Kenangan manis saya ialah dua kali layak ke temasya berprestij dunia iaitu Olimpik Beijing 2008 dan London tahun lalu.


S: Apa sasaran anda tahun ini? J: Tahun ini tidak banyak kejohanan utama melainkan Sukan SEA Myanmar dan saya sasarkan untuk menambah koleksi pingat emas keemapt pada temasya itu. Saya juga meletakkan sasaran pingat Kejohanan Padang dan Trek Asia (AFT), Julai ini.


S: Selain sukan olahraga, lompat tinggi anda ada minati sukan lain? J: Tiada. Saya terlalu cintakan lompat tinggi.


S: Apa yang anda gemar lakukan di masa lapang? J: Makan! Saya suka makan dan kerap keluar makan terutama jika ke luar negeri.


S: Mungkin anda ada binatang peliharaan? J: Dulu ada anjing. Tetapi anjing itu sudah mati. Kini saya tidak lagi memelihara binatang peliharaan. Anjing itulah satu-satunya kenangan saya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

No comments:

Post a Comment