Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Misi akhiri kemarau podium

Posted: 18 Apr 2013 01:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Ahmad Fuad Baharudin mahu menggunakan enjin Kawasaki baru dan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menamatkan kemarau podium saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.

Kali terakhir pelumba berusia 34 tahun itu berada di podium ialah ketika memenangi dua perlumbaan di Zhuhai pada 2010.


Akur mereka kini sedikit ketinggalan berbanding pasukan lain, pelumba Bike ART Kawasaki Racing itu berkata, prestasi keseluruhan menunjukkan peningkatan terutama dengan pencapaian menduduki kelompok lima pelumba teratas di Sepang dan Zhuhai musim lalu.

"Tidak dapat dinafikan, kami ketinggalan dalam beberapa aspek kepada pasukan lebih besar namun jika dibandingkan tahun pertama kami, prestasi musim 2012 jauh lebih baik dan dijangkakan akan terus meningkat tahun ini.


"Memandangkan jumlah pelumba yang lebih ramai di grid, kami sedar ia bukan tugas mudah tapi kami juga sudah membuat persediaan secukupnya," katanya.


Selain itu, keyakinan Fuad kini memuncak hasil keputusan sesi ujian pra-musim dan penggunaan enjin yang lebih berkuasa menunjukkan mereka berupaya bersaing bagi merebut kedudukan podium.

Foto

FUAD puas hati sesi ujian.

"Musim ini kami menggunakan enjin baru dan juga maklumat terkini. Peningkatan sesi ujian pra-musim Februari lalu amat memberangsangkan apabila saya berjaya mencatat masa 1:05.492s berbanding 1:06.704s tahun lalu.


"Tambahan pula, kelebihan beraksi di Litar Sepang, litar yang begitu serasi dengan saya akan digunakan untuk merebut kedudukan podium.

"Paling penting, saya perlu bermula sekurang-kurangnya daripada dua barisan hadapan dan melakukan permulaan baik pada perlumbaan akhir Ahad ini.


"Jika tidak, mungkin sukar bagi saya mengejar pelumba lain yang sering mendominasi barisan hadapan seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Katsuaki Fujiwara dan Mohd Zamri Baba."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Gabungan menjadi!

Posted: 18 Apr 2013 12:27 PM PDT

Kuantan: Persembahan konsisten pemain sepanjang kejohanan berjaya menobatkan pasukan Kuantan selaku juara liga Kejohanan Hoki Liga Bawah 20 Tahun sempena Sukan Remaja Pahang 2013, baru-baru ini.

Bersaing dengan 10 pasukan yang mewakili daerah di negeri ini, skuad bimbingan Mohd Shafeirul Zaman Abd Majid mengumpul 24 mata meninggalkan pencabar terdekat Temerloh yang meraih 20 mata.


Bagi Mohd Shafeirul Zaman, kelebihan selaku juara liga musim ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus melakar kejayaan pada kejohanan disertai selepas ini.

Menurutnya, persediaan lebih dua bulan berjaya membentuk pasukan mantap dengan gandingan pemain senior dan junior yang dicungkil menerusi beberapa kejohanan peringkat daerah.


"Sasaran awal kami adalah merangkul dua kejuaraan, juara liga dan perlawanan akhir Kejohanan Hoki Liga Bawah 20 tahun secara serentak namun impian itu tidak menjadi kenyataan.


"Kita hanya mampu merangkul juara liga saja manakala juara perlawanan akhir milik Temerloh yang menang tipis 2-1," katanya selepas perlawanan akhir di Stadium Wisma Belia Indera Mahkota.

Selaku jurulatih beliau puas hati dengan kejayaan musim ini walaupun masih ada beberapa kepincangan dalam pasukan Kuantan terutama membabitkan kecergasan pemain.


Mohd Shafeirul Zaman berkata, beberapa pemain seperti Mohd Saihan Tajul Rahim dan Muhammad Arif Shafie Ishak berjaya mempamerkan permainan bermutu dan masa depan mereka cerah jika mendapat pendedahan.

"Saya harap ramai pemain Kuantan terpilih mewakili Pahang yang akan menyertai Kejohanan Hoki Liga Kebangsaan Bawah 21 kerana menerusi kejohanan itu, pemain akan lebih terdedah dengan permainan bermutu tinggi.


"Impian melihat lebih ramai pemain berbakat terpilih mewakili negara akan menjadi kenyataan jika semua pihak memainkan peranan dengan mengadakan lebih banyak kejohanan di peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.


Anugerah pemain remaja terbaik kejohanan milik Muhammad Arif Shafie Ishak dan pemain terbaik kejohanan, Mohd Saihan Tajul Rahim yang mewakili pasukan Kuantan.


Kejohanan itu dianjur Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan kerjasama Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Nestle Sdn Bhd antara lain bertujuan mencungkil bakat pemain remaja dan gelanggang pemilihan pemain yang akan mewakili Tok Gajah pada SUKMA XV1 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

SKKI ungguli balapan Mersing

Posted: 18 Apr 2013 12:27 PM PDT

Mersing: Sekolah Kebangsaan Kem Iskandar (SKKI) mengungguli Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Mersing kategori sekolah rendah di Padang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pai Chee, baru-baru ini.

SKKI berjaya membawa pulang piala pusingan mengalahkan 36 sekolah rendah lain.


Naib juara milik SK Felda Tenggaroh 2 dan ketiga SK Bandar Endau.

Ketua Jurulatih SKKI Ahmad Zulhilmi Muhammad berkata, berkat kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan guru yang memberikan sokongan padu memastikan sekolah itu berjaya muncul juara buat kali kedua bertutut-turut.


Menurutnya, kejayaan itu cukup membanggakan SKKI.


"Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk guru, jurulatih dan ibu bapa yang tak jemu memberikan sokongan hingga berjaya mencapai kejayaan ini," katanya.

Ahmad berkata, lebih manis lagi apabila SKKI turut muncul juara Bawah 12 dan 9 tahun pada temasya itu.


Mohd Nuriman Mahmood dari SK Teluk Lipat dan Zakirah Alwani Zainal Abidin dari SK Felda Tenggaroh 2 dinobat olahragawan dan olahragawati kejohanan.

Sementara itu, Setiausaha MSSD Mersing Mohd Nizam Yeo Abdullah berkata, kejohanan itu dianjur bagi memilih wakil MSSD Mersing ke Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ) di Muar tidak lama lagi.


"Lima puluh pelajar terpilih menyertai latihan pusat. Saya percaya mereka yang terpilih akan memberikan tentangan hebat bagi mengharumkan nama Mersing."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Atlet terbaik julang MSS Kuantan

Posted: 18 Apr 2013 10:27 AM PDT

Kuantan: Barisan atlet terbaik peringkat negeri dan kebangsaan membantu kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kuantan dinobat juara kali ke-15 berturut-turut Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Tuan rumah berjaya mengumpul 29 emas, 25 perak dan 15 gangsa meninggalkan MSS Maran (20 emas, 18 perak, 8 gangsa) diikuti MSS Bentong (13 emas 7 perak 14 gangsa ) dan MSS Bera (6 emas, 9 perak, 8 gangsa).


Ketua Jurulatih Kontinjen MSS Kuantan K Ambanasam berkata, 125 atlet membawa cabaran MSS Kuantan pada kejohanan membabitkan kategori bawah 12, 15 dan 18 tahun itu.

Menurutnya, kejayaan muncul juara kejohanan sudah dijangka terutama apabila mendapat kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.


"Saya puas hati prestasi dipamerkan semua atlet, pengalaman luas di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa digunakan sepenuhnya.


"Kejayaan beberapa atlet B-12 dan 15 meraih pingat memberi gambaran awal barisan pelapis sudah mula mengintai peluang mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan atlet B-18," katanya. Beliau berkata, pencapaian cemerlang MSS Kuantan menjadi pendorong kepada jawatankuasa jurulatih Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuantan untuk terus berusaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Atlet MSS Bentong, Mohd Safwan Saffri yang memperbaharui dua rekod kejohanan dalam acara 110 dan 200 meter dinobat olahragawan kejohanan manakala atlet kebangsaan Chin Poh Kuan yang turut mencatat dua rekod baru acara lontar peluru dan cakera ditabal sebagai olahragawati.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Natahsya jaguh bukit

Posted: 18 Apr 2013 10:26 AM PDT

Kuantan: Biarpun terpaksa mengharungi laluan berbukit yang licin dan basah, pelumba Sabah Natahsya Soon masih mampu mengutip pingat emas dalam acara turun bukit kategori wanita Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan (MTB) Sirkit 2/2013 di Teluk Cempedak, Kuantan, baru-baru ini.

Natahsya, 18, mencatat masa 3 minit 19.57 saat menewaskan pencabar mewakili GK2 Kedah Siti Aminatul Janah Abd Rahman (4:18.1s) dan wakil SBS Gianta Kedah Laura Avila Adrian (4:21s).


Pemenang pingat emas temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2010 acara turun bukit itu sudah menduga memenangi perlumbaan ujian masa itu walaupun trek licin kerana hujan.

"Saingan pencabar memang sengit tapi saya sudah bertekad menang sirkit kedua ini sebelum meneruskan cabaran ke sirkit ketiga di Selangor, Jun ini.


"Pengalaman, kecekapan dan kemahiran memahami trek penting bagi setiap pelumba untuk pastikan kemenangan," katanya.


Natahsya berkata, kemenangannya itu penting bagi mempersiapkan diri mengharungi cabaran Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di China, bulan depan.

"Saya akan cuba memperbaiki catatan peribadi kerana saingan di sana amat sengit kerana disertai pelumba bertaraf dunia," kata pelumba kebangsaan itu.


Sementara itu, pelumba Selangor Nor Shahriel Haizat Ahmad Nazali berkata, kecederaan dialami tidak menghalangnya merebut gelaran juara kategori terbuka lelaki dengan masa 2:10.83s.

Hadiah disampaikan Pengerusi Biro MTB Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Ahmad Sidi Ismail.


Seramai 66 peserta menyertai kejohanan anjuran bersama PKLBM dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kali kedua itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Bowling hargai jasa ibu

Posted: 18 Apr 2013 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Bagi menghargai pengorbanan dan jasa ibu, Kelab Sukan SportsUnite bersama Milo mengambil kesempatan menganjurkan Karnival Bowling Perpaduan Hari Ibu SportsUnite-Milo 2013 pada 12 Mei ini di Megalanes Sunway Pyramid.

Berdasarkan sambutan hangat penganjuran tahun lalu yang disertai 48 keluarga, penganjur menggunakan pendekatan 'siapa cepat dia dapat'.


Setiap keluarga perlu mendaftar tiga pemain iaitu ibu atau bapa bersama dua anak. Anak mesti berumur bawah 18 tahun. Kemeja T Milo-SportsUnite akan diberi percuma kepada peserta dan makanan ringan turut disediakan.

Juara bakal membawa pulang RM1,000, naib johan RM700, ketiga RM500, keempat RM400 dan kelima RM300. Semua pemenang menerima pingat dan hamper Milo termasuk pemenang keenam hingga ke-10.


Pengurus Pemasaran Sukan-Nestle Products Sdn Bhd Ng Ping Loong berkata, Milo bangga dapat memeriahkan karnival itu sebagai menghargai jasa ibu.


"Kami sentiasa menyokong program sukan berbentuk keluarga dan kanak-kanak kerana ia dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan," katanya. Pendapat itu turut disokong Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal.

Keterangan lanjut boleh hubungi Michelle Wong di talian 012-2096012 atau Micky dan Norma (03-74926307/8/9).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Balas dendam

Posted: 18 Apr 2013 10:24 AM PDT

Johor Bahru: Misi balas dendam bakal tercetus apabila Johor Darul Takzim (DT) menerima kunjungan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini Kedua-dua pasukan turut mempertaruhkan kelibat pemain import dari Argentina membabitkan Leonel Nunez untuk Johor DT dan Matias Conti buat Pahang.

Selepas Harimau Selatan tumpas tipis 2-3 kepada skuad Tok Gajah pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Makmur, 8 Januari lalu, sudah tiba masanya pengendali Fandi Ahmad merangka strategi mantap menebus kehampaan lalu bagi memastikan tiga mata tidak terlepas.


Menariknya pertembungan Johor DT- Pahang ibarat pra separuh akhir pertama Piala FA apabila kedua-dua pasukan itu membuat perhitungan 25 Mei ini dan barisan Harimau Selatan pasti meletakkan sasaran memburu kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Bagi Fandi komitmen pemain yang bertungkus lumus layak ke separuh akhir Piala FA cukup membanggakan dan mahu momentum itu diteruskan apabila berdepan Pahang dalam usaha mengejar Lions XII yang masih gah menerajui persada liga elit domestik.


"Sepanjang minggu ini, kita berdepan tugas berat, bermula kemenangan 1-0 ke atas Terengganu disusuli aksi suku akhir dengan Selangor hingga terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti dan malam esok (malam ini) kita berdepan Pahang.


"Apapun sebagai pasukan profesional, kita harus tempuh apa jua rintangan dan saya yakin pemain sudah bersedia mental dan fizikal dengan semangat juang yang begitu tinggi.

"Mungkin ada rombakan kecil terutama di benteng pertahanan selepas Kamarul Afiq Kamaruddin mengalami kecederaan. Walaupun tidak serius namun semuanya bergantung kepada latihan terakhir petang ini (semalam) dan jika dia tidak dapat diturunkan, saya mungkin turunkan Muslim Ahmad bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

NS sedia hadapi kebangkitan Selangor

Posted: 18 Apr 2013 10:23 AM PDT

Seremban: Negeri Sembilan amat menghormati reputasi Selangor yang menduduki tangga kedua carta namun bertekad membenam ego mereka pada pertemuan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Sayap kanan Shahurain Abu Samah berkata, pasukannya mengakui cabaran getir mereka hadapi apatah lagi Selangor yang baru saja tewas kepada Johor DT pada suku akhir Piala FA pasti berusaha memulihkan reputasi.


"Saya harap rakan sepasukan sedia memberikan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan dan memastikan kami meraih kemenangan pertama di gelanggang sendiri.

"Kami perlu berikan komitmen 100 peratus apabila turun menentang Selangor. Saya yakin kami mampu menyekat peluang mereka mengutip mata dan pada masa sama berusaha merealisasikan kemenangan pertama musim ini.


"Apapun kami perlu lebih hati-hati dan pastikan tidak leka atau membuat kesilapan terutama pada penghujung saingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Buru slot Liga Perdana

Posted: 18 Apr 2013 10:23 AM PDT

Alor Setar: Pemain Hijau Kuning mesti meneruskan perjuangan memburu kedudukan teratas Liga Perdana untuk kembali bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.

Bagi mencapai misi itu, Kedah harus lebih kerap mencipta kemenangan pada pusingan kedua bermula dengan menewaskan UiTM FC di Stadium Darul Aman, malam ini.


Jurulatih Mario Tot yakin Kedah berupaya layak ke perlawanan play off ke Liga Super dengan syarat menduduki tempat kedua di hujung musim.

"Hanya kemenangan ke atas UiTM mampu melonjak kedudukan Kedah selepas ketinggalan agak jauh dengan pendahulu Sime Darby, Sarawak dan Johor.


"Saya bagaimanapun bimbang kecederaan dialami pemain tengah Zuraindey Jumaai yang belum cergas sepenuhnya," katanya.


Beliau lega apabila penyerang import baru Alan Guc (gambar) sudah mula menampakkan keserasian.

"Saya kenal Alan sejak beberapa tahun lalu dan sebab itulah saya memilihnya untuk bergandingan dengan Khyril Muhymeen Zambri.


"Apapun saya yakin Kedah bakal mencatat kemenangan pertama pada pusingan kedua ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

Barca tiada pilihan

Posted: 18 Apr 2013 10:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Jadual padat selepas tamat kempen La Liga musim ini menyebabkan kelab gergasi Sepanyol Barcelona tiada pilihan selain meneruskan Jelajah Asia 2013 ke Kuala Lumpur untuk menentang skuad Harimau Malaya yang berlangsung ketika umat Islam negara ini menyambut perayaan Aidilfitri, 10 Ogos ini.

Kelab Catalan itu akan tiba di Kuala Lumpur pada hari raya pertama sebelum turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil dua hari kemudian selepas singgah di Thailand dan China dalam siri jelajah itu.


Biarpun kelab juara empat kali Eropah itu melakukan kunjungan pertama ke negara ini ketika peminat tempatan kebanyakannya mengambil cuti sempena perayaan untuk pulang ke kampung, mereka tetap yakin mampu menarik lebih 80,000 penyokong bagi menyaksikan perlawanan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Barcelona Atoni Rossich, jurulatih Tito Vilanova dijangka membawa skuad utama termasuk pemain bintang seperti pemain terbaik dunia Lionel Messi, Xavi, Andres Iniesta, Pedro dan Fabregas.


"Tarikh itu yang terbaik untuk Barcelona datang ke Kuala Lumpur kerana kalendar kami agak padat. Ada pemain terikat dengan tugasan antarabangsa dan kelab juga sibuk dalam tempoh perpindahan pemain selepas tamat kempen musim ini.


"Kami mahu membawa pemain skuad utama ke sini tapi mungkin akan ada sedikit perubahan tapi hasrat utama kami adalah menurunkan skuad utama beraksi di sini," katanya pada sidang media majlis pengumuman Jelajah Asia 2013 Barcelona semalam.

Barcelona yang kini dalam kedudukan terbaik untuk menjulang kejuaraan La Liga ke-22 turut berjaya melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 23 April ini.


Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang hadir pada majlis itu mengingatkan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal mempelajari sesuatu dalam aksi menentang kelab terbaik di dunia itu.

"Seperti perlawanan lain, kita juga menurunkan pasukan terbaik menentang Barcelona. Saya harap pemain belajar daripada segi kemahiran dan taktikal kerana bukan senang mendapat peluang seperti ini.


"Kita tak boleh harapkan pemain menjadi hebat dalam sekelip mata tapi dengan perlawanan ini, ia memberi peluang kepada pemain bersaing dengan pemain terbaik dunia," katanya.


Sementara itu, hasil perbincangan dengan wakil kelab Barcelona, Tengku Abdullah mengumumkan rancangan FAM menghantar pasukan futsal kebangsaan berlatih di Sepanyol.


"Buat permulaan kita bercadang menghantar pasukan futsal berlatih di Sepanyol, mungkin selepas ini kita akan mencari peluang pasukan bola sepak pula. Buat masa ini mereka (Barcelona) juga sibuk dan kita perlu tinjau dulu keadaan di sana sebelum menghantar pemain bolasepak ke sana."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19

No comments:

Post a Comment