Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gantung Raja?

Posted: 22 Apr 2013 09:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Sama ada Datuk K Rajagobal bersalah ataupun tidak, semuanya bakal terjawab apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membicarakan kes ketua jurulatih kebangsaan itu esok.

Perbicaraan kes itu menyusul selepas hampir dua minggu Rajagobal menjawab surat pertuduhan kerana didakwa melanggar Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM selepas mengkritik dasar diputuskan badan induk bolasepak tanah air itu mengenai penggunaan pemain import.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM (JKPT) Datuk Taufek Abd Razak, menerusi surat jawapan diterima, Rajagobal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan akan membela diri pada hari perbicaraan.

"Datuk Rajagobal mengaku tidak bersalah dan kami akan mengadakan perbicaraan Rabu ini (esok). Apa saja keputusan bergantung kepada pembelaannya pada hari perbicaraan itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Kerana kes itu kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya kini terancam kerana jika bersalah, beliau boleh digantung enam bulan dan denda RM8,000 mengikut Kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.


Semuanya berpunca daripada kenyataannya mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan negara ketandusan penyerang semula jadi.

Kenyataan pengendali berusia 56 tahun itu dibuat pada sidang media selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.


Taufek berkata, selain kes Rajagobal, pihaknya juga akan membicarakan pendakwaan terhadap dua pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh yang terbabit dengan insiden pergaduhan dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 25 Januari lalu.

"Keputusan mengenai dua pemain Selangor ini juga dibuat pada Rabu ini, pendakwaan ke atas Afiq dan Shukor adalah berdasarkan insiden dalam perlawanan dan bukannya selepas tamat perlawanan itu," katanya.


Sebelum ini JKPT sudah mengenakan hukuman penggantungan dua hingga empat perlawanan kepada pemain ATM iaitu Mohd Fitri Omar, G Jeevanthan, R Surendran dan Mohd Shukor Adan kerana terbabit dengan pergaduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Juve hampiri juara Serie A

Posted: 22 Apr 2013 09:38 AM PDT

Turin: Juventus menghampiri kejuaraan Itali ke-29 selepas menewaskan AC Milan, 1-0 hasil sepakan penalti Arturo Vidal pada babak kedua, awal pagi semalam.

Juve memerlukan empat mata daripada lima perlawanan terakhir selepas pencabar terdekat Napoli, ketinggalan 11 mata, menundukkan Cagliari 3-2 di Stadio San Paolo.


Milan kini perlu memikirkan ancaman Fiorentina yang mengalahkan Torino, 4-3 dan kini hanya ketinggalan satu mata di tangga keempat.

Fiorentina kini memiliki kelebihan lima mata ke atas Inter Milan, yang berjaya meraih semula sentuhan kemenangan apabila menewaskan Parma, 1-0 menerusi jaringan penyerang veteran Tommaso Rocchi pada minit ke-82 sekali gus mengendurkan sedikit tekanan buat jurulatih Andrea Stramaccioni.


Babak pertama yang hambar di Turin menyaksikan hanya satu peluang dicipta tapi penjaga gol Milan, Christian Abbiati hebat menyelamatkan sepakan percuma Andrea Pirlo.


Abbiati mengalami kecederaan berikutan tindakan akrobatik itu dan digantikan Marco Amelia.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-58 apabila Kwadwo Asamoah dijatuhkan Amelia. Vidal tampil dan menyempurnakan penalti menarik ke penjuru kanan gol.


Jurulatih Juve Antonio Conte gembira dengan kemenangan itu namun enggan mengulas mengenai kejuaraan.

"Milan adalah Milan, mereka sering bermain untuk menang," katanya. "Ia tidak mudah buat kami, jika tumpas, Napoli akan merapati dan kami pasti tertekan." Milan kini tidak menang dalam tiga perlawanan namun jurulatih Massimiliano Allegri percaya mereka akan menamatkan musim dengan bergaya.


"Kami kalah tipis kepada Juventus kerana kami tidak banyak mencipta peluang," kata Allegri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Atletico kejar Real

Posted: 22 Apr 2013 09:38 AM PDT

Madrid: Atletico Madrid terus mencabar pasukan tangga kedua Real Madrid apabila jaringan ke-25 kempen La Liga Radamel Falcao membantu pasukannya menewaskan Sevilla, 1-0 awal pagi semalam.

Kelab kendalian Diego Simeone berpeluang mengatasi Real yang akan ditemui pada final Piala Raja Sepanyol bulan depan, jika mengalahkan lawan setempat itu dengan kelebihan dua gol di Calderon, hujung minggu ini.


Namun, mereka akan tampil tanpa penyerang Brazil Diego Costa yang dilayang kad kuning, semalam dan terlepas perlawanan itu kerana penggantungan.

Dalam aksi kurang berkualiti dan tegang dibanjiri layangan kad kuning, pemain yang kerap menjatuhkan badan secara sengaja dan berpura-pura cedera di Stadium Sanchez Pizjuan di Seville, kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang hinggalah Falcao meledak gol pada minit ke-76.


Adrian melambungkan bola kepada pemain gantian Raul Garcia yang merembat ke arah gol dan Falcao pantas menampan bola masuk ke penjuru gol.


Sevilla mengasak memburu gol penyamaan namun tandukan Alvaro Negredo tersasar dan sepakan percuma lencong pemain tengah Ivan Rakitic mengenai palang dan Atletico terus bertahan mengekalkan kedudukan.

"Kami bertahan dengan baik, menggunakan peluang dicipta dan ia mata berharga yang membolehkan kami bersaing merebut tangga kedua," kata Adrian.


Kemenangan itu melebarkan pendahuluan Atletico ke atas pasukan tangga keempat Real Sociedad kepada 13 mata selepas pasukan Basque itu seri 0-0 dengan Osasuna. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Tuah gol sendiri

Posted: 22 Apr 2013 09:37 AM PDT

Teluk Intan: Pasukan Hilir Perak muncul juara Kejohanan Bolasepak Bawah 19 tahun merebut Piala Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) 2013 selepas menewaskan Majlis Sukan India Perak (PISC), 1-0 di Stadium Mini, Teluk Intan, baru-baru ini.

Gol sendiri pertahahan PISC, R Kathiravan pada minit ke-110 masa tambahan memadam hasrat pasukan itu bergelar juara selaku pasukan pilihan dalam kejohanan yang kali pertama diperkenalkan.


Kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas sepenuh masa permainan memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan untuk menentukan kejuaraan.

Kekecewaan PISC terubat sedikit apabila penyerang S Deevan Raj (gambar) dinobat Pemain Terbaik perlawanan akhir manakala pasukan Larut Matang/Selama pula diisytihar Pasukan Terbaik Kejohanan.


Pada aksi separuh akhir, Hilir Perak menewaskan Anderson, 2-1 manakala PISC mengenepikan cabaran Gopeng menerusi penentuan sepakan penalti 4-2.


Dengan kemenangan itu, Hilir Perak membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan dan piala iringan manakala PISC, RM2,000 berserta piala iringan.

Pasukan Gopeng dan Anderson pula masing-masing menerima RM1,000 selepas berkongsi kedudukan ketiga. Hadiah disampaikan Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Hasif, Layalia atlet kebanggaan MSSDKTS

Posted: 22 Apr 2013 09:37 AM PDT

Dungun: Muhammad Hasif Sharifuddin dan Layalia Rameli mengharumkan nama kontinjen MSSD Kuala Terengganu Selatan (MSSDKTS) apabila dinobat Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) Ke-44, baru-baru ini.

Hasif meraih lima pingat emas menerusi acara lompat kijang, 200m, 400m, 4x100m dan 4x400m bagi kategori Bawah 15 Tahun.


Dia turut memperbaharui rekod lompat kijang dengan catatan 13.66 meter dan rekod 400m dengan catatan 53.03s.

Rakan sekontinjen, Layalia pula yang beraksi bagi kategori perempuan B-18 memperoleh empat emas dan mencipta satu rekod baru kejohanan.


Emas dimenanginya bagi acara 400m lari berpagar dengan rekod baru 63.05s selain 200m, 400m dan 4x100m.


Menurut Hasif, kejayaan itu hadiah buat jurulatih Tan Teck Siong yang membimbingnya selama ini.

"Bakat saya digilap cikgu Teck Siong menerusi corak latihan bersistematik dan penerapan disiplin tinggi semata-mata kerana mahu melihat saya berjaya," katanya.


Manakala Layalia pula menganggap anugerah ini bakal menjadi pendorong dirinya terus mengekalkan momentum terbaik dalam persediaan menghadapi Kejohanan Olahraga MSSM.

"InsyaAllah, saya akan mempamerkan aksi terbaik untuk Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

SKPI kekal gelaran kali ketiga

Posted: 22 Apr 2013 09:36 AM PDT

Nibong Tebal: Sekolah Kebangsaan Permai Indah (SKPI) mengekalkan kejuaraan Bawah 12 tahun kategori lelaki dan perempuan Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang buat kali ketiga berturut-turut, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir kategori lelaki, SKPI menewaskan SK Hashim Awang (SKHA), 2-1 manakala pasukan perempuan mengecewakan Sekolah Kebangsaan Permatang Damar Laut (SKPDL), 2-1.


Jurulatih SKPI Mohd Husni Man memuji prestasi pasukan hoki lelaki dan perempuan yang berjaya mempertahankan kejuaraan sejak 2011 lagi.

"Kejayaan ini membawa erti besar kepada sekolah selepas latihan keras dan pengorbanan setiap pemain, guru dan ibu bapa yang banyak memberi sokongan bagi memajukan pasukan hoki sekolah itu," katanya.


Menurut Husni lagi, rahsia kejayaan pasukan hoki SKPI adalah latihan yang bermula sejak hari pertama persekolahan 2013 lagi dan sukan hoki sudah menjadi budaya di sekolah itu.


"Pemain hanya bermain hoki dan tidak terbabit dengan sukan lain." SKPI bertambah ceria apabila kedua-dua anugerah Pemain Terbaik Lelaki dan Perempuan digondol kapten, Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad dan Salina Abdullah.

Anugerah penjaga gol terbaik lelaki dimenangi R Yogan Pillai dari SKHA manakala penjaga gol terbaik perempuan, Hasanah Rosli dari SK Titi Teras (SKTT).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

PBSNT mohon ihsan FAM

Posted: 22 Apr 2013 09:36 AM PDT

Kuala Terengganu: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap FAM memberi kelonggaran melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import yang tamat semalam bagi membolehkan PBSNT mengikat pemain import berkualiti untuk menghabiskan saingan liga dan Piala FA musim ini.

Pengurus pasukan Marzuki Sulong berkata, memandangkan tarikh tutup pendaftaran sudah berakhir, PBSNT memohon FAM memberi tempoh pendaftaran khas kepada Terengganu untuk menguji pemain import baru.


Beliau berkata, PBSNT ada berhubung dengan FAM semalam untuk meminta melanjutkan tarikh pendaftaran namun FAM meminta PBSNT menamakan pemain import dan mengemukakan surat kontrak pemain terlebih dulu kepada FAM.

"PBSNT puas hati layanan yang diberi pegawai FAM yang cuba membantu namun kami meminta jasa baik FAM memberi tempoh kepada Terengganu memilih pemain import berkualiti.


"Hal ini kerana jika PBSNT memilih pemain secara terburu-buru tanpa sebarang ujian ia boleh merugikan PBSNT dan pemain tempatan untuk belajar andai pemain yang datang itu tidak berkualiti," katanya yang tidak berhajat mencari pemain import baru sebelum ini jika Owona tidak cedera.


Pada hari terakhir tempoh pendaftaran pemain berakhir semalam, PBSNT menguji seorang pemain import dari Kanada selepas laporan perubatan hasil pembedahan mengesahkan penyerang dari Cameroon itu terpaksa berehat tiga bulan untuk pulih sepenuhnya selepas patah tangan kanan.

"Ketiadaan Owona merugikan pasukan terutama bahagian serangan dan PBSNT berusaha mengikat pemain import lain walaupun masa kian suntuk untuk menilai pemain baru." Marzuki berkata, andai pemain dari Kanada itu gagal memikat jurulatih dan pihak pengurusan, PBSNT berusaha meminjam pemain Bawah 23 Tahun dari Ghana yang dilapor bersedia menyarung jersi Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Percaturan Penyu terjejas

Posted: 22 Apr 2013 09:35 AM PDT

Kuala Terengganu: Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata, pihaknya sudah menghubungi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk merisik sama ada mereka boleh menggantikan Jean-Emmanuel Effa Owona berikutan jendela pendaftaran pemain pertengahan musim berakhir semalam.

Katanya, penyerang Cameroon itu tersisih daripada baki saingan Liga Super dan Piala FA ekoran patah tangan kanan kerana memerlukan rehat tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.


"Saya mohon FAM dapat mengkaji isu ini dibawah pendaftaran khas pemain import bagi membolehkan skuad Peteh mendaftar pemain lain," katanya selepas melawat Owona di Hospital Pakar Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.

Menurutnya kehilangan khidmat Owona merencatkan percaturan dilakukan bagi meneruskan cabaran dalam Liga Super dan separuh akhir Piala FA.


Che Mat berkata, PBSNT meminta jurulatih Terengganu E Elvarasan supaya mencari pemain import yang handal atau sama taraf dengan Owona bagi mengisi posisi barisan depan.


"Saya harap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Datuk Hamidin Mohd Amin memahami masalah PBSNT." - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Peminat mahu aksi di Stadium Perak

Posted: 22 Apr 2013 09:35 AM PDT

Ipoh: Peminat Perak mendesak Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengadakan perlawanan menentang Johor Darul Takzim (DT) di Ipoh, Sabtu ini sekalipun pada sebelah petang.

Beberapa peminat yang menghubungi Arena Metro mahukan aksi berprofil tinggi itu diadakan di Stadium Perak agar lebih ramai penyokong setia pasukan Seladang datang menyaksikan perlawanan.


Mereka berbuat demikian kerana kecewa perlawanan itu tetap diadakan di Stadium TLDM, Lumut kerana PAFA bimbang pemeriksaan terhadap cahaya lampu limpah yang baru dipasang tidak dapat dilakukan pada Jumaat ini.

Sebelum ini PAFA dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi jaminan perlawanan itu akan diadakan di Stadium Perak kerana kerja-kerja memasang lampu limpah baru itu siap pada 25 April. "Ramai peminat menanti perlawanan ini dan memang berharap ia diadakan di Ipoh. Begitupun perkembangan terbaru itu mengecewakan.


"Saya yakin ramai akan hadir menyaksikan perlawanan biarpun diadakan pada sebelah petang berbanding jika diadakan pada waktu malam di Lumut," kata seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan.


Roslan berkata, PAFA seharusnya peka terhadap kehadiran penonton dalam semua perlawanan di Stadium Lumut setakat ini.

Malah peminat setia Seladang itu berkata, salah satu faktor persembahan hambar Perak ketika ini ialah kerana tidak berasa 'selesa' bermain di gelanggang pangkalan TLDM itu kerana terpaksa membuat perjalanan jauh setiap perlawanan.


"Jika dilihat persembahan Perak musim ini tidak seperti musim-musim lalu kerana pemain tidak berasa selesa terpaksa berulang-alik ke Lumut. Cara mereka bermain di Ipoh lain berbanding beraksi di Stadium Lumut." Roslan berkata, hakikat itu diakui pemain Seladang yang menyifatkan Perak tiada kelebihan musim ini dari aspek bermain di gelanggang sendiri.

"Kenapa pengurusan pasukan tidak selami hati pemain dan tanya perasaan mereka mengenai perkara ini. Yang bermain mereka bukannya pengurus atau pegawai persatuan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Khairul Azhan makin matang

Posted: 22 Apr 2013 09:34 AM PDT

Kuantan: Kepercayaan jurulatih Dollah Salleh menurunkan Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid sebagai penjaga gol utama dalam tiga perlawanan lalu membantu mematangkan persembahan pemain muda itu.

Berdasarkan keputusan perlawanan, Khairul Azhan membantu Pahang mencatat dua kemenangan dan satu tewas, itupun kekalahan tipis 0-1 di tangan Johor Darul Takzim (DT) manakala T-Team (2-1) dan Sime Darby FC (2-0).


Pemain kelahiran Kuantan itu berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan penuh untuk mengawal gawang Tok Gajah pada tiga perlawanan termasuk pada suku akhir kedua Piala FA.

"Saya tidak sangka akan diturunkan terutama pada perlawanan penting. Biarpun pada awalnya gugup dan agak tertekan pada perlawanan T-Team lalu tapi saya memberi yang terbaik buat pasukan.


"Selepas tiga perlawanan, saya semakin percaya dengan keupayaan diri dan berharap prestasi lebih baik diterjemah pada perlawanan bertemu Felda United, Jumaat ini," kata penjaga gol berusia 22 tahun itu.


Khairul Azhan diberi tanggungjawab besar itu selepas dua penjaga gol berpengalaman Mohd Rosfaizul Azuar Mohd Ali dan Mohd Nasril Mat Nordin ditimpa kecederaan.

Ditanya peluang Pahang bertemu Felda United, Jumaat ini, Khairul Azhan mahu rakan sepasukan mengutip tiga mata berharga di gelanggang sendiri.


Menurutnya, kekalahan tipis di tangan Johor DT diharap dapat ditebus untuk meletakkan pasukan pada kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super.

"Sebagai orang terakhir, saya sedia memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Tok Gajah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

No comments:

Post a Comment