Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Telefon kawal tangan palsu

Posted: 13 Apr 2013 09:04 AM PDT

London: Sebuah syarikat teknologi membuat anggota palsu berjaya mencipta tangan palsu yang begitu canggih sehingga boleh dikawal mengguna aplikasi telefon pintar.

Revolusi tangan palsu sentuhan bionik 'i-LIMB' membolehkan penggunanya memusingkan ibu jari. Kelima-lima jari juga boleh digerakkan, pergelangan tangan yang boleh dipusing dan mempunyai rangka aluminium.

Syarikat berkenaan mendakwa ia adalah tangan palsu paling canggih pernah dihasilkan.

Ia juga adalah anggota palsu yang pertama dicipta untuk dikawal menggunakan aplikasi perisian komputer.

Foto

PERGERAKAN tangan palsu boleh dikawal dengan mengguna aplikasi telefon pintar.


Didatangkan dengan aplikasi iOS (Sistem Operasi mobil) yang membolehkan pengguna mengawal genggaman tangan menggunakan telefon pintar.


Aplikasi itu membolehkan pemakainya memilih 24 genggaman berbeza dengan hanya menyentuh skrin.

Aplikasi berkenaan juga menawarkan latihan mengenai cara terbaik menggunakan peranti itu dan ia boleh mendedahkan sebarang masalah yang timbul.

Ia boleh berfungsi dengan mengguna elektrod pada pergelangan tangan untuk menerima denyutan elektrik yang dihasilkan oleh pengecutan otot yang kemudian diterjemah oleh komputer.

Setiap jari boleh dibengkok pada ruasnya dan boleh disesuaikan untuk dimuatkan pada sebarang bentuk objek yang ingin digenggam pemakai.

Ia juga boleh digunakan untuk apa saja, daripada menaip hingga mengikat tali kasut.

Ia akan kembali kepada kedudukan biasa secara automatik selepas satu tempoh tidak aktif.

Peranti yang menggunakan tenaga bateri itu bagaimanapun begitu teknikal hingga pengguna perlu menjalani latihan secara mendalam sebelum boleh menggunakannya dengan cekap. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Anggota tentera Congo mengaku rogol 53 wanita

Posted: 13 Apr 2013 08:48 AM PDT

Goma: Seorang anggota tentera Congo mengaku merogol 53 wanita, termasuk kanak-kanak semuda lima tahun apabila dia dan anggota lain menyerbu sebuah bandar ketika perang saudara di negara itu.

Anggota tentera terbabit adalah antara mereka yang menyerang bandar Minova berhampiran Tasik Kivu di Republik Demokratik Congo dan menghabiskan masa dua hari merogol, menjarah dan membunuh sebelum pegawai mengambil alih keadaan.


Pengakuan mengejutkan itu dibuat ketika Setiausaha Luar Britain William Hague berikrar untuk membelanjakan RM50 juta bagi menangani keganasan dan ancaman terhadap wanita di zon perang, semalam. Dalam wawancara dengan akhbar The Guardian di tempat dia melakukan jenayah itu, anggota tentera berusia 22 tahun terbabit menceritakan bagaimana dia dan lebih 40 anggota lain berbincang dan mengambil keputusan merogol 10 wanita setiap seorang.

"Saya merogol 53 wanita dan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun," kata anggota tentera itu.


Menurutnya, dia dan rakannya baru saja tewas dengan kumpulan pemberontak M23 berhampiran Goma sebelum kejadian.


Mereka bertindak demikian kerana malu, marah dan kerana inginkan keseronokan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Penumpang pesawat bungkus diri dalam plastik

Posted: 13 Apr 2013 08:47 AM PDT

London: Seorang penumpang pesawat membungkus dirinya dengan plastik ketika dalam penerbangan.

Lelaki yang berpakaian serba hitam itu membungkus dirinya dalam plastik, duduk dengan kepalanya sedikit tunduk dan ikatan plastik itu di atas kepalanya.


Gambar itu dimuat naik ke laman Reddit kelmarin dan ada pembaca mendakwa lelaki itu keturunan Kohein, golongan paderi kuno Yahudi yang diharam terbang melintasi tanah perkuburan.

Ramai di kalangan anggota keturunan itu membungkus diri mereka sebagai tindakan mengatasi larangan berkenaan.


"Masyarakat Kohein dilarang berhubung dengan orang yang sudah mati, termasuk melawat tanah perkuburan kecuali menghadiri majlis pengebumian anggota keluarga yang rapat," kata paderi Yahudi Rabbi Jeffrey W Goldwasser ketika mengulas gambar itu.


Menurutnya, sebagai penyelesaian untuk mengatasi larangan berkenaan, penganut agama ortodoks Yahudi itu membungkus diri mereka untuk menghalang daripada 'berhubung' dengan orang mati, termasuk melintasi tanah perkuburan ketika dalam penerbangan.

Terdapat beberapa kejadian penerbangan ditunda atau berpatah balik kerana enggan membawa penumpang yang membungkus diri dengan plastik atas alasan keselamatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Guna rahim orang mati

Posted: 13 Apr 2013 08:45 AM PDT

Istanbul: Wanita pertama pernah menerima rahim daripada seorang penderma yang sudah mati disahkan hamil dua minggu selepas menjalani pemindahan embrio.

Kehamilan Derya Sert, 22, disahkan selepas keputusan awal hasil satu pemeriksaan berikutan proses persenyawaan di luar rahim di Hospital Universiti Akdeniz, Antalya, wilayah selatan Turki.


"Derya sihat ketika ini," kata Mustfa Unal, doktor yang merawatnya, dalam satu kenyataan bertulis.

Derya disifatkan sebagai 'keajaiban dalam bidang perubatan' apabila menjadi wanita pertama di dunia berjaya menjalani pemindahan rahim daripada seorang penderma yang sudah meninggal dunia pada 2011 di hospital sama.


Berita mengenai kehamilannya memberi harapan kepada ribuan wanita di seluruh dunia yang gagal hamil.


Derya dilahir tanpa rahim, seperti seorang daripada setiap 5,000 wanita di seluruh dunia.

Doktor menanti selama 18 bulan sebelum menjalankan pemindahan embrio untuk memastikan organ asing itu masih berfungsi.


Derya adalah wanita kedua menjalani pemindahan rahim di dunia. Yang pertama dilakukan di Arab Saudi pada 2000 apabila seorang wanita menerima rahim daripada penderma yang masih hidup.

Bagaimanapun, pemindahan itu gagal selepas 99 hari dan doktor terpaksa membuang semula organ itu.


Sementara itu, Derya dijangka melahirkan anak menerusi pembedahan dan rahim itu terpaksa dibuang selepas kelahiran itu bagi mengelak kerumitan dan kemungkinan tidak sesuai lagi.


Derya dikatakan mula datang haid selepas menjalani pemindahan itu dan doktor yakin ia isyarat penting bahawa organ itu berfungsi.


Pakar bagaimanapun memberi amaran, Derya dan kandungannya berdepan dengan pelbagai cabaran kesihatan sepanjang kehamilannya, termasuk kecacatan pada bayi kerana Derya makan terlalu banyak ubat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Gempa bumi gegar bandar raya Kobe

Posted: 13 Apr 2013 08:45 AM PDT

Tokyo: Satu gempa bumi kuat menggegarkan bandar raya Kobe di barat daya Jepun semalam menyebabkan 22 orang cedera, tujuh daripadanya parah.

Gempa berukuran 6.3 mag- nitud itu turut menyebabkan beberapa kediaman rosak. Bagaimanapun, tidak ada kemusnahan besar atau kematian dilapor berlaku.


Menurut polis, sebahagian besar mangsa yang cedera ialah golongan tua yang terperangkap ketika cuba menyelamatkan diri.

Pihak berkuasa berkata, gempa itu berpusat di Pulau Awaji pada kedalaman 15 kilometer.


Gempa bumi sekuat 7.2 magnitud yang berlaku di kawasan itu pada 1995 menyebabkan lebih 6,400 orang terbunuh.


Jepun adalah antara negara di dunia yang paling terdedah kepada gempa bumi. Agensi kaji bumi negara itu memberi amaran, beberapa gegaran selepas gempa dijangka berlaku sepanjang seminggu ini ekoran gempa semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Presiden Malawi nafi kecam Madonna

Posted: 13 Apr 2013 08:44 AM PDT

Lilongwe: Presiden Malawi Joyce Banda menolak dakwaan beliau mengecam Madonna dan menggelarnya 'pembuli.'

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabanya semalam, Joyce berkata, beliau tidak pernah meluluskan kenyataan untuk menyelar penyanyi berkenaan.


Joyce dikatakan berang selepas laporan mendakwa beliau menuduh bintang pop itu memeras ugut dan membuli kakitangan kerajaan ketika melakukan lawatan ke negara itu.

Menurut laporan, Joyce tidak pernah melulus atau mengetahui kenyataan menyelar tingkah laku Madonna.


Kecaman itu sebelum ini didakwa dikeluarkan pejabat presiden itu.


Penafian pemimpin Malawi itu adalah perkembangan terbaru dalam perang mulut yang berlaku selepas Madonna melawat sebuah sekolah rendah di negara berkenaan.

Sekolah itu dibina hasil bantuan penyanyi itu.


Madonna sebelum ini menuduh Joyce berbohong, kenyataan yang dibuat selepas dia dituduh gagal melaksanakan janji untuk membina sebuah akademi untuk kanak-kanak perempuan Malawi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Pesawat Lion Air masuk laut

Posted: 13 Apr 2013 08:44 AM PDT

Denpasar: Sebuah pesawat membawa lebih 130 penumpang terbabas dari landasan di Lapangan Terbang Bali lalu termasuk ke dalam laut semalam.

Bagaimanapun, semua penumpang dan anak kapal dilapor selamat.


Pesawat Boeing 737 milik syarikat penerbangan Lion Air itu terbabas dari landasan ketika mendarat selepas tiba dari Bandung, kata pegawai Kementerian Pengangkutan Indonesia, Herry Bhakti.

"Lebih 130 orang berada dalam pesawat itu," katanya.


Seorang wartawan di Denpasar berkata, dia melihat tujuh penumpang, semuanya rakyat Indonesia, tiba dengan ambulans di hospital berhampiran dengan cedera ringan di kepala, tangan dan kaki.


Tidak dapat dipastikan jumlah mereka yang cedera atau kerakyatan penumpang.

Bali, destinasi percutian popular, dikunjungi jutaan pelancong asing dari seluruh dunia setiap tahun.


Lion Air ialah syarikat penerbangan tambang murah utama di Indonesia. Syarikat berkenaan baru-baru ini menandatangani dua kontrak yang mencatat rekod baru dari segi penempahan pesawat dengan dua pengeluar kapal terbang, Boeing dan Airbus. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Isu Korea Utara lebih menarik daripada Beyonce, Obama

Posted: 13 Apr 2013 08:43 AM PDT

Washington: Rakyat Amerika Syarikat sejak beberapa minggu lalu lebih banyak mencari maklumat mengenai Korea Utara berbanding carian mengenai Presiden Barack Obama dan Beyonce.

Carian melalui Google terhadap negara yang menyebabkan dunia cemas kerana impian nuklearnya mencatatkan ketinggian tujuh kali ganda berbanding pencapaian tertingginya pada 2006 apabila ia melancarkan ujian bom atom.


Minggu lalu, perkataan 'Korea Utara' adalah yang ketiga paling popular di Twitter, di belakang Easter dan Good Friday. Namun, graf Google Trends menunjukkan kekerapan mencari 'Korea Utara' meningkat mendadak sejak dua minggu lalu.

Kemuncaknya ialah pada 4 April apabila negara itu mengumukan ia akan mengaktifkan semula loji nuklearnya selepas mempamerkan wilayah di tanah besar Amerika Syarikat yang akan menjadi sasaran misilnya.


Ketika itu, carian terhadap 'Korea Utara' adalah 10 kali ganda lebih kerap berbanding Presiden Obama dan Beyonce.


Menurut akhbar Washington Post, kaji selidik yang dilakukan Pusat Kajian Pew menganggarkan 36 peratus rakyat Amerika mengikuti rapat laporan mengenai Korea Utara dan berkata, AS perlu bersikap serius terhadap ancaman negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Doktor dakwa tiada faedah pakai coli

Posted: 13 Apr 2013 08:43 AM PDT

Paris: Seorang doktor sukan yang kurang dikenali membuat kejutan apabila berkata pemakaian coli tidak mendatangkan faedah.

Jean Denis Rouillon, 62, yang mendakwa menjalankan kajian terhadap payu dara 300 wanita menjadi terkenal tiba-tiba selepas memberitahu sebuah stesen radio pelajar bahawa hasil kajiannya menunjukkan pemakaian coli hanya melemahkan otot asli payu dara.


Dia mencadangkan supaya wanita menimbang berhenti memakai coli.

Radio nasional Perancis memetik kenyataan berkenaan menyebabkan Rouillon yang bekerja di Universiti Franche-Comte, sebuah institusi pelajaran kecil, diburu oleh wartawan.


Stesen radio France Info menemuramah seorang sukarelawan yang terbabit dalam kajian doktor itu, Capucine, 28. Wanita itu berkata, kesan daripada tidak memakai coli membolehkannya berasa lebih bebas, termasuk meningkatkan kemampuannya untuk bernafas dan berdiri lebih tegak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

No comments:

Post a Comment