Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bukan helikopter biasa

Posted: 12 Apr 2013 01:25 PM PDT

Sekali pandang, ia kelihatan tidak ubah seperti sebuah helikopter biasa, tetapi pesawat baru Northrop Grumman itu kekurangan sesuatu yang penting - juruterbang.

Pesawat MQ-8C Fire Scout itu dipamerkan kepada umum kali pertama beberapa hari lalu.


Ia dilengkapi peralatan elektronik tercanggih sehingga membolehkan ia dikendalikan tanpa juruterbang.

Pada masa sama, ia tetap mempunyai kemampuan sama seperti helikopter normal. Kenyataan firma Northrop Grumman menyebut, pesawat canggih itu dilengkapi pengesan untuk bertugas sebagai peninjau, pemantau dan pencari sasaran.


"Ia memberi sokongan kepada tuntutan perang bagi meningkatkan kesedaran terhadap situasi semasa," katanya.


MQ-8C Fire Scout itu menggabungkan dua sistem udara terbaik dalam pakej kos rendah serta pantas.

Awal tahun ini, Tentera Laut Amerika Syarikat menganugerahkan kontrak bernilai AS$71 juta (RM215.6 juta) kepada Northrop Grumman untuk menghasilkan enam pesawat tambahan MQ-8C bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 unit.


Naib Presiden Northrop Grumman, George Vardoulakis berkata, kontrak itu memberikan momentum penting kepada syarikat berkenaan bagi memenuhi keperluan Tentera Laut AS. Helikopter tanpa juruterbang itu dibina berdasarkan helikopter Bell 407 yang sering digunakan hospital, agensi berita, pengeluar filem dan penguat kuasa di seluruh dunia. Lebih 1,000 unit telah dijual dengan mencatatkan jumlah penerbangan terkumpul selama lebih tiga juta jam.

Namun, kini model itu mengalami pengubahsuaian radikal. Kata Northrop Grumman, pesawat MQ-8C itu boleh melaksanakan misi di darat atau laut, selain mampu berlepas atau mendarat di atas kapal perang.


"Ia juga boleh menjayakan pendaratan berjadual atau tidak bagi menurunkan tentera," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Gadai maruah bayar along

Posted: 12 Apr 2013 10:55 AM PDT

Seorang wanita berusia 23 tahun terpaksa menyerahkan maruah diri bagi menggantikan bunga pinjaman wang yang gagal dibayar kepada along dalam satu kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

Semuanya berlaku selepas bekas majikannya yang menjadi perantara dengan along berkenaan sanggup mengarahkan dua lelaki iaitu konco along berkenaan merogol bekas pekerjanya itu disebabkan gadis terbabit gagal berbuat demikian.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan mengenainya kini sedang dijalankan.

Harian metro difahamkan, detik hitam dalam hidup wanita itu berlaku di sebuah hotel di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.


Menceritakan semula kejadian, sumber berkata, mangsa yang berusia 23 tahun menerima panggilan daripada bekas majikannya memberitahu terdapat kerja kosong di premisnya di Pekan Klang di mana tempat dia bekerja sebelum ini.


Bagaimanapun, niatnya untuk mencari pekerjaan bertukar tragedi apabila dia dibawa ke sebuah hotel sebelum dirogol dua lelaki dipercayai pemungut bayaran bunga duit along terbabit.

Difahamkan, mangsa hanya membuat pinjaman sebanyak RM2,000 daripada along terbabit, tetapi tidak mampu untuk membayar bunga hutang berkenaan selepas dibuang kerja hanya kerana mengambil cuti selama sehari.


"Selepas dihubungi dan dipanggil ke premis itu, mangsa dipertemukan dengan dua lelaki terbabit sebelum dimarah dan dimaki hamun dengan perkataan kasar kerana dia tidak membayar duit bunga pinjaman.

"Suspek juga mengugut akan menjual mangsa kepada individu lain sekiranya gagal membuat bayaran berkenaan sebelum membawa mangsa menaiki kereta Proton Satria berwarna kelabu untuk berjumpa dengan majikan mereka," katanya.


Bagaimanapun, mangsa sekali lagi ditipu suspek terbabit apabila dia dibawa ke sebuah restoran di Bukit Tinggi, di sini sebelum diugut buat kali kedua oleh salah seorang daripada mereka.


"Suspek mengarahkan mangsa membayar semua wang yang dipinjam. Sekiranya gagal, dia akan dipaksa bekerja di tempat yang diarahkan suspek sebagai cagaran kepada hutang berkenaan atau diarahkan mengadakan hubungan seks dengan mereka.


"Mangsa yang ketakutan terus merayu kepada agar diberikan masa untuk melunaskan hutang berkenaan, namun rayuan itu tidak diendahkan sebelum membawanya ke hotel," katanya.


Bimbang dirinya diperlakukan lebih buruk, katanya, mangsa hanya menurut perintah untuk mengikuti mereka pergi ke hotel berkenaan dan di sana dia dirogol sebelum suspek menghantarnya pulang ke rumah.


Mangsa yang trauma kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Klang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

'Katak kaca' boleh hilang diri dengan mudah

Posted: 12 Apr 2013 10:37 AM PDT

Bogota: Kebolehan 'katak kaca' yang ditemui di Colombia ini membolehkan ia 'menghilangkan diri' dengan lebih mudah apabila keadaan memerlukan.

Dengan sifat fizikalnya yang sebegitu, katak berkenaan seolah-olah menukar warna badannya setiap kali ia bergerak.


Keunikan 'katak kaca' itu juga membolehkan anda melihat jantung serta pelbagai organ dalamannya yang lain. Jurugambar Thomas Marent sempat merakamkan imej katak berkenaan ketika ia bersembunyi di bawah daun di kawasan hutan di Choco, Colombia.

Marent juga dapat merakamkan gambar telur katak itu dengan sebahagian daripadanya mula membentuk menjadi berudu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Indonesia tahan 82 pelarian

Posted: 12 Apr 2013 10:36 AM PDT

Makassar: Tentera Laut Indonesia menahan 82 orang pencari suaka, termasuk sejumlah masyarakat Islam Rohingya apabila bot mereka terkandas ketika dalam perjalanan ke Australia.

Pegawai imigresen Indonesia berkata, 51 orang adalah masyarakat Rohingya, manakala 24 lagi dari Iran dan tujuh warga Somalia berlayar menuju ke Sulawesi.


Menurut maklumat, katanya, dari Sulawesi pencari suaka itu akan menuju Nusa Tenggara Timur yang menjadi antara wilayah Indonesia paling hampir ke Indonesia.

"Bot itu meninggalkan Sulawesi tetapi terkandas tidak jauh dari pulau berkenaan sebelum kapal peronda tentera menahan mereka," katanya.


Sebahagian daripada penumpang bot itu adalah kanak-kanak.


Kata pegawai imigresen itu, semua tahanan dibawa ke Makassar untuk didaftarkan dan disoal siasat.

Menurut pegawai itu, tahanan Rohingya akan diasingkan daripada pencari suaka lain ekoran berlaku keganasan di pusat tahanan di antara penganut Islam dan Buddha Myanmar minggu lalu. Semakin ramai pencari suaka di kalangan masyarakat Rohingya - dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai satu daripada etnik minoriti paling banyak dianiaya - tiba di Indonesia akibat keganasan di Rakhine, Myanmar tahun lalu. Kata pegawai imigresen itu, kebanyakan pencari suaka sihat walaupun dua daripada kanak-kanak Iran mengalami masalah kulit.


"Mereka yang bermasalah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Rokok elektronik galak amalan merokok di kalangan kanak-kanak

Posted: 12 Apr 2013 10:36 AM PDT

Manila: Pihak berkuasa Filipina mengingatkan orang ramai bahawa penggunaan rokok elektronik boleh menyebabkan semakin ramai kanak-kanak terpengaruh menjadi perokok.

Ketua Pengarah Pentadbiran Makanan Dan Ubat-ubatan Filipina, Kenneth Hartigan-Go berkata, dakwaan bahawa rokok elektronik boleh mengatasi ketagihan rokok adalah tidak benar.


"Sedar atau tidak, rokok elektronik menggalakkan amalan merokok di kalangan kanak-kanak dan remaja.

"Ia membuat mereka semakin tidak bimbang kepada kesan serta risiko merokok," katanya.


Rokok elektronik semakin mendapat sambutan di Filipina disebabkan cukai tembakau semakin mahal. Mulai tahun ini, kerajaan meningkatkan cukai rokok secara berperingkat-peringkat selama lima tahun.


Di akhir pelaksanaannya pada 2017 nanti, harga rokok akan bertambah sehingga dua kali ganda.

Jabatan Kesihatan menyatakan, hampir seorang daripada setiap lima penduduk Filipina adalah perokok.


Kata Hartigan-Go, orang awam dinasihat tidak merokok langsung atau tidak menggunakan rokok, cerut atau rokok elektronik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Pasangan kahwin muda bertambah

Posted: 12 Apr 2013 10:35 AM PDT

Kadar perkahwinan di kalangan pasangan muda dilaporkan terus meningkat dari setahun ke setahun di sesetengah daerah di Jawa Timur.

Perkembangan itu menyebabkan pihak berkuasa tempatan semakin khuatir terhadap masalah pertambahan kelahiran mendadak. Ketua Daerah Malang, Rendra Krisna berkata, kadar perkahwinan awal meningkat sehingga 30 peratus sepanjang dua tahun lalu.


Keadaan itu, katanya, menyebabkan kadar populasi meningkat dengan ketara.

"Remaja berusia kurang dari 20 tahun belum bersedia berkahwin kerana kematangan mental dan ekonomi belum dicapai.


"Mereka tidak berniat untuk berkeluarga tetapi ada kemungkinan besar pasangan terbabit mendapat lebih daripada dua anak," katanya. Mengenai populasi semasa, Rendra berkata, ketika ini kadar pertumbuhan tahunan ialah 0.8 peratus walaupun kadar itu menunjukkan penurunan 1.1 peratus pada 2009.


"Namun kadar 0.8 peratus itu masih tinggi berbanding pertumbuhan populasi di Jawa Timur yang hanya 0.7 peratus," katanya. Setakat 31 Disember 2012, populasi Malang adalah lebih daripada tiga.

Menurut Data Lembaga Perancang Keluarga Malang, jumlah perkahwinan di kalangan remaja di bawah usia 20 tahun pada 2011 ialah 7,716, manakala pada 2012 ialah 8,515.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Lagu pilihan penentang Thatcher di tempat pertama

Posted: 12 Apr 2013 10:35 AM PDT

London: Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) serba salah selepas penentang Margaret Thatcher berusaha menempatkan lagu 'Ding Dong! The Witch Is Dead' di tempat teratas carta lagu Britain sebagai membantah dasar yang dilaksanakan sepanjang pemerintahannya.

Kempen atas talian untuk melonjakkan lagu 'Wizard of Oz' ke tangga pertama dalam carta single Britain dilancarkan oleh pengkritik Thatcher sejurus selepas kematian bekas perdana menteri itu Isnin lalu. 'Wanita besi' itu mati akibat serangan angin ahmar pada usia 87 tahun.


Lagu itu berada di tangga teratas di British iTunes.

Namun, masih ramai berkata, kempen berkenaan yang bertujuan untuk melihat lagu itu dimainkan hujung minggu ini pada rancangan Carta Rasmi BBC, adalah tindakan yang buruk.


Ramai yang menggesa BBC supaya berjanji tidak akan menyiarkan lagu itu.


Anggota Parlimen dari parti Konservatif Thatcher, John Whittingdale memberitahu Daily Mail, ramai akan menganggap tindakan menyiarkan lagu itu sebagai 'tidak sensitif langsung.' "Inilah cubaan untuk memanipulasi carta lagu oleh mereka yang cuba membuat kenyataan politik," katanya.

Dalam kenyataannya, BBC berkata, ia masih belum memutuskan sama ada akan menyiarkan lagu itu dalam rancangan berkenaan. yang biasanya memainkan semua lagu popular sepanjang minggu itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Foto aksi berahi Faby

Posted: 12 Apr 2013 10:33 AM PDT

Bintang filem Cinta Cenat Cenut, Faby Marcelia berdepan dengan masalah apabila beberapa gambar berahinya dengan seorang lelaki beredar di Internet.

Gambar yang dipercayai dirakam dengan menggunakan telefon bimbit dimuat naik ke akaun perkongsian gambar menunjukkan Faby separuh bogel.


Lebih teruk lagi apabila beberapa gambar lain menunjukkan dia bercium dengan lelaki yang dipercayai kekasihnya.

Aksi itu dirakam di dalam kereta dan juga bilik hotel.


Faby juga dilihat berkemban dengan tuala hotel itu sambil berpeluk dengan lelaki terbabit. Aktres itu ketika mengulas mengenai gambar berkenaan, mengaku wanita di dalam gambar itu adalah dia.


"Gambar bersama Reyan itu adalah saya. Ketika itu, saya kembali dari pantai dan memakai tuala berkenaan kerana ketika bermandi-manda di pantai, saya berbikini," kata aktres itu ketika ditemui di Kemang, Jakarta Selatan, semalam.

Katanya, gambar yang beredar di Internet itu dirakam dari telefon pintar miliknya yang hilang awal Mac lalu.


Dia bagaimanapun tidak bimbang mengenai perkembangan itu.

"Saya tidak bimbang selepas telefon itu hilang kerana tidak ada apa-apa di dalamnya. Saya memakai tuala itu kerana mahu menutup bikini. Ibu juga ada di situ ketika itu," katanya.


Bagaimanapun, aktres yang baru berusia 18 tahun itu kesal kerana gambar itu dijadikan bahan separuh bogel.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

KAIA terus sesak

Posted: 12 Apr 2013 10:32 AM PDT

Selepas projek perluasan dijalankan pada 2008, ramai menyangka Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA) akan setaraf dengan lapangan terbang utama Eropah seperti Charles De Gaulle di Perancis.

Malangnya, perubahan yang diharap tidak berlaku dan lapangan terbang itu terus dibelenggu masalah kesesakan pengguna, terutama disebabkan jemaah umrah.


Setiap kawasan dan sudut di bahagian utara lapangan terbang itu digunakan jemaah umrah - tua dan muda - untuk melelapkan mata atau sekadar berehat bersama bagasi masing-masing. Tidak cukup dengan itu ruang solat turut bertukar menjadi tempat tidur selepas semua kerusi yang ada di lapangan terbang berkenaan tiada yang kosong. Pengarah Jabatan Haji Dan Umrah KAIA, Khalid Al-Harbi berkata, 1,961 penerbangan tiba di lapangan terbang itu pada Mac lalu membawa 357,000 jemaah umrah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu menurun berbanding 2,675 penerbangan membawa kira-kira 459,000 jemaah untuk tempoh sama pada tahun lalu. "Pihak berkuasa mengalihkan semua penerbangan umrah dari kawasan untuk jemaah haji bagi mengelakkan kesesakan," katanya.


Untuk mengatasi masalah itu juga, kata Khalid, kawasan utara digunakan penerbangan berjadual membawa jemaah umrah.


Namun, katanya, penyusunan semula itu ternyata gagal mengatasi masalah yang ada. Sebelum ini, lebih 40 peratus daripada kerja perluasan KAIA disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

KAU diiktiraf terbaik di Teluk

Posted: 12 Apr 2013 10:32 AM PDT

Jeddah: Universiti Raja Abdul Aziz (KAU) diisytiharkan sebagai universiti terbaik di Teluk dan berada di kedudukan ke-49 di Asia.

Laporan Senarai Universiti Asia dikeluarkan majalah Times Higher Education (THE) menyatakan, institusi pendidikan tinggi Arab Saudi itu adalah antara yang terbaik di Asia. Pengarang THE, Phil Baty berkata, kedudukan itu juga membuktikan sektor pendidikan tinggi Arab Saudi sangat hampir dengan standard tertinggi dunia. "Ia adalah pelaburan yang menggalakkan dan usaha politik memastikan Arab Saudi berada di depan dalam bidang pendidikan sangat cerah," katanya. Sementara itu, Universiti Petroleum Dan Mineral Raja Fahd berada di kedudukan ke-62 dan Universiti Raja Saud di tempat ke-77 di Asia. KAU ditubuhkan pada 1967 dan mempunyai lebih 4,500 kakitangan yang memiliki ijazah doktor falsafah dan 46,000 mahasiswa dari 60 negara.


Ia juga mempunyai 16 pusat penyelidikan kecemerlangan, 24 kerusi saintifik dan pengukuhan penyelidikan.

Dana tahunan untuk penyelidikan KAU kini sudah mencecah kira-kira AS$70 juta (RM212 juta). - Arab News

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

No comments:

Post a Comment