Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Rasa rindu memang ada'

Posted: 13 Apr 2013 08:33 AM PDT

Okinawa, Jepun: Rasa rindu dengan keluarga di Malaysia sememangnya dirasai Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim walaupun mereka hanya baru lebih dua minggu menjalani kehidupan di Okinawa, Jepun sebagai pemain kelab FC Ryukyu.

Selain cabaran di atas padang, Wan Zack Haikal, 22, dan Nazirul Naim, 19, sedar berjauhan dengan keluarga di bumi asing itu antara cabaran besar perlu mereka hadapi.


Menurut Wan Zack yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab Divisyen Tiga itu hujung bulan lalu, dia teruja dengan cabaran baru dihadapinya biarpun berat badannya kini susut tiga kilogram.

"Memang terasa rindu dengan Malaysia sebab kita sudah tinggal lama di sana tapi bagi saya dalam masa lebih dua minggu ini saya rasa selesa di sini. Kalau rindu dengan keluarga saya akan berhubung dengan mereka," kata pemain yang pernah menjalani ujian pemilihan dengan FC Ryukyu selama dua minggu Julai tahun lalu.


Selain berhubung dengan keluarga menerusi telefon atau laman sosial seperti twitter atau skype, memasak adalah cara Wan Zack menghilangkan rasa rindu itu.


"Di sini kami selalu memasak kerana susah juga nak cari makanan halal di luar. Kami akan bergilir-gilir memasak, kalau pagi kami selalu buat cucur udang.

Foto

JADUAL padat membataskan masa Wan Zack (kanan) dan Nazirul menikmati keindahan Okinawa.

"Berat badan saya turun tiga kilogram berbanding 68 kilogram sebelum ini tapi bagi saya itu lebih baik kerana saya berasa lebih ringan dan laju apabila berlari," katanya yang tinggal bersama dengan Nazirul Naim di sebuah apartment disediakan kelab itu.


Sementara itu bagi Nazirul Naim, faktor pemakanan bukan masalah besar buat mereka di sana setakat ini.

"Memang rindu dengan masakan di Malaysia tapi keluarga ada hantar bekalan makanan dan memang kami selalu masak sendiri.


"Ikan, sayur semua kami beli di kedai. Kalau ikan, kami akan masak pedas atau masak kicap. Kami akan bergilir-gilir memasak, tengok siapa yang tak penat, kalau masing-masing penat kami akan makan di luar saja," kata pemain pertahanan kiri itu.


Menurut Nazirul Naim yang mengikat kontrak setahun dengam FC Ryukyu, jadual mereka agak padat dengan latihan dan perlawanan setiap minggu hingga membataskan masa untuk keluar menikmati kawasan sekitar Okinawa yang terkenal sebagai pulau peranginan di Jepun.


"Setakat ini kami hanya duduk di rumah jika ada masa lapang lagipun kami belum ada pengangkutan sendiri. Kami perlu ambil lesen di sini dulu baru pihak kelab akan beri kami kereta." Sementara itu ketika ditanya mengenai sejauh manakah mereka mampu bertahan menjalani cabaran hidup sebagai pemain bola sepak di sana, Wan Zack Haikal menegaskan akan cuba mengubah persepsi buruk peminat bola sepak tanah air terhadap pemain negara.


"Itu persepsi orang, saya tidak boleh buat apa-apa, saya cuma boleh buktikan mereka hanya bercakap kosong. Saya akan buktikan mampu mencipta sesuatu di sini." Sebelum ini pemain tempatan seperti dilanda sindrom tidak mampu bertahan lama di luar negara dengan kes terbaru membabitkan pemain muda Muhammad Faiz Nazmi Mansor yang menamatkan kontrak awal bersama SC Beira-Mar dan Ahmad Fakri Saarani dari Atletico SC di Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Hamilton terpantas

Posted: 13 Apr 2013 08:27 AM PDT

Shanghai: Lewis Hamilton merebut petak pertama bersama pasukan barunya Mercedes pada kelayakan Grand Prix China di Shanghai, semalam sewaktu pencabar utama Red Bulls gagal mempamerkan aksi meyakinkan.

Pelumba Britain itu yang mengalami masalah alahan dan pulang awal dari litar Khamis lalu, beraksi garang pada sesi terakhir untuk merebut petak pertama di depan pelumba Lotus dan juara perlumbaan pertama di Australia, Kimi Raikkonen.


Dalam cuaca panas dan kering itu, Hamilton yang yang mencatat masa terpantas pada ketiga-tiga sesi kelayakan, mencatat masa terbaik satu minit 34.484 saat, berbanding Raikkonen, 1:34.761s. Pelumba Ferrari Fernando Alonso muncul pelumba ketiga terpantas.

Rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg yang meraih kemenangan pertama di Shanghai tahun lalu menduduki petak keempat di depan pelumba Ferrari Felipe Massa. Pelumba Brazil itu berada di barisan ketiga bersama Romain Grosjean daripada Lotus.


Sementara juara dunia daripada Red Bull Sebastian Vettel hanya layak di petak kesembilan, gagal mencatat masa pada sesi terakhir. Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber, yang turut menjadi tumpuan kerana hubungan keruh kedua-dua pelumba terpaksa berhenti pada sesi kelayakan kedua dan bermula di petak ke-14.


"Saya sihat sejak dua minggu lalu dan sakit sebaik datang ke sini," kata Hamilton yang sebelum ini menduduki petak ketiga dan keempat dalam sesi kelayakan di Australia dan Malaysia bersama Mercedes.

Pelumba berusia 28 tahun itu yang juga juara dunia 2008, dilapor mengalami alahan debunga.


"Sudah tentu ia membimbangkan tapi saya dapat berehat panjang dan ini adalah hari terbaik. Esok pasti lebih baik." Alonso, juara dunia dua kali gembira dengan pencapaian itu dan menyifatkan hujung minggu itu menyebelahinya.

"Kereta kompetitif sejak semalam. Kereta bertindak balas dengan baik terhadap perubahan yang kami lakukan. Jika semua berjalan lancar, kami boleh berjuang untuk ke podium dengan kedua-dua kereta." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Day pikul tugas berat

Posted: 13 Apr 2013 08:27 AM PDT

Augusta, Georgia: Jason Day yang dianugerahkan bahu yang bidang boleh dianggap bertuah. Selepas hampir mendahului cabaran Masters, kelmarin, pemain dari Australia itu kini memikul tanggungjawab memenuhi impian membawa pulang gelaran utama itu.

Sama seperi rakan senegara yang lain, Day tidak perlu diingatkan tiada wakil Australia menjulang trofi di Augusta setakat ini. Oleh itu, pemain berusia 25 tahun itu berharap dapat melakar sejarah meledak kemenangan pertama.


"Semuanya bergantung pada cara anda menilai situasi. Jika melihatnya dengan rasa tertekan, pastinya rasa bimbang itu akan hadir," katanya selepas mencatat 68 pukulan untuk mendahului saingan dengan satu pukulan dan enam bawah par.

"Jika melihatnya sebagai cabaran dan peluang menjadi pemain pertama melakar kemenangan buat negara dan terus positif, saya pasti lebih bersemangat untuk bermain dengan baik," tegasnya.


Day beraksi di Masters buat kali ketiga namun sudah mempamerkan kehebatannya untuk menjadi pemain pilihan di Augusta.


Pada penampilan sulung dua tahun lalu, dia berkongsi tangga kedua dengan rakan senegara, Adam Scott.

Tahun lalu, Day hadir di Augusta dengan kecederaan buku lali hingga terpaksa menarik diri pada pusingan kedua. Namun, kini dia sudah cergas sepenuhnya.


"Saya harap dapat bermain meskipun kesakitan tahun lalu tapi malangnya saya tidak dapat menanggung kecederaan itu." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Tagih pamer aksi terbaik

Posted: 13 Apr 2013 08:26 AM PDT

London: Frank Lampard sedar Chelsea perlu menampilkan aksi terbaik jika mahu menewaskan Manchester City pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Wembley, malam ini.

Pemain tengah itu menghormati pasukan Roberto Mancini itu dan mengaku mereka mempunyai barisan pemain berbakat tetapi yakin biarpun City mempunyai kelebihan beberapa hari untuk melakukan persediaan, apa yang dicapai pada Liga Europa kelmarin boleh membantu Chelsea mara ke final Piala FA buat kali kelima dalam tempoh tujuh tahun.


"Mereka mungkin lebih cergas tapi kami baru menamatkan perlawanan kelayakan untuk ke separuh akhir. Kami pemain profesional, cergas, tanpa sebarang rehat mahupun persediaan," kata Lampard yang dijangka membuat penampilan ke-600 bersama Blues pada perlawanan itu.

"Sudah pasti ia bukan satu alasan untuk menghadapi perlawanan seperti itu. Saya pasti mereka lebih suka jika berada di Liga Juara-Juara atau Liga Europa dan ia memberi lebih keyakinan.


"Mereka mungkin bersemangat selepas perlawanan liga baru-baru ini tetapi hakikatnya ia perlawanan seimbang buat kedua-dua pasukan.


"Jika mereka berada pada tahap terbaik dan kami pula sebaliknya, mereka boleh menang perlawanan itu. Anda bercakap mengenai dua pasukan yang bagus dan saya hormati mereka. Ia pastinya perlawanan yang hebat, terutama jika kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik.

"Mungkin ada yang bersikap negatif terhadap mereka tahun ini berdasarkan pencapaian tahun lalu. Keadaan sukar buat banyak pasukan kerana Manchester United sangat konsisten dan jauh di depan tapi City memang bagus.


"Terdapat beberapa ancaman besar. Carlos Tevez hebat. Saya tahu tenaga dan kualiti miliknya, dia sentiasa memberi ancaman. Begitu juga Sergio Aguero yang mempunyai kepantasan selain David Silva dan Yaya Toure." Rafael Benitez dijangka menggilirkan barisan pemain selepas perlawanan menentang Rubin Kazan di Moscow tapi Lampard mengaku tiada siapa dijamin aksi ke Wembley.

"Saya berjaya bersama England dan Chelsea di sana tapi setiap perlawanan berbeza. Kami pernah mengalami final yang hebat di Wembley dan tempat lain. Piala FA satu kejohanan bertuah buat kami." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Fergie optimis

Posted: 13 Apr 2013 08:26 AM PDT

Manchester: Sir Alex Ferguson optimis Manchester United mampu menang di Stadium Britania, hari ini untuk memulihkan semula sasaran meraih gelaran musim ini.

Manchester City berjaya merapatkan jurang kepada 12 mata dengan baki tujuh perlawanan awal pagi Selasa lalu. Keputusan itu meresahkan segelintir penyokong yang bimbang insiden tahun lalu berulang.


"Kami punya kerja yang perlu dilunaskan. Kelebihan masih milik kerana tinggal tujuh perlawanan lagi.

"Namun, Stoke tidak boleh dipandang remeh meskipun kedudukan Stoke terumbang-ambing. Saya percaya mereka tidak akan tersingkir ke liga bawahan kerana memiliki skuad yang stabil.


"Kami bagaimanapun tidak boleh selesa mendahului 12 mata. Yang penting kami menewaskan Stoke. Seperti biasa, pasukan perlu lakukan yang terbaik," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Amaran Aguero

Posted: 13 Apr 2013 08:26 AM PDT

Manchester: Sergio Aguero berharap Manchester City melakar kemenangan ketiga ke atas Chelsea musim ini selepas melakukannya pada aksi Perisai Komuniti dan Liga Perdana.

Bintang Argentina itu melaungkan cabaran berdepan skuad Rafa Benitez itu selepas gah menewaskan Manchester United, Selasa lalu. Kini City cergas sepenuhnya dan teruja untuk menentang pasukan dari barat London itu.


"Kami mengharungi tiga perlawanan sengit menentang Chelsea musim ini dan situasi pasti sama, hari ini.

"Kami mahu menang sama seperti yang dilakukan awal musim ini pada cabaran merebut Perisai Komuniti dan aksi liga di laman sendiri. Saya harap keputusan perlawanan kekal sama kali ini.


"Pengurus Chelsea kini cuba menggunakan pendekatan berbeza. Perlawanan ini bakal menjadi lebih terbuka dan pasukan yang lebih fokus akan menang," katanya.


Aguero antara pemain gantian yang tidak digunakan ketika kali terakhir City beraksi di Wembley pada perlawanan Perisai Komuniti 2012 menentang United.

Kini dia meninjau untuk mendapat peluang bermain lebih lama di stadium yang dianggapnya terbaik di dunia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Minat jadi DJ

Posted: 13 Apr 2013 08:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet wushu negara, Diana Bong ingin menjadi DJ radio sekiranya tidak bergelar atlet.

Soalan: Jika bukan atlet anda seorang...

Jawapan: Saya minat untuk memulakan kerjaya sebagai DJ radio jika sudah tamat pengajian. Bidang ini menepati kursus pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), jurusan Komunikasi Massa.

(S): Mengapa?

(J): Saya minat untuk menjadi DJ radio kerana ia kerjaya yang menyeronokkan selain wajah saya tidak perlu disiarkan.

(S): Namun, pada masa sama anda minati bidang pengacaraan?

(J): Ya. Tetapi hanya ingin mengacara rancangan masakan atau membabitkan makanan saja. Contohnya seperti rancangan masakan Chef Wan atau Jalan-Jalan Cari Makan TV3.

(S): Mengapa pula?

(J): Kerana saya suka makan dan boleh menggunakan peluang itu untuk meninjau restoran yang sedap.

(S): Adakah dua bidang ini cita-cita anda sejak kecil?

(J): Saya punyai impian yang sungguh jauh menyimpang daripada apa yang saya buat sekarang, iaitu ingin menjadi saintis.

(S): Menarik, mengapa anda tidak teruskan cita-cita itu?

(J): Ia di luar kawalan saya kerana waktu itu saya dibesarkan ibu saudara dan aktif dalam wushu bermula di sekolah menengah. Saya juga mengambil jurusan komunikasi ini secara kebetulan hasil nasihat jurulatih.

(S): Adakah Komunikasi Massa bidang yang anda minati?

(J): Tidak juga. Tetapi saya akan buat yang terbaik kerana sudah mengikuti pengajian ini.

(S): Mengapa minat menjadi saintis masa kecil?

(J): Tidak pasti. Ini kerana saya suka bermain dengan barang ibu masa kecil seperti syampu, pil pencuci tandas dan sabun hingga menjadi buih. Saya kemudian bayangkan menjadi saintis dengan bermain buih terbabit. Adakalanya saya campurkan bahan pencuci tadi dengan garam atau gula konon-kononya menjalankan eksperimen.

(S): Keluarga anda tidak marah kerana bermain dengan barangan pencuci seperti itu?

(J): Ibu saya amat marah hingga akan merotan sekiranya saya ditangkap. Oleh itu, saya akan curi-curi menjadi 'saintis' di rumah.

(S): Selain wushu, mungkin anda mempunyai kepakaran dalam bidang lain?

(J): Saya pandai membuat sulaman Cina. Saya ada menjahit sulaman itu di asrama dan mempunyai koleksi peribadi cuma tidak banyak berikutan kurang masa terluang.

(S): Jika ada masa terluang, apa yang anda sering lakukan?

(J): Saya suka menonton wayang bersama kawan-kawan. Jika tidak bersama mereka, saya akan menonton seorang diri.

(S): Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang...

(J): Garang. Ini kerana saya mempunyai rupa paras yang serius dan garang, apatah lagi seorang atlet wushu. Tetapi bila sudah kenal, mereka mengatakan saya seorang yang 'cool'.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Bijak ambil kesempatan

Posted: 13 Apr 2013 08:23 AM PDT

Kuala Lumpur: Hubungan akrab antara muka lama dan baru dianggap sebagai pemangkin kepada prestasi atlet. Bagi pemain boling kebangsaan, Adrian Ang, keakraban itu dianggap 'resepi' untuk membangunkan lagi mutu sukan itu di peringkat dunia namun tidak menafikan ia juga bergantung kepada cara pemikiran masing-masing.

Bagi pemain skuad sokongan, Aris Ardila Santosoh, dia amat berbesar hati seniornya Adrian bersama Zulmazran Zulkifli banyak membantu bukan saja daripada segi nasihat malah sokongan padu bagi menaikkan lagi namanya dalam sukan boling tempatan.

Ikuti tips Adrian kepada Aris serta pengalaman pemenang pingat emas acara beregu dan perak berpasukan Sukan Asia 2010 sepanjang bergelar atlet.

Soalan (S): Apakah nasihat untuk menjadi pemain boling yang bagus?

Jawapan (J): Bagi saya seseorang itu perlu bijak mengawal pemikiran. Setiap lorong boling berbeza dan kita perlu bijak dan pantas memahami lorong.


(S): Bagaimana cara mengukuhkan lagi nama dalam arena sukan ini?

(J): Secara peribadi, saya berpendapat Aris atau semua muka baru perlu bijak mengambil setiap peluang diberikan jika dihantar beraksi dalam mana-mana kejohanan. Anda perlu buktikan kemampuan di medan saingan dan lakukan yang terbaik.

(S): Sebagai pemain baru, pasti akan ada rasa takut setiap kali ingin menghayunkan bola sewaktu beraksi. Bagaimana menangani situasi itu?

(J): Rasa takut ada pada setiap orang meskipun atlet tersohor dunia sekalipun. Kita perlu bijak memikirkan cara terbaik meredakan rasa takut itu dengan menanam sikap tenang dan yakin. Sesetengah orang terutama atlet mempunyai cara unik meredakan rasa takut.

Saya contohnya, mengamalkan minum air kosong setiap kali timbul rasa takut. Air kosong memberikan saya sedikit 'kelegaan'. Tapi setiap atlet mempunyai cara tersendiri, mereka perlu memikirkan cara terbaik.

(S): Bagaimana anda boleh bergiat secara aktif dalam sukan boling? Ada sesiapa memberi dorongan kepada anda?

(J): Ayah saya. Beliau sebenarnya adalah 'jurulatih' saya. Ayah memainkan peranan utama dalam susur galur perjalanan saya sebagai atlet.

Sebenarnya, ayah aktif dalam sukan boling di kampung halaman, Pulau Pinang tapi bukan sebagai pemain kebangsaan. Sejak kecil saya sering dibawa menemani ayah ke pusat boling. Bermula dari situ, minat lahir dengan sendiri hingga saya mula bergiat secara aktif seawal usia sembilan tahun.

Kemudian, ayah gigih melatih saya bermain boling dengan baik dan misinya untuk saya menang setiap perlawanan di Pulau Pinang. Awalnya, beliau langsung tidak menjangkakan saya mampu bergelar pemain kebangsaan, pasti pencapaian semasa saya menggembirakannya.

Namun, apa yang saya hormati mengenai ayah ialah beliau mengajar saya menerusi pengalaman bermain di Pulau Pinang. Saya begitu menghargainya.

(S): Disebabkan ayah 'jurulatih' anda, mungkin ada nasihat diberikan kepada anda hingga menjadi pembakar semangat hingga kini? Mungkin nasihat ini juga boleh menjadi azimat buat adik-adik dalam skuad sokongan.

(J): Ya, ayah sering mengingatkan saya untuk kekal tenang, jangan sesekali panik dan menikmati perlawanan. Nyata, nasihat itu menjadi kerana jika 'enjoy' ketika bersaing pastinya tekanan atau rasa takut itu hilang.

(S): Anda pernah mencuri tumpuan apabila menerima habuan paling banyak pada Sukan SEA Indonesia 2011 malah turut dicalonkan sebagai olahragawan temasya itu, mungkin anda ada kenangan manis dalam saingan lain?

(J): Acara boling tidak tersenarai dalam Sukan Olimpik. Oleh itu, temasya paling utama buat kami ialah Sukan Asia dan saya pernah meraih emas beregu serta perak berpasukan.

Selain itu, pengalaman paling hebat buat saya ialah berjaya menduduki tangga kedua di Cabaran Euro Brunswick 2010. Namun, lebih istimewa berpeluang berentap dengan tiga pemain profesional dunia. Itu pengalaman paling hebat dalam kerjaya saya sebagai atlet.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Menang mudah!

Posted: 13 Apr 2013 08:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Piala Axiata negara mempamerkan aksi bertenaga untuk melangkah ke final selepas menundukkan barisan bintang Asia 3-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Lebih menarik apabila Sonia Cheah yang pertama turun ke gelanggang membuktikan kemenangannya ke atas Tai Tzu Ying dua minggu lalu, bukannya disebabkan nasib.


Meskipun akur rankingnya ke-41 lebih rendah berbanding Tzu Ying yang berada di kedudukan kesembilan dunia, Sonia bermain dengan penuh keyakinan mengatasi Tzu Ying 21-18, 21-16.

"Permainan saya jauh lebih baik berbanding dua minggu lalu. Saya tidak kisah bertemu sama ada Thailand atau Indonesia di final kerana saya kini lebih yakin," kata Sonia yang pernah tewas kepada pemain Thailand, Intanon Ratchanok pada kejohanan remaja.


Mata kedua negara disumbang Liew Daren yang menebus kekalahan kepada Lee Hyun Il dua minggu lalu.


Begitupun drama perlawanan kedua-dua pemain, hampir mengulangi skrip sama seperti dua minggu lalu apabila perlawanan berlangsung tiga set.

"Kali ini saya lebih bertenaga dan amat gembira kerana dapat menyamakan rekod pertemuan 3-3. Jika berdepan Indonesia di final, saya berpendapat mereka akan turunkan Tommy Sugiarto kerana dia menang pertemuan tunggal kami pada 2007," kata Daren.


Mata kemenangan negara dihadiahkan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Kona Tarun-Ashwini Ponappa 21-8, 18-21, 21-17 membolehkan skuad negara menang 3-0 tanpa memerlukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turun ke gelanggang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

Status pasukan elit terjejas

Posted: 13 Apr 2013 08:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua kekalahan berturut-turut di tangan juara bertahan Liga Premier, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) cukup memeritkan bagi Sapura yang memegang status antara pasukan elit saingan TNB Liga Hoki Malaysia (LHM).

Justeru itu, kemenangan ke atas UniKL hari ini diharap menjadi penawar buat mereka namun kekalahan hanya akan melebarkan lagi rasa kecewa skuad bimbingan bekas jurulatih negara Tai Beng Hai.


Bagi Beng Hai, beliau menerima dua kekalahan itu selepas menyifatkan anak buahnya sudah melakukan yang terbaik selain akur dengan kehebatan KLHC.

"Musim ini kami tidak dibarisi pemain kebangsaan selain hanya dibantu empat pemain import iaitu tiga dari Pakistan dan satu dari India.


"Keempat-empat pemain import inipun hanyalah bekas pemain kebangsaan negara masing-masing. Sebagai jurulatih saya perlu menggunakan semaksimum mungkin tenaga pemain sedia ada," katanya.


Mengulas pertemuan dengan UniKL hari ini, Beng Hai mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

"Kadangkala kita membuat jangkaan yang silap tentang UniKL dengan menyatakan mereka kurang berpengalaman dan sebagainya.


"Tetapi kita harus ingat, rata-rata pemain muda mereka adalah pemain remaja skuad negara dan mampu memberi saingan.

"walaupun kami menang 3-1 pada perlawanan sebelum ini, kami tidak akan memandang rendah keupayaan UniKL. Sudah tentu kami mahu meraih tiga mata." Sementara itu, KLHC berpeluang untuk terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga apabila bertemu Terengganu HT manakala pasukan berstatus elit, Maybank akan bertemu pasukan Nur Insafi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

No comments:

Post a Comment