Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bawa dendam sampai pusara

Posted: 14 Apr 2013 11:17 AM PDT

London: Kerana dendam, seorang wanita tua sanggup mencemar pusara isteri seorang lelaki yang pernah melukakan hati temannya.

Perbuatan wanita berusia 78 tahun itu, Clare Burke bagaimanapun terbongkar apabila lelaki terbabit memasang kamera litar tertutup di sebalik pokok berhampiran kubur isterinya.

Ron Wilks, 77, melihat Clare mencampakkan bunga layu dan batu kerikil pada kubur mendiang isterinya, Jill Wilks dan cucunya, Haryley Reynold selepas memasang kamera itu.

Majistret di Cheltenham, semalam diberitahu Clare bertindak mencemar kubur itu kerana berdendam terhadap Wilks.

Foto

WILKS (kiri) dan anaknya di kubur isterinya yang diganggu Clare.

Foto

Clare


Dia mendakwa Wilks bertunang dengan seorang wanita yang pernah berpacaran dengan bekas temannya.


Pendakwa raya Sharon Jomaa berkata, video itu merakam perbuatan Clare mencampakkan beg penuh dengan bunga layu dan batu kerikil di atas kubur isteri Wilks.

Dia juga mencabut bunga segar dan menanam pokok yang sudah mati pada pasu di kubur di Coney Hill itu.

Wilks memberitahu mahkamah, dia mengenali Clare ketika bekerja dengan sebuah syarikat kewangan dan Clare pelanggan syarikat itu.

Kerana kesalahannya itu, Clare dikenakan hukuman tertunda selama 12 bulan dan dilarang melawat tanah perkuburan itu.

Wanita itu juga diarah membayar kos ganti rugi berjumlah £100 (RM480).

Ini bukan kali pertama Clare berdepan dengan kes mahkamah. Dia pernah dituduh mengganggu bekas teman lelakinya dengan menghantar poskad mengecop lelaki itu sebagai penagih Viagra dan penipu. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Guna dinamit lari dari penjara

Posted: 14 Apr 2013 11:03 AM PDT

Lille (Perancis): Seorang perancang kumpulan perompak bersenjata ganas memboloskan diri dari tahanan semalam selepas meletupkan lima pintu penjara.

Dianggap penjenayah paling digeruni di Perancis, Redoien Faid menjadikan empat warden Penjara Sequedin sebagai tebusan.


Dia kemudian meletupkan lima pintu besi penjara menggunakan dinamit.

Polis percaya Faid memperoleh bahan letupan itu yang diseludup isterinya menggunakan balutan sapu tangan sebelum ini. Sebaik saja bolos, Faid membebaskan warden terbabit dan melarikan diri menaiki sebuah kereta.


Kenderaan itu kemudian ditemui dibakar berhampiran bandar Ronchin. Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa sedang mengesan kenderaan kedua yang digunakan Faid bagi melarikan diri.


Jurucakap penjara berkata, tindakan nekad Faid ternyata dirancang teliti.

"Kami masih mengumpul maklumat," katanya.


Faid dinamakan sebagai suspek utama kejadian rompakan bersenjata mengorbankan seorang pegawai polis pada 2010.

Seramai 27 orang ditahan dalam operasi selepas rompakan itu, tetapi Faid bukan seorang daripada mereka. Bagaimanapun, dia akhirnya diberkas pada Jun 2011 dan dipenjara lapan tahun.


Faid yang membesar di kawasan perumahan kerajaan di pinggir Paris dianggap ganas dan sering menjadikan kenderaan membawa wang sebagai sasarannya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

10 juta tonton video baru Psy

Posted: 14 Apr 2013 11:01 AM PDT

Seoul: Video muzik baru bintang 'Gangnam Style' ditonton lebih 10 juta kali di YouTube kurang daripada 24 jam selepas dia mempamerkan tarian barunya di Seoul.

Bintang pop Korea Selatan itu, kelmarin membuat persembahan kali pertama tarian goyang pinggul untuk meniru kejayaan 'Gangnam Style' dan gerak tari kudanya dalam single terbaru, 'Gentleman.'

Video itu diterbitkan sehari selepas lagu berkenaan mendapat sambutan hangat menerusi online di seluruh dunia dengan catatan 10.7 juta tontonan dalam masa 15 jam selepas dilancarkan di satu konsert penuh sesak di Seoul.

Video berkenaan menunjukkan Psy dengan cermin mata hitamnya menari di beberapa lokasi di sekitar Seoul termasuk di sebuah kedai pakaian ternama, restoran dan kolam renang.


Seni kata lagu itu mengisahkan penyanyi itu mengajuk dan membuat lawak praktikal terhadap wanita termasuk menarik kerusi mereka ketika mereka hendak duduk sebelum dia bertemu buku dengan ruas.


Video 'Gangnam Style' dan tarian kuda Psy membolehkan dia menjadi terkenal di seluruh dunia tahun lalu selepas dimuatnaikkan ke YouTube.

Bagaimanapun, video yang menunjukkan dia melawat serta tarian baru goyang pinggulnya menarik perhatian peminat.

"Lagu itu agak menarik! Saya duduk mendengarnya sambil menggoyangkan pinggul saya walaupun saya tidak faham apa yang dinyanyikannya," kata seorang pengguna YouTube.

"Percayalah video ini akan menjadi yang kedua mencatatkan 1 bilion pengunjung," kata seorang lagi pengulas sementara yang lain berkata: "Selamat Tinggal Harlem Shake," merujuk kepada satu lagi tarian yang menjadi tarikan di seluruh dunia baru-baru ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Rai kematian Thatcher

Posted: 14 Apr 2013 10:59 AM PDT

London: Ratusan rakyat Britain berhimpun di tengah bandar raya ini semalam meraikan kematian bekas Perdana Menteri negara itu Margaret Thatcher.

Acara itu dirancang aktivis berhaluan kiri sejak beberapa tahun lalu sekiranya Thatcher meninggal dunia.


Ia digelar 'Parti Sepanjang Hayat.' Bagaimanapun, acara semalam hanya menarik beratus-ratus penyokong.

Sambil melaungkan slogan 'Maggie, Maggie, Maggie, mati, mati, mati,' mereka menari dan mengibarkan sepanduk mengutuk bekas pemimpin itu.


Yang lain mengusung patung Thatcher, lengkap berpakaian biru dan beg tangan, Thatcher yang digelar Wanita Besi meninggal dunia Isnin lalu pada usia 87 tahun.


Penduduk Britain yang membencinya sama banyak dengan yang menyukainya. Dasar Thatcher sepanjang memerintah Britain dari 1979 hingga 1990 dikatakan menjadi punca kepada keluasan jurang antara penduduk kaya dengan miskin negara itu.

Sementara itu, kerajaan Britain sudah bersiap sedia mengadakan majlis pengebumian penuh penghormatan tentera untuk Thatcher Rabu ini. Ia dijangka menelan belanja RM48 juta, menyebabkan sebahagian rakyat Britain membantah rancangan itu. — AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Telan cincin RM9,600

Posted: 14 Apr 2013 10:58 AM PDT

Manchester (New Hampshire): Polis semalam berkata, mereka berjaya menemui cincin pertunangan berharga A$3,200 (RM9,600) yang ditelan seorang lelaki dalam satu cubaan mencuri di sebuah kedai barang kemas.

Pihak berkuasa menuduh Ronald Perley, 52, mencuri dan memalsukan bukti selepas sinar-X menunjukkan cincin emas 14 karat bertatah berlian berada dalam perutnya.


Menurut laporan media tempatan, Perley memasuki kedai barang kemas terbabit Khamis lalu dan bertanya tentang cincin pertunangan.

Petugas berkata, dia tiba-tiba merampas sebentuk cincin. Apabila ditegur, Perley menelan cincin itu.


Menurut polis, rakaman kamera menunjukkan Perley mengambil cincin itu dan meletakkan tangannya pada mulutnya.


Dia akan dihadapkan ke mahkamah minggu ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Gaji jurucakap lebih tinggi dari gaji Putin

Posted: 14 Apr 2013 10:57 AM PDT

Moscow: Pendapatan Presiden Russia Vladimir Putin tahun lalu berjumlah 5.7 juta ruble (RM558,000), tetapi perolehan jurucakapnya hampir sekali ganda.

Menurut jurucakap Putin, Dmitry Peskov, dia memperoleh pendapatan sebanyak 11.1 juta ruble (RM1.1 juta) tahun lalu 5.4 juta ruble (RM529,000)lebih banyak daripada pemimpin itu.


Perisytiharan pendapatan kini diwajibkan ke atas pegawai Russia selepas diperkenalkan tahun lalu selepas isu pendapatan Timbalan Perdana Menteri Pertama Igor Shuvalov memeranjatkan penduduk Russia.

Perisytiharan tahun lalu menunjukkan pendapatan keluarga Shuvalov berjumlah 449.4 juta ruble (RM48 juta), paling tinggi di kalangan pegawai Russia. Pendapatan peribadinya adalah separuh daripada yang diperoleh isterinya.


Seorang jurucakap berkata, Shuvalov memindahkan asetnya ke Russia kerana undang-undang negara itu melarang pegawai mempunyai akaun bank di luar negara.


Perdana Menteri Dmitry Medvedev memperoleh pendapatan 5.8 juta ruble (RM568,000) sementara isterinya tidak mempunyai pendapatan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

No comments:

Post a Comment