Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


90 minit penentu!

Posted: 15 Apr 2013 12:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Bermain secara bertahan bukan pilihan terbaik buat Selangor apabila tampil di Stadium Shah Alam menentang Johor Darul Takzim pada perlawanan kedua suku akhir Piala FA, malam ini.

Merah Kuning kendalian Irfan Bakti Abu Salim menang 2-1 pada aksi pertama di Johor Bahru, 6 April lalu menyebabkan lawan perlu mencari sekurang-kurangnya dua gol untuk menempah tiket ke separuh akhir sambil mengharapkan gawang tidak dibolosi.


"Kami mempunyai kelebihan gol tempat lawan. Namun kami tidak boleh terlalu bertahan kerana ia bakal mengundang tekanan kepada diri sendiri.

"Sememangnya jentera serangan lawan tidak boleh dipandang remeh kerana tidak pernah berputus asa ditambah dengan kemungkinan import baru mereka dapat beraksi," kata pemain tengah Selangor, Mohd Amri Yahyah.


Hampir semua perlawanan dilalui Johor DT kendalian Fandi Ahmad menyaksikan jentera penyudah mereka menggegar gawang lawan terutama menerusi penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha selain kelibat Safee Sali.


Kedua-dua pasukan kini berada pada tahap terbaik apabila Selangor dan Johor DT terikat 22 mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan untuk menghuni tangga kedua dan ketiga Liga Super.

"Seperti biasa kami perlu lupakan kelebihan dan kemenangan dimiliki kerana baki 90 minit menentukan segala-galanya. Walaupun moral tinggi susulan rentetan kemenangan yang diraih, fokus perlu diutamakan," kata penyerang berpengalaman itu.


Kecuali Peter Chrappan yang mengalami kecederaan, Irfan Bakti dijangka tidak mempunyai masalah menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan Selangor menjadi antara empat pasukan terbaik Piala FA musim ini.

Bekas kapten Selangor itu turut berharap peminat membanjiri Stadium Shah Alam bagi menaikkan lagi semangat pemain kerana Piala FA yang paling hampir untuk dicapai bagi menamatkan kemarau kejuaraan dialami mereka sejak beberapa tahun ini.


Andai berjaya menyingkirkan Johor DT, mereka akan menanti pemenang pertemuan Sime Darby dan Pahang yang membuat perhitungan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Misi juara Sepang

Posted: 15 Apr 2013 12:32 PM PDT

Sepang: Selepas mencatat kemenangan meyakinkan kategori CP130 pada perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Batu Kawan baru-baru ini, Azlan Shah Kamaruzzaman kini memburu pula kemenangan kategori Supersports 600cc.

Semangat penunggang berusia 29 tahun itu memburu kemenangan pertama kategori itu berada pada tahap terbaik apabila beraksi pada pusingan pertama Kejohanan Motosikal Asia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.


Tampil bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing, Azlan berharap tuah menyebelahinya apabila beraksi di tempat sendiri.

"Keyakinan bertambah tinggi kerana bergandingan semula dengan pelumba Jepun, Makoto Tamada yang berpengalaman beraksi dalam MotoGP dan Kejohanan Superbike Dunia.


"Sebagai persiapan, kami menjalani latihan bersama-sama bagi mendapatkan pelarasan jentera dan ujian tayar di litar Sepang dan Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.


"Setakat ini, segala-galanya berjalan lancar walaupun barisan pelumba musim ini lebih sengit berikutan kehadiran pelumba dari Jepun, Thailand, Australia dan beberapa pelumba berpengalaman seperti Md Zamri Baba (Yamaha), Ahmad Fuad Baharudin dan Katsuaki Fujiwara (Kawasaki)." Tamada adalah pemenang perlumbaan MotoGP di Jepun dan Brazil, bertindak sebagai jurulatih Piala Impian Asia (ADC) tahun lalu. Bagaimanapun tugas itu kini diambil alih seorang lagi bekas pelumba MotoGP, Shinya Nakano.

Azlan dan Tamada pernah menjadi rakan sepasukan Honda berlumba pada perlumbaan tahan lasak Suzuka 8 jam tahun lalu. Tamada juga menyertai Musashi Boon Siew Honda Racing menggantikan rakan dan juara tahun lalu, Ryuichi Kiyonari yang kembali menyertai Kejohanan Superbike British.


Azlan, dibimbing bekas pelumba berpengalaman, Ahmad Zamani Baharuddin, menamatkan saingan tempat kedua keseluruhan tahun lalu dan keempat keseluruhan pada 2011.

"Sejak menyertai saingan ini pada 2006, saya semakin serasi dengan tunggangan jentera berkuasa tinggi dan semakin matang. Tahun ini persiapan lebih baik, semangat lebih tinggi dan persiapan mental fokus menghadapi dua perlumbaan Supersports 600cc di Sepang pada tahap terbaik. Saya mahu memperbaiki kedudukan podium tempat kedua dan ketiga tahun lalu, meraih kemenangan jika boleh pada kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Ramdan teruja mula kempen ARRC

Posted: 15 Apr 2013 12:32 PM PDT

Sepang: Pelumba remaja, Mohd Ramdan Mohd Rosli tidak sabar memulakan kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS 2013 di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Penunggang pasukan PETRONAS AHM Malaysia itu yakin musim ketiganya dalam kelas SuperSports 600cc menjanjikan keputusan lebih baik selepas menemui keserasian dengan jenteranya.


Selain itu, Ramdan juga lebih bersemangat selepas menjejak podium pada pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pemuda berusia 17 tahun itu turut mencatat beberapa kejayaan dengan jentera Yamaha YZF-R6 miliknya menerusi satu kemenangan di Siri Pan Delta di Zhuhai, China dan satu kedudukan podium di Indospeed Racing Series (IRS) di Indonesia.


"Banyak usaha dilakukan sebagai persediaan melangkah ke musim baru ini. Selain sesi ujian pramusim Februari lalu, kami juga melakukan beberapa ujian tertutup serta menyertai beberapa kejuaraan di luar negara.


"Letih juga terpaksa melalui semua cabaran ini namun ia banyak membantu saya menyesuaikan diri dan memahami jentera Yamaha R6 dengan lebih baik. Secara tidak langsung, ini memberikan saya lebih keyakinan untuk memacu jentera dengan lebih pantas dan agresif musim ini," kata anak muda kelahiran Klang yang menjadi rakan sepasukan pelumba Australia, Michael Blair tahun ini.

Apabila ditanya mengenai persembahan hambarnya dalam kategori SuperSports 600cc tahun lalu, Ramdan berkata: "Pelbagai kesukaran melanda kempen musim lalu. Pertama, saya gagal menyesuaikan diri dengan jentera 600cc. Tambahan pula, dengan tahap saingan jauh lebih tinggi, misi merapatkan jurang masa dengan pelumba handalan menjadi amat sukar, lebih-lebih lagi di litar luar negara.


"Selain itu, mungkin faktor nasib juga tidak menyebelahi saya. Saya cedera semasa latihan di Sepanyol dan terpaksa dikecualikan daripada dua pusingan berturut-turut. Kekurangan pengalaman di litar antarabangsa turut menjadi antara penyebab utama keputusan saya kurang cemerlang. Namun itu semua sejarah silam. Saya belajar daripada kesilapan dan lebih bersedia kali ini." Tempat letak kereta dan masuk percuma untuk orang awam bagi Pusingan 1 ARRC di Litar Antarabangsa Sepang. Maklumat lanjut sila hubungi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR) di 03-87338787 ataupun layari laman rasmi ARRC, www.

asiaroadracing.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

'Jangan pergi jika tak mampu'

Posted: 15 Apr 2013 12:32 PM PDT

Kuala Lumpur: "Jika rasa tidak mampu bersaing dan tambahan pula tiada sumber kewangan, tidak perlulah pergi." Demikian nasihat Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi kepada setiap persatuan sukan kebangsaan yang mahu menghantar atlet mereka menerusi Kategori B pada temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Bukan memperlekehkan kemampuan serta semangat persatuan serta atlet terbabit, namun bagi Kok Chi, amat merugikan sekiranya menghantar atlet yang tidak layak secara merit sedangkan awal-awal mereka sudah menyedari tidak mampu untuk bersaing.


Berbanding atlet Kategori B yang kos perbelanjaannya perlu ditanggung sepenuhnya oleh persatuan sukan masing-masing, atlet Kategori A akan ditanggung penuh MOM.

"Apa gunanya anda membayar kos perbelanjaan sendiri tapi tidak setaraf atlet lain.


"Jika penganjur atau persatuan sukan bagi acara dipertandingkan sedia mengeluarkan perbelanjaan untuk atlet, itu tidak mengapalah," katanya.


Kok Chi berkata, masalah penghantaran atlet Kategori B itu akan berbalik kepada MOM.

Beliau memberi contoh beberapa persatuan sukan yang masih gagal melunaskan hutang hingga kini kerana kos perbelanjaan atlet Kategori B mereka didahulukan MOM.


Sebelum ini, MOM bertolak ansur dengan menanggung perbelanjaan atlet Kategori B sedangkan mengikut peraturan, persatuan sukan terbabit sebenarnya perlu membayar kos perbelanjaan itu terlebih dulu sebelum menghantar atlet mereka beraksi pada temasya dwitahunan itu.

"Tapi kali ini kami mahu lebih tegas kerana tidak mahu timbul lagi masalah yang terjadi seperti sebelum ini." Jelas Kok Chi, MOM akan membayar semula semua perbelanjaan jika atlet Kategori B itu berjaya membawa pulang pingat emas atau sebahagian daripada kos perbelanjaan jika mendapat pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

PABM buat rayuan

Posted: 15 Apr 2013 12:31 PM PDT

Kuala Lumpur: Kurang senang dengan keputusan penganjur Sukan SEA Myanmar yang hanya mempertandingkan kategori lebih ringan, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Timbalan Presiden PABM Ahmad Janius Abdullah (gambar) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu daripada penganjur sebelum mengambil keputusan mengemukakan rayuan kepada badan induk dunia itu, baru-baru ini.


"Sebagai penganjur, kami faham mereka berhak menentukan segala-galanya termasuk kategori yang ingin dipertandingkan.

"Tapi kami berasa jika terus sebulat suara bersetuju dengan keputusan mereka, ia pasti menjejaskan pungutan pingat kita.


"Ini kerana, peluang kita untuk meraih pingat lebih cerah menerusi kategori lebih berat iaitu 105 kilogram dan ke atas bagi lelaki dan 75 kilogram ke atas untuk wanita," katanya.


Ahmad Janius yakin, IWF pasti meneliti rayuan PABM sebelum memaklumkannya kepada penganjur.

"Apapun, setakat ini persiapan atlet berjalan lancar dan kami belum memilih atlet yang akan mewakili negara di Myanmar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Ujian kompetitif pertama pelari pecut

Posted: 15 Apr 2013 12:31 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelari pecut lelaki negara bakal mendapat ujian kompetitif pertama apabila bersaing pada Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil hujung minggu ini.

Barisan pelari yang bakal beraksi dalam acara 100 meter dan 4x100m termasuk Zabidi Ghazali, Sebastian Azcona, Muhamad Amirul Muslim, Harith Amar dan Imran Hadi.


Menurut jurulatih pecut, M Bala, kejohanan itu dijadikan medan menilai prestasi setiap pelari ketika saingan kelayakan Sukan SEA masih terbuka.

"Setakat ini, mereka menunjukkan prestasi dan komitmen tinggi pada sesi latihan. Mereka kini dibahagikan kepada dua pasukan dengan satu pasukan lagi dibimbing Tan Kok Lim.


"Bagi saya, barisan pelari muda menunjukkan peningkatan serta kerjasama bagus. Sasaran saya adalah mendapatkan catatan masa terbaik dan konsisten pada kejohanan rasmi.


"Saya harap GP Malaysia memberikan harapan kepada skuad kita mencari siapa antara mereka paling layak mengisi dua tempat acara pecut dan empat slot untuk 4x100m," katanya.

Untuk beraksi di Myanmar, pelari pecut perlu melepasi kelayakan 10.46s manakala 4x100m perlu melepasi kelayakan 39.91s.


Bagaimanapun, kekosongan itu masih ada kerana belum ada pelari melepasi catatan kelayakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Piala Axiata bukan ukuran

Posted: 15 Apr 2013 12:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan merangkul trofi Piala Axiata bukan ukuran kemampuan negara untuk mencatat kejayaan gemilang pada Piala Sudirman, namun yang pasti ia petunjuk sebenar betapa tiga tonggak utama bakal merencana pencapaian pada kejohanan itu, kata ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek.

Datuk Lee Chong Wei (nombor satu), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (nombor dua) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (nombor lima) bukan hanya wajib berada dalam pasukan, namun boleh dianggap wajib menghadiahkan mata pada kejohanan di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 19-26 Mei ini.


"Tidak, bukan semua pemain Piala Axiata tersenarai ke Piala Sudirman tapi yang pasti Chong Wei, Kien Keat-Boon Heong dan Peng Soon-Liu Ying tersenarai kerana kita akan membariskan barisan terkuat," kata Rashid.

"Cabaran Piala Sudirman dan Axiata berbeza. Pada Piala Sudirman ada lawan lebih getir dengan kuasa utama China yang memiliki pasukan terlalu kuat, Korea Selatan dan Denmark.


"Apapun sebagai tuan rumah, kita perlu tampilkan cabaran terkuat dengan kemampuan yang ada. Barisan pemain yang tersenarai perlu mencapai sasaran ke separuh akhir terlebih dulu sebelum memikirkan perjalanan lebih jauh." Selain tiga tonggak utama itu, jurulatih kebangsaan pasti tiada masalah menyenaraikan pemain simpanan perseorangan dan beregu lelaki serta beregu campuran, namun percaturan bijak perlu dibuat untuk memilih perseorangan dan beregu wanita meskipun tidak banyak harapan boleh disandarkan ke atas mereka andai berdepan lawan seperti China, Denmark, Korea Selatan dan Jepun.


Berdasarkan ranking dan prestasi semasa, Sonia Cheah pasti mendapat tempat dalam pasukan kali ini begitu juga dengan gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menduduki ranking ke-19 dunia.

Pencapaian terbaik negara di Piala Sudirman adalah melangkah ke separuh akhir edisi 2009 di Guangzhou, China.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Sonia impi cabaran pada Piala Sudirman

Posted: 15 Apr 2013 12:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Sonia Cheah mungkin belum boleh diharap menjuarai sesebuah kejohanan namun pemain berusia 20 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu menuntut satu slot untuknya pada kejohanan berpasukan campuran, Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 19-26 Mei ini.

Sonia menegaskan banyak pengalaman diraihnya ketika membantu skuad negara muncul juara Piala Axiata yang berakhir kelmarin, meskipun pada awalnya dia merendah diri dengan alasan kurang pengalaman dan kurang pendedahan di pentas antarabangsa.


"Saya memperoleh pengalaman berharga pada kejohanan ini. Meskipun hanya beraksi pada beberapa perlawanan, permainan saya kini lebih matang," kata Sonia.

Keputusan paling memberangsangkan Sonia sepanjang beraksi di Piala Axiata adalah menewaskan pemain nombor sembilan dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying dua kali serta memberi saingan sengit kepada pemain nombor lapan dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand.


"Sebelum ini saya anggap kemampuan amat jauh berbanding mereka tapi saya buktikan dengan kesungguhan dan tunjuk ajar jurulatih Wong Tat Meng, saya berjaya atasi Tzu Ying.


"Sebelum ini saya sangka jurang kemampuan dengan pemain seperti ini amat besar tapi hakikatnya kami tidak jauh. Menentang Ratchanok, saya rasa masih ada jurang tapi tidak besar dan mampu mendekatinya," kata pemain ke-41 dunia itu.

Menurutnya, Tat Meng berjaya mengubah corak permainan dan juga caranya berfikir.


"Beliau memberikan latihan berbeza berbanding jurulatih Chi Shanrong. Beliau memberi penekanan aspek teknik, fizikal dan psikologi iaitu jauh lebih menyeluruh."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Semangat pemain melonjak: Chong Wei

Posted: 15 Apr 2013 12:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan merangkul kejuaraan Piala Axiata buat julung kali kelmarin membakar semangat skuad negara menghadapi Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan depan.

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kemenangan ke atas Thailand 3-1 pada final kelmarin menyuntik semangat skuad negara untuk memburu sekurang-kurangnya tempat ke separuh akhir Piala Sudirman.


Malaysia akan menjadi tuan rumah kejohanan berpasukan campuran dunia edisi ke-13 itu buat kali pertama dari 19 hingga 26 Mei ini.

Sejak diperkenal pada 1989, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan dwitahunan itu adalah separuh akhir edisi 2009 di Guangzhou, China.


"Kita akan membuat persiapan terbaik bagi menghadapi cabaran Piala Sudirman," kata Chong Wei selepas membantu skuad negara menjulang trofi Piala Axiata.


"Yang penting sekarang, pemain perlu saling memberi dorongan dan sokongan. Dengan adanya beberapa lagi kejohanan lain yang bakal disertai, saya harap ia menjadi persediaan rapi buat pasukan kita," katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Belum putus pengganti Azzuddin

Posted: 15 Apr 2013 12:29 PM PDT

Kuala Lumpur: Calon pengganti jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal ditinggalkan Datuk Azzuddin Ahmad masih menjadi tanda-tanya.

Belum ada keputusan dibuat Presiden FAM Sultan Ahmad Shah bagi menamakan pengganti ketua sekretariat badan induk bola sepak negara itu.


"Saya langsung tidak memikirkannya. Biarkan Azzuddin pergi, tiada siapa tidak boleh digantikan termasuk anda atau saya," katanya ketika ditanya mengenai pengganti Azzuddin selepas mempengerusikan mesyuarat Exco FAM, semalam.

Ditanya sama ada beliau menjalankan proses temuduga bagi mencari calon paling sesuai, Sultan Ahmad Shah berkata: "InsyaAllah, itu satu peraturan, anda tidak boleh mengambil perkara ini dengan mudah terutama pada abad ke-21. Kita mesti berhati-hati. Saya belum memikirkannya lagi, belum sampai ilham." Kerusi panas di Wisma FAM itu bakal dikosongkan Azzuddin bulan depan apabila bersetuju dilantik Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).


Beberapa nama dikaitkan dengan kerusi panas itu seperti Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud, bekas Penolong Setiausaha Agung FAM Saifuddin Abu Bakar serta beberapa individu lain.


"Saya perlu mengambil masa, saya tidak suka membuat keputusan tergesa-gesa namun paling penting individu itu mestilah bijak," katanya ketika ditanya tempoh diperlukan untuk membuat keputusan.

Mesyuarat Exco semalam memutuskan bersetuju membawa Artikel 88 ke Mesyuarat Kongres Ogos ini bagi mendapat kelulusan dan dipinda ahli gabungan.


Menjelaskan lebih lanjut Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, penambahbaikan itu akan memberi ruang kepada pegawai lain yang dibenarkan Jawatankuasa Eksekutif FAM selain Presiden dan Setiausaha Agung untuk memberikan ulasan kepada media.

"Namun ia berkaitan dengan bidang masing-masing dan perlu mengikut garis panduan dan kawalan tertentu yang ditetapkan serta bakal diperjelaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

No comments:

Post a Comment