Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Seladang tak sabar ke Ipoh

Posted: 25 Apr 2013 09:05 AM PDT

Ipoh: Jurulatih Perak Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar dua dari kanan) yakin pertemuan dengan Johor Darul Takzim (DT), malam esok adalah perlawanan terakhir Seladang di Stadium Lumut.

"Saya dapat lihat ujian dilakukan terhadap cahaya lampu limpah Stadium Perak setiap malam sejak beberapa hari lalu.


"Dari pengamatan saya memang lampunya cukup terang. Saya yakin kami akan bermain di Ipoh semula bermula perlawanan dengan Negeri Sembilan, 3 Mei ini," katanya yang berharap Stadium Perak berada dalam keadaan terbaik.

Azraai yakin anak buahnya juga sudah tidak sabar beraksi di Ipoh selepas lebih empat bulan membuat perjalanan ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berikutan penutupan stadium negeri itu. Justeru itu beliau berharap pemain menutup tirai perlawanan di Lumut dengan nota kemenangan selepas membuat permulaan dengan kejayaan 1-0 ke atas T-Team pada 8 Januari lalu.


"Kami membuka kempen di Stadium Lumut dengan kemenangan dan berharap mampu menutup dengan kejayaan juga." Azraai berkata, dia akan membawa 20 pemain apabila bertandang ke Lumut, pagi ini kerana tidak mahu mengambil risiko kekurangan pemain akibat kecederaan di saat akhir.


Menurutnya bek kanan, Mohd Syazwan Roslan terpaksa disisihkan selepas mengadu mengalami semula kesakitan selepas turun berlatih kelmarin.

"Walaupun khidmatnya diperlukan, tidak adil bagi pemain itu jika saya mengerah kudratnya meskipun mengetahui dia tidak cukup sihat.


"Biarlah pemain lain memikul tugasnya pula. Kita ada 25 pemain dan setiap anggota pasukan perlu diberikan peluang beraksi." Selain Syazwan, pemain yang berada dalam senarai kecederaan adalah Muhammad Shahrom Kalam, V Thirumurugan dan Mohamad Hisyamudin Sha'ari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Aksi disanjung

Posted: 25 Apr 2013 09:02 AM PDT

Johor Bahru: Atlet kebangsaan menguasai anugerah utama Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2012, kelmarin.

Atlet karate negara Wong Keng Yinn megah dinobat Olahragawan, menewaskan dua pencabar Mohd Rozaini Rozan dari sukan ragbi dan atlet mendayung Mohamad Naim Mohamd Sopian.


Ken Yin mewakili negara di Kejohanan Universiti Dunia, Slovakia dan menduduki ranking ketujuh.

Dia juga meraih pingat emas Kata Individu pada Kejohanan Universiti Asean dan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Singapura. Manakala anugerah Olahragawati milik atlet bola jaring, Nor Ezzaini Mohd Nor.


Nor Ezzaini cemerlang membantu skuad negara menduduki tempat ketiga Kejohanan Bola Jaring Asia di Sri Lanka dan membantu Kuala Lumpur menjuarai Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan.


Dua lagi atlet yang dicalonkan adalah Tan Mei Jin (bola tampar) dan Adila Mohamed Khalidi (mendayung).

Olahragawan dan Olahragawati menerima wang tunai RM1000, piala dan sijil.


Anugerah Atlet Harapan Lelaki milik Mohd Adib Aiman Mohd Rafii yang memenangi satu emas dan gangsa Kejohanan Menembak Asean serta membantu Terengganu memenangi dua gangsa di SUKMA Pahang serta dua emas dan dua perak Kejohanan Menembak Remaja Kebangsaan dalam acara Air Rifle dan Prone 3 Posisi.

Ursula Moh Hiong Ching dari sukan bola tampar pula dipilih Atlet Harapan Wanita. Dia membantu skuad negara meraih tempat ketiga Kejohanan Bola Tampar Wanita Asia di Mongolia, ketiga Terbuka Antarabangsa Batam, Juara Kejohanan SUKMALINDO Kelima, naib juara Kejohanan MAS-THAI dan ketiga Sukan Universiti Asean.


Ursula juga cemerlang membantu Sarawak muncul juara SUKMA Pahang.


Hadiah disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM Prof Dr Mohd Ismail Abd Aziz. Turut hadir Penga rah UTM Sports Excellence Abdul Malik Abdul Ghani.


Selain anugerah utama, turut disampaikan penghargaan kepada atlet yang cemerlang di peringkat universiti tempatan antaranya Anugerah Bakti, Anugerah Khas Pengantarabangsaan, Pengurus Pasukan Terbaik dan Pasukan Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Skuad B-15 SMKSAB hebat

Posted: 25 Apr 2013 09:02 AM PDT

Baling: Skuad Bawah 15 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar (SMKSAB), Kupang, muncul juara bola sepak peringkat daerah Baling/Sik (BS) selepas mengetepikan pesaingnya di padang SMK Bakai, di Baling, Kedah, baru-baru ini.

Pada perlawanan secara liga itu, SMKSAB yang mewakili Zon Kuala Pegang menang keempat-empat perlawanan.


Bermula garang, SMKSAB menjadikan skuad SMK Gulau yang mewakili Zon Sik mangsa sulung apabila menang 2-0 sebelum membenam SMK Sri Enggang, 3-1.

Mereka seterusnya membuktikan keunggulan apabila menjinakkan wakil Zon Kuala Ketil, SMK Tanjung Puteri, 3-0 seterusnya mengesahkan kejuaraan dengan mengalahkan SMK Baling yang mewakili Zon Baling, 2-1.


Jurulatih Mohd Fouzi Hussain yang dibantu Harizal Hassan dan Zakri Zainol serta diurus Hasni Saad berkata, kejayaan itu menjadikan SMKSAB sekolah tunggal di BS yang merangkul kejuaraan hatrik.


"Kami berjaya mengekalkan kejuaraan ini yang dimenangi sejak 2011 walaupun menerima saingan kental pasukan zon lain.

"Kejayaan ini hasil suntikan semangat Pengetua SMKSAB, Abdul Wahid Abdul Rahman yang tidak jemu memberi perangsang kepada semua pemain," katanya.


Menjelang saingan peringkat negeri, Mohd Fouzi berkata, pemainnya sudah bersedia menghadapi cabaran.

"Saingan enam daerah lain bukan mudah namun kami percaya kepada semangat berpasukan dan komitmen pemain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

FELDA tak mahu pulang hampa

Posted: 25 Apr 2013 08:59 AM PDT

Kuantan: FELDA United yang berada di tangga ke-10 daripada 12 pasukan Liga Super tidak mahu kedatangan mereka ke Stadium Darul Makmur berakhir dengan kekecewaan.

Justeru, skuad kendalian K Devan itu akan memastikan pertemuan dengan Pahang mampu mengubah kedudukan kelab dengan membawa pulang mata.


Namun, pemain tengah Mohd Amar Rohidan berkata, cabaran getir dihadapi pasukannya bukan saja berdepan pemain lawan, malah penyokong Tok Gajah.

"Apapun cabaran itu membuatkan saya serta rakan lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik. Bagi saya kehadiran penyokong tidak langsung memberi tekanan kerana lebih selesa dengan kehadiran penyokong yang ramai di stadium," katanya.


Mohd Amar berkata, kedudukan pasukan yang tidak selamat memerlukan semua pemain bekerja keras untuk melaksanakan misi besar di gelanggang lawan.


"Tiada apa yang mustahil jika segala perancangan dilakukan jurulatih membuahkan hasil."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Tugas getir Fauzi, Conti

Posted: 25 Apr 2013 08:59 AM PDT

Kuantan: Jurulatih Dollah Salleh mengaku perancangan skuadnya terganggu berikutan beberapa pemain utama mungkin tidak dapat beraksi bertemu FELDA United di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Perancang tengah, Amirul Hadi Zainal tidak dapat diturunkan kerana penggantungan satu perlawanan manakala Mohd Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin baru pulih daripada demam.


Menurutnya, situasi tidak menentu menyebabkan tumpuan kini terarah kepada semua pemain supaya bersedia diturunkan.

"Sebenarnya baru semalam (kelmarin) Hafiz dan Azidan menjalani latihan selepas baik daripada demam dan tahap kecergasan pula tidak mencapai apa yang diinginkan.


"Pada masa sama, kami tidak dapat menyenaraikan Amirul yang menjalani penggantungan menyebabkan bahagian tengah menghadapi sedikit masalah tapi akan memastikan penggantinya mampu memikul tugas diamanahkan," katanya.


Dollah berkata, misi FELDA United yang mengidam tiga mata memerlukan komitmen tinggi semua pemain Pahang supaya lebih fokus dan tidak merelakan mata terlepas kepada lawan.

"Kemenangan adalah misi utama dan saya harap gandingan Matias Conti dan Mohd Fauzi Rozlan mampu membolosi gawang lawan. Kegagalan mereka menjaringkan gol berdepan Johor DT pasti ditebus."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Gallegos ganti Da Silva

Posted: 25 Apr 2013 08:58 AM PDT

Johor Bahru: Pemain import baru Johor, Ezequiel Andrian Gallegos (gambar) dari Argentina akan membuat penampilan pertama apabila berdepan NS Betaria pada saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), petang ini.

Jurulatih Azmi Mohamad berkata, Gallegos yang pernah beraksi untuk kelab Altetico Huracan FC menepati kehendak pasukan itu bagi menggantikan Andre Francisco Da Silva yang kini bersama Johor Darul Takzim pada saingan Liga Super.


"Segala urusan berhubung Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu sudah selesai dan dia akan diturunkan menentang NS Betaria dan pastinya saya letak harapan tinggi untuk dia menyerlah terutama bagi menguatkan jentera tengah biarpun pemain itu tidak duji pada perlawanan persahabatan.

"Cara dia mengumpan bola kepada rakan dan pengawalan bola menarik serta teknik bermutu memikat hati saya dan pengurusan namun apa yang merisaukan lebih kepada kegagalan barisan tengah yang belum menjaringkan gol dan hanya bergantung kepada Mohd Farid Ideris, Juan Muriel Orlando dan Mohd Zamri Hassan.


"Saya lega dengan kembalinya Mohd Khairul Ismail selepas pulih daripada kecederaan dan Shoufiq Khusaini yang boleh diturunkan selepas menjalani penggantungan satu perlawanan. Ini beri banyak pilihan untuk saya membariskan pemain terbaik," katanya.


Walaupun kecewa selepas tumpas tipis 0-1 kepada Sime Darby FC, Azmi tetap optimis skuad Merah Biru mampu mengejar kedudukan tangga teratas liga yang masih gah dikuasai Sime Darby sambil diekori rapat Sarawak di tangga kedua dengan baki sembilan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Irfan terkilan!

Posted: 25 Apr 2013 08:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun menerima dengan hati terbuka, pengendali Selangor Irfan Bakti Abu Salim berasa sedikit terkilan dengan hukuman penggantungan dijatuhkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada dua pemainnya, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh, kelmarin.

Afiq digantung dua perlawanan dan denda RM1,000 kerana didapati bersalah bertindak ganas dalam insiden pergaduhan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam 25 Januari lalu.


Manakala Shukor pula digantung dua perlawanan dan denda RM2,000 kerana mengingkari arahan pengadil apabila lambat meninggalkan padang selepas menerima kad merah.

Bagaimanapun Jawatankuasa Tatatertib hanya membuat keputusan selepas tiga bulan sedangkan hukuman ke atas empat pemain ATM yang turut terbabit dengan insiden itu, Mohd Fitri Omar, G Jeevanathan, R Surendran dan Mohd Shukor Adan sudah diketahui bulan lalu.


"Saya tidak boleh pertikai keputusan FAM tapi saya sedih kerana kedua-dua pemain digantung terutama Shukor yang tidak bermain tiga perlawanan memandangkan satu lagi perlawanan digantung kerana mengutip tiga kad kuning dalam aksi Liga Super.


"Sekali lagi saya tidak mahu mempersoal keputusan itu tetapi jika betul pemain melakukan kesalahan, biarlah hukuman itu dibuat serentak dengan pemain ATM.

"Ini (keputusan hukuman Shukor dan Afiq) berlainan masa dan saya tidak tahu sama ada tekanan itu hadir daripada pemberita tetapi saya sedih kerana kehilangan mereka," kata Irfan.


Yang pasti kehilangan dua tonggak itu menjejaskan persiapan skuad Gergasi Merah yang bakal melayan kunjungan pendahulu Liga Super, LionsXII di Stadium Shah Alam esok.

"Bukan hanya Shukur tetapi Afiq juga penting. Afiq baru saja pulih daripada kecederaan. Bagaimanapun saya tiada pilihan dan akan menggunakan pemain yang ada."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Manaf, Farderin sedia ganti Owona

Posted: 25 Apr 2013 08:58 AM PDT

Kuala Terengganu: Dua penyerang tempatan, Abdul Manaf Mamat dan Mohd Farderin Kadir sedia menggalas tugas menggantikan Jean Emannuel Effa Owona yang cedera apabila bertemu Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini.

"Selepas berehat panjang kerana saingan hebat daripada pemain lain, saya sedia memikul tanggungjawab ini jika diberi peluang menggantikan tempat Owona yang berehat tiga bulan," kata Farderin.


Bekas penyerang FELDA United musim lalu yang pernah bermain bersama Negeri Sembilan mengaku tidak sabar untuk beraksi sepenuh masa selepas hanya diberi peluang sebagai pemain gantian.

"Misi saya musim ini adalah untuk menjulang sekurang-kurang satu piala, justeru jika diberi peranan menggantikan Owona, saya berazam membantu pasukan catat kemenangan." Abdul Manaf yang baru meledak satu gol dalam saingan liga berkata, walaupun kerap digandingan dengan Owona, dia tetap menyimpan impian muncul penjaring terbanyak musim ini selepas tiga tahun berturut-turut rekod itu dipegang penyerang Terengganu menerusi Mohd Ashari Shamsuddin (2010), Abdul Hadi Yahaya (2011) dan musim lalu Francis Forkey Doe bersama Owona.


"Saya bertekad meneruskan rentak kemenangan Terengganu selepas menewaskan FELDA United, 2-1, Sabtu lalu," katanya.


Sementara itu, jurulatih E Elavarasan belum memikirkan siapa yang bakal mengisi tempat Owona sama ada Farderi, Abdul Manaf ataupun pemain muda lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Dugaan besar bulan puasa

Posted: 25 Apr 2013 08:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Lupakan latihan di Jerman dan tumpu kepada latihan di tempat sendiri.

Begitulah pandangan jujur diberikan jaguh lontar peluru kebangsaan Adi Alifuddin Husin mengenai persiapan menyertai kejohanan kompetitif luar negara. "Saya enggan bercakap mengenai latihan di Jerman kerana masih belum ada kepastian. Saya tidak memikirkan tempat latihan asal ada pencabar dan infrastruktur. "Saya lebih suka keputusan menjadi bukti pencapaian kerana cara itu saja menjadi ukuran seseorang atlet," katanya. Adi akan beraksi pada Sukan Universiti Dunia 2013 di Kazan, Russia, Julai ini berkata, cabaran utama perlu dihadapi bersaing pada bulan puasa.


"Ia dugaan terbesar selain bukan saja berdepan ramai atlet handalan antarabangsa. Mental harus kuat menahan lapar dan dahaga. "Saya akui sukar mengintai pingat tetapi lebih baik mencuba dan tetap waspada ketika kecederaan bahu tahun lalu masih belum sembuh 100 peratus," kata atlet berusia 25 tahun itu.

Adi berkata, sasaran utamanya tahun ini adalah melepasi kelayakan beraksi di Sukan SEA Myanmar, Disember ini.


"Dua tahun lalu di Palembang, saya sekadar meraih pingat perak. Tahun ini, sasaran utama memecah rekod peribadi terbaik 17.53m. "Sukan SEA Myanmar pasti bersejarah kerana kali pertama diadakan semula sejak 44 tahun lalu," kata juara hatrik Sukan Universiti Asean (AUG) di Kuala Lumpur (2008), Chiangmai (2010) dan Vientiane, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

PKBM tak akan peluk tubuh

Posted: 25 Apr 2013 08:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak akan berpeluk tubuh berhubung kegusaran disuarakan ketua jurulatih negara John Beasley apabila menjanjikan permulaan baru program pembangunan sukan terbabit yang dilaksanakan Jun ini.

Timbalan Presiden Datuk Naim Mohamad menjelaskan badan induk itu akan memastikan sukan berbasikal mempunyai asas kukuh melahirkan atlet berpotensi untuk disalurkan ke peringkat lebih tinggi.


"Bermula Jun, lebih banyak program akan dilaksanakan dengan tumpuan pelbagai jenis perlumbaan diadakan hujung minggu termasuk di waktu malam. "Antaranya perlumbaan kriterium yang berlangsung pada Ahad setiap minggu di Kuala Lumpur selain program awal membabitkan 10 buah sekolah," kata Naim.

Beliau menjelaskan walaupun sukan terbabit sudah mendapat tempat di kalangan masyarakat namun PKBM perlu menyusunnya agar pada masa sama dapat memberikan manfaat kepada negara selain aktiviti riadah.


"Dengan program yang tersusun, kami harap akan ada bakat yang lahir untuk digilap menjadi juara negeri, kebangsaan, Asia Tenggara, benua, dunia dan seterusnya paling utama di Olimpik. "Kegusaran kita kini adalah mencari pengganti untuk Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa, Fattah Amri Zaid, Arfy Qhairant Amran andai program tersusun tidak dilaksanakan dengan segera," katanya.


Beasley yang sudah tujuh tahun membimbing skuad negara menyuarakan kekecewaan dan kegusarannya sejak beberapa hari lalu mengenai pembangunan akar umbi dan lebuh raya.

Sementara itu Naim turut memberi peringatan kepada pihak tertentu tidak mengganggu program pembangunan dilaksanakan kejurulatihan yang diketuai Beasley kerana mereka mempunyai tanggungjawab berat menghadapi Sukan Olimpik 2016 dan beberapa kejohanan lain.


"Kita tidak mahu ada pihak luar tanpa pengetahuan jurulatih memberi tawaran kepada atlet tertentu menyertai sesebuah pasukan atau pertandingan. Kita tidak mahu program dirancang terganggu."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

No comments:

Post a Comment