Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Saya tidak akan berhenti menari'

Posted: 23 Apr 2013 11:36 AM PDT

Boston: Seorang guru tari yang hilang sebelah kaki dalam serangan bom Maraton Boston berikrar untuk menari lagi dan lari dalam acara itu tahun depan.

Doktor gagal menyelamatkan kaki kiri Adrianne Haslet-Davis selepas dia terkena bom kedua ketika menonton perlumbaan itu minggu lalu. Mereka terpaksa memotong kakinya sebanyak lima inci dari bawah lutut.


Meskipun menjalani pembedahan yang mengubah hidupnya, wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia tidak akan meninggalkan minatnya.

"Ketika menari, saya merasakan tidak perlu melakukan apa-apa lagi. Saya mencapai kegembiraan sepenuhnya," kata Adrianne kepada media.


"Saya tidak boleh membiarkan orang lain datang dan meragut seluruh kehidupan saya. Kerana itu saya akan menari lagi. Dan tahun depan, walaupun tidak pernah berlari, saya akan menyertai acara maraton itu.


Gambar yang dibekalkan oleh Studio Arthur Murray Studio di Park Plaza menunjukkan Adrianne begitu bersemangat mengajar orang lain untuk menari dan dia sendiri menari dengan lemah lembut.

Foto

Adrianne menari di Pusat Tarian Arthur Murray.

Foto

Adrianne bersama suami, Adam Davis.

Perasaan kehilangan kakinya jelas pada fikiran Adrianne apabila dia dan suami, Kapten Tentera Udara Adam Davis, merasai kesan letupan itu. "Saya masih ingat letupan bom pertama. Ketika itu saya memegang Adam, suami saya dan terfikir, pasti ada bom kedua.


"Saya tahu sesuatu akan berlaku dan saya mula menjerit. Kemudian bom kedua meletup. Saya masih ingat jatuh ke belakang kerana kesan letupan itu," katanya dalam wawancara dengan CNN.

Dia bangkit dan menyangka semuanya berjalan dengan baik sehingga suaminya menunjukkan ke arah kakinya. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Tamara rebut Lamborghini dengan bekas kekasih

Posted: 23 Apr 2013 11:32 AM PDT

London: Pewaris F1, Tamara Ecclestone semalam terbabit dalam perbicaraan untuk mendapatkan semula kereta Lamborghini model Aventado yang berharga RM1.9 juta daripada bekas kekasihnya.

Model berusia 28 tahun itu, anak bilionair F1, Bernie Ecclestone, hadir di Mahkamah Tinggi untuk menuntut kenderaan itu daripada bekas kekasihnya, Omar Khyami.

Tamara yang meninggalkan bekas broker saham berkenaan Julai lalu selepas kemunculan pita seks yang menunjukkan Omar curang terhadapnya bertegas menyatakan dia adalah pemilik kereta itu.

Bagaimanapun, Omar mendakwa, Tamara menghadiahkan kereta berkenaan sempena hari jadinya yang ke 38 pada April tahun lalu.


Mahkamah menetapkan kereta itu yang sudah dijual dua kali sejak dirampas perlu disimpan secara selamat sehingga pertikaian mengenainya berakhir.


Tamara yang memutuskan hubungannya dengan Omar selepas menonton pita seks 30 saat itu yang menunjukkan lelaki itu turut memakai dua gelang emas Cartier berharga RM150,000 yang diberikan kepada lelaki itu.

Dia membeli kereta itu daripada Elite Performance Cars Ltd.

Omar yang mendakwa video itu dirakam beberapa tahun lalu tidak memberitahu Tamara bahawa dia menggunakan kereta itu sebagai jaminan untuk meminjam wang berjumlah RM1.25 juta daripada Elite, syarikat yang dimiliki rakannya dengan kadar faedah 70 peratus.

Peguam Tamara, Andreas Gledhill berkata, kereta itu didaftarkan atas nama Omar semata-mata untuk membolehkannya mendapat permit parkir di kediaman mereka di Chelsea.

Kereta itu dirampas dari sebuah garaj oleh pegawai mahkamah selepas Tamara membawanya untuk penyelenggaraan.

Omar dilapor berusaha memujuk kakitangan mahkamah supaya melepaskan kereta berkenaan.

Apabila dia membawanya ke Elite, Tamara mendapat perintah mahkamah untuk menghalangnya daripada dijual.

Tetapi perintah itu dilanggar dan Elite menjualnya kepada Four Seasons Autos. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Filipina gagal kurang kadar kemiskinan

Posted: 23 Apr 2013 11:30 AM PDT

Manila: Filipina gagal mencapai kemajuan untuk mengurangkan kemiskinan yang berleluasa apabila lebih seorang daripada empat rakyatnya adalah miskin, walaupun ekonomi negara itu semakin berkembang, menurut angka bancian dikeluarkan semalam.

Kadar kemiskinan 27.9 peratus dicatat pada Julai 2012 tidak berubah berbanding data pada 2006 dan 2009, menurut Lembaga Koordinasi Statistik Nasional. Rakyat Filipina yang terpaksa hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$0.62 sen (RM1.89) sehari dianggap miskin berdasarkan statistik kerajaan. Setiausaha Perancangan Ekonomi, Arsenio Balisacan berkata, pengangguran di kawasan luar bandar, masalah keselamatan di wilayah yang berdepan golongan pemisah dan ketua pemimpin tempatan serta kejatuhan harga beberapa barangan komoditi seperti gula menjadi alasan utama untuk dipersalahkan.


"Jika masalah guna tenaga dalam bidang pertanian dirujuk, maka pendapatan petani akan meningkat, kadar kemiskinan akan menurun dan kami tidak akan bertolak ansur mengenai isu keselamatan makanan," katanya.

Negara yang dihuni 100 juta orang itu mencatat 6.6 peratus pertumbuhan ekonomi tahun lalu dan tahun ini ia memperoleh kadar gred pelaburan yang pertama daripada Fitch Ratings. Bagaimanapun, kadar pengangguran pada Januari tahun ini mencatat 7.1 peratus, dengan 20.9 peratus lagi adalah guna tenaga tidak penuh atau bekerja kurang daripada 40 jam seminggu.


41.8 peratus daripada guna tenaga tidak penuh adalah dari sektor pertanian.


Pakar Ekonomi Kanan untuk Bank Pembangunan Asia yang beribu pejabat di Manila, Norio Usui berkata, kerajaan perlu menyelesaikan masalah pertumbuhan pengangguran jika ia berharap mengurangkan kemiskinan.

"Saya tidak terkejut langsung. Faedah pertumbuhan ekonomi yang kukuh tidak merebak kepada rakyat kerana mereka tetap tidak mendapat kerja," katanya. Menurutnya, model ekonomi Filipina bergantung kepada penggunaan, kiriman wang daripada sumber tenaganya di luar negara dan industri luarnya yang mengambil pekerja berpendidikan tinggi. - Inquirer

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Lelaki warga Malaysia gantung diri lepas masuk lokap

Posted: 23 Apr 2013 11:30 AM PDT

Yala: Seorang lelaki warga Malaysia menggantung dirinya awal pagi semalam hanya lima minit selepas dia dimasukkan ke lokap di balai polis daerah Betong.

Menurut sumber polis, Satish Kumar Sungara, 43, menggantung seluar panjangnya di satu daripada besi lokap sebelum mengikat lehernya untuk membunuh diri.


Seorang pegawai polis yang hendak memeriksa keadaannya lima minit selepas dia dimasukkan ke dalam lokap mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Sungara ditahan selepas mencetuskan kekacauan dan memusnahkan harta benda ketika cuba untuk pulang ke Malaysia menerusi pusat imigresen di Betong. Teman wanitanya, Jaruwan Puangchaona, 31, memberitahu polis bahawa kekasihnya itu mabuk.


Katanya, Sungara memusnahkan dua pintu kaca pejabat imigresen dengan penumbuknya dan menjerit sebelum dia ditahan pihak berkuasa Thailand kerana mencetuskan kekacauan. Polis mengesyaki dia membunuh diri kerana tertekan akibat ditahan di lokap. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

SBY gesa pemimpin Myanmar tangani isu keganasan

Posted: 23 Apr 2013 11:29 AM PDT

Singapura: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata, dia akan menggesa pemimpin Myanmar agar menangani isu keganasan penganut Buddha terhadap umat Islam yang dikatakannya boleh mencetuskan masalah kepada umat Islam lain di rantau ini.

Lawatan Susilo ke Myanmar semalam dan hari ini dilakukan sebulan selepas sekurang-kurangnya 43 orang, kebanyakan umat Islam terbunuh dalam insiden keganasan empat hari dilakukan penganut Buddha di bandar Meikhtila, tengah negara itu, kira-kira 130 kilometer di utara Naypyitaw. Insiden itu mencetuskan gelombang keganasan antiIslam. "Jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin, kesannya tidak baik untuk Myanmar dan malah, kepada rakyat Indonesia yang majoritinya adalah Islam," katanya dalam acara Thomson Reuters Newsmaker, forum yang berlangsung di Singapura. Ketenangan sudah kembali di Meikhtila dan kawasan panas lain selepas pihak berkuasa melaksanakan undang-undang tentera dan mengerah pasukan ke sana. "Saya akan menggalakkan agar Myanmar menangani isu itu dengan bijak dan wajar serta menghalang ketegangan dan keganasan. Kami di Indonesia bersedia untuk menyokong mereka mencapai matlamat ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

'Sami Buddha' wanita tipu RM530,000

Posted: 23 Apr 2013 11:28 AM PDT

Chumphon: Seorang wanita menyamar sami Buddha untuk menipu lima juta baht (RM530,269) daripada penduduk kampung menyerah diri kepada polis semalam.

Narumon Eiamsaard, 53, mempunyai tujuh waran tangkap dikeluarkan mahkamah ke atasnya kerana kes penipuan di Krabi dan wilayan lain yang berhampiran. Narumon berkata, dia mendapat maklumat sekumpulan mangsa di Krabi sedang menjejakinya kerana mahu membalas dendam dan mungkin ingin membunuhnya. "Saya bimbang dengan keselamatan diri sendiri, jadi saya terus menyerah diri," katanya.


Narumon berkata, dia tidak mahu diikat jamin dan meminta untuk ditahan di penjara. Dia juga akan berjuang untuk kesnya di mahkamah dan menerima hukuman jika didapati bersalah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

No comments:

Post a Comment