Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


1,000 maut demi pakaian murah

Posted: 27 Apr 2013 03:03 PM PDT

London: Sikap warga Britain yang ketagih mendapatkan pakaian murah secara tidak langsung 'mengorbankan' kira-kira 1,000 nyawa pekerja Bangladesh sejak lapan tahun lalu.

Siasatan media menunjukkan, dalam tempoh sama, berpuluh-puluh ribu pekerja lagi cedera dalam banyak kilang yang menyediakan bekalan pakaian untuk rangkaian kedai di Britain.


Angka itu termasuk sekurang-kurangnya 330 orang yang terbunuh dalam kejadian bangunan runtuh di sebuah bandar pinggir Dhaka pada Rabu lalu.

Kelmarin, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan kira-kira 50 mangsa yang masih hidup dari bawah runtuhan bangunan lapan tingkat menempatkan kilang yang membekalkan pakaian untuk jenama terkenal di Britain, Primark Menurut beberapa penganalisis, tragedi Plaza Rana itu sepatutnya boleh dielakkan jika pihak yang berkenaan mengambil langkah perlu.


Sumber pula berkata, beberapa firma Britain yang menggunakan produk kilang berkenaan enggan menandatangani perjanjian keselamatan tempat kerja yang baru.


Langkah itu sudah dilakukan syarikat pengeluar jenama Calvin Klein dan Timberland. Kata sumber, sejak 2005 lebih 1,000 pekerja kilang kain terbunuh dalam pelbagai bencana, termasuk kebakaran dan bangunan runtuh.

Foto

WARIS seorang daripada mangsa runtuhan bangunan kilang pakaian berdoa tidak jauh dari lokasi bencana itu berlaku di Savar, semalam.

Foto

TANGAN satu daripada mayat yang belum dapat dikeluarkan dari bawah runtuhan.

"Banyak insiden kecil yang berlaku dan kurang diberi perhatian," katanya. Beberapa bulan lalu, kebakaran di kilang Tazreen Fashion membunuh 112 orang pekerjanya.


Sementara itu, Primark berkata, mereka tidak menandatangani pelan keselamatan untuk kilangnya kerana ada inisiatif lain diambil.

Kenyataan itu dibantah pengkritik kerana inisiatif berkenaan hanya meliputi bencana kebakaran, bukan keselamatan bangunan. Aktivis pertubuhan War On Want, John Hilary berkata pihak berkuasa wajar bertindak bagi menghalang kejadian sama berulang.


"Tiba masa untuk kerajaan meminta syarikat terbabit bertanggungjawab atas kejadian runtuhan itu," katanya ketika ditemui, semalam. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Jurutera kilang pakaian ditahan

Posted: 27 Apr 2013 03:00 PM PDT

Savar: Polis Bangladesh berkata, dua jurutera yang meluluskan reka bentuk bangunan lapan tingkat menempatkan kilang pakaian yang runtuh Rabu lalu ditahan untuk disoal siasat.

Sumber polis berkata, Imtemam Hossain dan Alam Ali ditahan pihak berkuasa semalam.


Bagaimanapun, polis belum menyatakan peranan dimainkan Imtemam dan Alam ketika memberi kelulusan bangunan berkenaan.

Sebelum runtuh, bangunan itu menjalani proses ubah suai dengan untuk menempatkan tiga tingkat tambahan secara haram. Terdahulu, dua pemilik satu daripada beberapa kilang pakaian di bangunan itu ditahan.


Isteri seorang daripada mereka turut diberkas sebelum itu untuk memberi tekanan kepada suaminya supaya menyerah diri kepada polis. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Mahu 'bunuh' lebih 200 kanak-kanak Amerika

Posted: 27 Apr 2013 03:00 PM PDT

London: Seorang bapa yang menghantar mesej di Facebook dari kediamannya di Britain berikrar untuk membunuh 200 kanak-kanak di Amerika berdepan dengan hukuman penjara.

Reece Elliot mendorong siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang menyebabkan 3,000 murid tidak ke sekolah ekoran ancaman untuk mencetuskan pembunuhan beramai-ramai di Tennessee.


Insiden itu berlaku beberapa minggu selepas 26 orang 20 daripadanya kanak-kanak dibunuh lelaki bersenjata berusia 20 tahun Adam Lanza di sekolah rendah Sandy Hook di Connecticut. Memuat naik di laman peringatan pelajar mangsa nahas kereta sekolah tinggi Tennessee, penganggur Elliott, 24, yang tinggal di South Shields, Tyne and Wear menulis: "Bapa saya mempunyai tiga pistol. Saya bercadang mahu membunuh dia dulu dan mencampaknya ke dalam tong sampah.

"Saya akan membawa motosikal ke sekolah. Saya harap dapat membunuh 200 orang sebelum membunuh diri. Kisah saya akan tersiar dalam CNN." Pasukan antikeganasan bergegas ke beberapa sekolah di daerah Warren di Amerika Syarikat sebelum polis kemudian menjejaki bahawa ancaman itu datangnya dari kediaman Elliot di Britain lalu menahannya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Dendam Kerisek belum padam

Posted: 27 Apr 2013 02:59 PM PDT

Bangkok: Tentera, polis dan orang awam di Pattani meningkatkan langkah keselamatan menjelang ulang tahun kesembilan insiden keganasan di Masjid Kerisek hari ini.

Antara langkah tambahan yang diambil sejak malam kelmarin termasuk mewujudkan lebih banyak pusat pemeriksaan dan meningkatkan pemeriksaan di kawasan yang menjadi tempat persembunyian pejuang pemisah.


Pasukan keselamatan turut mengambil langkah berjaga-jaga selepas anggota gabungan agensi kerajaan membunuh tiga suspek pemisah dalam satu pertempuran di Yala semalam.

Laporan risikan mengatakan empat kenderaan dua kereta dan dua trak pikap yang dipenuhi muatan bom akan dibawa ke Pattani untuk melakukan serangan bagi menandakan ulang tahun kesembilan insiden itu yang berlaku pada 28 April 2004.


Kejadian yang berlaku ketika pemerintahan Thaksin Shinawatra itu menyaksikan 32 pejuang pemisah berlindung di masjid berkenaan yang terletak di lebuh raya Pattani-Narathiwat di daerah Muang. Selepas berdepan kebuntuan selama tujuh jam, tentera Thailand bertindak menyerang dan membunuh semua 42 orang, termasuk orang awam, yang berada dalam masjid itu. Tindakan itu dikritik hebat pelbagai pihak kerana kerajaan menggunakan paksaan bagi menyelesaikan ketegangan berkenaan.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan semalam seorang renjer maut akibat ditembak dan dua lagi cedera dalam serangan terbaru di Pattani.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.05 pagi itu, Muhammai Saifu Abdultolep cedera parah ditembak oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah kampung di daerah Sai Buri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Muhammai maut ketika menerima rawatan di Hospital Sai Buri.


Dalam insiden pada jam 9.30 pagi pula, sebutir bom meletup ketika sekumpulan renjer sedang membuat rondaan secara berjalan kaki di Kampung Moo 3 di Paseyawo. Selepas insiden itu tercetus pertempuran antara pejuang pemisah dan tentera. Dua renjer, Thirasak Sudari, 25, dan Sithichai Thammachart, 22, mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke hospital. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

3 banduan kritikal dalam pergaduhan

Posted: 27 Apr 2013 02:58 PM PDT

Jakarta: Tiga banduan berada dalam keadaan kritikal selepas tercetus pergaduhan di antara dua kumpulan tahanan di penjara Tanjung Gusta, Medan, Sumatera Utara kelmarin.

Ketiga-tiga banduan terbabit dilaporkan cedera akibat ditikam.


Ketua Divisyen Hukuman di agensi hak asasi kemanusiaan dan pentadbiran undang-undang Sumatera Utara, Amran Silalahi berkata, pihak berkuasa memindahkan 17 tahanan dari penjara Tanjung Gusta bagi mengelak kejadian berulang. Selain itu, penjara itu turut ditutup kepada pelawat. "Kami sudah memindahkan 17 tahanan daripada kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan ke Binjai, Lubuk Pakam dan Permatang Siantar," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Hyundai diminta mohon maaf atas iklan

Posted: 27 Apr 2013 02:57 PM PDT

Seoul: Syarikat pengeluar kereta Hyundai Motor di Korea Selatan semalam diminta memohon maaf terhadap iklan yang mempromosikan pengeluaran karbon tahap sifar apabila memaparkan seorang lelaki gagal membunuh diri menggunakan tiub yang dilekatkan pada ekzos.

Kontroversi iklan itu adalah yang terbaru melanda syarikat pengeluar kereta itu.


Hyundai dianggap pengeluar kereta kelima terbesar di dunia dari segi jualan apabila digabungkan dengan rakan sekutunya Kia Motors.

Syarikat Korea Selatan itu berusaha menghadkan kerosakan akibat iklan itu ditarik balik. Ia dihasilkan firma pengiklanan Innocean Worldwide Corp dengan 40 peratus sahamnya dimiliki Chung Sung-yi. anak perempuan Pengerusi kumpulan Hyundai Motor, Chung Mong-koo. Hyundai dan Innocean berkata, mereka benar-benar meminta maaf atas sebarang kesukaran dan ketidakselesaan akibat iklan itu yang disasarkan kepada pelanggan Eropah mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Nama ibu dalam senarai pengganas AS

Posted: 27 Apr 2013 02:57 PM PDT

Washington: Nama ibu pengebom Boston dimasukkan ke pangkalan data pengganas Amerika Syarikat 18 bulan sebelum insiden itu berlaku.

Agensi Perisikan Pusat (CIA) meminta nama Zubeidat Tsarnaeva dan anaknya, Tamerlan Tsarnaev dimasukkan ke senarai itu hasil permohonan Russia.


Walaupun Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendapati mereka tiada sebarang kaitan dengan pengganas, langkah itu diambil apabila Moscow bimbang kedua-dua mereka mungkin menjadi militan. Tamerlan, 26, adalah suspek pertama pengeboman di garisan penamat Maraton Boston itu dan dia ditembak mati pihak berkuasa sehari kemudian.

Adik Tamerlan, Dzhohkar Tsarnaev, 19, cedera tetapi kini dipindahkan dari hospital ke pusat perubatan penjara Persekutuan untuk rawatan akibat kecederaan ketika cuba melarikan diri. Tamerlan Tsarnaev, 26, mati ketika berbalas tembakan dengan polis.


Ejen FBI turut meninjau kawasan berhampiran Universiti Massachusetts Dartmouth di mana Dzhohkar menjadi pelajar di situ. Jurucakap FBI, Jim Martin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai apa yang dicari penyiasat. Foto udara dalam Boston Globe kelmarin menunjukkan sejumlah penyiasat lebih daripada 20 orang semuanya berpakaian putih dan but kuning mengambil sesuatu dari tong sampah dengan penyodok dan penggali.


Pendedahan bahawa FBI turut pernah menyiasat Zubeidat dan CIA memutuskan agar namanya dimasukkan dalam senarai pangkalan data pengganas menambah misteri terhadap keluarga itu.

Keluarga Tsarnaev berasal daripada etnik Chechen di selatan Russia yang berhijrah ke Boston sejak 11 tahun lalu.


Tsarnaeva diberikan kerakyatan AS dan beberapa kali muncul di televisyen untuk diwawancara sejak pengeboman berkenan.

Kata Zubeidat, dakwaan dia terbabit dalam kegiatan pengganas adalah pembohongan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Pekerja Korea Selatan pulang ke kawasan perindustrian

Posted: 27 Apr 2013 02:56 PM PDT

Paju (Korea Selatan): Pekerja Korea Selatan semalam mula pulang dari kawasan perindustrian bersama di Korea Utara selepas Seoul mengumumkan pengunduran sepenuhnya ekoran beberapa bulan ketegangan ketenteraan.

Tindakan itu meragukan masa depan kompleks Kaesong yang pernah menjadi simbol kerjasama di sempadan paling ketat kawalan tentera di dunia dan menjadi sumber mata wang rejim Kim Jong-un yang tersisih.


Pekerja berkenaan pulang pada hari sama Korea Utara mengumumkan bahawa negara itu akan membicarakan rakyat Amerika Syarikat kerana cuba menggulingkan rejim komunis langkah yang pasti meningkatkan pergeseran antara Pyongyang dan Barat. Korea Selatan yang kecewa kelmarin berkata, ia memutuskan untuk menarik balik 175 pekerjanya yang ada dari Kaesong selepas Pyongyang menolak kata dua untuk menyertai rundingan rasmi memulakan semula operasi yang tertangguh. Peringkat pertama 11 pekerja pulang petang semalam menerusi pusat pemeriksaan sempadan di Paju dengan 116 lagi dijadualkan menyeberangi sempadan dalam konvoi kedua tidak lama selepas itu, menurut kerajaan.

Sementara 48 yang lain kebanyakan kakitangan kerajaan yang menguruskan kompleks itu selain jurutera telekom dan eletrik dijangka pulang esok, menurut Kementerian Penyatuan Seoul. Syarikat kilang Korea Selatan di tempat itu menyuarakan kejutan dengan pengunduran serta-merta itu.


"Kami sedih dengan keputusan mendadak kerajaan untuk menarik diri dari Kaesong. Kami bimbang kerana ini akhirnya akan membawa kepada penutupannya," kata satu daripada 123 wakil firma Korea Selatan yang cenderung beroperasi di situ. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Pembunuh serah diri selepas 14 tahun sembunyi

Posted: 27 Apr 2013 02:55 PM PDT

Oklahoma City: Selepas 14 tahun menjadi pelarian seorang lelaki yang dikehendaki kerana kesalahan membunuh, menyerah diri kepada pihak berkuasa, semalam.

David Lee Kemp dari Lawton, Oklahoma adalah satu-satunya banduan belum ditahan selepas dia bersama lapan tahanan lain melarikan diri pada 11 Mac 1999.


Mereka bertindak nekad ketika menunggu perbicaraan atas dua tuduhan membunuh tahap pertama ke atas bekas isteri Kemp serta teman lelaki wanita terbabit.

Sheriff Comanche, Kenny Stradley berkata, Kemp menyerah diri kerana penat menyembunyikan diri.


"Dia bosan dan penat menjadi buruan sehingga menjejaskan kesihatannya," katanya. Rekod penjara daerah Comanche menunjukkan Kemp ditahan jam 1.40 pagi semalam atas kesalahan membunuh dan melarikan diri dari penjara. Untuk menyerah diri, Kemp terpaksa mendapatkan bantuan seorang pemandu lori yang sedang tidur di tepi lebuh raya.


Kemp kemudian meminta pemandu itu menghubung pihak berkuasa dan ingin bercakap dengan mereka. Dia didakwa membunuh Christina Cremer dan teman lelakinya, Robert Miller. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Taliban umum 'serangan musim bunga' bermula

Posted: 27 Apr 2013 02:55 PM PDT

Kabul: Kumpulan Taliban di Afghanistan semalam mengumumkan bermulanya 'serangan musim bunga' tahunan terhadap kerajaan disokong Amerika Syarikat, sambil berikrar melancarkan beberapa siri serangan di seluruh negara ketika tentera asing berundur.

Kumpulan itu berkata, pelbagai serangan pengeboman berani mati, 'serangan dalaman' oleh tentera Afghanistan dan 'taktik tentera khas' akan menyasarkan pangkalan udara antarabangsa dan bangunan diplomatik untuk mencetuskan korban maksimum.


Mereka memberi amaran kepada rakyat tempatan yang bekerja untuk Presiden Hamid Karzai agar menjauhkan diri daripada kerajaan bagi mengelak ditangkap dalam keganasan dijanjikan dan menggesa golongan muda agar tidak menyertai polis atau tentera. 'Musim perang' tahun ini dilihat genting kepada masa depan Afghanistan berikutan pasukan keselamatannya yang sering dikritik memerangi pemberontak yang sudah menentang kerajaan kabul sejak 2001. Operasi gempur Nato di Afghanistan dijangka berakhir tahun depan dan komander tentera bersekutu mengatakan tentera tempatan dan polis sudah melakukan cukup kemajuan untuk memberikan khidmat keselamatan dan menyingkirkan Taliban. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

No comments:

Post a Comment