Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jodoh masih panjang

Posted: 26 Apr 2013 10:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal mahu Datuk K Rajagobal memberi perhatian penuh pada misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia selepas pengendali itu bebas daripada hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kedudukan Rajagobal terancam berikutan kenyataan mengkritik dasar FAM sebelum ini namun 'jodoh' beliau bersama Harimau Malaya masih panjang apabila Jawatankuasa Tatatertib memutuskan tiada kes untuk mendakwanya, Rabu lalu.


Justeru pengendali itu terus menjadi sandaran FAM untuk memikul misi utama melepasi halangan pusingan kelayakan Piala Asia Kumpulan D yang juga bakal menjadi faktor menentukan sama ada kontrak disambung ataupun sebaliknya.

"Saya harap tiada lagi isu merunsingkan jurulatih (Rajagobal). Saya mahu beliau beri perhatian kepada misi layak ke Piala Asia di Australia," kata Subahan yang mengaku tidak terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib yang memihak kepada Rajagobal itu.


"Sejak hari pertama lagi saya sudah maklumkan, beliau tidak bersalah. Orang cakap saya hanya mahu mempertahankannya tapi sekarang terbukti beliau tidak menyalahi Artikel 88," katanya.


Rajagobal sebelum ini didakwa atas kesalahan mengkritik FAM kerana mempertikai penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia pada sidang media selepas menyaksikan anak buahnya tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 25 Januari lalu.

Foto

RAJAGOBAL (kiri) sasar layak ke Piala Asia.

Bagaimanapun selepas mendengar pembelaan pengendali berusia 56 tahun itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Datuk Taufek Abd Razak memutuskan beliau yang masih mempunyai kontrak dengan FAM hingga hujung tahun ini didapati tidak bersalah.


Subahan berkata, Rajagobal perlu mempersiapkan pasukannya menjelang perlawanan ketiga peringkat kumpulan menentang Bahrain di Kuala Lumpur pada 15 Oktober.

"Kita perlu meneruskan misi layak ke Piala Asia, selepas menang dengan Yaman kita akan bertemu Bahrain selepas ini. Saya mahu beliau beri perhatian kepada persiapan skuad negara dengan beberapa perlawanan persahabatan menentang Chelsea, Barcelona, India dan Uzbekistan sebelum berdepan Bahrain." Skuad kebangsaan kini menduduki tangga ketiga daripada empat pasukan dalam Kumpulan D selepas tumpas 0-2 di tangan Qatar pada aksi pembukaan sebelum menang 2-1 ke atas Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Program berbaloi

Posted: 26 Apr 2013 10:11 AM PDT

Melaka: Pasukan bolasepak Penguatkuasa Majlis Perbandaran (MP) Muar berjaya menewaskan AFM FC, 3-2 pada aksi persahabatan di Stadium Jasin, baru-baru ini.

Perlawanan sengit itu menyaksikan pelawat ketinggalan 0-2 pada babak pertama namun bangkit membenam lawan pada hujung saingan.


Pengurus Penguatkuasa MP Muar Zahid Husin berkata, perlawanan itu menjadi pentas mengeratkan silaturahim antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pasukan di sekitar Melaka.

Beliau berkata, walaupun pasukan itu baru ditubuhkan kira-kira dua bulan lalu, kemenangan itu amat bermakna bagi membentuk pasukan lebih mantap.


"Kemenangan bukan matlamat sebenar namun kejayaan ini menyuntik semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang pada perlawanan akan datang.


"Saya bangga komitmen tinggi dipamer pemain Penguatkuasa MP Muar yang meningkatkan persefahaman sama ada dalam mahupun di luar padang secara langsung membentuk semangat setiakawan tinggi dalam kalangan anggota.

"Kami turut bercadang mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan di Johor, sekitar Melaka serta Negeri Sembilan terutama untuk memperkenalkan MP Muar kepada masyarakat umum," katanya.


Zahid berkata, sokongan pengurusan tertinggi MP Muar turut mendorong latihan lebih agresif diadakan bagi membentuk sebuah pasukan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Atlet olahraga jaguh basikal

Posted: 26 Apr 2013 10:11 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga atlet olahraga yang dikenal pasti Institut Sukan Negara (ISN) untuk diserapkan di bawah kendalian ketua jurulatih negara, John Beasley diramal mampu mengatasi prestasi atlet berbasikal trek negara pada masa ini.

Itu antara rumusan diberikan Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Shapawi Ismail mengenai program 'Ride With Pride' yang bakal menjadikan tiga atlet olahraga itu sebagai juara di pentas antarabangsa.


"Dalam sesetengah ujian, ada atlet melepasi kemampuan dimiliki pelumba berbasikal negara. Ini bermakna mereka lebih berpotensi untuk diketengahkan. Ini program pantas yang akan disesuaikan untuk dijadikan kumpulan pelapis dalam program elit," katanya.

Perkembangan itu pasti menggembirakan apabila ada atlet berbakat semula jadi dan mampu mencapai kejayaan lebih baik di pentas antarabangsa terutama bagi menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Brazil.


Mungkin juga tiga atlet olahraga itu bakal mengatasi pencapaian yang pernah dilakukan Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin dan Fatehah Mustapa di pentas antarabangsa andai mendapat tunjuk ajar Beasley yang sudah tujuh tahun mengendalikan skuad elit negara di Melbourne, Australia.


"Kita sudah menjalankan pelbagai ujian dalam segenap aspek saintifik terhadap 90 atlet membabitkan olahraga (acara pecut, jarak sederhana dan jauh serta lompatan), angkat berat, hoki, bola jaring dan ragbi sejak Disember lalu. Hasilnya hanya tiga atlet olahraga berpotensi untuk diketengahkan.

"Saya masih belum dapat memaklumkan tiga atlet itu kerana perlu melalui proses tertentu termasuk memaklumkan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana mereka mungkin berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA," kata Ahmad Shapawi.


Atlet baling tukul besi negara, Tan Song Hwa antara yang tampil menyertai program itu namun bekas pelari pecut negara, Siti Fatimah Hassan yang dianggap Beasley sebagai turut berpotensi tidak dapat disenaraikan kerana penggantungan akibat penyalahgunaan dadah.

Sementara itu Beasley berkata, tiga nama itu akan diumumkan Selasa ini dan salah seorang adalah atlet wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Rebut tiket Phuket, Munich

Posted: 26 Apr 2013 10:10 AM PDT

Kuala Lumpur: Kem Bolasepak Remaja Allianz (AJFC) 2013 akan membawa 10 pemain remaja ke Phuket, Thailand dan Munich, Jerman berbanding hanya dua tahun lalu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz Malaysia Berhad, Jens Reisch.

Pengumuman itu dibuat ketika melancarkan pencarian bakat remaja berusia 14-16 tahun pada pemilihan di Padang MPK 1, Kuantan, Pahang 15 Jun ini dan Padang SUK Shah Alam, pada 22 Jun diketuai bekas ketua jurulatih kebangsaan, B Sathianathan.


Tiga pemain paling berbakat berpeluang ke kem latihan remaja di Bayern Munich, Jerman pada 7-12 Ogos atau 14-19 Ogos manakala tujuh lagi pemain yang terpilih akan ke Phuket pada 28-30 Jun ini.

"Saya nasihatkan pemain yang datang ke pemilihan itu supaya bermain dengan tenang, jangan terlalu fikirkan untuk terpilih, barulah kemahiran sebenar dapat dipamerkan," kata Sathianathan.


Tahun lalu, Damien Lim Chien Khai dan Luveen Visnu Anandhan dipilih ke Munich.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Tetap sama!

Posted: 26 Apr 2013 10:10 AM PDT

Kuala Lumpur: Masih di takuk lama! Biar apapun pujian dihambur barisan kejurulatihan terhadap Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, walau sekuat mana sekalipun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertahankan untuk mengekalkan pasangan beregu lelaki itu, prestasi mereka di gelanggang nyata mengecewakan.

Semalam pada suku akhir Siri Super Terbuka India di New Delhi, gandingan ranking kedua dunia itu tewas kepada pasangan nombor lima dunia dari Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang 19-21, 14-21 sekali gus membolehkan pasangan Korea itu melebarkan rekod pertemuan kepada 3-0.


Menang kalah perlawanan itu lumrah, namun sebagai atlet, disiplin dalam gelanggang dan di luar gelanggang amat penting dan Kien Keat masih tidak mampu berubah.

Kekalahan mereka menjadi ikutan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas buat kali pertama kepada pasangan Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba 13-21, 18-21.


Justeru tinggal Datuk Lee Chong Wei bersendirian mengibar cabaran negara pada separuh akhir hari ini selepas mempamerkan permainan menghiburkan.


Chong Wei menang 21-14 di set pertama, membiarkan lawannya dari India, Prannoy HS mendahului 17-11 pada set kedua sebelum bangkit memenangi perlawanan itu 21-19.

Hari ini pemain nombor satu dunia itu berdepan sama ada pemain tuan rumah Gurusaidutt RMV atau pilihan ketujuh dari Thailand, Boonsak Ponsana.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

KLHC padam ego TNB

Posted: 26 Apr 2013 10:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun takhta kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) sudah dalam genggaman, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) tetap dahagakan kemenangan apabila sekali lagi mengutip tiga mata dengan menewaskan musuh ketat Tenaga Nasional Berhad (TNB), 5-3 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

TNB bagaimanapun bermula baik apabila di depan seawal minit kelima menerusi Muhammad Shahril Saabah sebelum penyerang negara, Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-20 untuk meletakkan TNB selesa mendahului 2-0.


Namun KLHC tidak mudah mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan dalam tempoh dua minit, pada minit ke-34 menerusi gol sumbangan Muhammad Umar Bhutta dan Muhammad Imran seminit kemudian.

Bersambung babak kedua, Mohd Razie Rahim meletakkan KLHC di depan pada minit ke-47.


Dua gol daripada Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-50 dan 63 menyaksikan KLHC semakin selesa sebelum mengesahkan kemenangan 5-3.


Dua pemain KLHC, Wassem Ahmad dan Timothy Deavin bagaimanapun menerima hukuman penggantungan satu perlawanan iaitu ketika bertemu UniKL hari ini selepas menerima kad kuning semalam.

Sementara itu, reputasi Sapura selaku pasukan elit terus tercalar selepas tewas 1-3 kepada Nur Insafi pada satu lagi perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Tekad ulang kejayaan

Posted: 26 Apr 2013 10:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan menjejak podium 1-2 kategori CP130 tahun lalu masih segar dalam memori Md Affendi Rosli dan Norizman Ismail.

Menjelang perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PET RONAS di Stadium Hang Jebat, Melaka, esok dua pelumba pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu berhasrat mengulangi pencapaian sama.


Norizman dan Affendi menamatkan saingan di tempat ketujuh dan kelapan di Batu Kawan dan mahu menebus kehampaan selepas permulaan kurang memberangsangkan pada perlumbaan pusingan pertama.

Suntikan kemenangan rakan sepasukan dan juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman menjuarai perlumbaan di Litar Batu Kawan 7 April lalu, menyemarakkan semangat mereka.


"Sekalipun bermula dari petak depan tapi rasa kebas dan kejang tangan terjatuh pada sesi kelayakan menyebabkan saya tidak dapat bertahan menyaingi Azlan yang memintas pada pusingan ketiga. Pemeriksaan di hospital mendapati ada tisu bahagian lengan berhampiran rusuk koyak," kata Affendi.


"Sekarang saya fokus dan semakin sembuh apatah lagi menjejak podium pada perlumbaan kedua Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) di Sepang, minggu lalu." Norizman berkata: "Litar Melaka antara kegemaran dalam kalendar Cub Prix tahun ini. Saingan pasti sengit kerana kategori CP130 menampilkan ramai pelumba berpengalaman dan pantas dengan cara mereka tersendiri. "Bagi saya, kemenangan minggu ini bergantung kepada kekuatan mental apabila dicabar, ketahanan jentera, masa konsisten dan tidak banyak membuat kesilapan.

"Persediaan lebih baik berbanding Batu Kawan kerana saya demam pada masa itu. Sesi kelayakan hari ini memberi gambaran strategi dan keupayaan fizikal pelumba bertahan dalam perlumbaan lebih panjang." Selain Azlan, seorang lagi pelumba pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing beraksi dalam CP130 adalah Md Fitri Ashraf Razali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Masih terlalu awal: Tengku Amirul

Posted: 26 Apr 2013 10:06 AM PDT

Melaka: Tengku Amirul Haffiruddin tidak terlalu memikirkan mengenai buruan mahkota CP115 menjelang pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Hang Jebat, Melaka, esok.

Meskipun mencipta kejutan dengan menjuarai pusingan pertama di Pulau Pinang baru-baru ini, pelumba Motul Yamaha YY Pang itu beranggapan saingan masih di peringkat awal dan masih banyak cabaran perlu ditempuhi.


Apatah lagi pelumba kelahiran Terengganu itu pernah menempuh musim kurang memuaskan ketika beraksi dalam kategori sama pada 2011 selepas sekadar berada di tempat ke-19 keseluruhan.

"Saya gembira dengan kemenangan di Batu Kawan tapi pada masa sama tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan itu kerana saingan masih di peringkat awal musim. "Masih ada sembilan perlumbaan yang perlu dihadapi dan pastinya semakin mencabar," kata pelumba berusia 17 tahun itu.


"Lihat saja pada perlumbaan lalu, walaupun saya muncul juara tapi Hafiz Nor Azman (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) begitu hampir dengan saya. "Malah dia dapat merebut petak pertama tapi mujurlah saya dapat bermula dengan baik dan berjaya mendahului Hafiz dari awal.


"Buat masa ini sukar buat saya menyatakan mampu merebut takhta kejuaraan musim ini. Saya juga tidak mahu terlalu memikirkannya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Amaran Kim Swee

Posted: 26 Apr 2013 10:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) Ong Kim Swee memberi peringatan kepada pemainnya supaya bangkit memperbaiki prestasi selepas mereka sekali lagi dikecewakan dengan kekalahan 0-4 kepada kelab Hungary, BFC Siofok dalam aksi persahabatan Rabu lalu.

Ia kekalahan keempat sepanjang enam perlawanan siri jelajah Eropah skuad muda negara itu selepas lebih sebulan berpangkalan di Vion, Slovakia bagi persiapan menghadapi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.


Bagi Kim Swee pasukannya boleh mencipta kejutan ke atas Siofok yang beraksi dalam liga utama Hungary itu namun kesilapan yang dilakukan pemain menghadiahkan lawan gol mudah.

"Kami bermain agresif dalam tempoh 20 minit pertama namun selepas itu pemain melakukan kesilapan hingga membenarkan Siofok menjaringkan gol. Saya boleh terima kekalahan jika gol dijaringkan lawan menerusi gerakan namun malangnya dalam perlawanan itu ia gol hasil kesilapan pemain sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Budapest, Hungary kelmarin.


Kim Swee berharap anak buahnya dapat belajar daripada kesilapan itu dan memperkemaskan lagi permainan sebelum berdepan satu lagi kelab Hungary, Kaposvari Rakoczi FC, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

Tok Gajah jinak FELDA

Posted: 26 Apr 2013 10:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Pahang memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk membenam FELDA United, 2-0 malam tadi dan untuk terus menghambat kelompok pasukan teratas Liga Super.

Tiga mata penuh dikutip dalam aksi di Stadium Darulmakmur itu bagaimanapun menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh kekal di tangga kelima dengan 23 mata, ketinggalan empat mata berbanding peneraju liga, LionsXII.


Skuad Tok Gajah bermula garang melancarkan asakan ke kubu pelawat berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi tandukan penyerang import Argentina Matias Conti.

Penantian tuan rumah meraih gol kedua akhirnya terlerai pada minit ke-64 apabila tandukan pemain pertahanan Damion Stewart yang tidak dikawal berjaya ditolak masuk penyerang Mohd Fauzi Roslan.


Sementara itu, Mohd Ashaari Shamsuddin muncul wira skuad Penyu apabila jaringan penaltinya pada masa kecederaan membantu tuan rumah menewaskan Negeri Sembilan, 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Bagaimanapun, kegembiraan penyerang kebangsaan itu tidak berpanjangan apabila dia dilayang kad merah selepas menerima kad kuning pertama dan kedua tidak sampai seminit kerana didakwa pengadil Teo Hee Loon melengah-lengahkan permainan dan mengasari pemain lawan.

Nasib malang menimpa pemain berasal dari Marang itu meresahkan pengendali Terengganu apatah lagi penyerang utama skuad itu Jean Emmanuel Effa Owona tidak dapat beraksi.


"Saya tidak nafikan kehilangan Effa Owona menjejaskan rentak jentera serangan kerana gandingannya dengan Abdul Manaf sudah serasi selepas 12 perlawanan," kata jurulatih E Elavarasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/27

No comments:

Post a Comment