Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya harap FAM lebih cemerlang'

Posted: 11 Apr 2013 04:09 PM PDT

Kangar: "Saya harap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan lebih cemerlang dengan pelantikan Setiausaha Agung baru bagi menggantikan individu sedia ada."

Begitu kata bekas Presiden Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim mengu las peletakan jawatan Datuk Azzuddin Ahmad yang bakal melepaskan jawatannya hujung bulan depan.


Beliau berkata, individu baru bagi jawatan itu diharap menjadikan badan induk bolasepak negara lebih cemerlang.

"Azzuddin dinaikkan pangkat ke AFF kerana khidmatnya di FAM tidak lagi sesuai bukan kerana beliau bagus.


"Tindakannya menghukum pimpinan Persatuan Bolasepak negeri sejak beberapa tahun lalu menjadikan FAM lebih kelam kabut, terutama pertuduhan di bawah Artikel 88 kepada beberapa individu yang bagus dalam FAM," katanya.


Menurut Shahidan, beliau menganggap Azzuddin tidak cemerlang dalam FAM dan tidak perlu dinaikkan pangkat walaupun dilantik sebagai Setiausaha Agung AFF kerana ia adalah entiti berlainan.

Ketika ditanya mengenai pengganti sesuai bagi jawatan kosong itu, Shahidan mencadangkan Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengisi kekosongan itu.


"Beliau disenangi dan mudah dibawa berbincang selain suka bergaul di setiap peringkat pimpinan sama ada negeri dan pusat," katanya.

Sementara itu, beliau menyokong keputusan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik peletakan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ).


"Namun, kenapa hanya beliau sahaja dipujuk Presiden FAM, kenapa tidak dilakukan kepada semua presiden yang dikenakan tindakan disiplin?.


"Jika sikap 'double standard' seperti pujuk memujuk bagi sesetengah individu dilakukan, ia bakal mewujudkan dua kumpulan presiden di kalangan persatuan negeri sama ada bukan elit dan elit."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

SEMSAS unggul

Posted: 11 Apr 2013 03:58 PM PDT

Kuantan: Permulaan cemerlang dilakar pasukan bola keranjang perempuan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) Kuantan apabila muncul juara Kejohanan Bola Keranjang Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Zon Timur Ke-40 di Stadium SUKPA, baru-baru ini.

Beraksi di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada pasukan kendalian Ahmad Hamdany Ahmad Halimy apabila menjinakkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SPBI) Kuantan.


Kejayaan itu membuka peluang kepada SEMSAS untuk mewakili Zon Timur pada saingan Kejohanan Bola Keranjang Hari Kecemerlangan SBP peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) pada 24-28 Mei ini.

Mengiringi mereka adalah skuad lelaki sekolah itu yang turut muncul juara selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains Dungun (SEMERDU), Terengganu 59-49.


Ahmad Hamdany berkata, pencapaian cemerlang di peringkat Zon Timur kali ini diharap menjadi asas prestasi lebih membanggakan di pentas kebangsaan yang lebih mencabar bulan depan. Justeru, katanya kelebihan selaku juara akan digunakan sepenuhnya untuk mengulangi kejayaan walaupun cabaran yang bakal dihadapi lebih getir. "Kejayaan kali ini hasil semangat dan kesungguhan semua pemain yang turun dengan satu matlamat iaitu menjulang kejuaraan di gelanggang sendiri.


"Semangat jitu pemain yang mendapat sokongan padu penyokong sepanjang kejohanan berjaya membentuk pasukan mantap walaupun tidak banyak diberi harapan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, latihan secara berterusan selain mengadakan beberapa perlawanan persahabatan berjaya melahirkan pemain berkualiti yang mampu menyerap tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Pemain 5 sekolah pamer aksi lincah

Posted: 11 Apr 2013 03:58 PM PDT

Jempol: Aksi mantap dipamer pemain bolasepak sekolah pada jelajah persahabatan empat penjuru, Negeri Sembilan-Selangor, Sabtu lalu, membuktikan negara belum ketandusan pemain pelapis berbakat.

Itu yang boleh disimpulkan selepas melihat aksi lincah pemain lima sekolah rendah yang bertarung julung kalinya pada kejohanan anjuran Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam (SK).


Selain SK Ayer Hitam, dua sekolah dari daerah Jempol adalah SK FELDA Serting Tiga dan SK Bandar Baru Serting selain SK Bandar Baru Batang Kali dari Selangor, keseluruhannya membabitkan penyertaan hampir 80 pemain dan 30 guru.

Juara milik SK FELDA Serting Tiga, naib juara SK Bandar Baru Batang Kali dan ketiga SK FELDA.


Penyelaras Program Hartinah Shahrom berkata, siri jelajah itu diharap dapat menggilap potensi murid dalam sukan bolasepak.


Katanya, acara ini juga diharap menyuntik semangat kepada dua pemain SK Ayer Hitam, Adeen Erfan Md Baharudin,12, dan Mohd Helmi Awaluddin, 12 yang terpilih mewakili Jempol untuk Kejohanan Bolasepak B-12 Peringkat Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Johor buru teraju liga

Posted: 11 Apr 2013 03:57 PM PDT

Johor Bahru: Johor tetap optimis mencipta kemenangan dalam usaha mengejar Sime Darby FC dan Sarawak yang kini menghuni dua tangga teratas apabila berdepan KL SPA Putrajaya FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Larkin, malam ini.

Biarpun hanya mempertaruhkan Juan Muriel Orlando sebagai import tunggal selepas Andre Francisco Da Silva berhijrah ke Johor Darul Takzim (DT), ia bukan alasan ketika skuad Merah Biru itu masih mempunyai barisan pemain tempatan terbaik.


Jurulatih Azmi Mohamad berkata, beberapa rombakan kecil dilakukan bagi memantapkan barisan tengah dan pertahanan serta penampilan Mohd Shaoufiq Mohd Kusaini dan Ashadi Mohd Yusof yang digandingkan bersama See Kok Luen di posisi tengah.

"Memang terasa juga apabila Andre Francisco tidak bersama Johor dan ditambah kecederaan serius Mohd Khairul Ismail yang mungkin hanya dapat diturunkan empat minggu lagi namun saya percaya masalah ini hanya sementara.


"Buat masa ini kita belum putuskan siapa yang menggantikan Andre dan semuanya akan diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana tidak mahu terburu-buru mengambil pemain import yang tidak setanding pemain dari Brazil itu.


"Tiga pemain Johor DT, Faizal Mansor, K Sathiya dan Mohd Ezaidy Khadar masih belum serasi dengan corak permainan Johor dan saya mungkin tidak akan menurunkan mereka sebaliknya mempertaruhkan pemain Piala Presiden Ramzi Haziq Mohamad dan beberapa lagi pemain lain," katanya.

Skuad Merah Biru kini menghuni tangga ketiga liga selepas mengumpul 22 mata hasil tujuh kemenangan, satu seri dan tewas tiga kali, ketinggalan lima mata dengan pendahulu liga, Sime Darby FC dan Sarawak yang menghuni tangga kedua liga.


"Apa yang perlu dilakukan pemain ketika berdepan KL SPA adalah memberi sepenuh tumpuan dan elak membuat kesilapan mudah dan cuba ambil kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Sime Darby tak mahu cicir mata

Posted: 11 Apr 2013 03:56 PM PDT

Kuantan: Pendahulu Liga Perdana Sime Darby FC tidak mahu keciciran mata apabila bertemu Polis di Stadium Hang Jebat, hari ini.

Justeru, jurulatih Ismail Zakaria akan memastikan rekod cemerlang pusingan pertama kekal dan menjadikan pertemuan dengan Polis sebagai pencetus semangat.


Beliau berkata, rekod cemerlang dipersembahkan anak buahnya itu termasuk mengikat Pahang tanpa jaringan pada suku akhir pertama Piala FA.

Menurutnya kemenangan akan memberi suntikan semangat kepada pemain untuk memastikan impian ke final Piala FA menjadi kenyataan.


"Saya harap pemain mencatat keputusan membanggakan untuk mengekalkan penguasaan liga. Jurang mata tidak jauh dan kami perlu bekerja lebih keras jika mahu melangkah ke Liga Super musim depan," katanya.


Ditanya peluang menewaskan Polis, Ismail yakin ia dapat dilaksanakan biarpun lawan akan beraksi mati-matian untuk meraih kemenangan.

Namun, menurutnya, ketajaman bahagian serangan ditagih selain komitmen tinggi bahagian tengah dan pertahanan.


"Pemain perlu bijak memanfaatkan segala peluang untuk memburu kemenangan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Cemerlang pusingan kedua

Posted: 11 Apr 2013 03:56 PM PDT

Kuala Terengganu: Skrip ketika menumbangkan Negeri Sembilan, Sabtu lalu di pentas Piala FA ingin diulangi sekali lagi oleh Terengganu apabila berdepan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini.

Selain itu, pemain juga berazam membuka tirai pusingan kedua liga dengan noktah kejayaan untuk mencabar pendahulu liga yang kini dihuni LionsXII.


Penyerang Abdul Manaf Mamat berkata, seluruh anggota pasukan berazam mengulangi corak permainan konsisten bertemu Johor DT seperti ketika menumpaskan Negeri Sembilan.

"Kami sedar bukan mudah menundukkan lawan tetapi kami tetap berazam mencatat kemenangan.


"Strategi berkesan diilhamkan jurulatih E Elavarasan banyak mengubah corak permainan pasukan hingga mampu menjadi pencabar lebih mantap berbanding awal musim," kata pemain kelahiran Kampung Nibong itu.


Begitupun Manaf yang baru meledak satu gol dalam saingan liga berharap sentuhan jaringannya lebih menyengat.

"Satu gol daripada 11 perlawanan dalam saingan liga amat memalukan bagi seorang penyerang justeru saya harap mampu mencetak nama sebagai penjaring gol." Sementara itu, Elavarasan berkata, ketiadaan pemain serba boleh Mohd Ashari Shamsuddin yang digantung satu perlawanan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan kerana pemain itu bijak menghidu peluang di depan pintu gol lawan.


"Walaupun tanpa Ashari, saya mahu pemain yang mengisi kekosongannya memberikan aksi terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Awang import nadi baru Pahang

Posted: 11 Apr 2013 03:55 PM PDT

Kuantan: Kehadiran dua import baru Pahang dari Argentina dan Jamaica diharap membantu pasukan mencatat keputusan positif pada pusingan kedua Liga Super esok.

Pengurus Pasukan Che Nasir Salleh berkata, Matias Conti dan Damion Stewart mampu memberi lebih impak kepada pasukan selepas aksi hambar dua pemain import sebelum ini yang gagal menyerlah.


Menurutnya, yang penting import baru itu cepat menyesuaikan diri membentuk keserasian dan persefahaman dengan pemain tempatan.

"Jika dilihat persembahan mereka, saya yakin pencapaian Pahang akan lebih baik kerana jentera serangan dan pertahanan semakin mantap," katanya.


Ditanya pertemuan dengan T-Team di Stadium Darul Makmur malam esok, Che Nasir mahu pemainnya bijak memanfaatkan peluang untuk mengutip tiga mata berharga di gelanggang sendiri.


Menurutnya, kejayaan menewaskan kelab itu 3-1 pada perlawanan baru-baru ini mampu meningkatkan moral pemain sekali gus membantu memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Segalanya kini terserah kepada pemain untuk mencatat kemenangan berterusan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Raja tak takut berdepan FAM

Posted: 11 Apr 2013 03:33 PM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal tampak tegas untuk berdepan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kenyataannya mengenai kehadiran pemain import dalam Liga M apabila membuat keputusan tidak mengaku salah.

Perkembangan terbabit disahkan Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud selepas menerima surat jawapan pertuduhan semalam.


"Beliau sudah membalas surat pertuduhan hari ini (semalam) dan mengaku tidak bersalah," kata Ahmad Fuad yang dijangka memanjangkan perkara terbabit kepada Jawatankuasa Tatatertib yang diketuai Datuk Taufek Abd Razak.

Sebelum ini Rajagobal dilapor bakal berdepan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM8,000 andai didapati bersalah terhadap pertuduhan dikenakan terhadapnya mengikut Kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.


Jawatankuasa Tatatertib pada 27 Mac lalu membuat keputusan Rajagobal didakwa kerana melanggar Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM susulan kenyataan yang dikeluarkannya semasa sidang media selepas diaib Arab Saudi 1-4 dalam satu aksi persahabatan di Stadium Shah Alam.


Taufek kelmarin berkata, mahu segera menyelesaikan perkara terbabit dan berkemungkinan besar jawatankuasa bersidang pada Rabu bagi mencapai kata putus.

Rajagobal dilantik jurulatih negara pada 2009 bagi menggantikan B Sathianathan yang dipecat selepas mengeluarkan kenyataan 'Liga-M bukan bola sepak' susulan kekalahan 0-5 skuad kendaliannya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Asia 2011.


Rajagobal yang mempunyai kontrak hingga Disember ini membimbing skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA Laos pada tahun pertama dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada 2009 sebelum menjuarai Piala AFF 2010.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Hamidin calon paling sesuai

Posted: 11 Apr 2013 03:25 PM PDT

Kuala Lumpur: Terdapat ramai calon yang layak memikul tugas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bakal dikosongkan Datuk Azzuddin Ahmad hujung bulan depan.

Namun bekas pemain negara Khalid Ali berpendapat badan induk bolasepak negara itu perlu mencari pengganti yang tepat bagi meningkatkan imej persatuan terbabit yang tidak lekang dengan kontroversi sejak akhir-akhir ini.


"Ramai yang layak terutamanya di kalangan golongan profesional namun saya berpendapat tiga calon patut dipertimbangkan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah bagi menggantikan Azzuddin selaku mengetuai sekretariat," katanya.

Tiga nama yang meniti di bibir Khalid adalah Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) selain Datuk Seri Subahan Kamal dan bekas Penolong Setiausaha Agung FAM Rosli Hussein.


"FAM memerlukan individu yang berpendidikan dan berpengalaman luas dalam bolasepak. Tiga individu ini memilikinya dan mampu membangunkan sukan ini ke tahap lebih tinggi selain kemampuan mereka yang sudah terbukti. Sebagai sebuah organisasi yang besar dan profesional, individu terbabit perlu memberikan idea bernas dan baru." Hamidin yang juga pengurus skuad negara di Sukan SEA 2011 dilihat menjadi calon berkaliber untuk diketengahkan selepas membuktikan kemampuannya mencorak arena bolasepak negara selain kegigihannya mengendalikan saingan domestik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.


Hamidin yang berpengalaman luas selain mesra media itu mula menjadi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejak 1998 dan pernah dikaitkan untuk mengisi jawatan terbabit sebelum Azzuddin dilantik Sultan Ahmad Shah menggantikan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad pada September 2007.

Bagaimanapun Khalid turut mengingatkan, jawatan Setiausaha Agung adalah nadi sebuah persatuan dan segala percakapan individu terbabit mencerminkan imej mereka dan menjadi tumpuan peminat negara.


"Kadang-kala kritikan yang terima perlu diambil secara positif walaupun hati sakit. Mana-mana individu yang menjadi Setiausaha Agung perlu menerimanya secara terbuka kerana mereka adalah profesional." Azzuddin dicadangkan Sultan Ahmad Shah untuk mengambil alih jawatan Setiausaha Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang ditinggalkan Datuk Seri Paul Mony Samuel.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Pengurus tak peduli

Posted: 11 Apr 2013 03:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Tanpa gentar jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang terus mendedahkan kepincangan pengurusan yang berlaku pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India bulan lalu selain membidas pengurusan persatuan terbabit yang masih tidak berubah.

Menerusi kenyataan terbaru di laman blog miliknya, pelumba Olimpik negara itu menceritakan bukan saja insiden membabitkan lagu NegaraKu namun terdapat beberapa perkara lain yang turut mencetuskan situasi kurang senang semasa kejohanan berlangsung.


Antaranya insiden lain membabitkan Setiausaha Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Ibrahim Mustapa yang dilantik sebagai pengurus skuad trek negara yang mengambil ringan soal dobi dan makanan yang tidak sesuai disediakan penganjur.

"Ketika semua pelumba merujuk kepada Ibrahim, jawapan mudah diberikan adalah beliau tidak mempunyai bajet dan persatuan tidak mempunyai duit. "Begitu juga ketika aduan tentang makanan apabila pelumba negara disajikan kari masala ketika sarapan pagi, tengah hari dan malam. Beliau berkata, tidak boleh buat apa-apa kerana itu yang disediakan penganjur dan kita terpaksa makan tapi apabila pengurus pasukan Hong Kong atau China (jika tidak silap saya) membuat aduan, menu makanan terus diubah keesokan harinya. Ini menunjukkan tiada usaha dilakukan pengurus pasukan kita berbanding negara lain. Dalam erti kata lain kalah sebelum bertanding," menurut Azizulhasni.


Pelumba berusia 25 tahun itu menjelaskan dia tidak mempunyai masalah peribadi dengan Ibrahim dan menghormatinya sebagai orang yang lebih tua selain turut memohon maaf setelah pulang dari India tempoh hari namun apabila berada dalam tempoh kerja, tiada istilah suka-suka.


"Tujuan utama saya 'tweet' (insiden lagu NegaraKu) adalah kerana terkejut dan marah dengan apa yang berlaku kerana masih tiada perubahan dalam aspek pengurusan persatuan dan perkara ini tidak sepatutnya lagi berlaku kerana berbasikal adalah salah satu sukan yang menjadi harapan membawa pulang pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Semua orang dapat lihat, telah berlaku perubahan drastik pencapaian atlet berbasikal negara tapi busuknya apabila prestasi pentadbiran masih di takuk lama!," katanya.

Menurut Azizulhasni lagi, tindakannya adalah kerana rasa tanggungjawab sebagai pelumba elit negara untuk memperbetulkan masalah ini bagi memastikan generasi seterusnya tidak ditimpa insiden sama. "Saya gunakan kedudukan sebagai ikon sukan berbasikal negara untuk menyuarakan perkara ini agar menjadi perhatian pelbagai pihak dan isu ini dapat dikupas demi kemajuan sukan berbasikal Malaysia," katanya.


Exco PKBM kelmarin memutuskan untuk menghadapkan Ibrahim ke jawatankuasa disiplin persatuan kerana tidak berada di velodrom ketika acara trek berlangsung namun melepaskan beliau kerana insiden ketiadaan lagu NegaraKu walaupun didakwa berada di Taj Mahal ketika itu bersama skuad paracycling negara.

"Ibrahim menghilangkan diri tanpa pengetahuan semua pihak ketika semua pelumba, jurulatih dan pegawai lain sedang sibuk di velodrom, tiada siapa tahu di mana pengurus pasukan Malaysia. Sekurang-kurangnya sebelum berangkat ke Taj Mahal, tinggalkan sepatah kata kepada anggota pasukan supaya semua sedia maklum dan dapat bersedia.


"Para jurulatih, pegawai dan staf bantuan bergilir-gilir menjadi pengurus pasukan kerana terkejar-kejar jadual perlumbaan yang padat. Saya dengar sendiri keluhan jurulatih dan pegawai lain selepas tamat perlumbaan hari itu. Pada pendapat peribadi saya, ini adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

No comments:

Post a Comment