Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wajah 'ngeri' Triny kembali normal

Posted: 11 Apr 2013 04:22 PM PDT

London: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang hampir hilang mukanya akibat ketumbuhan bersaiz bola sepak berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pakar bedah Britain.

Triny Amuhirwe dari Uganda kini memperoleh wajahnya semula hasil usaha badan kebajikan Britain 'Facing The World' dan pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan ke atas mukanya dengan percuma.


Ketika muncul dalam rancangan televisyen This Morning semalam, ibunya Sarah memuji kumpulan yang menyelamat anaknya itu. "Terima kasih kepada pakar bedah dan badan kebajikan itu kerana menyelamat nyawa Triny. Anak saya mungkin mati jika tidak kerana usaha mereka," katanya.

Menurut Sarah, dia mula menyedari ketumbuhan itu pada bahagian kanan muka Triny ketika dia berusia empat tahun.


"Saya sangka ia akan hilang. Sebaliknya ketumbuhan itu semakin membesar. Saya kemudian ke hospital. Tetapi doktor berkata, mereka perlu menunggu dan melihat apa yang akan terjadi," kata Sarah.


Ketumbuhan itu mula membesar dan apabila Triny berusia tujuh tahun, Sarah membawanya semula ke hospital dan doktor memutuskan sudah tiba masanya untuk melakukan pembedahan.

Foto

WAJAH Triny sebelum dibedah.

Foto

Triny dibedah oleh sekumpulan pakar bedah Britain.

Mulanya pembedahan itu kelihatan berjaya. Tetapi, ia tumbuh semula dalam masa dua minggu saja.


Pembedahan kedua juga gagal dan ketumbuhan itu kembali, lebih besar daripada sebelumnya.

"Ia lebih besar daripada yang pertama sehingga meliputi seluruh muka Triny," kata Sarah.


Dalam pada itu, Triny yang menghidap masalah yang dinamakan fibrous dysplasia, mengalami kesakitan yang teruk, termasuk pening, sukar makan dan bernafas serta akhirnya gagal melihat menerusi mata kanannya.


Untuk menjadikan keadaan lebih buruk, dia diminta berhenti sekolah kerana gurunya tidak dapat menangani keadaan yang dihadapi kanak-kanak itu.


Bagaimanapun nasib Triny akhirnya berubah apabila seorang jiran menemui jururawat warga Amerika Syarikat yang bekerja di Uganda dan menceritakan keadaan kanak-kanak itu.


Jururawat berkenaan berhubung dengan 'Facing The World' yang membantu mengumpulkan dana untuk membawa Triny ke Britain bagi menjalani pembedahan.


November lalu, Triny tiba di London dan menjalani pembedahan selama 15 jam bagi membuang ketumbuhan itu.


Kali ini doktor percaya mereka berjaya membuang sama sekali ketumbuhan itu.


Ditanya apa akan terjadi jika pembedahan itu tidak dilakukan, seorang pakar bedah terbabit, Jonathan Collier memberitahu rancangan berkenaan, "Lebih baik kita tidak berbincang mengenai perkara itu." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Paul McCartney pemuzik paling kaya

Posted: 11 Apr 2013 04:15 PM PDT

London: Sir Paul McCartney menguasai carta muzik semula menduduki tangga teratas dalam Senarai Pemuzik Jutawan akhbar Sunday Times yang diterbitkan di Britain.

Bekas anggota Beatle itu berkongsi harta berjumlah £680 juta (RM3.2 bilion) bersama isteri Nancy Shevell, menurut penyelidik yang menyediakan senarai berkenaan.


Dia menduduki senarai pemuzik paling kaya sejak senarai itu disediakan pada 1989 apabila hartanya dianggar berjumlah £80 juta (RM374 juta).

Sebahagian kekayaannya adalah harta milik isterinya, pewaris sebuah syarikat pengangkutan Amerika Syarikat yang dikatakan bernilai £150 juta (RM701 juta).


McCartney bukan satu-satunya orang yang harta mereka meningkat hasil daripada perkongsian dengan isteri atau suami masing-masing. Gabungan harta Victoria dan David Beckham yang berjumlah lebih £200 juta (RM934 juta) meletakkan mereka dalam senarai 10 teratas. Sharon dan Ozzy Osbourne serta Chris Martin dan Gwyneth Paltrow turut tersenarai.


Andrew Lloyd Webber menduduki tangga kedua dalam carta itu dengan harta berjumlah £620 juta (RM2.9 bilion), diikuti oleh rocker Ireland, U2 yang memiliki harta sebanyak £520 juta (RM2.4 bilion).

Lima anggota One Direction mengumpul harta sebanyak £5 juta (RM23 juta) setiap seorang tahun lalu.


Bagaimanapun, perjalanan kumpulan itu masih jauh untuk menyaingi Adele yang menduduki tempat teratas Senarai Pemuzik Muda paling kaya dengan harta berjumlah £30 juta (RM140 juta).

Penyanyi itu meraih pendapatan £10 juta (RM47 juta) tahun lalu meskipun menghabiskan sebahagian besar masa pulih daripada pembedahan tekak dan melahirkan anak.


Harta Cheryl Cole dianggar berjumlah £14 juta (RM65 juta) sementara Leona Lewis dan Katie Melua masing-masing £12million (RM56 juta).


Nama baru dalam senarai jutawan muzik berusia 30 dan ke bawah termasuk Emeli Sande dan Ed Sheeran yang masing-masih bernilai £5 juta (RM23 juta). - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Hakim masih diulit rasuah

Posted: 11 Apr 2013 04:14 PM PDT

Jakarta: Kajian terbaru menunjukkan institusi kehakiman Indonesia masih terbabit dengan kegiatan rasuah walaupun usaha untuk meningkatkan pendapatan pegawainya sudah dilaksana.

Kumpulan pemerhati institusi berkenaan, Meja Bulat Undang-Undang Indonesia (ILR) semalam mendedahkan apa yang dinamakannya Indeks Tanggapan Undang-Undang 2012.


Antara isu utama yang ditonjolkan menerusi kaji selidik itu ialah 60 peratus responden percaya hakim negara itu mudah dirasuah. Dua puluh tiga peratus pula percaya sebaliknya.

Untuk kaji selidik itu, ILR mewawancara 1,200 responden di 33 wilayah negara itu antara 4 hingga 16 Disember tahun lalu.


Peguam terkenal, Todung Mulya Lubis dari ILR berkata, hasil kajian itu menunjukkan institusi kehakiman Indonesia masih kekal sebagai antara institusi yang paling lemah di negara itu.


"Dengan begitu banyak kes rasuah membabitkan hakim, tidak hairanlah hanya 23 peratus responden percaya hakim tidak boleh dirasuah," katanya.

Beliau juga memberitahu, 47 peratus responden tidak melihat institusi kehakiman sebagai bebas apabila membicarakan kes di mahkamah.


Tiga puluh dua peratus responden menunjukkan mereka percaya ahli perniagaan boleh dengan mudah mempengaruhi hakim dan 30 peratus berpendapat parti politik juga mempunyai pengaruh terhadap hakim.

Responden turut percaya anggota kehakiman memperoleh pendapatan lumayan dan sekali gus membolehkan mereka bersikap berkecuali dan bebas.


"Lebih 57 peratus responden beranggapan gaji hakim lebih daripada cukup," kata Todung.


Baru-baru ini, Timbalan Ketua Mahkamah Daerah Bandung, Setyabudi Tejocahyono ditangkap oleh penyiasat Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) kerana didakwa menerima rasuah berjumlah Rp150 juta (RM47,000) yang dibayar oleh seorang defendan dalam kes penggelapan wang. Sepanjang tempoh 11 bulan memegang jawatan itu, Setyabudi menguruskan sejumlah kes besar rasuah.


Suruhanjaya Kehakiman berkata, rasuah dalam institusi kehakiman, khususnya selepas kenaikan gaji untuk hakim, sepatutnya tidak lagi wujud. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Pengedar dadah terlepas hukuman mati

Posted: 11 Apr 2013 04:14 PM PDT

Singapura: Seorang pengedar heroin yang didapati bersalah menyeludup dadah menjadi orang pertama terlepas hukuman mati berikutan pembaharuan dalam pelaksanaan hukuman mati di negara ini.

Warga tempatan, Abdul Haleem Abdul Karim, 30, terselamat daripada hukuman gantung kerana dia hanya mengedar dan membantu polis menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah, kata Pejabat Peguam Negara.


Abdul Haleem bagaimanapun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta 24 sebatan kelmarin.

Sebelum pindaan undang-undang dilasanakan tahun ini, hakim di Singapura tidak mempunyai pilihan kecuali mengenakan hukuman mati dengan gantung ke atas mereka yang didapati bersalah menyeludup dadah melebihi had tertentu.


Menurut undang-undang lama, mereka yang didapati bersalah mengedar lebih 15 gram heroin berdepan dengan hukuman mati mandatori.


Abdul Haleem dan seorang rakan didapati memiliki sekurang-kurangnya 72.5 gram dadah itu apabila ditangkap pada 2010, kata pendakwa raya.

Hukuman mati mandatori itu sudah sekian lama dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia yang berkata, kebanyakan pengedar ditangkap dan menjalani hukuman itu terdiri daripada pengedar kecil-kecilan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Kenderaan tentera Thai dibom: Dua terbunuh

Posted: 11 Apr 2013 04:14 PM PDT

Pattani: Dua anggota tentera Thai terbunuh dan enam cedera dalam satu letupan bom tepi jalan di sini, semalam.

Jurucakap polis, Manit Yimsai berkata, kumpulan pemisah disyaki terbabit dalam serangan di daerah Panarae itu. Anggota berkenaan menaiki dua kenderaan berperisai malam kelmarin dalam perjalanan untuk memeriksa kerosakan akibat serangan lebih awal. Satu daripada kenderaan itu rosak teruk.


Serangan itu adalah satu daripada 36 serangan sepanjang malam itu di Pattani. Kejadian lain membabitkan pembakaran tayar, menara komunikasi, pondok telefon, bangunan dan kamera litar tertutup. Lebih 5,000 orang terbunuh sejak keganasan melanda tiga wilayah paling selatan Thai pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Nelayan China dituduh tangkap ikan secara haram, rasuah

Posted: 11 Apr 2013 04:13 PM PDT

Manila: Dua belas nelayan China yang bot mereka tersadai di kawasan marin yang dilindungi di Filipina berdepan dengan hukuman penjara yang lama selepas menghadapi tuduhan menangkap ikan secara haram dan rasuah.

Nelayan itu ditahan sejak Selasa lalu selepas pihak berkuasa Filipina menemui bot mereka tersadai di Terumbu Karang Tubbataha yang disenarai sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 1,600 kilometer dari tanah besar China.


"Kami akan mendakwa mereka dan menyelesaikan kes ini secepat mungkin. Tidak ada sesiapa yang boleh memasuki perairan kami dan memusnahkan kehidupan marin," kata Ketua Pendakwa Raya di wilayah Palawan, Alen Ross Rodriguez.

Selain tuduhan menangkap ikan secara haram, nelayan terbabit didakwa cuba merasuah pegawai dengan menawarkan mereka AS$2,400 (RM7,200) supaya dibebaskan, kata Rodriguez.


Kedua-dua tuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum 12 tahun.


Bagaimanapun, Ketua Pembantu Pusat Perundangan Alam Sekitar di Palawan, Grizelda Mayo-Anda berkata, sebelum ini nelayan China yang ditangkap di perairan Filipina biasanya dihantar pulang secepat mungkin kerana mahu menjaga hati negara itu.

Menurutnya, lebih 600 nelayan China ditangkap kerana menangkap secara haram di perairan Filipina sepanjang dekad lalu tetapi mereka hanya menghabiskan masa beberapa minggu atau bulan di penjara sebelum dihantar pulang.


Bot sepanjang 48 meter itu masih tersadai di terumbu itu semalam. Setakat ini, tidak diketahui kerosakan yang berlaku akibat daripada kejadian itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

No comments:

Post a Comment