Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya kini ada musuh dalaman'

Posted: 21 Apr 2013 10:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih negara John Beasley bertekad untuk memastikan matlamatnya mengangkat martabat sukan berbasikal negara ke tahap lebih tinggi mampu tercapai namun sudah ada tanda-tanda "musuh dalam selimut".

Menurut pengendali berpengalaman dari Australia itu barisan atlet kendaliannya di Australia kini giat menjalani latihan dengan tidak pernah mempertikaikan komitmen mereka yang sentiasa bermotivasi tinggi untuk menjadi atlet yang lebih baik namun terdapat masalah berhubung atlet yang berpangkalan di Malaysia membabitkan aspek terbabit sekali gus mencetuskan perbezaan di kalangan atlet elit yang sudah berada di tahap dunia.


"Saya percaya semua ini adalah kerana ketiadaan atau kekurangan perlumbaan di Malaysia. Ini menjadi kebimbangan utama kepada saya sejak sekian lama. Saya sudah mengetengahkan isu ini kepada pihak persekutuan dalam beberapa perbincangan namun tiada perkembangan yang positif.

"Saya sudah mula mendapat musuh dalam persekutuan di mana ia adalah sesuatu yang sangat memalukan kerana saya cuba membantu sukan berbasikal Malaysia melangkah ke peringkat lebih tinggi," kata jurulatih yang mula mengendalikan skuad negara pada 2006 itu.


Walau bagaimanapun menurut Beasley, situasi terbabit tidak akan membuatkan beliau berundur selepas menjadi ketua jurulatih berbasikal Malaysia.


"Saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan program melangkah ke peringkat seterusnya dan saya akan berusaha sebaik mungkin sehingga saya berjaya atau mereka menjadikan kedudukan saya tidak diperlukan lagi," katanya.

Foto

BEASLY (kanan) berkata sesuatu kepada Azizulhasni.

Kehadiran Beasley sebelum ini berjaya mencetuskan fenomena dalam sukan berbasikal negara apabila berjaya melahirkan jaguh berbasikal Mohd Azizulhasni Awang yang mencapai kejayaan di beberapa kejohanan utama dunia di samping Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin dan Mohd Edrus Yunos selain Fatehah Mustapa.


Ketika ini Beasley mengendali lima atlet elit negara di Melbourne diketuai Azizulhasni, Josiah, Fatehah, Edrus dan Amir Mustafa Rusli yang turut berkayuh untuk pasukan Drapac di negara terbabit selain beberapa tambahan atlet muda negara dalam masa terdekat.

Selepas kegagalan mencapai emas di Olimpik London tahun lalu, Beasley terus menjadi sandaran untuk membawa atlet berbasikal negara untuk sekali lagi merealisasikan misi terbabit di Olimpik Rio pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Fabregas wira Barca

Posted: 21 Apr 2013 10:21 AM PDT

Madrid: Pemain tengah Cesc Fabregas meletakkan Barcelona semakin hampir untuk merangkul kejuaraan La Liga apabila meledak gol pada lewat permainan ketika membantu kelabnya itu mencatat kemenangan 1-0 di tempat sendiri ke atas Levante semalam.

Jaringannya pada minit ke-84 sudah cukup untuk Barcelona mencatatkan kemenangan dengan mengumpul 84 mata dan berbaki enam perlawanan, lebih 13 mata berbanding juara bertahan, Real Madrid yang sebelum itu menewaskan Real Betis 3-1 yang menyaksikan Mesut Ozil menjaringkan dua gol.


Andai menang di tempat lawan ke atas Athletic Bilbao minggu depan dan Real pula tewas kepada jiran setempat Atletico Madrid, ia bakal menyaksikan Barcelona dinobatkan juara liga buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu Valencia meneruskan pemburuan untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik apabila mencatat kemenangan 5-1 ke atas Malaga di tempat sendiri.


Valencia naik ke tangga kelima dengan 53 mata dengan menyingkirkan Malaga di tangga keenam dengan 50 mata. Mereka kini ketinggalan satu mata di belakang Real Sociedad di tempat keempat yang akan berkunjung ke Osasuna, Ahad depan.


Betis di tempat ketujuh dengan 48 mata.

Real dan Barcelona akan bertemu pasukan lemah sebelum kedua-duanya bakal beraksi pada separuh akhir Liga Juara-Juara minggu depan.


Barcelona akan berkunjung ke Bayern Munich pada perlawanan pertama, Selasa ini sementara Real berkunjung ke Borussia Dortmund sehari selepas itu.

Barcelona membariskan empat pertahanan dengan Eric Abidal turun kali pertama selepas setahun sejak menjalani pemindahan hati dan beraksi sepanjang 90 minit.


Pemain antarabangsa Perancis itu bergandingan dengan Adriano Correia di pertahanan tengah sementara pilihan utama Xavi, Sergio Busquets dan Jordi Alba bermula di bangku simpanan.


Pemain terbaik dunia Lionel Messi gagal untuk beraksi kerana masih mengalami kecederaan hamstring. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Gol keramat Brandau tamat kemarau 30 tahun St Etienne

Posted: 21 Apr 2013 10:20 AM PDT

Paris: Jaringan awal Evaeyerson Brandau membolehkan St Etienne menang 1-0 ke atas Olympique Marseille pada perlawanan akhir Piala Liga Perancis, sekali gus menjulang trofi kejuaraan utama yang pertama dalam tempoh 30 tahun kelmarin.

Pada tahun lalu, penyerang antarabangsa Brazil itu menjaringkan gol pada masa tambahan di final tetapi mewakili Olympique Marseille, namun kali ini dia menyempurnakan jaringan pada minit ke-18, menyudahkan hantaran lintang Pierre-Emerick Aubameyang.


Kini, Brandao muncul pemain yang menjuarai empat Piala Liga berturut-turut selepas tiga kali menjulangnya bersama Marseille.

St Etienne yang mendominasi perlawanan dalam suasana penuh muhibah di Stade de France itu, meraih kejayaan pertama sejak kali terakhir mereka merangkul kejuaraan ke-10 Liga Perancis pada 1981.


Kemenangan itu juga mengesahkan tempat mereka untuk beraksi dalam perlawanan playoff Liga Europa musim depan.


"Seluruh skuad melakukannya. Saya amat gembira bagi pihak pasukan dan peminat. Kemenangan ini amat penting untuk St Etienne," kata Brandao.

Jurulatih St Etienne, Christophe Galtier turut memuji kemenangan itu.


"Ini adalah pencapaian bersama. Namun dia adalah pemenang piala, dia yang memimpin pasukan," katanya lagi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

ECRA ungguli Tujuh Sepasukan

Posted: 21 Apr 2013 10:20 AM PDT

Kuantan: Pengalaman menjadi kelebihan kepada pasukan ECRA untuk muncul juara Kejohanan Ragbi Sirkit Pertama Tujuh Sepasukan Pahang 2013 kategori senior selepas menewaskan FALCON 17-12 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, Kemunting, semalam.

Membariskan pemain muda dan senior menjadi kelebihan kepada pasukan bimbingan jurulatih Mohd Nazri Ahmad dinobatkan selaku juara sulung musim ini selepas mengungguli saingan Liga Ragbi Pahang 2012 dan Kejohanan Ragbi Pahang Tujuh Sepasukan 2012.


Mohd Nazri berkata, bersaing dengan lima pasukan pada kejohanan kali ini tidak banyak memberi tekanan kepada pemain apabila me ncatat kemenangan bergaya pada semua perlawanan.

Menurutnya, kelibat dua pemain Pahang Mohd Akra Sidek dan Amir Nizamudin Abd Hadi yang sebelum ini pernah beraksi di peringkat kebangsaan memberi lebih tekanan kepada lawan yang kebanyakan masih cetek pengalaman.


"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan semangat dan kesungguhan dipamerkan pemain sepanjang kejohanan kali ini terutama apabila dapat mengawal permainan walaupun satu ketika ketinggalan.


"Corak permainan yang mantap menerusi larian pantas jentera serangan berjaya memisahkan kita dengan pasukan lain, kelibat benteng pertahanan yang bijak membaca corak permainan lawan memudahkan mereka menghalang setiap serangan," katanya.

Kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Pahang (KRP) itu membabitkan dua kategori iaitu junior dan senior disertai 10 pasukan tempatan dan institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Majlis penyampaian hadiah dilakukan Presiden KRP, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Mohd Nazri berkata, selepas muncul juara kejohanan ragbi sirkit pertama ini tumpuan selepas ini untuk mencatat keputusan terbaik dalam beberapa kejohanan peringkat negeri seperti sirkit kedua dan ketiga yang dijangka diadakan hujung tahun ini.


"Selain menyertai kejohanan peringkat negeri kita juga akan mengintai peluang bersaing pada kejohanan peringkat kebangsaan yang mampu menilai prestasi sebenar pemain yang ada.


"Cabaran di pentas kebangsaan sememangnya sengit terutama membabitkan beberapa pasukan ternama seperti Cobra," katanya yang sebelum ini pernah menyarung jersi Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

MSSDKTS raih tujuh emas

Posted: 21 Apr 2013 10:20 AM PDT

Kuala Terengganu: Tujuh kontinjen bertanding pada Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) di Dewan SMK Bukti Tunggal baru-baru ini.

Ramalan awal yang menjangkakan pasukan MSS Kuala Terengganu Selatan (MSSDKTS) akan mendominasi keseluruhan acara dipertandingkan ternyata meleset.


Ini kerana kali ini pasukan MSS Dungun dan MSS Kemaman mula tampil memberikan saingan sehingga beberapa acara terlucut daripada genggaman MSSDKTS.

Namun pemain MSSDKTS masih berjaya mempertahankan rekod mereka dengan membolot lima emas, dalam acara perseorangan lelaki 15, perseorangan perempuan 18, beregu perempuan 18, perseorangan lelaki 18 dan beregu lelaki 18.


Ini menjadikan mereka mengatasi pungutan MSS Dungun yang mendapat empat emas keseluruhan.


Menurut pengurus pasukan MSSDJTS Reduan Debok, saingan getir terpaksa dilalui dalam banyak acara kerana kebanyakan kontinjen tahun ini lebih bersdia awal dan menampilkan muka baru berbakat.

"Saya sudah menjangkakan saingan sengit ini kerana masing-masing ingin memecah penguasaan kami.


"Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak, kamui berjaya mempertahankan imej dan reputasi pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Kariah Masjid Lahar Kepar tunjuk belang, tewaskan KD Seri Pinang

Posted: 21 Apr 2013 10:19 AM PDT

Kepala Batas: Pasukan Kariah Masjid Lahar Kepar Kepala Batas mengalahkan pasukan TLDM KD Seri Pinang, Pulau Pinang 3-2 pada perlawanan persahabatan di Padang Awam Tun Abdullah Badawi Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Gol-gol Kariah Masjid dijaringkan Muhairi Mokhtar (dua gol) dan Abu Bakar Yahya.


Kapten Mohd Nasri Mohamad berkata, perlawanan diadakan sempena Projek Jiwa Murni anjuran anggota TLDM.

Menurutnya, bagi memeriahkan program itu diadakan perlawanan bolasepak persahabatan.


"Kedua-dua pasukan bermain dengan semangat kesukanan tinggi.


"Keputusan tidak penting, apa yang kami utamakan adalah merapatkan hubungan dan perpaduan antara anggota TLDM dengan penduduk kampung," katanya.

Ini diakui ketua pasukan TLDM KD Seri Pinang Zabidi Osman yang berharap program seumpama itu diadakan lagi pada masa-akan datang.


Beliau melahirkan rasa bangga akan kerjasama serta keramahan penduduk Kampung Lahar Kepar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Pelari pelapis pamer taring

Posted: 21 Apr 2013 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua pelari pecut pelapis Mohd Shamimi Azmi dan Zaidatul Husniah Zulkifli mengungguli acara 100m lelaki dan wanita Kejohanan Olahraga Tertutup GP Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Nasional (MSN), Bukit Jalil, kelmarin.

Kejohanan menyaksikan beberapa atlet senior menarik diri turut dibayangi kecederaan Robani Hassan yang menarik diri acara 110m berpagar lelaki yang dimenangi Rayzam Shah Sofian.


Jaguh lontar peluru Adi Alifudin Husin membuktikan dia bukan tandingan enam pencabar lain sementara Lee Hup Wei tewas kepada Nauraj Singh dalam acara lompat tinggi.

Tiada rekod baru dicipta pada saingan membariskan 17 acara itu. Husniah berkata, dia berpuashati dengan catatan peribadi terbaik tahun ini, 11.91s, mengatasi S Komalam dan kakaknya, Zaidatul Husna.


"Pencapaian itu permulaan baik memandangkan ketiadaan Siti Zubaidah Adabi dan beberapa pelari senior lain. "Acara hari ini memberi peluang membuktikan kemampuan saya sekalipun fokus utama adalah 4x100m.


"Saya harap dapat memperbaiki catatan pada Terbuka Taiwan bulan depan," kata pelari berusia 20 tahun itu.

Robani meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi kerana kejang betis 20 minit dalam saingan yang sepatutnya empat penjuru.


"Saya rasa betis seperti dihiris pisau hingga menyebabkan pergerakan terhincut-hincut. Saya dapat merasakan otot koyak. Mungkin terlalu memaksa melepasi pagar pada sesi memanaskan badan. Kecederaan ini memerlukan saya berehat selama lebih seminggu sebelum kembali berlatih," katanya.

Rayzman dalam nada ringkas berkata, dia memerlukan lebih kejohanan untuk disertai dan mahu mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik selepas berehat selama beberapa bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

'Hati saya masih kekal di Johor'

Posted: 21 Apr 2013 10:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas isu perpindahannya ke Felda United heboh diperkatakan peminat tempatan minggu lalu, pemain tengah Safiq Rahim tampil menjelaskan 'hatinya' masih lagi bersama Johor Darul Takzim (DT).

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, dia masih berminat untuk meneruskan kontraknya sejak menyertai skuad Harimau Selatan itu hujung tahun lalu biarpun kedudukan dalam kesebelasan utama sudah tidak terjamin.


"Saya tidak berhasrat untuk meninggalkan Johor (DT), saya masih lagi mahu bermain dengan pasukan ini dan membantu mereka memburu kejuaraan musim ini. Itu misi saya apabila menyertai pasukan ini dan ia tidak akan berubah.

"Saya akan berusaha untuk merebut tempat dalam skuad utama semula, saya tidak akan mudah mengalah," kata pemain perancang tengah itu ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Jelas kenyataan kapten skuad kebangsaan itu mungkin menutup peluang Felda yang begitu berhajat besar untuk memancing Safiq bagi memantapkan pasukan mereka untuk mengakhiri baki saingan liga musim ini.


Bagaimanapun Safiq enggan mengulas lanjut sekiranya Johor DT menerima tawaran saat akhir Felda.

"Saya tidak boleh komen, biarlah pihak pengurusan yang tentukan," katanya.


Sebelum ini, seorang pemain pertahanan JDT Azmi Muslim sudah menyertai Felda selepas Johor DT yang dikendalikan Fandi Ahmad membuat rombakan pemain dalam pasukan itu.

Menerusi laporan Arena Metro Sabtu lalu, Setiausaha Kehormat Felda Kamarruddin Mohamad menyatakan pihaknya berminat untuk mendapatkan khidmat Safiq namun perpindahan itu masih di peringkat perbincangan memandangkan mereka mungkin terpaksa membayar yuran perpindahan yang tinggi.


Felda yang dibimbing K Devan kini bergelut di zon penyingkiran apabila menduduki tangga ke-10 daripada 13 pasukan selepas hanya mengutip 12 mata dalam 13 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Penyokong gesa Alves berundur

Posted: 21 Apr 2013 10:18 AM PDT

Seremban: 'Berambus Alves' antara ungkapan dilontarkan kira-kira 200 penyokong Negeri Sembilan sebaik tamat perlawanan antara skuad itu dengan Selangor yang berkesudahan seri 0-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu.

Mereka berkumpul di perkarangan pintu utama stadium kira-kira jam 10.45 hingga 11.40 malam bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap ketua jurulatih, Divaldo Alves, yang masih gagal membawa pasukan itu bangkit daripada kedudukan tercorot carta liga apabila sekadar meraih tujuh mata selepas 13 perlawanan.


Penyokong tegar pasukan itu hilang sabar selepas menyaksikan aksi hambar pemain yang masih gagal mencapai kemenangan.

Mereka melaungkan pelbagai perkataan terhadap Alves kerana menyifatkan jurulatih dari Portugal itu bertanggungjawab terhadap prestasi pasukan.


Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) Mohd Faidzul Mohamad Noh berkata, penyokong melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi pasukan selepas tiada menampakkan perubahan apabila gagal menang.


Menurutnya, walaupun sudah membawa masuk penyerang import baru Leandro Barbosa Fabio dari Brazil bagi menggantikan Emanuel Matias De Porras, persembahan pasukan tidak menunjukkan perubahan dan peningkatan.

"Penyokong kecewa kerana sejak Alves membimbing pasukan, tiada kemajuan dilihat, sebaliknya Negeri Sembilan terus buntu mencapai kemenangan malah tercicir dalam saingan Piala FA selain terus menghuni carta terbawah liga.


"Penyokong mahu pihak pengurusan membuat perubahan dari segi kejurulatihan bagi mengelak Negeri Sembilan terjerumus ke Liga Perdana musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Penyu resah Owona cedera

Posted: 21 Apr 2013 10:17 AM PDT

Kuala Terengganu: Sudah jatuh ditimpa tangga, perumpamaan ini bertepatan dengan nasib yang dihadapi Terengganu kerana ketika tempoh pendaftaran pemain import tamat hari ini, berita buruk pula melanda kem skuad Penyu.

Pemain import Jean Emmanuel Effa Owona bakal berehat panjang kira-kira tiga bulan selepas patah tangan akibat diterjah penjaga gol FELDA United Mohd Helmi Eliza Elias ketika Terengganu menang 2-1 kelmarin.


Lebih malang, hasrat bekas gergasi Pantai Timur itu untuk mengambil pemain import baru dilihat tipis kerana dalam masa sehari tidak mungkin PBSNT mampu mencari pemain berkualiti seperti Owona yang juga pemenang kasut emas musim lalu itu ketika bersama Negeri Sembilan.

"Berikutan kecederaan itu, PBSNT kini belum membuat sebarang keputusan sama ada bakal menggunakan khidmat pemain import baru ataupun sebaliknya kerana tempoh yang terlalu terhad.


"Dalam masa sehari lagi yang tinggal sebelum tempoh pendaftaran pemain baru tamat pada hari ini, tidak mungkin kita mampu mencari pemain berkualiti kerana pemain baru juga perlu diuji.


"PBSNT tidak mahu membawa masuk pemain import yang tidak mampu menghasilkan jaringan, lebih tepat tidak memenuhi ciri sebagai pemain profesional, ini yang menyebabkan kita berada dalam dilema," kata pengurus pasukan Marzuki Sulong.

Pada perlawanan dengan FELDA United itu, Owona yang mencabar bola di depan gawang lawan diterjah dengan keras oleh bekas penjaga gol kebangsaan itu.


"Ketiadaan Owona sekurang-kurangnya tiga bulan untuk pulih bakal menjejaskan rentak pasukan apatah lagi masa bagi mengambil pemain baru kian suntuk.

"PBSNT berharap (FAM memberi kelonggaran kepada kami dengan melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import bagi memilih pemain berkualiti dan bukannya tangkap muat," katanya.


Sementara itu, jurulatih E Elavarasan berkata, PBSNT perlu membuat keputusan segera sama ada menggunakan pemain import baru ataupun sebaliknya untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Owona.


"Saya akur sebarang keputusan dibuat tetapi berharap PBSNT membuat keputusan tepat untuk mengelak pasukan daripada merudum prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

No comments:

Post a Comment