Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Red Giants putih mata

Posted: 16 Apr 2013 12:48 PM PDT

Shah Alam: Saingan sengit hingga penentuan penalti membolehkan Johor Darul Takzim (DT) mara ke separuh akhir Piala Malaysia menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan 2-1 diraih Selangor pada suku akhir pertama gagal dipertahankan apabila pelawat berjaya bangkit mencatatkan kemenangan 2-1 sekali gus menjadikan kedudukan agregat terikat 3-3.


Tambahan masa 30 minit turut gagal menentukan pemenang dan penentuan sepakan penalti menyaksikan Johor DT mencatatkan kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Johor DT Muhd Al Hafiz menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan Mahali Jasuli dan K Gurusamy dengan empat pemain pelawat berjaya menggegar gawang Norazlan Razali.


Keputusan itu membolehkan anak buah Fandi Ahmad bertemu Pahang di separuh akhir yang dijadual berlangsung penghujung bulan depan.


Disaksikan kira-kira 40,000 penyokong, Selangor yang menurunkan barisan terbaik mengasak sejak awal dengan Francis Forkey Doe dan Mohd Amri Yahyah mencetuskan kegerunan kepada pelawat.

Foto

MAHALI (kanan) jaring gol pembukaan.

Bagaikan tidak terdaya menahan asakan tuan rumah, gawang Johor DT akhirnya dibolosi menerusi gandingan Mahali dan Amri yang saling bertukar hantaran untuk mencipta gol pendahuluan pada minit ke-29.


Bagaimanapun pengadil perlawanan, Lismatio Mohem Mohd Tisan menjadi tumpuan apabila sesetengah keputusannya dipersoal penonton dalam beberapa insiden kekasaran yang berlaku pada babak kedua.

Ketiadaan Doe pada awal babak kedua kerana kecederaan membuka ruang kepada pelawat menguasai perlawanan terutamanya dengan kemasukan Leonel Nunez dan Mohd Safee Sali untuk menguatkan jentera serangan Harimau Selatan.


Beberapa gerakan berbahaya Johor DT berjaya dipatahkan Norazlan di gawang Selangor namun akhirnya dibolosi pada m-66.


Percubaan cantik dari luar kotak penalti membolehkan Nunez menggegar gawang untuk membangkitkan semangat pelawat terus memburu gol.


Akhirnya ia membuahkan hasil apabila Nunez yang tampil buat kali pertama untuk Johor DT meledak sekali lagi pada m-86 untuk menjadikan keputusan akhir 2-1 dan menyamakan agregat 3-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Bertam Ulu Jr julang trofi B-16

Posted: 16 Apr 2013 12:43 PM PDT

Klebang: Jaringan Mohd Azim Razali pada babak pertama sudah memadai buat skuad Bertam Ulu Jr menumpaskan Kids Pro dari Kuala Lumpur, 1-0 dan dinobat juara Karnival Futsal Milo Hidup Bola (KFMHB) kategori Bawah 16 Tahun di Arena Klebang, Melaka, baru-baru ini.

Sebelum layak ke final, Bertam Ulu Jr menumpaskan Ct Nur Nilam, 4-0 pada suku akhir dan selepas itu mudah menumpaskan Sri Kuala Lumpur, 6-0 pada separuh akhir. Laluan ke final bagi skuad Kids Pro agak berbeza apabila dipaksa 'bermandi peluh' oleh pasukan Remaja FC dari Selangor sebelum menang tipis 2-1.


Hasil kejayaan itu, Bertam Ulu Jr membawa pulang wang tunai RM800, pingat, barangan sukan Figos manakala Kids Pro menerima RM600, pingat dan barangan sukan Figos. Pemenang tempat ketiga dan keempat, Remaja FC dan Sri Kuala Lumpur masing-masing menerima RM400.

Pada saingan kategori B-12 pula, CT Nur Nilam dari Selangor mempamerkan aksi menghiburkan dan bertenaga untuk muncul juara selepas menumpaskan pasukan pilihan dari Johor Bahru, Stylo Mylo, 2-0 pada final.


Pada separuh akhir Stylo Mylo menumpaskan Akademi Bola Sepak Selatan (ABS), 3-0 manakala CT Nur Nilam menang tipis 2-1 ke atas MB 5 Kids.


Dengan kejayaan itu, Bertam Ulu Jr, Kids Pro, Stylo Mylo dan CT Nur Nilam layak beraksi di grand final mewakili Melaka pada 7 Julai ini di Ampang Sports Planet, Kuala Lumpur. Hadiah kemenangan disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd, Kerwin Lim.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong berkata, sambutan program semakin hangat di setiap venue.


"Sambutan di Melaka cukup hebat dengan pertambahan lebih kurang 180 pasukan menyertai kedua-dua kategori. Ini membuktikan futsal Milo nyata semakin popular di kalangan remaja dan kanak-kanak," katanya.

Siri keenam KFMHB berlangsung di Arena Sukan Simpang Tiga, Sarawak, Sabtu ini diikuti Masterscaff Indoor, Paka, Terengganu, 27 April ini. Borang penyertaan serta info kejohanan layari www.syoknyasukan.com atau hubungi Nik Muhd Radzi 019-3519934 dan Zack 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Tenis 'American Style' jadi tarikan

Posted: 16 Apr 2013 12:42 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Tenis Selangor (STA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Kelab Sukan SportsUnite, Milo bakal menganjurkan Karnival Tenis Perpaduan 2013 pada 27 dan 28 April ini di Pusat Tenis MBPJ, Kelana Jaya.

Program tahunan itu bakal disertai kira-kira 250 kanak-kanak pelbagai kaum serta mendapat sokongan padu ibu bapa peserta.


Beberapa aktiviti membabitkan kanak-kanak serta ibu bapa diadakan sempena karnival itu antaranya pertandingan beregu kanak-kanak bergandingan ibu bapa, beregu junior membabitkan pemain berlainan kaum, klinik tenis dan beregu campuran.

Menariknya pertandingan tenis 'American Style' membabitkan beregu campuran termasuk kanak-kanak, remaja dan ibu bapa diperkenalkan.


Yuran pernyertaan RM20 dan pemain akan menerima cenderahati daripada penganjur.


Ibu bapa yang ingin maklumat lanjut mengenai program itu boleh hubungi Setiausaha STA Tengku Mohamad Tengku Harun di talian 012-3986914 atau layari www.selangortennis.org.

Majlis pelancaran program serta majlis serahan tajaan di Gelanggang Utama Pusat Tenis MBPJ disempurnakan Presiden STA Datuk Abdul Malik Mohd Salleh. Turut hadir Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong, Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal, peserta dan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Asry teruja beraksi bersama artis

Posted: 16 Apr 2013 12:41 PM PDT

Kota Bharu: "Walaupun tidak dapat membawa pulang hadiah tapi saya teruja kerana berpeluang bermain futsal bersama selebriti.

"Saya harap kejohanan ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang," kata Mohd Asry Ismail, 27.


Mohd Asry antara 80 peserta daripada lapan pasukan yang menyertai kejohanan futsal Liga Juara Hot FM dianjur di Arena Futsal KB di Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Katanya, kehadiran artis yang turut berada dalam setiap pasukan merapatkan hubungan antara peserta sekali gus menaikkan semangat kerjasama satu pasukan.


"Kejohanan ini berbeza daripada kejohanan biasa yang pernah saya sertai. Liga Juara Hot FM ini lebih santai dengan pembabitan artis malah peserta tidak tertekan," katanya.


Antara penyampai radio Hot FM yang hadir ialah Fara Fauzana, Faizal Ismail, AG dan Kieran serta penyampai radio Hot FM Klate, Fizi, Farid, Shaz dan Renny.

Pada kejohanan bermula jam 2 hingga 7 petang itu, beberapa selebriti turut mempamerkan kebolehan bermain futsal antaranya Edry KRU, Hazama, Awi Rafael, Black Mentor dan Danny X Factor.


Pasukan Smak FC yang turut dianggotai AG Hot FM dan Fizo Omar muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan piala pusingan serta medal.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima Berhad Anida Mohd Tahrim berkata, pihaknya menerima lebih 200 penyertaan di peringkat awal sebelum memilih 80 peserta dan lapan pasukan.


"Selepas ini kita akan mengadakan kejohanan sama di Lembah Klang pada 20 April, malah kali ini lebih menarik kerana selain selebriti, bepemain bolasepak kebangsaan akan turut menyertai kejohanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Shahrin, Masziyaton sama hebat

Posted: 16 Apr 2013 12:40 PM PDT

Kuantan: Pelumba Shahrin Amir dan Masziyaton Mohd Radzi mempertahankan kejuaraan kebangsaan acara merentas desa 20.4 kilometer di Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan (MTB) 2013 di Trek Teluk Chempedak, baru-baru ini.

Shahrin, 31, menjuarai kategori lelaki terbuka tatkala mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu biarpun terpaksa menangkis cabaran tiga pelumba handalan, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti, Mohd Shafari Abd Malik dan Anuar Manan.


Shahrin yang mewakili SBS Giant, Selangor, mencatat masa 1 jam 44 minit 41 saat pada laluan 1.1 kilometer itu, meninggalkan Muhammad Fauzan (1:45.33s) dan Shafari (1:47.12s). Manakala Anuar hanya mampu menduduki tempat keempat dengan catatan masa 1:50.39s.

Sementara itu, Masyizaton seperti sudah dijangka mengungguli kategori wanita terbuka sekali gus mempertahankan kejuaraan kebangsaan acara merentas desa dimenanginya tahun lalu sekalipun cuba dicabar Junaidah Juss yang mewakili Polygon dan Natashya Soon dari Sabah. Pelumba berusia 25 tahun yang menyarung jersi Kedah itu mencatat masa 1:01.06s berbanding Junaidah (1:01.53s) dan Natashya (1:08.13s).


Dia menganggap pencapaian itu menjelma hasil kerja kuat dan latihan setiap hari sebagai persiapan untuk pertandingan yang akan disertai.


"Biarpun mempunyai komitmen sebagai kakitangan Majlis Sukan Kedah (MSK), ia tidak menghalang saya menjalani latihan setiap petang.

"Selepas ini, saya akan menjalani latihan keras bagi mengharungi cabaran Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 bagi acara merentas desa di China, bulan depan," katanya.


Hadiah disampaikan Pengerusi Biro MTB Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Ahmad Sidi Ismail. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Sukan dan Pelancongan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Rose Syamsul Abdul Razak.

Seramai 184 peserta, 118 pelumba kategori merentas desa dan 66 bagi turun bukit menyertai kejohanan anjuran bersama PKLBM dan MPK kali kedua berakhir kelmarin.


Masziyaton berkata, dia aktif berkayuh dalam dua disiplin berbeza iaitu lebuh raya dan basikal bukit. "Saya sayangkan kedua-dua disiplin ini dan mahukan kejayaan berterusan hingga berjaya menaiki podium kejohanan bertaraf dunia."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

MSP tetap puas hati

Posted: 16 Apr 2013 12:38 PM PDT

Johor Bahru: Kejohanan Sofbol Terbuka Kebangsaan Ke-39 di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai menyaksikan penampilan pasukan wanita Majlis Sukan Politeknik (MSP), baru-baru ini.

Turun sebagai underdog tapi memasang misi untuk mara lebih jauh, membuatkan skuad MSP yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Ahmad Md Nor dan Suhaimi Rashid tidak memberi laluan mudah buat pasukan MSSM Negeri Sembilan, Sarawak dan Pulau Pinang.


Meskipun gagal mara ke suku akhir selepas hanya mencatatkan satu kemenangan daripada tiga perlawanan, MSP bangga berada dalam kelompok pasukan terbaik negara.

Menurut Suhaimi, pasukan wanita MSP mempamerkan peningkatan yang baik, cuma pengalaman bertanding di peringkat tinggi masih kurang.


"InsyaAllah kami akan memperbaiki kelemahan kami. Persembahan pasukan sedikit goyah ketika berhadapan Sarawak dan Pulau Pinang. Sikap terlalu hormat kepada lawan menjejaskan strategi yang diatur," katanya.


Sementara itu penolong pengurus Azlan Shah menegaskan MSP akan bekerja keras memperbaiki kelemahan untuk mengikut jejak pasukan lelaki MSP yang berjaya muncul salah satu pasukan elit kejohanan itu.

"Kami memiliki kemudahan serta padang latihan bertaraf antarabangsa seperti di padang Skin Diamond di Polimas, Politeknik Sultan Ibrahim dan juga Politeknik Sultan Azlan Shah, Perak.


"Ketiga-tiga padang ini akan kami gunakan sepenuhnya demi mempertingkatkan prestasi pasukan MSP," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Temerloh jagoan hoki Remaja Pahang 2013

Posted: 16 Apr 2013 12:33 PM PDT

Kuantan: Aksi mantap babak kedua membantu pasukan Temerloh muncul juara Kejohanan Hoki Liga Bawah 20 Tahun sempena Sukan Remaja Pahang 2013 selepas menjinakkan Kuantan, 2-1 di Stadium Wisma Belia Indera Mahkota, baru-baru ini.

Ketinggalan 0-1 pada babak pertama, anak buah Ho Liang Seng bangkit menyamakan kedudukan hasil gol padang penyerang lincah, Mohd Ikwan Mansor pada minit ke-44.


Semangat juang tinggi pelawat terus menyerlah dan berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi gerakan menarik Absyraff Ilham Abdullah yang bijak memperdayakan benteng lawan sebelum menolak bola menewaskan penjaga gol lawan, Aznil Hafiz Kamaruzaman m-66.

Bagi Liang Seng, semangat juang tinggi pemain dan tidak mengenal erti putus asa menjadi pencetus kejayaan membanggakan pasukannya.


"Pemain mematuhi arahan untuk bangkit menguasai perlawanan hingga memaksa lawan lebih banyak bertahan pada babak kedua.


"Saya puas hati dan mereka bangkit selepas kecewa dengan gol sendiri seawal minit kelapan yang meletakkan tuah rumah di depan.

"Kejayaan ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus berusaha mempamerkan kebolehan di peringkat lebih tinggi terutama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVI Kuala Lumpur, Jun ini," katanya yang mengadakan persiapan pasukan lebih dua bulan.


Beliau berkata, majoriti pemain terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar Sekolah Sukan Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh yang sebelum ini berjaya melahirkan ramai pemain terbaik negeri. Anugerah pemain remaja terbaik kejohanan milik penyerang Kuantan, Muhammad Arif Shafie Ishak, pemain terbaik liga, Muhammad Shahir Azri Samsudin (Bera), pemain terbaik kejohanan, Mohd Saihan Tajul Rahim (Kuantan), pemain terbaik perlawanan akhir, Absyraff Ilham (Temerloh). Tempat ketiga milik pasukan Maran yang menewaskan Bera, 1-0.

Kejohanan anjuran Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan kerjasama Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Nestle Sdn Bhd menyaksikan penyertaan 11 pasukan daerah negeri ini.


Majlis penyampaian hadiah dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persatuan Hoki Pahang Datuk Zulkifli Yaacob, hadir sama Pengarah MSP Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

FAM perlu waspada: Annuar

Posted: 16 Apr 2013 12:32 PM PDT

Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mengingatkan FAM supaya berhati-berhati dalam isu lain meskipun samannya terhadap badan induk bola sepak negara itu sudah ditolak mahkamah 5 April lalu.

Bagaimanapun, bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu bertegas beliau tiada sentimen peribadi kecuali mahu menjadikan isu itu sebagai rujukan pada masa akan datang.


Annuar berkata, samannya terhadap FAM dan Setiausaha Agung Datuk Azzuddin Ahmad hanya kerana terdapat perbezaan pendapat dan tindakan membawa isu itu ke mahkamah sebagai langkah rujukan untuk masa depan.

Katanya, keputusan mahkamah tidak menjadi persoalan sebaliknya secara peribadi Annuar berpendapat setiap isu yang berlaku dalam FAM boleh dibawa ke muka pengadilan.


"Saya tidak ada niat nak lawan sesiapa. Saya cuma ambil tindakan undang-undang kerana terdapat perbezaan pendapat selain minta mahkamah berikan petunjuk. Soal menang atau kalah tidak penting.


"Ini bermakna FAM perlu hati-hati kerana benda itu (isu tertentu) memang boleh dibawa ke mahkamah dan perkara ini boleh dijadikan rujukan dalam kes lain di masa akan datang," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan pelatih Akademi Al-Hamra The Red Warriors (Army) Wan Mohd Nurhafizul Azrin Wan Baharuddin yang terpilih mengikuti lawatan pendedahan bolasepak selama seminggu di Stadium Old Trafford, Manchester, England bermula 20 April ini.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut menyokong cadangan FAM membuat pindaan kecil terhadap Artikel 88 pada persidangan kongres pertengahan Ogos ini.


Annuar berkata, pindaan itu hanya boleh berlaku pada persidangan kongres dan perlu ada cadangan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dan ahli badan gabungan sama ada mahu mengekalkan atau tidak artikel terbabit.

"Pihak exco menerusi Datuk Affandi ada mengemukakan cadangan memperluaskan sedikit hak kebebasan bersuara. Saya fikir ia boleh dianggap sebagai satu cadangan.


"Saya difahamkan FAM akan mengadakan kongres pada Ogos ini. Dalam peraturan, pada kongres biasa, usul boleh dibawa Exco yang boleh kemukakan cadangan tersebut untuk diteliti badan gabungan dengan masa secukupnya.


"Pada masa sama, badan gabungan boleh membuat perubahan secara aktif iaitu mengemukakan usul dengan syarat ia mesti disokong sekurang-kurangnya dua ahli gabungan lain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Lapan kelab bolasepak hadapi cabaran ASL

Posted: 16 Apr 2013 12:32 PM PDT

Singapura: Liga Super Asean (ASL) yang bakal berlangsung pada 2015 menampilkan lapan kelab dalam satu divisyen tanpa penyingkiran dengan sistem play-off menentukan pemenang, umum Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) semalam.

AFF mensasarkan penyertaan 16 pasukan setiap tahun pada masa akan dengan francais tertumpu kepada negara utama Thailand, Malaysia, Indonesia dan Singapura dengan penyertaan Myanmar dan Laos.


Musim terbabit berlangsung selama lapan bulan antara Februari hingga September, selaras dengan kalendar FIFA dan tidak mengganggu Liga Juara-Juara dan Piala AFC.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah dimaklumkan mengenai liga membabitkan 11 negara Asia Tenggara itu, dengan memorandum persefahaman sudah dipersetujui semua ahli gabungan.


AFF menekankan liga baru itu tidak menyebabkan saingan domestik di Asia Tenggara berkubur namun sebaliknya membantu meningkatkan populariti sukan terbabit dan memberikan kestabilan kewangan untuk negara bermasalah bagi jangka masa yang panjang.


"Ahli gabungan AFF sudah diberi taklimat mengenai potensi manfaat termasuk peningkatan kewangan bagi kelab yang mengambil bahagian," kata ahli majlis AFF dan Naib Presiden AFC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Kebimbangan dibangkitkan ahli gabungan, seperti kesan kepada liga domestik dan kemampuan ASL akan terjawab pada sesi penerangan 3 April ini." Walaupun amat popular di rantau ini dan kejayaan Piala AFF, kejohanan dwitahunan untuk skuad kebangsaan di Asean, pasukan Asia Tenggara gagal memberi impak yang besar di benua ini.


Vietnam pasukan terbaik rantau ini di ranking ke-132 dunia, menurut senarai kedudukan terbaru yang dikeluarkan FIFA dengan Indonesia hanya sekali tampil di pusingan akhir Piala Dunia selepas layak pada edisi 1938 ketika dikenali sebagai Hindia Timur Belanda. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Terengganu belasah Negeri Sembilan

Posted: 16 Apr 2013 12:25 PM PDT

Kuala Terengganu: Terengganu melangkah bergaya ke separuh akhir Piala FA apabila berjaya membelasah Negeri Sembilan 3-0 untuk agregat 6-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Di Kuching, Kelantan mara bergaya ke separuh akhir selepas menewaskan Sarawak 2-0 untuk melengkapkan agregat 4-1.


Kejayaan itu sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu sebelum ditewaskan pasukan digelar pembunuh gergasi Sime Darby di separuh akhir.

Jurulatih Terengganu E Elavarasan berkata, kemenangan itu bukti usaha gigih pemain walaupun mempunyai kelebihan dua gol selepas menundukkan lawan pada suku akhir pertama.


"Walaupun memiliki kelebihan gol, pemain terus mempamerkan aksi bermutu untuk melangkah ke separuh akhir dengan selesa.


"Selain itu, kesebelasan pemain mengikut perancangan dan menambahkan keyakinan pasukan untuk menafikan hajat pelawat memadam kelebihan kami," katanya.

Jaringan Mohd Ashari Shamsuddin pada minit ke-24 hasil lorongan Effa Owona berjaya melunturkan rentak pelawat yang turun dengan pemain import baru Leandro Barbosa.


Bersambung babak kedua perlawanan, Owona yang tidak dikawal mudah merembat masuk m-53 susulan sepakan sudut Ismail Faruqi Saari.

Derita pelawat bertambah apabila Owona meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti m-70 selepas dia dijatuhkan.


Sementara itu jurulatih Negeri Sembilan Divaldo Da Silva mengaku anak buahnya gagal beraksi dengan baik dan memberi kelebihan kepada tuan rumah menghasilkan tiga gol mudah.


"Taktik diterap Terengganu berjaya menafikan impian kami memburu jaringan dan tuan rumah berhak memenangi perlawanan ini," katanya.


Sebelum itu, Presiden PBNT Datuk Che Mat Jusoh memberikan tiket percuma sebaik diumum calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 petang semalam.


Pemberian tiket percuma itu diumum Menteri Besar Datuk Ahmad Said ketika majlis pengumuman calon PRU-13 di kediaman rasmi MB di Kediaman Seri Iman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

No comments:

Post a Comment