Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak rela terlepas mata

Posted: 23 Apr 2013 11:27 AM PDT

Kuantan: FELDA United tidak rela terlepas mata apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur, Jumaat ini bertemu Pahang biarpun sedar laluan kelab itu sedikit berliku.

Ia diakui kapten Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain yang mahukan rakan sepasukan memperkemaskan jentera pasukan untuk menyekat Pahang yang beraksi baik di depan penyokong sendiri.


"Skuad Tok Gajah memiliki kelebihan apabila beraksi di gelanggang mereka tapi kami tidak akan membenarkan mereka meraih sebarang mata biarpun sedar Pahang memiliki pemain mantap.

"Jika semua pemain dapat mempamerkan aksi terbaik dan tidak melakukan kesilapan, kejayaan pasti milik kami," katanya.


Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata, perubahan skuad kendalian Dollah Salleh terutama kemasukan dua pemain import baru antara faktor kekuatan mereka.


Namun, dia yakin dengan sokongan rakan sepasukan yang kini memperlihatkan kematangan biarpun tewas 1-2 di tangan Terengganu minggu lalu.

Foto

KAIRONNISAM (kanan) mahu sekat aksi Pahang.

"Saya perhatikan pada pusingan kedua liga, Pahang memiliki kekuatan di semua bahagian terutama dengan kehadiran Matias Conti dan Damion Stewart." Bagaimanapun minggu lalu, Pahang dan FELDA United gagal meraih mata apabila tewas 1-2 kepada Terengganu manakala Pahang tunduk 0-1 di tangan Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

WARS 15 cipta sejarah

Posted: 23 Apr 2013 11:18 AM PDT

Kuching: Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 (KFMHB) peringkat Negeri didominasi skuad futsal WARS 15 apabila muncul juara kategori Bawah 12 dan 16 Tahun di Arena Sukan Simpang Tiga, Kuching, baru-baru ini.

Pada final kategori B-12, WARS 15 menang tipis 1-0 ke atas Akademi Kg Tupuns Tengah Wirajaya B manakala kategori B-16, WARS 15 mudah mengetepikan cabaran skuad Shafie Bohari 7732 Juniors, 3-0.


Empat pasukan terbaik masing-masing dua daripada kategori B-12 dan 16 akan ke Kuala Lumpur pada 7 Julai untuk bersaing pada peringkat Grand Final.

WARS 15 turut mencipta sejarah kerana melakar rekod cemerlang  apabila layak ke Grand Final buat kali kelapan berturut-turut sejak KFMHB diperkenalkan pada 2006.


Hadiah kedua-dua kategori disampaikan Eksekutif Pemasaran Sukan, Nestle Products Sdn Bhd Kerwin Lim dan Pengurus Sampling dan Acara, Cawangan Nestle Sarawak, Tony Merril.


Siri ketujuh pada Sabtu ini berlangsung di Masterscaff Indoor, Paka, Dungun, Terengganu. Borang penyertaan boleh diperoleh di semua 14 venue atau layari laman www.syoknyasukan.com dan hubungi Nik Muhd Radzi menerusi talian 019-3519934, Zack 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Aksi mantap tonik kejayaan Sabit FC

Posted: 23 Apr 2013 11:18 AM PDT

Kuantan: Aksi mantap sepanjang kejohanan menjadi azimat buat pasukan Sabit FC dari Jerantut untuk muncul juara Kejohanan Futsal Belia Orang Asli Pahang 2013 selepas menewaskan Bimbang FC dari Bera, 4-3 di Kuantan Futsal Center Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

Tempat ketiga milik pasukan Paloh FC dari Bera dan keempat wakil tuan rumah, Eldorado. Sebanyak 27 pasukan seluruh negeri menyertai kejohanan kali ketiga anjuran Persatuan Belia Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Kuantan.


Juara menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala pusingan, kedua RM700 medal, RM300 dan keempat RM200 dan hamper selain medal.

Ketua pasukan Sabit FC Mohd Shahrizad Mohd Shukri berkata, semangat berpasukan menjadi antara faktor kejayaan kali ini walaupun tidak banyak diberi harapan di peringkat awal.


Menurutnya, penyertaan kali pertama itu juga bukan penghalang kepada pemain memberi persembahan terbaik tanpa terlalu memikirkan kehebatan lawan yang mempunyai rekod membanggakan sebelum ini.


"Latihan lebih sebulan berjaya membentuk persefahaman mantap dan meskipun cetek pengalaman, ia bukan penghalang buat pemain untuk melangkah ke final seterusnya menjulang kejuaraan diidamkan.

"Sasaran awal tidak lebih sebagai memenuhi undangan penganjur namun kami bertuah dinobat juara kejohanan edisi ketiga ini," katanya yang pernah mewakili pasukan Shahzan Muda pada saingan Liga FAM.


Mohd Shahrizad yang membantu Pahang muncul juara acara bolasepak Karnival Perpaduan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kesembilan, Februari lalu berkata, kejayaan ini diharap menjadi landasan kepada pemain untuk terus cemerlang dalam beberapa pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan yang akan disertai selepas ini.

"Saya harap lebih banyak pasukan menyertai kejohanan ini pada masa akan datang dalam usaha memeriahkan lagi pertandingan terbesar untuk golongan belia Orang Asli di negeri ini.


"Selain bersukan, program ini turut mengeratkan lagi hubungan dan melahirkan generasi belia yang sihat dan bebas daripada aktiviti tidak sihat," katanya yang dinobat Pemain Terbaik kejohanan.


Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah JAKOA negeri Isa Abdul Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Arena FM benam ego Bertam Ulu

Posted: 23 Apr 2013 11:17 AM PDT

Melaka: Juara Grand Final Karnival Futsal Harian Metro 2012, Bertam Ulu menerima kejutan besar apabila tewas kepada Arena FM pada aksi final Kejohanan Futsal Terbuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka di A Sport Arena Klebang, baru- baru ini.

Bertam Ulu tewas tipis 2-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi final menarik walaupun skuad itu berjaya mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Adam Hassan.


Bagaimanapun Arena FM bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua untuk mengheret penentuan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada skuad muda itu.

Kejayaan itu membolehkan Arena FM membawa pulang RM2,000, piala dan hadiah iringan manakala Bertam Ulu RM1,000 dan tempat ketiga serta keempat milik Boxsoy dan UiTM Melaka (RM500).


Pemain terbaik perlawanan akhir milik bintang berpengalaman Bertam Ulu, Ayob Alias yang memperaga persembahan menghiburkan.


Bagi kategori wanita, juara diraih pasukan Krisnax yang membawa pulang RM1,000 piala dan hadiah iringan selepas menewaskan Puteri Tangga Batu, RM500 serta hadiah iringan yang disampaikan Ketua Unit Sukan UiTM Melaka Mohd Tarmizi Mahmud.

Mohd Tarmizi berkata, lebih 60 pasukan mengambil bahagian termasuk dari Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.


"Kejohanan ini pentas pemanas badan sebelum pasukan mengharungi cabaran lebih getir terutamanya menjelang Karnival Futsal Harian Metro yang membuka tirai tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Selangor hidup peluang

Posted: 23 Apr 2013 11:17 AM PDT

Shah Alam: Selangor terus menghidupkan peluang mara ke pusingan kedua Piala AFC apabila mengikat kelab India, East Bengal 2-2 malam tadi.

Jaringan minit terakhir masa kecederaan oleh pemain pertahanan Adib Aizuddin Ab Latif memberikan satu mata berharga kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.


Terdahulu Selangor dikejutkan pelawat menerusi rembatan Penn Ikechukwu Orji menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-23.

Derita Merah Kuning berterusan apabila pemain import tunggalnya yang beraksi, Michal Kubala terpaksa dikeluarkan m-36 kerana kecederaan.


Tindakan pantas Irfan Bakti memasukkan Mohd Amri Yahyah dan Mahali Jasuli sedikit menghidupkan jentera Selangor disusuli kehadiran S Kunanlan sebagai pemain gantian ketiga.


Kerapuhan benteng pertahanan Selangor yang dikemudi Mohd Asraruddin Putra Omar terus dihukum bersambung babak kedua apabila Lalrindika Ralte meledak jaringan pada m-54.

Selangor bangkit merapatkan kedudukan menerusi rembatan luar kotak penalti Abdul Shukur Jusoh m-78 selepas memanfaatkan kekurangan seorang pemain pelawat yang dilayangkan kad merah m-77.


Asakan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila tolakan Amri menerusi sepakan percuma membolehkan Adib merembat kencang menggegar gawang.

Selangor kini mengumpul lima mata dan bersaing dengan Saigon Xuan Thanh (lapan mata) untuk ke pusingan kedua ketika East Bengal sudahpun layak mewakili Kumpulan H ketika berbaki satu perlawanan lagi.


Sementara itu Kelantan diaibkan Maziya Sports & Recreation Club di laman lawan apabila tewas 1-6 dalam saingan Kumpulan G.


Walau bagaimanapun Kelantan boleh menarik nafas lega kerana sudah sah mara ke pusingan kedua berbaki satu perlawanan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Laluan getir Hoben Jang Hoben

Posted: 23 Apr 2013 11:17 AM PDT

Seremban: Ketiadaan beberapa pemain utama yang cedera meletakkan Negeri Sembilan dalam situasi sukar apabila turun menentang Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang Jumaat ini.

Dua tonggak utama Leandro Barbosa Fabio dan Ahmad Shakir Md Ali (gambar) hampir pasti tidak diturunkan kerana kurang cergas dan jurulatih Divaldo Alves tiada pilihan kecuali menyandarkan harapan kepada gandingan Mohd Firdaus Azizul-Shahurain Abu Samah-Eddy Helmi Manan mengemudi barisan depan dan sayap.


Shakir mengaku kecergasannya tidak berada pada tahap terbaik untuk beraksi Jumaat ini dan berharap rakan lain menggalas cabaran pasukan sebaik mungkin bagi menebus kekecewaan selain merealisasikan kemenangan pertama musim ini.

Katanya, pemain yang bakal dipilih Alves perlu berjuang habis-habisan bagi mempertahankan maruah pasukan untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata bagi menebus kekalahan 0-3 pada pusingan kedua Piala FA minggu lalu.


"Saya harap rakan lain meneruskan perjuangan mempertahankan maruah pasukan yang kini terus dipalit kekecewaan apabila gagal menang selepas 13 perlawanan. "Walaupun beraksi di gelanggang lawan, tidak mustahil untuk menang jika semua pemain memberi persembahan terbaik dan memanfaatkan peluang jaringan.


"Ketika menentang Selangor, banyak peluang kami persia-siakan menyebabkan impian mencapai kemenangan tersasar. Saya harap kami menang Jumaat ini," katanya.

Sementara itu, penyerang Mohd Alafi Mahmud yang agak lama di bangku simpanan berazam menjadi pemusnah sekali gus membantu skuad Hoben Jang Hoben mencapai kemenangan pertama jika diturunkan.


Bekas pemain MP Muar itu yakin dapat memberikan persembahan terbaik malah tahap kecergasannya semakin baik dan mampu beraksi 90 minit perlawanan.

"Apapun terpulang kepada jurulatih tapi saya sudah sedia untuk beraksi merealisasikan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Pinda tarikh perlawanan kerana PRU 13

Posted: 23 Apr 2013 11:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meminda tarikh perlawanan ditetapkan pada 4, 5 dan 6 Mei bagi memudahkan pegawai dan pemain mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kata Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata, empat perlawanan Liga Super yang dijadual berlangsung pada 4 Mei akan dipinda kepada 22 Mei di venue yang ditetapkan.


Perlawanan itu membabitkan Lions XII menentang Selangor PKNS, Selangor menentang Terengganu, Negeri Sembilan menentang Pahang dan Johor Darul Takzim menentang Kelantan.

Azzuddin berkata, lima perlawanan Liga FAM yang dijadual berlangsung pada 5 Mei dipinda ke 8 Mei.


Perlawanan membabitkan ATM Tentera Darat menentang YBU, Melaka menentang Cebagoo, PBAPP menentang Tumpat FA, Kuantan FA menentang Pulau Pinang dan PB Melayu Kedah menentang PHG Kuantan Port.


Sementara itu enam perlawanan Liga Perdana yang dijadual pada 6 Mei akan dipinda pada 21 Mei.

Ia membabitkan Johor menentang Kedah, PDRM menentang UiTM, KL SPA menentang Sime Darby, Perlis menentang NS Betaria, Sabah menentang Kuala Lumpur dan Pos Malaysia menentang Sarawak. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Pemain tempatan wajib pamer prestasi terbaik!

Posted: 23 Apr 2013 11:16 AM PDT

Kuantan: Pengurus Tok Gajah Datuk Che Nasir Salleh meminta pemain tempatan mempamerkan prestasi terbaik bukannya bergantung kepada tenaga import untuk membentuk pasukan mantap.

Menurutnya, mereka juga perlu lebih fokus dan kreatif menghalang lawan serta menajamkan lagi jentera serangan bagi meraih kemenangan pada pusingan kedua Liga Super.


"Tidak bagus bagi sebuah pasukan hanya bergantung kepada beberapa pemain kerana kekuatan dan kejayaan hasil usaha semua pemain.

"Sebagai contoh, saya boleh katakan kekalahan Pahang di tangan Johor Darul Takzim (DT) minggu lalu disebabkan pemain tempatan lebih bergantung kepada Damion Stewart di bahagian pertahanan," katanya.


Che Nasir berkata, akibat hilang fokus, Johor DT berjaya menjaringkan gol dan lebih mendukacitakan jaringan itu menyebabkan Pahang gagal mengutip sebarang mata.


Menurutnya, dalam situasi itu kerjasama dan persefahaman perlu dititikberatkan jika mahu mengejar pasukan di tangga teratas kerana jurang kini semakin jauh iaitu tujuh mata.

"Pada pertemuan dengan FELDA United di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini, saya harap kemenangan berpihak kepada Pahang. Saya juga mahu bahagian serangan terutama Matias Conti dan Mohd Fauzi Roslan lebih tajam selepas mereka gagal menjaringkan gol pada pertemuan dengan Johor DT."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

Makin sukar

Posted: 23 Apr 2013 11:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Tugas skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) memburu kemenangan ke atas kelab divisyen satu Hungary, BFC Siofok dalam aksi persahabatan hari ini bertambah sukar apabila barisan Ong Kim Swee itu dihimpit masalah kecederaan pemain.

Situasi dihadapi itu tampak serius dengan sembilan pemain terpaksa diketepikan termasuk dua penjaga gol utama, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Mohd Farhan Abu Bakar sekali gus menyaksikan Mohd Firdaus Muhamad kini menjadi sandaran Kim Swee.


"Saya tiada pilihan selain menurunkan Firdaus dalam kesebelasan utama pada perlawanan dengan Siofok. Saya hanya menurunkan Firdaus dalam dua perlawanan sebelum ini (menentang MSK Zilina dan skuad B-21 Georgia) sebagai pemain gantian saja.

"Memang Firdaus kurang berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa berbanding Izham dan Farhan tapi bagi saya inilah peluang untuk dia membuktikan kemampuan dan merebut tempat dalam skuad utama," katanya ketika dihubungi di Slovakia semalam.


Selain masalah posisi penjaga gol, Kim Swee juga terpaksa melupakan khidmat penyerang Izzaq Faris Ramlan, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri serta pemain tengah Gary Stevan Robbart yang mengalami kecederaan.


"Kecederaan mereka tidak serius cuma malangnya ramai pemain cedera serentak tapi saya tidak mahu ini dijadikan alasan untuk pasukan ini gagal mempamerkan permainan lebih baik menentang Siofok kerana saya yakin pemain lain juga boleh menjalankan tugas dengan baik." Selepas sebulan berkampung di Vion Slovakia, Kim Swee mengharapkan anak buahnya mempamerkan peningkatan selepas gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan persahabatan sebelum ini apabila kalah dua kali dan seri dua lagi perlawanan.

"Mustahak untuk pemain mempamerkan peningkatan selepas sebulan menjalani latihan dan perlawanan di sini. Saya mahu pemain beraksi lebih baik dan mengurangkan kesilapan besar yang banyak merugikan kita dalam empat perlawanan sebelum ini," kata Kim Swee.


Skuad B-23 negara berada di Slovakia bagi program persiapan menghadapi misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

'Sasar kekal lama di Liga Perdana'

Posted: 23 Apr 2013 11:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemilik kelab Cardiff City yang bakal naik ke Liga Perdana musim depan, Tan Sri Vincent Tan (gambar) meletak sasaran awal kelab itu untuk kekal di liga paling elit itu lebih lama dan bersaing di kelompok pertengahan liga.

Beliau juga memberi jaminan akan terus menggunakan nama 'Malaysia' di jersi mereka.


"Ini bagi menunjukkan kepada negara dan dunia, saya rakyat Malaysia yang patriotik. Kami akan mengekalkan perkataan Malaysia pada jersi Liga Perdana kami.

"Saya sudah lakukan ini (mempromosi Malaysia) untuk beberapa tahun dan mungkin kali ini kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan akan turut serta sebagai penaja kami," katanya.


Menurut Vincent, sasaran kini adalah bersaing dalam kelompok pertengahan EPL musim depan, mungkin kedudukan ke-13, 14 atau 15 dan mahu mencontohi satu lagi kelab Wales, Swansea City.


"Swansea melakukan tugas mereka dengan baik. Kami ibarat musuh setempat namun tetap menjadikan mereka sebagai contoh yang baik. "Namun untuk melakukannya, kami perlu dapatkan beberapa pemain yang bagus untuk memperkuat pasukan dan bersaing dengan pasukan ternama EPL." Ketika ini, kelab masih mencari pemain terbaik dan semuanya bergantung kepada pengurus Malky Mackay, namun perbincangan akan tetap dilakukan dari sudut kewangan.

"Sebagai pemilik kelab, saya rasa mereka hendaklah sentiasa menyokong apa yang diingini pengurus pasukan," katanya.


Beliau turut berharap Queens Park Rangers (QPR) tidak tersingkir daripada Liga Perdana bagi merealisasikan impian melihat dua kelab dimiliki rakyat Malaysia dalam EPL.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/24

No comments:

Post a Comment