Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kejutan gigitan Suarez

Posted: 24 Apr 2013 09:54 PM PDT

LONDON: Penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung 10 perlawanan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris atas kesalahan melakukan keganasan dengan menggigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.

Suarez menerima pertuduhan melakukan keganasan selepas insiden yang berlaku dalam perlawanan Liga Perdana di Anfield yang berkesudahan seri 2-2, namun mempersoalkan pandangan FA bahawa dia patut digantung lebih daripada 3 perlawanan atas kesalahannya.

Suruhanjaya Bebas yang bersidang di London semalam untuk membuat keputusan mengenai tempoh penggantungan sesuai buat penyerang antarabangsa Uruguay itu menambah tujuh perlawanan sebagai tambahan kepada tiga yang lazimnya dijatuhkan untuk kesalahan melakukan keganasan.

Penggantungan berkuat kuasa serta-merta bermakna Suarez akan terlepas empat aksi perlawanan terakhir dan enam perlawanan pertama liga musim depan.

Liverpool, yang terkejut dengan keputusan berkenaan, mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk membuat rayuan. - Reuters

Foto

INSIDEN yang menyebabkan Suarez digantung 10 perlawanan

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Saya tak mahu komen: Raja

Posted: 24 Apr 2013 09:52 AM PDT

Kelana Jaya: "Saya tak mahu komen." Itu reaksi jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang mengelak daripada ditemuramah pihak media sejurus mendapati dirinya tidak bersalah atas kesalahan mengkritik dasar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Sejurus selesai perbicaraan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung hampir empat jam semalam, Rajagobal yang tampil membuat pembelaan terus bergegas masuk ke biliknya di Wisma FAM tanpa sebarang kenyataan.


Pengendali skuad Harimau Malaya itu pastinya menarik nafas lega dengan keputusan diumum Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abd Razak apabila beliau terlepas daripada dakwaan di bawah Perkara Kod Tatatertib 4.5.8.

Ini kes pertama tertuduh terlepas daripada hukuman Jawatankuasa Tatatertib selepas kes sebelum ini menyaksikan beberapa individu seperti bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, Presiden Bola Sepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim digantung enam bulan hingga dua tahun lebih apabila kes dibuka.


"Tiada kes terhadap Rajagobal sebab kita puas hati dengan pembelaannya. Kita juga memperhalusi pita rakaman (kenyataan Rajagobal pada sidang media) serta laporan akhbar. Beliau menafikan ada membuat kenyataan sedemikian," kata Taufek semalam.


Keputusan itu membolehkan Rajagobal terlepas daripada penggantungan hingga enam bulan dan boleh meneruskan kontrak dengan FAM sebagai jurulatih kebangsaan hingga hujung tahun ini.

Rajagobal diheret menghadap Jawatankuasa Tatatertib selepas beliau didakwa membuat kenyataan mengkritik dasar FAM mengenai penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia yang menyebabkan negara ketandusan penyerang semulajadi.


Kenyataan itu dibuat pada sidang media selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas 1-4 di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam 17 Mac lalu.

"Jika bersalah, beliau boleh dihukum di bawah kesalahan 18.3 tapi kenyataan beliau langsung tidak menyentuh dasar pemain import," jelas Taufek.


Sementara itu, Jawatankuasa Tatatertib juga menjatuhkan hukuman ke atas dua pemain Selangor Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh di atas insiden pergaduhan yang berlaku pada perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia 25 Januari lalu.


Afiq digantung dua perlawanan dan denda RM1,000 atas kesalahan bertindak ganas manakala Shukor pula digantung dua perlawanan dan denda RM2,000 kerana ingkar arahan pengadil.


"Apabila melihat semula insiden perlawanan itu, Shukor didapati bersalah kerana ingkar arahan pengadil apabila mengambil masa 1 minit 35 saat untuk meninggalkan padang selepas menerima kad merah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

UiTM rampas teraju Liga IPT

Posted: 24 Apr 2013 09:51 AM PDT

Kuala Lumpur: UITM Shah Alam merampas teraju Divisyen Satu saingan bola sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi (Liga IPT) hanya dengan kelebihan jaringan ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anak buah Wan Mustafa Wan Ismail, mengatasi cabaran Universiti Malaya (UM) 4-3 untuk mengumpul 12 mata, tiga menang dan tiga seri selepas enam perlawanan, sama seperti UKM yang diikat Universiti Multimedia (MMU).


Pasukan dikenali sebagai The Lions, UiTM Shah Alam adalah juara bertahan dua musim berturut-turut manakala UKM adalah juara Piala Menteri Pengajian Tinggi.

Sabtu ini menjadi detik penentu pasukan yang menguasai carta untuk mengakhiri pusingan pertama.


Bagaimanapun tiada masa rehat buat semua pasukan kerana saingan Piala FA pula akan dilangsungkan secara karnival sebelum pusingan kedua liga disambung pada 11 Mei.


"Walaupun berada di tangga teratas hanya dengan kelebihan jaringan, ia harus menjadi motivasi kepada pemain untuk meningkatkan keupayaan," kata Wan Mustafa.

"Saya harap pemain membuktikan kami sebagai juara bertahan berada dalam kelas berbeza. Mereka harus lebih serius pada sesi latihan kerana cabaran makin getir lebih-lebih lagi selepas ini saingan Piala FA pula bakal dilangsungkan." Sementara pengendali UKM Sulaiman Hussin pula berkata, kecederaan pemain utama menjejaskan momentum pasukan.


"Kami ketinggalan 1-3 tapi pemain miliki semangat juang tinggi untuk mengikat kedudukan 3-3," katanya.

Aksi Sabtu ini menyaksikan UKM bertemu Universiti Malaya (UM), juara Piala MASUM 2012 manakala UiTM Shah Alam berkunjung ke Jitra untuk menjadi tetamu kepada Kolej Komuniti Kedah (KKK).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

UiTM Lions singkir pasukan pilihan

Posted: 24 Apr 2013 09:51 AM PDT

Shah Alam: Pasukan ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau UiTM Lions mencipta kejutan pada Kejohanan Liga Super Ragbi MRU 2013.

Selaku bukan pilihan, mereka menidakkan ramalan apabila berjaya mara ke final selepas menewaskan pasukan pilihan, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI Tsunami), 12-10 di separuh akhir di UPM Serdang, minggu lalu.


Kepantasan dan stamina barisan pemain SSTMI dan kehadiran tiga pemain import dari Fiji menyebabkan mereka yakin muncul juara.

Namun pemain UiTM berjaya mengekang asakan pasukan yang berpangkalan di Johor itu.


"Pemain tahu apa yang patut dibuat setiap masa. Semangat untuk menang memberi inspirasi kepada pasukan untuk layak ke final," tegas jurulatih UiTM Lions Zamri Abd Kahar.


Penampilan pada edisi pertama pada 2012 menyaksikan UiTM Lions hanya mampu layak ke suku akhir.

Namun berbekal sokongan pengurusan tertinggi UiTM dan suntikan beberapa penaja membolehkan pasukan itu menyenaraikan dua pemain import dari Fiji.


Persefahaman dua pemain import UiTM Lions, Jiale Saimone Seninawanawa dan Vatiliai Tuisabeto Tora bersama pemain tempatan tidak mengambil masa lama untuk memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan.

Menurut kapten Mohd Hafiz Hamzah, sudah tiba masanya UiTM Lions membuat kejutan di final.


"Kami sudah membuat persediaan rapi sejak Disember 2012 dan segala penat lelah di padang akan terbalas jika menewaskan Keris Conlay di final.


"Walaupun lawan mempunyai tiga pemain import dari Fiji dan beberapa pemain kebangsaan, semangat juang pemain diharap dapat diteruskan sehingga wisel penamat," katanya.


Perlawanan akhir Liga Super MRU 2013 menemukan UiTM Lions dan Keris Conlay di Stadium UKM Bangi pada 5 petang Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Dua gergasi Lembah Klang jadi tumpuan

Posted: 24 Apr 2013 09:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua pasukan gergasi Lembah Klang, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, bakal menjadi tumpuan apabila Liga Bola Jaring IPT Zon Tengah Selatan membuka tirainya hari ini.

Pertembungan kedua-dua pasukan dijadual pada hari terakhir kejohanan Ahad ini pasti menjadi pentas terbaik membuktikan kejaguhan masing-masing.


UiTM kini memiliki kelebihan psikologi selepas menundukkan UPM pada suku akhir Sukan Antara IPT (Sukipt) tahun lalu sebelum muncul naib juara temasya julung kali diadakan itu.

Selain kehadiran Rozliana Mohd Ridzuan yang dinobat Pemain Terbaik Terbuka UniMAP, baru-baru ini, UiTM juga boleh mengharapkan aksi Nur Aisyah Yahaya, Ain Atikah Roslan dan Tuan Nor Farhah Tuan Pa.


Namun UPM yang juga tuan rumah berazam menebus kekecewaan lalu dan tentunya gelaran juara zon pengubat duka terbaik.


UPM pasti mengharapkan sentuhan pemain kebangsaan seperti Nur Ain Omar, Aziemah Abdul Aziz dan Nor Shamilia Samsudin untuk memadamkan ego UiTM.

Dengan kedudukan dua pasukan teratas hampir pasti menjadi rebutan UiTM dan UPM, lima lagi pasukan akan berentap untuk mencari dua lagi tiket terakhir ke Grand Final di Universiti Malaya dari 8-12 Mei ini.


Lima pasukan itu adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Taylor Universiti (Taylor's), Kolej Darul Quran (KUDQ), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL-BMI).

Juara zon menerima wang tunai RM2,000 manakala RM1,500 dan RM1,000 untuk pasukan kedua dan ketiga. Empat pasukan teratas melengkapkan senarai 20 pasukan yang beraksi di Grand Final.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

RM220,000 jadi rebutan

Posted: 24 Apr 2013 09:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Hadiah lumayan berjumlah RM220,000 bakal menjadi rebutan pada saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013.

Kejohanan anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang diadakan buat kali pertama akan berlangsung di lima venue menarik dan mencabar.


Aksi bermula di Presint 15, Putrajaya (1-2 Jun), Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu (23-24 Ogos), Legoland Nusajaya (28-29 Oktober), Kellie Castle (26-27 Oktober) dan Selangor yang belum diputuskan tarikhnya.

Saingan membabitkan Elit, Terbuka Metro (Jamboree) dan Demonstrasi/Pameran dengan sasaran menarik peserta tempatan dan Asia Tenggara.


"Paling menarik adalah hadiah lumayan RM220,000 yang bakal menjadi rebutan 3,500 peserta pada setiap sirkit. Selain itu kami turut mengadakan cabutan bertuah dan pelbagai aktiviti lain," kata Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad Datuk Mustapa Omar pada majlis pelancaran kejohanan semalam.


Jelas beliau, penganjuran kejohanan sebahagian daripada program Harian Metro menghargai pembaca yang mencecah empat juta selain sukan terbabit pula semakin popular membabitkan segenap lapisan masyarakat.

Mustapa mengalu-alukan kesediaan Tourism Malaysia menjayakan kejohanan itu yang bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan berbasikal. Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Datuk Azizan Noordin, Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Musa Yusof dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1 Malaysia 2013 Abdul Ghafar Ismail turut hadir pada majlis pelancaran itu.


Turut hadir sebagai wakil penaja adalah Pengarah Cyclomotion Zahari Abd Ghani yang akan menganjurkan klinik sepanjang lima sirkit dan Shahrulniza Othman yang mewakili PowerBar.

Beberapa wakil pasukan berbasikal tempatan turut hadir memeriahkan majlis adalah Bumitra, Kayuhan Kuntao, Redah 4x4, Splinter Cell Putrajaya, Tekas, Avanti, HP3 Putrajaya, KSCC, UniKL Cycling Team, Mercury DRCT Kajang dan Crankers MACC.


Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa yang ditetapkan.


Saingan membabitkan Terbuka Metro (Jamboree) pula terbahagi kepada empat kategori, Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer.


Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.mtbgp.hmetro.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Aktiviti berbasikal tarikan pelancong

Posted: 24 Apr 2013 09:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Program Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 anjuran akhbar harian nombor satu, Harian Metro menjadi agenda penting promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 sebagai tarikan pelancong asing.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia Datuk Azizan Noordin berkata, penganjuran program suatu modem tepat mempelbagai dan mempromosi aktiviti berbasikal menerusi kaedah pelancongan.


"Tahun lalu, 25.03 juta pelancong asing masuk ke sini membawa pulangan RM60.6 bilion. Ini adalah pencapaian tinggi berbanding 24.7 juta pelancong pada 2011 dan menjadikan Malaysia sebagai negara kesembilan yang dilawati," katanya.

Industri pelancongan domestik turut berkembang pesat bersama pelancongan antarabangsa. Malah, Tourism Malaysia bertindak mempromosi program baru seperti aktiviti berbasikal yang mula diperkenal sejak Disember 2011.


Merujuk program itu, Azizan percaya ia bakal menarik perhatian ramai peserta dalam dan luar negara. "Apa yang diharapkan, program ini menjadi salah satu aktiviti utama untuk Tahun Melawat Malaysia. Mungkin penganjuran aktiviti ini boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi." Beliau seterusnya berterima kasih atas kesediaan Harian Metro menjadikan Tourism Malaysia sebagai rakan penganjur menjayakan kejohanan itu.


"Kami yakin kejohanan ini bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dan antarabangsa kerana sukan berbasikal kini memiliki penggemarnya tidak kira usia baik lelaki mahupun wanita.

"Malah kami juga akan bekerjasama dan berusaha menarik peserta luar negara memeriahkan kejohanan ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Saingan peserta tempatan, antarabangsa

Posted: 24 Apr 2013 09:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas jaguh berbasikal negara Nor Afendy Rosli menyambut baik langkah Harian Metro tampil menyemarakkan perkembangan mountain bike di negara ini.

Penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 sememangnya ditunggu peminat sukan terbabit terutamanya dengan hadiah lumayan hingga mencecah ratusan ribu ringgit yang ditawarkan.


"Saya gembira dengan keputusan Harian Metro yang secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat pelumba terutamanya mereka yang masih baru berjinak-jinak dalam sukan ini. Saya pasti kejohanan mendapat sambutan menggalakkan.

"Penganjuran ini akan memastikan bakat baru dicungkil kerana saingan kejohanan adalah pada tahap tinggi dengan penyertaan peserta Asia Tenggara," kata bekas pelumba lebuh raya negara yang kini berusia 46 tahun.


Bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Lumba Basikal Asia 1993 itu kini aktif dalam sukan mountain bike dan turut mengharapkan kesinambungan penganjuran diteruskan dan melangkah ke satu tahap yang boleh dibanggakan.


Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-cuti 1Malaysia 2013 dengan kerjasama Tourism Malaysia dilancar semalam dan dijadual berlangsung di lima lokasi menarik bermula di Presint 15, Putrajaya pada 1 dan 2 Jun ini.

Ia disusuli sirkit kedua di Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu (23-24 Ogos), Legoland Nusajaya (28-29 Oktober), Kellie Castle (26-27 Oktober) dan Selangor merangkumi tiga acara membabitkan Elit, Terbuka Metro (Jamboree) dan Demonstrasi /Pameran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Rantai Nunez!

Posted: 24 Apr 2013 09:45 AM PDT

Ipoh: "Dia berbahaya! Justeru pergerakannya perlu dirantai." Begitulah perancangan jurulatih Perak Mohd Azraai Khor Abdullah terhadap awang import Johor Darul Takzim (DT) Leonel Nunez.

"Sudah tentu saya akan letakkan pemain untuk mengunci pergerakannya selepas apa yang dilakukan ke atas dua pasukan sebelum ini. Dia tidak boleh dibiarkan bergerak bebas," katanya.


Bagaimanapun Azraai enggan mendedahkan identiti pemain yang akan diberikan tugas khas itu tapi mengakui pemain yang mempunyai corak kental serta agresif.

Nunez, 28 yang menggantikan bintang Sepanyol Daniel Guiza, setakat ini menjaringkan tiga gol dalam dua penampilan bersama skuad bimbingan Fandi Ahmad itu "Biarlah ia menjadi rahsia pasukan hingga hari perlawanan. Yang pasti akan ada rombakan di bahagian benteng bagi menjamin kemantapan," katanya yang sedar kelemahan Perak melepaskan empat gol dalam dua perlawanan terakhir.


Justeru itu Azraai berharap pemain segera bangkit jika tidak mahu mengalami nasib malang di tangan Harimau Selatan yang dijangka tampil dengan hasrat membawa pulang mata penuh.


Kedua-dua pasukan sudah bertemu dua kali termasuk pada saingan awal Piala FA yang menyaksikan Perak tumpas kedua-dua perlawanan 0-1 di tempat lawan.

Sehubungan itu pertemuan kali ini medan menebus kekalahan untuk mengubat aib yang dipalit oleh pasukan 'bintang' itu.


"Pemain perlu segera bangkit. Kami tidak mampu kalah lagi jika tidak mahu ketinggalan jauh dengan pasukan di atas serta dipintas pasukan di bawah.

"Kedudukan Perak belum kukuh. Setiap mata berharga. Perak perlu berhati-hati serta tidak melakukan kesilapan yang akan membolehkan lawan menghukum kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

Jang tak gusar cabaran Penyu

Posted: 24 Apr 2013 09:44 AM PDT

Seremban: Sekalipun persiapan pasukan sedikit terjejas apabila beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan akibat kurang cergas, jurulatih Negeri Sembilan Divaldo Alves tetap yakin pasukannya mampu menggalas cabaran menentang Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, petang esok.

"Memang ada kemungkinan kami tidak dapat menurunkan barisan terbaik bertemu Terengganu kerana ada pemain kurang cergas selain penggantungan. Ia termasuk Leandro Barbosa Fabio yang cedera ketika perlawanan menentang Selangor, Sabtu lalu.


"Fabio belum tentu boleh diturunkan atau tidak namun sebagai tonggak utama saya harap dia pulih. Namun ada pemain lain boleh disandarkan antaranya Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Nazrin Mohd Nawi.

"Saya harap pemain terus fokus dan tidak patah semangat untuk memastikan kami sekurang-kurangnya meraih satu mata di gelanggang lawan," katanya.


Pengendali dari Portugal itu berkata, beliau berusaha membariskan barisan terbaik kerana sedar Terengganu bukan lawan mudah apatah lagi beraksi di gelanggang lawan walaupun mereka kehilangan penyerang berbisa, Jean-Emmanuel Effa Owona.


"Pemain perlu lebih hati-hati dan beraksi sebagai satu pasukan selain berusaha melaksanakan segala strategi yang diatur bagi memastikan usaha mempertahankan maruah pasukan dilakukan sebaik mungkin."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/25

No comments:

Post a Comment