Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masih ada harapan

Posted: 15 Apr 2013 02:56 PM PDT

New Delhi: Sebuah hospital swasta utama India menawarkan bantuan memeriksa bayi perempuan berusia 18 tahun yang menderita penyakit menyebabkan kepalanya membesar lebih dua kali ganda.

Tawaran itu memberi harapan baru untuk Roona Begum yang menderita hydrocephalus sejenis penyakit menyebabkan cairan berkumpul di otaknya dibedah segera bagi menyelamatkan nyawanya. Penderitaan Roona yang tinggal di kawasan pedalaman negeri Tripura dikesan minggu lalu.


Keluarganya terlalu miskin untuk membayar rawatan bagi mengatasi masalah itu lebih awal.

Jangkitan menyebabkan kepala Roona membengkak sehingga 91 sentimeter.


Ekoran siaran gambar Roona, beberapa pihak tampil untuk membantu keluarga terbabit dengan menawarkan derma.


Sebuah laman sesawang khas untuk mengumpul dana juga dibuka. Pakar pembedahan saraf India, Sandeep Vaishya berkata, dia akan memeriksa keadaan Roona bagi memastikan sama ada pembedahan boleh dilakukan atau tidak.

Foto

ROONA dipangku ibunya di kampung mereka di Jirania Khola.

Foto

KEMISKINAN menyebabkan Roona tidak dapat dirawat lebih awal.

Ketua Jabatan Pembedahan Saraf Hospital Fortis itu berkata, jika keadaan mengizinkan, Roona akan diterbangkan ke New Delhi untuk dirawat. "Kami akan menjalankan pemeriksaan untuk melihat keadaan otaknya.


"Saya harap kami dapat membedah Roona dan mengurangkan tekanan dialami otaknya," katanya. Hospital Fortis mempunyai sebuah yayasan kebajikan yang sering menjalankan pembedahan amal tanpa dikenakan bayaran. Sebelum ini, bapa Roona, Abdul Rahman, 18, berkata dia tidak berharap anaknya pulih seperti sepatutnya.

"Hanya keajaiban dapat menyelamatkan Roona," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Guru maut rempuh kereta bomba

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

London: Seorang guru besar sekolah rendah terbunuh dalam kemalangan ngeri di Wareham, Dorset, semalam.

Ally Mullany sedang memandu keretanya sebelum bertembung sebuah kenderaan bomba dalam perjalanan ke lokasi kemalangan maut tidak jauh dari situ.


Jurucakap polis berkata, Ally terbunuh kira-kira 800 meter dari tempat seorang pemandu lelaki merempuh sebatang pokok sejurus sebelum itu.

"Dua anak Ally cedera parah," katanya.


Menurut polis Dorset, kereta bomba itu sedang bergerak laju untuk memberi bantuan kecemasan membabitkan pemandu lelaki itu.


Bagaimanapun, katanya, ia bertembung dengan Mini Cooper dipandu Ally.

Semua enam anggota bomba terbabit tidak cedera dan segera menyelamatkan dua anak Ally.


Sumber berkata, anak mangsa berusia 10 dan 14 tahun dan dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Jokowi calon popular presiden

Posted: 15 Apr 2013 01:04 PM PDT

Jakarta: Di sebalik pengakuan bahawa dia tidak bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2014, Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) menjadi calon paling popular kesan daripada laporan negatif media terhadap hampir semua parti politik utama Indonesia.

Laporan berterusan mengenai masalah Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan skandal rasuah membabitkan pemimpin Parti Keadilan Sejahtera Luthfi Hasan Ishaaq misalnya, tidak sekadar merosakkan imej parti, malah meningkatkan populariti tokoh alternatif seperti Jokowi.


Kajian Institut Pol-Tracking menyatakan, rakyat mahukah tokoh baru berbanding memberi tumpuan kepada pemimpin dicalonkan parti masing-masing.

Pengarah eksekutif institut itu, Hanta Yudha berkata, prestasi sebagai gabenor berjaya menarik perhatian media yang sering memberikan liputan untuknya.


"Hasilnya, rakyat mahu Jokowi menjadi presiden walaupun dia tak pernah mengumumkan dirinya sebagai calon," katanya. Keputusan kajian Institut Pol-Tracking itu diperoleh hasil penelitian terhadap laporan media terhadap parti politik dan calon presiden di antara Februari dan Mac tahun ini. Penyelidik menganalisis 15 saluran media membabitkan lima media cetak, dalam talian dan televisyen.


Menurut keputusan kajian, ada 86 berita disiarkan media bagi membincangkan peluang Jokowi pada 2014. Ia mengatasi perhatian diberikan terhadap calon presiden mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya Prabowo Subianto yang mendapat 55 kali liputan serta Aburizal Bakrie (Golkar) dengan 52 kali liputan walaupun kempen besar-besaran menaikkan imejnya dijalankan. Calon Parti Amanat Nasional yang juga Menteri Ekonomi Indonesia Hatta Rajasa hanya mendapat 27 kali liputan. Jokowi yang menyertai Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan enggan melayan keputusan kaji selidik yang meletakkannya sebagai calon paling popular. "Saya tak mahu memikirkan mengenai kaji selidik kerana masalah banjir dan kesesakan lalu-lintas lebih penting," katanya. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Warga Perancis, Tunisia palsu kad kredit

Posted: 15 Apr 2013 01:03 PM PDT

Phuket: Dua warga Perancis dan seorang Tunisia ditahan atas dakwaan pemalsuan kad kredit di Phuket manakala seorang lelaki Vietnam diberkas atas dakwaan mencuri ketika sambutan Songkran di Jalan Silom, Bangkok.

Jurucakap polis berkata, warga Perancis itu ialah Mhoussin Mahamoud, Ganzouhai Zaidim dan lelaki dari Tunisia terbabit dikenali sebagai Adjemi Ramzi.


Katanya, mereka anggota kumpulan penjenayah yang datang ke Phuket ketika Thailand menyambut esta Songkran.

"Suspek datang menggunakan kad kredit palsu bagi mendapatkan wang tunai," katanya. Polis merampas 27 barang daripada mereka termasuk komputer, pembaca kad elektronik, 70 kad kredit palsu, marijuana serta pelbagai mata wang.


Jurucakap polis berkata, mereka masuk ke Thailand sebagai pelancong dan mencuri butiran kad pengguna mesin juruwang automatik.


"Butiran itu diguna membuat kad palsu," katanya. Sementara itu, Nguyen Minth Tu ditahan polis Bang Rak kerana disyaki mencuri wang daripada peserta Pesta Songkran. Suspek menggunakan pisau untuk memotong beg dan poket mangsa ketika mereka leka bermain air sempena Pesta Songkran. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Potong pesawat terkandas

Posted: 15 Apr 2013 01:03 PM PDT

Bali: Kementerian Pengangkutan Indonesia semalam berkata, pesawat Lion Air yang terbabas dan terhempas berhampiran lapangan terbang Bali kelmarin terpaksa dipotong sebelum boleh dialihkan.

Jurucakap kementerian Bambang Ervan berkata, pesawat Boeing 737-800 itu terlalu berat untuk diangkat.


"Badan pesawat perlu dipotong kepada beberapa bahagian bagi mengelak kemungkinan ia merosakkan terumbu karang," katanya. Sebelum ini, pihak berkuasa bercadang mengangkat terus badan pesawat udara yang terputus dua itu selepas kemalangan berlaku.

Dalam kejadian Sabtu lalu, pesawat Lion Air dari Bandung itu terbabas dari landasan sebelum terhempas ke laut berhampiran lapangan terbang.


Bagaimanapun, semua 108 penumpang dan anak kapal selamat. Punca kemalangan masih dalam siasatan. Kata Bambang, penyelam juga sukar mengeluarkan perakam suara kokpit dari bahagian ekor pesawat itu yang tenggelam. Sementara itu, tanda tanya timbul di kalangan penganalisis terhadap kemungkinan syarikat Lion Air mengabaikan aspek keselamatan.


Dua tahun lalu, syarikat itu mengumumkan pembelian terbesar dalam sejarahnya apabila memesan 230 pesawat baru Boeing dalam majlis dihadiri Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Lion Air sekali lagi menjadi perbualan bulan lalu apabila syarikat itu menandatangani perjanjian bernilai AS$24 bilion (RM73 bilion) membeli 234 unit kapal terbang Airbus. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

Tenggiling beku dalam kapal kandas

Posted: 15 Apr 2013 12:50 PM PDT

Manila: Pengawal pantai Filipina, semalam menemui ratusan tenggiling beku dalam kargo dibawa sebuah kapal China yang terkandas di kawasan perlindungan marin sejak minggu lalu.

Penemuan itu telah dimaklumkan kepada pegawai hidupan liar dan mungkin menyebabkan 12 lelaki dalam kapal berkenaan dikenakan dakwaan tambahan, termasuk membabitkan pemburuan haram.


Jurucakap pengawal pantai Armand Balilo berkata, 400 kotak berisi tenggiling ditemui di atas kapal itu.

"Kami sedang menyiasat dari mana haiwan berkenaan diperoleh," katanya. Balilo juga tidak dapat mengesahkan sama ada haiwan itu dibekukan hidup-hidup atau dibunuh terlebih dulu. Menjadi spesies dilindungi, tenggiling menjadi buruan di banyak negara Asia bagi mendapatkan kulit dan dagingnya.


Menurut Persatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa lapan spesies tenggiling dilindungi undang-undang di seluruh dunia.


Dua daripadanya tenggiling Malaysia dan China diletakkan dalam kategori sangat terancam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16

No comments:

Post a Comment