Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Gempa gegar Sichuan

Posted: 20 Apr 2013 06:17 AM PDT

Beijing: Satu gempa bumi sekuat 6.6 magnitud melanda wilayah Sichuan, barat daya China semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan kira-kira 3,000 lagi cedera.

Gempa terjadi pada jam 8.02 minit di daerah Lushan, dekat bandar Ya'an, manakala pusat gegaran terletak 12 kilometer di dalam tanah.


Berdasarkan kenyataan pengguna perkhidmatan blog mikro Sina Weibo, gegaran itu turut dirasai penduduk di wilayah berhampiran dan di ibu negeri Chengdu.

Ribuan orang terpaksa bergegas meninggalkan bangunan ke tempat lapang untuk menyelamatkan diri.


Agensi berita Xinhua melaporkan, 113 orang disahkan mati dan daripada kira-kira 3,000 yang cedera, lebih 150 orang parah sementara sekurang-kurangnya 10,000 rumah musnah.


Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang berkata, semua usaha perlu ditumpukan untuk menyelamatkan mangsa serta mengelak lebih ramai terkorban.

Kira-kira 2,000 tentera digerakkan ke kawasan bencana untuk membantu usaha menyelamat.


Stesen televisyen kerajaan pula berkata, hanya kenderaan kecemasan dibenarkan masuk ke Ya'an walaupun lapangan terbang Chengdu kini dibuka semula. Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah di Lushan. Xinhua melaporkan, penyelamat menarik keluar 27 mangsa yang masih hidup dari runtuhan bangunan.

Seorang penduduk Chengdu berkata, dia berada di tingkat 13 sebuah bangunan apabila gempa berlaku.


"Bangunan itu bergoyang kira-kira 20 saat dan saya nampak banyak jubin jatuh dari bangunan sebelah," katanya.


Bandar raya Ya'an didiami 1.5 juta orang dan dianggap satu daripada tempat lahirnya budaya teh China serta pusat perlindungan panda. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Perogol ditahan di rumah bapa mentua

Posted: 20 Apr 2013 06:06 AM PDT

Patna: Polis India berkata, mereka menahan suspek kes rogol membabitkan seorang budak perempuan berusia lima tahun yang kini tenat di hospital.

Suspek, Manoj Kumar, 25, ditahan di Bihar, timur India selepas dia berlindung di rumah bapa mentuanya di sebuah kampung kira-kira 70 kilometer dari ibu negeri, Patna.


Jurucakap polis berkata, Kumar didakwa mengunci mangsa terbabit dalam sebuah bilik dan merogolnya berkali-kali dalam tempoh 48 jam. "Mangsa diculik dari kawasan petempatan golongan kelas pertengahan rendah di New Delhi pada Isnin lalu," katanya. Ketua Pengarah Polis, Ravindar Kumar berkata, perbuatan Kumar tidak dapat diterima sama sekali.

Kumar ditahan sekumpulan polis dari New Delhi yang bekerjasama dengan polis Bihar. Polis berkata, suspek tiba di Kampung Chiknouta kelmarin selepas melarikan diri dari New Delhi menaiki kereta api.


Kumar akan dihantar ke New Delhi untuk dibicarakan. Mangsa ditemui pengguna jalan raya yang terdengar dia menangis.


Budak terbabit dimasukkan ke hospital pada Rabu dan doktor menganggap keadaannya "kritikal." Doktor berkata, budak perempuan itu cedera parah dan mengalami kecederaan dalaman serta jangkitan serius. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Dadah RM462,000 dalam kemaluan

Posted: 20 Apr 2013 06:05 AM PDT

Buenos Aires: Seorang wanita Britain ditangkap bersama-sama dengan kokain bernilai £100,000 (RM462,000) yang disembunyikan dalam kemaluannya ketika hendak berlepas dengan penerbangan ke London.

Jurucakap Kementerian Keselamatan Argentina berkata: "Kokain seberat 850 gram itu dibungkus padat dalam bentuk bergulung seperti sosej.' Dia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza dan kini ditahan di penjara untuk banduan wanita di Buenos Aires.


Polis menangkap wanita berkenaan ketika dia hendak mendaftar masuk untuk penerbangan ke Britain selepas mengawasi gerak-geri wanita berkenaan beberapa hari sebelum ini.

Polis Argentina kini berusaha untuk mengenal pasti kumpulan yang mengupah wanita itu untuk menyeludup dadah ke Britain.


Menurut jurucakap berkenaan, ini bukan kali pertama pihaknya menangkap wanita membawa dadah dalam kemaluan mereka.


"Harga kokain yang dibawanya mungkin boleh mencecah kira-kira £100,000 (RM462,000) jika dijual secara runcit di Britain. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Sembilan sekeluarga terkorban

Posted: 20 Apr 2013 06:05 AM PDT

Beirut: Sebutir bom artileri memusnahkan sebuah lori dan membunuh sembilan sekeluarga dalam pertempuran sengit semalam, ketika Rumah Putih bercadang menghantar bantuan bukan ketenteraan bernilai jutaan dolar kepada pejuang antikerajaan.

Serangan itu membunuh seorang ibu, empat anaknya serta lima anak saudara - semuanya berusia di bawah 12 tahun.


Kejadian berlaku di bandar Saraqeb, utara Syria. Hanya beberapa hari sebelum itu, serangan udara tentera kerajaan membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, merosakkan banyak kedai dan menyebabkan kenderaan terbakar di sebuah bandar di Idlib. Pembunuhan itu adalah keganasan terbaru dilakukan rejim Presiden Bashar al-Assad dan penyokongnya di Damsyik.

Kelmarin, Ketua Perhubungan Awam Kementerian Hal Ehwal Sosial dan anggota agensi bantuan Syria, Ali Ballan, terbunuh selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata ketika dia menikmati makan malam di Mazzeh, barat Damsyik. Sementara itu di Washington, pegawai kanan AS dan Setiausaha Negara John Kerry dijangka mengumumkan bantuan tambahan kepada kumpulan pembangkang Syria dalam sebuah persidangan antarabangsa di Turki. Sumber berkata, Kerry akan mengumumkan bantuan antara AS$120 juta (RM364 juta) dan AS$130 (RM394.8 juta) berbentuk bekalan pertahanan tentera.


Ia mungkin termasuk perisai badan, kenderaan perisai, teropong malam dan peralatan komunikasi canggih. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Penyokong, penentang Morsi bertempur

Posted: 20 Apr 2013 06:04 AM PDT

Kaherah: Sekurang-kurangnya 82 orang cedera selepas aktivis pembangkang bertempur dengan ribuan penyokong kerajaan Presiden Mohammed Morsi yang berhimpun di luar Mahkamah Agung di tengah bandar ini, lewat kelmarin.

Pertempuran berlaku di Dataran Abdel Monem dan Jambatan 6 Oktober yang merentasi Sungai Nil.


Penyokong kerajaan melontar batu ke arah militan pembangkang di bawah jambatan itu, termasuk anggota kumpulan yang menggelar diri mereka Blok Hitam.

Menurut wartawan, sebahagian ahli kumpulan itu bertindak melastik mereka yang di atas jambatan.


Aktivis pembangkang turut membakar bas yang membawa penyokong kerajaan ke perhimpunan itu.


Polis bertindak menyuraikan kumpulan yang bertentangan itu dengan melepaskan gas pemedih mata, kira-kira sejam selepas pergaduhan tercetus.

Mesir dilanda pelbagai keganasan sejak Morsi menjadi presiden, termasuk pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan yang mengorbankan jiwa dan pemberontakan di beberapa bandar di Terusan Suez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Empat hari terperangkap dalam lif

Posted: 20 Apr 2013 06:03 AM PDT

Vienna: Pengurus warga Sweden sebuah hotel Austria terperangkap dalam lif selama empat hari sebelum jeritannya meminta tolong didengar oleh seorang penghantar roti.

Polis berkata semalam, pengurus berusia 58 tahun itu berada dalam keadaan sihat walaupun selepas empat hari terperangkap di bandar Bad Gastein berhampiran Salzburg.


"Dia memberitahu polis bahawa dia pernah menjalani kursus memburu, termasuk latihan berdepan dengan masalah kesukaran di hutan di sebuah kem tentera.

"Pengalamannya itu membantu dia selama empat hari di dalam lif," kata seorang jurucakap polis.


Penghantar roti berkenaan yang juga rakan pengurus itu menelefon pasukan penyelamat selepas memasuki hotel itu dengan mengguna kunci sendiri untuk memasukkan surat yang bertimbun di luar pintu hotel. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Siapa akan pandu kereta peronda Ferrari?

Posted: 20 Apr 2013 06:02 AM PDT

Dubai: Siapa yang akan memandu kereta peronda terbaru polis Dubai Ferrari FF - anggota muda atau tua?

Sejak kereta itu diumum akan digunakan oleh pasukan berkenaan, pelbagai cadangan dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Seorang penduduk mencadangkan supaya kereta itu tidak dipandu oleh anggota polis muda kerana ia pasti sukar untuk mereka mengelak daripada tergoda dengan kecanggihan dan kelajuan kereta itu.

"Kereta itu perlu dipandu oleh anggota yang sudah berusia, bukan yang muda bagi mengelak daripada ia disaman kerana dipandu laju," kata seorang penduduk, Mohammed.


Bagaimanapun, Ketua Polis Dubai Lt Jeneral Dhahi Khalfan Al Tamin mempunyai rancangan berbeza.


Dalam laman Twitternya, Dhahi menulis, kereta canggih itu tidak akan dipandu oleh anggota sudah berusia mahupun anggota muda, tetapi oleh anggota polis wanita.

"Kereta peronda Ferrari akan digunakan oleh anggota wanita dalam pasukan polis," kata Dhahi.

Menerusi gambar yang diedarkan oleh pihak berkuasa Dubai, kereta Ferrari itu ialah siri FF yang dilengkapi enjin V12 dan berharga kira-kira Dh900,000 (RM738,000.).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Pengebom kedua Boston ditangkap

Posted: 20 Apr 2013 06:01 AM PDT

Watertown (Boston): Polis yang memburu suspek kedua dalam pengeboman Maraton Boston, Dzhokhar Tsarnaev akhirnya berjaya menangkap selepas seorang wanita melapor menemui longgokan baju berdarah di kawasan kediamannya.

Dzhokhar, 19, etnik Chechen yang belajar di sebuah kolej di Massachusetts, diburu selama lapan setengah jam selepas abangnya mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis.

Dzhokhar dilapor cedera parah dan dibawa ke Hospital Massachusetts.

Polis memerangkap pemuda itu ketika dia bersembunyi di dalam bot di laman belakang kediaman wanita berkenaan di daerah Watertown.


Dzhokhar dikesan helikopter polis yang menggunakan kamera pengesan haba untuk mengesahkan lokasinya dan dikhuatiri memakai bom jaket.


Pegawai bergegas ke kediaman itu dan polis melepaskan kira-kira 30 das tembakan ke arah bot itu.

Seorang saksi berkata: "Kami melihat anggota SWAT mengepung rumah itu dan kemudian tembakan dilepaskan."

Lapan letupan kedengaran, dipercayai untuk mengelirukan suspek.

Ambulans dikejar ke tempat kejadian dan robot skuad pemusnah bom kemudian dihantar ke kawasan itu untuk mengesan bahan letupan.

Tangkapan itu dilakukan tidak lama selepas Gabenor Massachusetts Deval Patrick menarik balik arahan tidak keluar rumah.

Beribu-ribu anggota polis, ejen FBI dan tentera sebelum itu dikerah memburu Dzhokhar sekelas seorang pengawal keselamatan terbunuh dan seorang lagi cedera parah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Percaya anak tak bersalah

Posted: 20 Apr 2013 05:59 AM PDT

Makhachkala: Ibu suspek pengebom Maraton Boston Tamerlan dan Dzhokhar Tsarnaev tak percaya anaknya bertanggungjawab dalam keganasan Isnin lalu.

Zubeidat Tsranaeva sebaliknya mendakwa kedua-dua beradik itu diperangkap oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Zubeidat yang menetap di Russia ketika dihubungi semalam bertegas menyatakan anaknya tidak bersalah.

"Mereka tidak akan melakukan perkara seumpama itu," katanya merujuk kepada serangan bom di Maraton Boston Isnin lalu yang meragut tiga nyawa dan mencederakan lebih 170 yang lain.


Menurutnya, anak sulungnya Tamerlan berubah menjadi lelaki warak sejak lima tahun lalu dan mengadu disyaki menjadi pemimpin sebuah pergerakan serta diawasi pihak berkuasa Amerika Syarikat.


"Kedua-dua anak saya tidak bersalah dan saya tahu mereka tidak pernah lakukan keganasan seperti yang didakwa seperti tuduhan yang dilemparkan ke atas mereka," katanya.

Sementara itu, bapa kedua-dua suspek Anzor Tsamaev berkata, segala-galanya akan terbongkar jika anak keduanya Dzhokhar dibunuh.

"Jika mereka membunuhnya, perkara sebenar akan terbongkar," katanya dalam wawancara dengan stesen televisyen ABC.

Tamerlan ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di Massachusetts kelmarin sementara adiknya, Dzhokhar ditangkap selepas gerakan memburunya selama lapan setengah jam. -DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

No comments:

Post a Comment