Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Van Persie tak layak

Posted: 27 Apr 2013 02:38 PM PDT

London: Arsene Wenger langsung tidak menghiraukan bekas pemainnya di Arsenal, Robin van Persie apabila menegaskan Michael Carrick sepatutnya menjadi Pemain Terbaik Tahunan.

"Saya lebih senang memilih Carrick. Dia boleh bermain di Barcelona dan boleh menyesuaikan diri dengan gaya permainan mereka," kata Wenger.


"Dia mempunyai pandangan yang bagus, seorang pemain yang bijak dan juga kerana apa yang dicapainya sepanjang karier." Sumbangan 24 gol oleh Van Persie dalam 31 perlawanan bersama Manchester United melonjakkan kelab itu ke mercu kegemilangan selepas berpindah dari Arsenal dengan bayaran £22 juta (RM103.2 juta) musim lalu.

Penyerang Belanda berusia 29 tahun itu sudah pasti akan menerima layanan kasar sebaik kembali ke Stadium Emirates sebagai juara bersama United malam ini.


Begitupun Wenger berkata, rakan sepasukan RvP, Carrick, 31 lebih layak menerima anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) itu.


"Robin pernah mengalami kemarau jaringan pada satu ketika. Undian dibuat pada masa itu dan ia mungkin akan memberi kesan kepadanya.

Foto

VAN Persie.

"Luis Suarez pula memusnahkan peluang meraih ganjaran itu! Anda juga ada Gareth Bale tetapi Carrick adalah pemain yang kurang diberi tumpuan di England.


"Ada kalanya bukan saja penyerang perlu diberi ganjaran tetapi juga pemain sejati yang menjadi nadi permainan. Carrick berhak menerimanya.

"Saya akan memilih Carrick kerana Robin sudah mendapatkannya musim lalu. Berikan saja kepada pemain yang berbeza. Dia melakukan hantaran berkualiti." Wenger turut menegaskan beliau tidak mempunyai masalah jika pemainnya mengucapkan tahniah kepada United kerana kejayaan mereka sebelum perlawanan utara London malam ini.


"Dalam hidup, lakukan sebaik mungkin dan jika ada yang lebih kuat daripada anda, hormati mereka," katanya.


"Ia bukan mudah tetapi saya bangga bekerja di England di mana budayanya menghormati mereka yang menang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Ikrar setia Terry

Posted: 27 Apr 2013 02:31 PM PDT

London: John Terry berjanji kepada peminat Chelsea dia tidak akan menyertai kelab lain di England.

Kapten Blues itu menegaskan dia sudah pasti di Stamford Bridge musim depan, biarpun itu bermakna dia akan berada di bangku simpanan selama setahun.


Biarpun masa depan pemain itu tidak menentu menjelang tahun terakhirnya di Chelsea dengan bayaran £150,000 (RM 704,262) seminggu, Terry masih terus komited kepada satu-satunya kelab profesional yang disertainya.

Menyedari dia tidak akan kekal selamanya di kelab itu, Terry percaya masih banyak yang mampu disumbangkan untuk kelab yang disertainya sejak 18 tahun lalu.


"Saya ingin menandatangani kontrak baru dan terus bersama Chelsea tetapi biarpun ia tidak menjadi kenyataan, saya masih mempunyai kontrak setahun lagi dan saya amat menghormatinya," katanya.


"Sudah pasti saya akan berada di sini tahun depan biar apa saja keputusan kelab mengenai kontrak baru. Jika pengurus baru tidak sukakan saya, saya akan kembali ke bangku simpanan.

"Secara jujurnya, jika saya tidak bermain tidak bermakna saya boleh mengetuk pintu pihak pengurusan dan meminta supaya kontrak saya dibincangkan.


"Itu bukan cara saya. Saya lebih senang membiarkan saja dan menunggu panggilan daripada kelab." Biarpun menghabiskan hampir sepanjang tahun di bangku simpanan, Terry mengakui dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan polisi penggiliran pemain yang diterapkan pengurus Rafa Benitez tetapi percaya tugas lebih penting bakal digalasnya sebaik Benitez meninggalkan Chelsea akhir bulan depan.

"Rafa berkata dia berada di sini sehingga musim panas. Sama ada beliau akan kekal jika kami menang Liga Europa saya tidak tahu tetapi perkara itu tidak akan menjejaskan beliau.


"Bagaimanapun secara realistiknya kami perlu menang trofi setiap musim." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Glover pintas Weekley

Posted: 27 Apr 2013 02:31 PM PDT

New Orleans: Lucas Glover mencatat lima bawah par 67 untuk mendahului Boo Weekley dengan satu pukulan selepas dua pusingan di Jelajah Amerika Syarikat (AS), Klasik Zurich di New Orleans, semalam.

Glover yang juga bekas juara Terbuka AS sedang memburu kemenangan pertama selepas kali terakhir mengungguli Kejohanan Wells Fargo 2011, mengumpul 36 pukulan dengan 12 bawah par 132.


Weekley pula mencatat empat bawah par 68 di TPC Louisiana untuk keseluruhan 133. DA Points turut mencatat 68 berada di tangga ketiga dengan 135. Morgan Hoffmann pula mencatat 69 menerusi sembilan bawah par 135, satu pukulan mengatasi naib juara tahun lalu dari Afrika Selatan, Ernie Else yang mencatat 69 keseluruhan 136.

Glover melakukan lapan birdie termasuk pada jarak empat kaki di pukulan pertama.


Dia terus melakukan birdie di pukulan kedua kemudian chip pada jarak tujuh kaki di pukulan ketiga sebelum disempurnakan dengan putt.


Glover yang memenangi gelaran Terbuka AS pada 2009, melakukan bogey pada pukulan ketiga namun mencatat birdie pada empat lubang terakhir.

"Saya kini kembali seperti dulu tetapi jujurnya saya belum pernah meraih pukulan sehebat itu," katanya.


72 pemain melepasi saringan termasuk pemain remaja sensasi China berusia 14 tahu, Guan Tianland. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Peragawati idaman Jasmine

Posted: 27 Apr 2013 02:30 PM PDT

Kuala Lumpur: Tidak disangka-sangka atlet terjun negara, Jasmine Lai yang berusia 18 tahun menyimpan hasrat untuk bergelar seorang peragawati andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Siapakah anda sekiranya tidak bergelar atlet? Jawapan (J): Peragawati atau model.


S: Mengapa? J: Bagi saya menjadi seorang model adalah sesuatu yang menyeronokkan. Saya juga meminati fesyen dan berpeluang menggayakan rekaan mahal ciptaan pereka ternama. Malah, rakan-rakan turut menyarankan saya menjadi seorang model kerana menurut mereka saya seorang yang cantik, putih dan tinggi.

S: Tidak dinafikan anda seorang yang cantik, maka jika menerima peluang menjadi seorang model sekarang ini anda akan terima? J: Tengok dulu. Bukan apa, kerana saya perlu bijak menilai tawaran memandangkan zaman sekarang ini macam-macam boleh terjadi dan sesetengah agensi tidak boleh dipercayai. Bimbang saya akan dianiaya.


S: Selain sukan terjun dan model, mungkin anda sudah tetapkan hala tuju masa depan anda berikutan sedang menunggu keputusan ke Pra-U Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)? J: Jujurnya, tidak. Saya akan menamatkan Pra-U terlebih dulu dan akan fikirkan jurusan pengajian berikutnya selepas itu. Buat masa ini, saya ingin tumpukan kepada sukan terjun saja.


S: Nama anda masih belum dikenali ramai, jadi apa sasaran anda untuk mengukuhkan kedudukan dalam arena sukan ini terutama dalam tempoh lima tahun akan datang? J: Pastinya saya cuba melayakkan diri ke Olimpik Rio 2016. Untuk mencapai misi itu, saya akan cuba melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang ditetapkan jurulatih.

S: Selain terjun, anda ada kelebihan lain? Pandai memasak misalnya? J: Tidak. Jika memasak memang tidak tahu, masak mi segera saya pandailah. Saya hanya tahu terjun saja.


S: Jika ada masa terluang, apa yang anda sering lakukan? J: Tidak banyak aktiviti menarik kerana terikat dengan jadual latihan padat. Cuma saya gemar menonton kartun anime di komputer bersama rakan sebilik di asrama Bukit Jalil.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang yang...


J: Saya sering dilabel mat saleh oleh mereka yang belum mengenali saya dengan lebih dekat. Ini kerana saya mempunyai rupa paras kacukan, rambut perang semula jadi, berkulit putih serta tinggi.


Peliknya, saya berbangsa Cina 100 peratus dan tidak langsung mempunyai darah kacukan. Saya juga gagal memberikan jawapan kepada sesiapa saja yang bertanyakan soalan 'mengapa anda mirip mat saleh?' kerana jujurnya, saya sendiri tidak tahu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Lawan pedang sukan unik

Posted: 27 Apr 2013 02:29 PM PDT

Kuala Lumpur: Mungkin namanya langsung tidak dikenali sebelum ini namun Yu Peng Kean kini dianggap bintang terutama dalam sukan lawan pedang. Atlet yang mencipta kejutan layak ke Olimpik London 2012 itu kini menjadi idola terbaik buat pemedang cilik hinggakan Peng Kean sanggup hadir meninjau prestasi mereka di Kelab Lawan Pedang Antarabangsa Malaysia (IFCM) di Solaris Mont Kiara hampir setiap hari. Malah, berita serta keratan akhbar Peng Kean ditampal di dinding kelab.

Meskipun Peng Kean sudah lama berkecimpung dalam acara lawan pedang, kejayaannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik London melonjakkan namanya lantaran mencipta sejarah menjadi atlet kedua negara menyertai acara itu di Olimpik selepas 48 tahun. Di London, dia menewaskan pemain Mesir, Zeid Mannad, 15-12 dalam acara individu sabre lelaki sebelum tumpas kepada pemain nombor lima dunia dari Hungary, Aron Szilagyi 1-15.

Ikuti temubual dan aksi Peng Kean melayani kerenah atlet cilik yang mengaguminya di IFCM.

Soalan (S): Adakah anda seorang jurulatih di IFCM?

Jawapan (J): Tidak. Saya di IFCM sekadar membantu saja kerana kanak-kanak di sini perlukan semangat bagi menaikkan lagi sukan lawan pedang tempatan. Saya sememangnya tidak keberatan membantu walau hampir setiap hari di sini demi sukan negara. Sebenarnya ramai yang tidak tahu, sukan ini amat seronok serta tidak memberi tekanan, tapi pada masa sama amat mencabar. Itu yang membuatkannya amat unik.

Atlet cilik di IFCM sememangnya saya pantau malah mereka juga menerima bimbingan saya. Mereka juga menyertai kejohanan utama, Kejohanan Grand Prix Remaja bawah 12 tahun seperti di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam. Selain saya pantau, mereka juga diberi peluang untuk diketengahkan sebagai atlet kebangsaan suatu hari nanti sekiranya berbakat.

S: Bagaimana anda boleh terbabit dalam sukan lawan pedang?

J: Sebenarnya secara tidak sengaja. Awalnya saya aktif dalam sukan bola keranjang dan terpilih ke Sekolah Menengah Bandar Penawar pada usia 13 tahun. Di situ saya diserap ke acara lawan pedang walhal waktu itu saya tidak tahu-menahu mengenai sukan ini. Namun, lama-kelamaan saya mula jatuh cinta kerana ia amat unik serta mencabar. Saya kemudian berusaha melakukan yang terbaik hinggalah ke tahap sekarang.

S: Apa nasihat terbaik bagi muka baru atau atlet cilik?

J: Apa yang penting ialah disiplin dan sentiasa mendengar nasihat jurulatih. Anda juga perlu bijak menguruskan masa.

S: Berdasarkan pengalaman anda, bagaimana pembangunan sukan lawan negara sekarang ini berbanding sebelum Sukan SEA Indonesia 2011 dan Olimpik London tahun lalu?

J: Sukan lawan pedang mula menjadi buah mulut selepas saya bergandingan dengan Liong Ming Cheng, Nurul Ariezzat Nazreen Ismail dan Muhammad Radhi Hashim menghasilkan pingat emas pertama untuk Malaysia dalam acara sabre berpasukan di Sukan SEA Jakarta sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun di temasya itu. Secara keseluruhan di Sukan SEA, kami menyumbang dua emas dan lima gangsa.

Kemudian, saya menjadi atlet kedua negara layak beraksi di Olimpik selepas Ronnie Theseira di Tokyo pada 1964. Itu menjadi platform terbaik buat saya sekali gus menaikkan sukan lawan pedang negara hinggakan banyak kelab dibuka umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Saya amat bangga, apatah lagi melihat lebih ramai penyertaan di kelab terutama pembabitan kanak-kanak yang dianggap 'pelapis' di masa depan. Lantaran itu, saya berharap agar sukan lawan pedang terus maju.

S: Selain sukan lawan pedang, anda minat sukan lain?

J: Saya masih meminati sukan bola keranjang dan jika ada masa terluang, saya akan bermain bersama rakan-rakan.

S: Ada haiwan peliharaan?

J: Saya sukakan haiwan dan pernah memelihara hamster. Tapi ia mati apabila kami bertanding di luar negara. Saya kemudian membeli hamster yang lain tapi malangnya dia turut menerima nasib sama hinggakan saya mengambil keputusan untuk tidak memelihara hamster lagi.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka akan menyangka anda seorang?

J: Saya memang seorang peramah dan senang berkawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Zaqhwan idam naik podium

Posted: 27 Apr 2013 02:28 PM PDT

Melaka: Mohd Zaqhwan Zaidi tekad untuk merebut kedudukan podium setelah berjaya mencatat masa terpantas sesi ujian masa kategori CP130 pada Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Stadium Batu Kawan, semalam.

Pelumba GiVi Honda Pachie Yuzy itu merakamkan masa terpantas 49.423 saat pada pusingan keenam sekaligus bakal menjadi pelumba terakhir keluar untuk sesi Superpole bagi menentukan grid perlumbaan akhir hari ini.


Bukan sekadar mencatat masa terpantas sesi ujian masa, Zaqhwan turut muncul pelumba terpantas bagi sesi latihan bebas 1 dan 2 dengan catatan 49.997s dan 49.274s.

"Sebenarnya saya agak kecewa kerana sekadar berada di tempat kelima pada perlumbaan lepas, sebab itu sebelum datang ke sini saya memang bertekad untuk memberikan yang terbaik.


"Tujuan utama adalah untuk mendapatkan kedudukan podium supaya saya dapat merapatkan jurang agar tidak ketinggalan jauh dalam saingan memburu gelaran juara keseluruhan," katanya.


Kerana itu tegas Zaqhwan bersungguh-sungguh pada sesi kelayakan agar dapat ke Superpole.

"Paling penting saya perlu mencatat masa yang baik untuk sesi Superpole supaya dapat memulakan perlumbaan akhir sekurang-kurangnya dari barisan hadapan," jelas Zaqhwan.


Sementara itu, dua pelumba berpengalaman, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) dan Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) muncul pelumba kedua dan ketiga terpantas, masing-masing dengan catatan 49.679s dan 49.778s. Di dalam kategori CP115, Mohd Shariffudin Shamsuddin dari pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ muncul pelumba terpantas dengan catatan 50.672s yang dilakukan pada pusingan kedua.

Sementara itu, dalam saingan kelas Wira, Khairul Idham Pawi muncul pelumba terpantas dengan catatan 51.442s.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Hafizh kedua terpantas

Posted: 27 Apr 2013 02:28 PM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah berjaya mencatat masa kedua terpantas sesi latihan bebas kategori Moto2 Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.

Beraksi di liar yang agak lembab dan berangin dengan suhu persekitaran 17 darjah celsius dan suhu litar 25.5 darjah celsius, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia yang beralih ke jentera Kalex musim ini mencatat masa terpantas 1:48.8s (kiraan tangan), menyamai catatan yang dilakukan pada sesi latihan bebas di litar sama, musim lepas.


"Saya berpuas hati dengan prestasi hari ini dan akan berusaha melakukan catatan lebih pantas sesi kelayakan nanti.

"Seluruh pasukan juga sedang berusaha untuk mendapatkan pelarasan terbaik dan meningkatkan lagi keupayaan jentera saya.


"Saya berharap dapat menamatkan perlumbaan pertama ini di atas podium bagi mencapai hasrat untuk sekurang-kurangnya menduduki tangga ketiga keseluruhan pada musim ini," katanya.


Saingan di Litar Catalunya musim lepas menyaksikan Hafizh merekodkan 1:48.814s pada sesi latihan bebas pertama dan kedua 1:49.222s.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Penantian makin buahkan hasil

Posted: 27 Apr 2013 02:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Selepas enam tahun penubuhan Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) dengan misi untuk melahirkan kelompok atlet pelapis yang mampu menggantikan atlet elit ke pentas antarabangsa, adakah misi itu sudah berjaya dicapai?

Keinginan untuk melihat pengganti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David mahupun mencipta ramai jaguh baru nampaknya makin mendesak, apatah lagi dengan tuntutan pelbagai kejohanan yang sentiasa mahu diperbaiki pencapaiannya.


Trend itu mula ketara selepas Sukan Asia Doha 2006 apabila pencapaian kontinjen negara pada temasya sukan antarabangsa sentiasa meningkat dan diperbaiki.

"Sejak penubuhan Cawangan Pelapis pada 2007 hingga sekarang, banyak yang sudah dicapai," kata Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin.


"Apa yang pasti kemasukan atlet pelapis ke elit semakin meningkat. Berdasarkan rekod 34 atlet menyertai elit pada 2010, 37 (2011), 39 (2012) dan setakat ini pada tahun ini, seramai 36 orang atlet pelapis sudah bergelar atlet elit negara. Kita menjangkakan 40 atau 41 atlet akan menyertai skuad elit.


"Malah atlet pelapis turut memberi sumbangan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA. Setakat ini, untuk Sukan SEA Myanmar dua atlet olahraga dan seorang atlet menembak sudah melayakkan diri.

"Dari segi itu, boleh dianggap matlamat penubuhan sudah berjaya dicapai." Melihat nama seperti Arrico Jumith dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat), Haziq Kamarudin (memanah), Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (menembak), Siti Zubaidah Adabi (olahraga), Chong Wei Feng (badminton) serta Muhd Arfy Qhairant Amran dan Ummi Hamimah Mohamad (berbasikal), sudah membuktikan program yang diatur berada di landasan tepat.


Begitupun, itu tidak bermakna penambahbaikan tidak boleh dilakukan. Menurut Jefri, beliau mengharapkan lebih banyak kejohanan diadakan untuk memperbaiki prestasi atlet.

Mengakui berpuas hati dengan pertandingan di peringkat antarabangsa, begitupun beliau mahu lebih banyak kejohanan dianjurkan di peringkat tempatan. Ada persatuan hingga kini masih belum menganjurkan sebarang pertandingan.


"Persatuan perlu mengambil inisiatif untuk menganjurkan kejohanan kerana dengan cara itu atlet boleh diberikan pendedahan dan meningkatkan potensi mereka," katanya yang juga pada masa sama mahu melihat lebih ramai jurulatih tempatan dilahirkan.


Selain kekal dengan 19 sukan teras di bawah program pelapis, pihaknya turut memberi bantuan untuk sukan lain membangunkan program atlet pelapis mereka.


"Antara sukan yang turut diberi perhatian adalah lawan pedang dan judo. Selain itu dua atlet turut dikenal pasti dalam acara menembak skeet dan trap yang berpotensi untuk menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

'Jangan tergesa-gesa'

Posted: 27 Apr 2013 02:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Bukan sekali harapan besar untuk mencari pengganti nama besar sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David menjadi laporan media.

Ada berpendapat, Malaysia masih belum mendapat 'bintang baru' untuk menggantikan kehebatan mereka meskipun satu dua nama sudah mula berada dalam perhatian.


Begitupun, bagi Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi proses untuk mendapatkan pengganti tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

"Kita mesti tunggu kerana mereka masih muda. Mustahil untuk seorang atlet 18 tahun boleh terus menjadi juara dunia.


"Chong Wei sendiri pun menjadi juara dunia pada usia 26 tahun. Zulfadli Zulkifli (gambar), biarpun menjadi juara Kejohanan Remaja Dunia tapi tidak pula menang sebarang gelaran.


"Sebab itulah saya kata perlu tunggu dulu. Kita mempunyai pelapis yang mencukupi tapi kita perlu lebih bersabar. Beri mereka peluang untuk bertanding dalam kejohanan peringkat usia mereka terlebih dulu sebelum pergi ke peringkat seterusnya." Apa yang diperkatakan beliau mungkin ada benarnya apabila pelbagai kejohanan disediakan untuk atlet pelapis seperti Sukan Olimpik Remaja, Sukan Komanwel Remaja dan Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia serta pelbagai lagi kejohanan yang boleh disertai atlet berusia 18 tahun ke bawah.

Justeru, program pelapis yang diperkenalkan MSN adalah medan terbaik untuk melahirkan kelompok atlet pelapis menerusi pendekatan lebih sistematik.


"Bagi saya apa yang penting untuk melahirkan atlet pelapis berwibawa adalah jurulatih yang bagus, peluang latihan dan kejohanan dalam dan luar negara tapi paling penting berlatih bersungguh-sungguh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Program pelapis menjadi

Posted: 27 Apr 2013 02:26 PM PDT

Kuala Lumpur: Tidak dinafikan Program Pelapis yang dicetuskan Majlis Sukan Negara (MSN) mula membuahkan hasil untuk menyediakan pelapis berpotensi bagi masa depan.

Menyediakan ruang untuk mengikuti latihan bertaraf tinggi selain kejohanan di peringkat antarabangsa, sudah pasti ia laluan terbaik untuk atlet remaja mengejar impian menjadi idola sukan masing-masing.


Tanya saja beberapa graduan program itu yang kini berada di tahap membanggakan malah berdiri sama tinggi dengan atlet lebih senior.

Bagi penembak kebangsaan, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (gambar), penyertaannya dalam skuad Pelapis Kebangsaan pada 2009 membuka mata ramai mengenai potensi besar dimilikinya sebelum diserap terus ke pasukan elit pada tahun berikutnya.


Buktinya, seawal Januari tahun sama, dia memenangi dua pingat emas di Festival Olimpik Remaja Australia (AYOF), diikuti pingat emas pada Kejohanan Menembak Remaja Antarabangsa di Munich, pada Jun.


Ayuni kemudiannya diberi kepercayaan menyertai kontinjen kebangsaan dan menyumbang perak bagi acara 10m air rifle berpasukan dan gangsa dalam acara individu.

"Saya bermula dari pasukan pelapis negeri sebelum menyertai pelapis kebangsaan. Sepanjang tempoh itu, saya didedahkan dengan latihan menerusi ramai jurulatih selain menyertai banyak kejohanan di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.


Menganggap penyertaan ke pelapis kebangsaan adalah masa untuk membuktikan kesungguhan, Ayuni banyak belajar sebelum melangkah yakin ke peringkat elit.

"Saya juga turut diberikan motivasi, bagaimana untuk menghadapi cabaran dalam pertandingan dan semua itu secara tidak langsung meningkatkan prestasi," katanya.


Lebih membanggakan bagi Ayuni, adiknya, Nurrahimin turut mengikuti jejaknya sebagai pasukan pelapis sebelum bersamanya sebagai atlet elit pada 2011.


Atlet angkat berat, Mohd Hafifi Mansor pula berpendapat, ruang untuk seseorang atlet itu menyerlah sudah diberikan dan terpulang kepada mereka sama ada untuk mempertingkatkan usaha atau sebaliknya.


Malah atlet yang pernah memenangi pingat emas di Sukan Remaja Komanwel di Pune, India pada 2008 sebelum meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel Delhi 2010 mengakui pendedahan seawal mungkin diberikan kepada atlet sebaik menyertai program pelapis.


"Sewaktu menyertai program pelapis pada 2008, saya dibimbing oleh jurulatih Bulgaria, Stefan Stefanov. Program yang disusun beliau banyak membantu peningkatan saya.


"Bagi saya, semuanya bergantung kepada keazaman diri. Menyertai program itu bukan bermakna kita boleh duduk diam saja. Ia adalah masa untuk membuktikan kemampuan dan menunjukkan semangat untuk memperbaiki diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

No comments:

Post a Comment