Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Juara era berbeza

Posted: 28 Apr 2013 09:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Dua pemain harapan negara dalam era berbeza, Datuk Lee Chong Wei dan Misbun Ramdan Misbun meraih kejuaraan semalam, kebetulan kedua-duanya bekas dan juara terbaru GP Kebangsaan.

Di New Delhi, Chong Wei meraih gelaran kedua pada Siri Super Terbuka India selepas menewaskan pemain utama Jepun Kenichi Tago.


Begitupun Chong Wei tidak mendapat laluan mudah meskipun menang set pertama 21-15, apabila tunduk 18-21 pada set kedua, sebelum bangkit memenangi perlawanan 21-17 pada set penentuan.

Sementara itu, Ramdan merangkul kejuaraan pertama kejohanan senior antarabangsa apabila menewaskan pilihan utama Pablo Abian dari Sepanyol di final Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal.


Ramdan, pilihan kedua kejohanan langsung tidak dijangka akan menang mudah 21-8, 21-9.


"Kami di Nusa Mahsuri tidak menjangka Ramdan akan meraih kejuaraan seawal ini, namun ini adalah satu perkembangan positif," kata jurulatih Nusa Mahsuri Rahman Sidek.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

Rahman berkata, meskipun Ramdan mula menunjukkan tanda-tanda akan menjuarai lebih banyak kejuaraan, pemain berusia 22 tahun itu akan terus menyertai kejohanan berstatus Cabaran Antarabangsa terlebih dulu, bagi membiasakan diri dengan kejuaraan di peringkat rendah selain meningkatkan lagi keazaman seseorang pemain untuk memburu kejuaraan lebih tinggi.


"Saya sering berpesan kepada Ramdan, untuk menjadi seorang juara, dia perlu menjadi pemain yang berbeza berbanding pemain lain," katanya.

Terbuka Portugal adalah siri jelajah Eropah kedua Ramdan selepas mara ke separuh akhir Terbuka Belanda, minggu lalu dan selepas ini dia akan terus berada di Eropah untuk menyertai tiga lagi kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Aksi Queen mantap

Posted: 28 Apr 2013 09:00 AM PDT

Des Moines (Iowa): Pelari Amerika Syarikat (AS), Queen Harrison memenangi acara 100 meter lari berpagar wanita di Kejohanan Drake Relays kelmarin dengan merakamkan 12.71 saat untuk menewaskan pemenang pingat perak, gangsa dan keempat Olimpik London 2012.

Catatan masa Harrison adalah salah satu daripada lima yang terbaik dicatatkan tahun ini pada hari terakhir edisi ke-104 kejohanan itu. Harrison menunjukkan AS mempunyai bakat yang tidak terhad dalam acara 100m lari berpagar apabila menamatkan saingan mengatasi rakan senegara Dawn Harper yang juga juara Olimpik 2008 dan tempat kedua di London, selain pemenang pingat gangsa London Kellie Wells serta pilihan peminat tempatan Lolo Jones yang berada di tempat keempat di London.


Keempat-empat pelari itu melakukan empat masa terpantas di dunia tahun ini yang menjanjikan saingan sengit dalam acara 100m lari berpagar di Kejohanan Dunia AS yang turut berlangsung di trek Des Moines pada Jun.

"Saya merasakan ia adalah saat yang hebat, terutama pada awal musim dengan saingan yang diberikan," kata Harrison. "Saya sedikit gementar pada peringkat awal namun saya menunjukkan latihan yang saya jalani sekarang berjalan lancar dan yakin mencipta kejayaan tahun ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Rumford menang dramatik

Posted: 28 Apr 2013 08:59 AM PDT

Icheon (Korea Selatan): Pemain Australia Brett Rumford terselamat selepas mempamerkan aksi goyah penghujung saingan untuk memenangi Kejohanan Ballantine semalam dengan penuh dramatik apabila melakukan eagle pada lubang tambahan pertama bagi merangkul kejuaraan.

Rumford mensia-siakan kelebihan dua pukulan pada dua lubang terakhir, apabila melakukan bogey berganda pada lubang ke-17 dan pukulan tersasar di lubang ke-18 sebelum menamatkan saingan dengan par, menyebabkan dia terikat 11 di bawah par bersama Marcus Fraser dan Peter Whiteford.


Namun Rumford bangkit pada lubang tambahan pertama, par lima di lubang ke-18, apabila melakukan pukulan yang lebih baik dan pukulan keduanya hanya beberapa kaki di atas lubang sebelum memastikan gelaran keempat Jelajah Eropah.

Whiteford dari Scotland yang terlepas melakukan birdie pada jarak dekat lubang ke-18 untuk menang di Kelab Golf Blackstone, Incheon menerusi peraturan par-72, dan pemain Australia Fraser turut melakukan birdie pada lubang tambahan pertama itu.


Rumford memulakan pusingan terakhir dengan persembahan cemerlang, meneruskan aksinya pada Sabtu, apabila dia melakukan birdie di lubang berturut-turut penghujung pusingan ketiga.


Pemain Australia itu memulakan pusingan keempat dengan dua birdie dan menamatkan sembilan lubang awal dengan empat birdie berturut-turut untuk mengumpul 30 pukulan.

Dia melakukan bogey pertama kelmarin pada lubang ke-13 apabila namun kembali bangkit melakukan birdie pada lubang ke-14 dan kelihatan mengawal keadaan sebelum batang golf mencetuskan kegagalan kepada dirinya pada lubang ke-17 dan 18.


Rumford berterima kasih kepada jurulatihnya Pete Cowen kerana membantu membaiki masalah mengenai kayu golfnya sebelum aksi penentuan berlangsung.

"Saya hanya mempunyai beberapa jenis batang golf -ia bukan batang golf pada dua lubang terakhir, ia berkaitan dengan sembilan lubang terakhir dengan saya merasakan tidak selesa," kata Rumford. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Kura-kura unggul

Posted: 28 Apr 2013 08:59 AM PDT

Sintok: Running Man Extreme meriahkan Hari Terbuka Dewan Penginapan Pelajar (DPP) MAS, Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

Pengarah Program Siti Hasnah Harun berkata, lebih 12 kumpulan masing-masing diwakili ima peserta bagi setiap kumpulan dikhendaki melepasi tujuh halangan untuk meraih gelaran juara, naib juara dan ketiga.


Antara halangan yang mereka perlu tempohi ialah kanggaroo back, puzzle, sambung barang, teka wangian, belon beracun, tawanan dan bekayak.

Juara yang memenangi wang tunai RM100 adalah pasukan Kura-kura yang diwakili Mohd Taufiq Ibrahim, Muhammad Amirul Mohd Azin, Nuriman Fahmi Bahasran dan Nor Islam Ramley.


Kedua meraih RM75 ialah Sintok Warriors (Azwan Ibrahim, Irwan Mohd Selempang, Nur Hazwan Abu Hassan, Nor Asmiza Sobri dan Zaleha Zainal).


Manakala Bona fide (Khairul Azri Mustaffa, Ibnul Qayyim Mohamed Idros, Shukri Jaili, Wan Mohamad Ridzuan Wan Jaapar dan Mohd Syarull Azlan Yaakob) ketiga, RM50.

Pengetua DPP MAS, Dr Mohd Azril Ismail berkata, hadiah bukanlah ganjaran utama dalam program itu namun yang penting adalah kesepakatan, tanggungjawab, perancangan dan berjaya mengatur program serta mendapat sokongan dikalangan mahasiswa dari DPP lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Belang FALCON pada Ragbi 7's

Posted: 28 Apr 2013 08:58 AM PDT

Kuantan: Gandingan pemain terbaik peringkat sekolah Pahang menjadi kelebihan kepada pasukan FALCON beraksi cemerlang menjuarai Kejohanan Ragbi Sirkit Pertama Tujuh Sepasukan Pahang 2013 kategori junior menjinakkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) 19-5 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, Kemunting, baru-baru ini.

Berbekalkan semangat melawan tinggi dan kekuatan mental, menjadi kelebihan bermakna kepada pasukan bimbingan Mohd Fadhil Sarli untuk menjulang kejayaan sulung musim ini yang akan menjadi pembakar semangat bagi meneruskan kecemerlang di peringkat negeri dan kebangsaan.


Mohd Fadhli berkata, pemain FALCON terdiri daripada gandingan pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad (SEMSAS) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Kuantan yang sebelum ini mencatat banyak kejayaan di peringkat daerah dan negeri.

Menurutnya, pengalaman yang ada memberi kelebihan kepada mereka mudah menewaskan lawan walaupun pencabar membariskan pemain bersaiz lebih besar dan memiliki larian pantas serta rekod cemerlang sebelum ini.


"Bersaing dengan empat pasukan kategori junior pada kejohanan kali ini tidak banyak memberi tekanan kepada pemain apabila mencatat kemenangan bergaya pada semua perlawanan hingga layak menjulang kejuaraan.


"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan semangat dan kesungguhan dipamerkan pemain sepanjang kejohanan kali ini terutama apabila dapat mengawal permainan walaupun dilabel pasukan terbaik.

"Corak permainan yang mantap menerusi larian pantas jentera serangan berjaya memisahkan kita dengan pasukan lain, kelibat benteng pertahanan yang bijak membaca corak permainan lawan memudahkan mereka menghalang setiap serangan," katanya.


Tempat ketiga berpihak kepada pasukan Rainforester dan keempat, Insta All Boy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

SMK Tunku Putera juarai Liga Bolasepak B-18 MSS Kedah

Posted: 28 Apr 2013 08:58 AM PDT

Baling: Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera (SMKTP) mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjuarai Liga Bola Sepak B-18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Besar, Kulim, baru-baru ini.

SMKTP yang tampil sekali juara Zon Baling/Sik mengecewakan pasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling menerusi tendangan penalti 5-4.


Jurulatih Yuhani Mat Ariffin berkata, "Kejayaan ini cukup bermakna kerana mencipta sejarah selepas lebih 20 tahun gagal memenangi gelaran. Pemain memberikan komitmen tinggi dengan giat menjalani latihan taktikal dan teknikal.

"Sokongan semua pihak termasuk guru, ibubapa dan jurulatih menyuntik semangat kami untuk memburu kejayaan. Malah pemain sentiasa diingatkan objektif pasukan iaitu memenangi setiap perlawanan tanpa gentar berdepan lawan yang dianggap pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Presiden kecewa!

Posted: 28 Apr 2013 08:57 AM PDT

Ipoh: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kesal dengan tindakan segelintir peminat Perak memasuki padang semasa perlawanan dengan Johor Darul Takzim (DT) di Lumut, malam kelmarin.

"Ia tidak sepatutnya berlaku. Saya sungguh kecewa dengan insiden yang terjadi. Peminat Perak sebelum ini tidak pernah buat kacau semasa perlawanan.


"Kelab peminat sepatutnya menjaga tingkah laku ahli mereka. Sekarang nampaknya PAFA yang akan tanggung akibat," katanya mengulas insiden peminat Perak menyerbu ke dalam padang ketika meraikan jaringan hatrik Paulo Rangel pada m-12, 66 dan 88.

Pada pertembungan itu, anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah mengatasi pelawat di setiap bahagian untuk menjinakkan skuad bergelar Harimau Selatan itu yang diiringi oleh hampir 1,000 penyokong yang datang dengan 17 buah bas serta kenderaan persendirian.


Katanya, tidak timbul persoalan kawalan keselamatan longgar kerana PAFA sudah menempatkan petugas dan pengawal di sekeliling stadium.


Dalam ketiga-tiga insiden itu, segelintir penonton Perak yang berada di tempat duduk sebelah penjuru kiri bertentangan tempat duduk utama stadium melompat melepasi pagar paras pinggang yang menjadi benteng pemisah kerana terlalu ghairah.

Zainol berkata PAFA yang akan kerugian kerana pasti akan dikenakan tindakan oleh FAM.


Dalam perkembangan lain, Presiden PAFA itu memuji kejayaan 3-0 Perak ke atas Johor DT dan berharap kejayaan itu adalah permulaan kepada lebih banyak perkara baik di masa akan datang.

"Saya gembira dan bersyukur dengan kejayaan mereka. Mudah-mudahan ia akan menyemarakkan lagi semangat pemain bagi menghadapi kempen di pusingan kedua ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Pemain pamer peningkatan

Posted: 28 Apr 2013 08:56 AM PDT

Seremban: Sekalipun misi meraih kemenangan pertama belum berhasil, jurulatih Negeri Sembilan Divaldo Alves tetap yakin merealisasikannya berikutan peningkatan prestasi anak buahnya walaupun tewas tipis 0-1 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang Jumaat lalu.

Bagi pengendali itu pemain menunjukkan peningkatan persembahan apabila berjaya mengimbangi kekuatan lawan dan mencipta beberapa peluang jaringan.


Katanya, jaringan pada minit terakhir perlawanan menyebabkan impian mengikat pasukan lawan tidak kesampaian.

"Keseluruhannya pemain menunjukkan persembahan lebih baik berbanding sebelum ini dan ini satu perkembangan memberangsangkan dalam misi memburu kemenangan pertama musim ini.


"Tambahan pula penyerang yang menjadi sandaran Leandro Barbosa Fabio, hanya dapat beraksi kira-kira lima minit sebelum dikeluarkan akibat kecederaan, yang memberi kesan kepada jentera serangan pasukan.


"Mohamad Firdaus Azizul yang diberi tugas menggalas cabaran barisan depan berusaha melaksanakan tugas dengan cemerlang namun tidak berupaya menembusi benteng Terengganu. Apa pun saya melihat ada peningkatan dari segi komitmen dan kesungguhan pemain untuk mencari kemenangan," katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

SMK Syed Hassan terima dana MSN

Posted: 28 Apr 2013 08:56 AM PDT

Kangar: Majlis Sukan Negara (MSN) menyumbangkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Galeri Sukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan untuk penambahbaikan bagi mengisi lebih banyak anugerah, trofi dan sukan bintang sukan mereka.

Sebelum itu, sekolah berkenaan pernah melahirkan jaguh sukan negara era 80-an seperti pemain bola sepak Ibrahim Saad dan Saidin Osman, selain bekas pemain sepak takraw Mohd Nasir Ismail.


Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong, berkata sumbangan terbabit sebagai menghargai jasa bekas pelajar yang pernah mengharumkan negara dalam arena sukan untuk terus dikenang generasi baru.

"Saya memang mengalu-alukan usaha pihak sekolah menyediakan sebuah galeri sukan seperti ini sebagai penghargaan kepada bekas pelajar mereka.


"Sekurang-kurangnya generasi baru dapat mengenali tokoh-tokoh sukan dahulu yang pernah belajar di sini, bahkan akan lebih bersemangat untuk mengukir nama dalam bidang sukan tanah air," katanya selepas merasmikan galeri sukan sempena Anugerah Kecemerlangan dan Hari Kokurikulum di SMK Syed Hassan, kelmarin.


Hadir sama, Pengetua sekolah itu, Azemi Abu.

Berikutan itu, katanya, beliau mengharapkan generasi baru akan turut menyumbang dan menjadikan tokoh-tokoh berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama sekolah.


"Saya berharap matlamat penubuhan galeri ini akan tercapai dan menjadi sudut tumpuan kepada pelajar kerana mereka mempunyai peluang cerah dalam bidang sukan kerana SMK Syed Hassan adalah satu-satunya sekolah sukan yang terdapat di Perlis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

Usaha terbantut

Posted: 28 Apr 2013 08:54 AM PDT

Shah Alam: Usaha Selangor untuk meraih tiga mata di laman sendiri tidak berhasil namun sekurang-kurangnya Merah Kuning berjaya menghalang LionsXII daripada terus melebarkan jurang mata di kedudukan teratas Liga Super ketika saingan kini hanya berbaki lapan perlawanan.

Aksi 90 minit di Stadium Shah Alam malam kelmarin menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menggegar gawang yang dikawal rapi Norazlan Razali dan Izwan Mahbud sekali gus menyaksikan LionsXII mendahului Liga Super dengan 28 mata, manakala Selangor meraih 24 mata di kedudukan keempat.


"Saya memang menjangkakan lawan akan bermain secara negatif, sebahagian besar akan bertahan di tempat sendiri. Jadi saya sudah memberi arahan kepada pemain saya untuk cuba memecahkan pertahanan mereka menerusi gerakan di bahagian sayap bagi mencari gol namun tidak berhasil," kata pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan Bakti mengakui anak buah V Sundramoorthy sangat berdisiplin ketika bertahan sehingga menyukarkan barisan pemainnya mendapat peluang untuk menguji kemampuan Izwan di gawang LionsXII.


Peluang terbaik Merah Kuning hadir pada minit kelima permainan menerusi rembatan Francis Forkey Doe namun Izwan membuktikan kemampuannya sebagainya penjaga gol kebangsaan Singapura menerusi reaksi pantas menolak bola keluar.


Turun dalam misi menumbangkan LionsXII, tuan rumah membariskan kesebelasan terbaik termasuk pertahanan import baru dari Australia, Adam Griffiths yang tampil kali pertama namun mereka gagal mencari gol yang diharapkan.

"Sebagai pemain pertahanan dia (Griffiths) perlu lebih agresif dan malam ini (kelmarin) mungkin tidak menampakkan persembahan sebenarnya kerana pelawat tidak terlalu mengasak," kata Irfan Bakti mengenai tonggak import barunya.


Selangor akan meneruskan misi penting dalam Piala AFC apabila menentang wakil Singapura, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar esok namun dilaporkan Doe kembali alami kecederaan .

Wakil negara itu mengumpul lima mata perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir Kumpulan H untuk melangkah ke pusingan kedua sambil mengharapkan kelab India, East Bengal yang sudah pun layak mampu menewaskan Saingon Xuan Thanh dari Vietnam yang meraih lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/28

No comments:

Post a Comment