Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Banduan muat naik gambar ke Facebook

Posted: 28 Apr 2013 11:27 AM PDT

Bangkok: Seorang banduan penjara Phitsanulok yang memuat naik fotonya yang bergari di Facebook melalui telefon bimbit prosedur yang dilarang untuk tahanan akan dihukum bersama mereka yang membekalkan peralatan itu, kata Ketua Jabatan Salah Laku, Suchart Wong-anantachai.

Berikutan penjara Phitsanulok belum diisytihar sebagai 'penjara putih' bermaksud bebas daripada dadah dan bahan larangan lain tahanan di situ masih ada cara untuk mengakses Internet.


Ekoran kejadian itu Suchart menggesa pihak berkuasa penjara lebih tegas mengimbas dan memeriksa sel untuk mencari barang larangan.

Mengenai hukuman terhadap tahanan, dia berkata, panel akan dibentuk bagi menyiasat kes itu sebelum memutuskan sebarang hukuman jenayah atau disiplin. Ekoran kritikan terhadap pihak berkuasa penjara, laman Facebook berkenaan tidak dapat diakses semalam.


Tahanan terbabit dikenali sebagai pesalah rogol, Mawin Sompanwong, 28, yang ditahan di zon 5 penjara Phitsanulok.


Pengarah penjara Pongmit Prasertsakul berkata, Mawin yang dipenjara lima tahun pada 2008 bakal dibebaskan pada 1 November tahun ini. Pongmit berkata, sejak mengambil alih penjara berkenaan pada 4 April lalu dengan merujuk penjara terbabit sebagai penjara putih.

Foto

Mawin memuat naik fotonya dengan kaki bergari di laman sosial.

Pongmit berkata, dia sering melancarkan pemeriksaan mengejut sel penjara itu, tetapi masih terdapat tempat di mana tahanan menyembunyikan telefon bimbit dan peralatan isyarat telefon bimbit hanya berfungsi sekali-sekala di situ. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Tempuling tertusuk mata

Posted: 28 Apr 2013 11:15 AM PDT

Brasili: Anda perlu cukup bebal untuk menembak tempuling sepanjang 30 sentimeter ke mata sendiri, tetapi anda pasti amat bertuah kerana masih hidup untuk menceritakan sendiri detik itu kepada orang lain.

Itulah yang dilalui Bruno Bruno Coutinho.


Dia sedang membersihkan alat itu yang sering digunakannya untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, tanpa disengajakan Coutinho, 34, tertekan pemicu alat itu menyebabkan bilah tempuling berkenaan menusuk ke soket matanya. Apabila Coutinho tiba di Hospital Santa Teresa di Rio de Janeiro 10 jam kemudian, doktor di situ kehairanan kerana dia masih dalam keadaan sedar.


Menetap di Petropolis, kira-kira 65 kilometer di utara Rio de Janeiro, Coutinho kemudian menjalani pembedahan selama empat jam bagi membolehkan besi tajam itu dikeluarkan dari matanya.


Lebih mengejutkan, insiden itu tidak menyebabkan otak Coutinho cedera. Namun, pembedahan kedua yang dijalankan gagal memulihkan mata kiri Coutinho.

Sementara itu, Ketua pembedahan saraf Hospital Santa Teresa, Dr Orlando Maria berkata, Coutinho sangat bernasib baik kerana besi tajam itu hanya beberapa milimeter daripada merosakkan semua salur darah penting dalam tengkoraknya. "Objek itu nampaknya menusuk tanpa menyebabkan kerosakan sebarang struktur atau salur darah utama.


"Objek itu juga dapat dikeluarkan dengan selamat," katanya. Sementara itu, jiran Coutinho berkata, keadaan sangat menakutkan ketika dia mengejarkan kenalannya itu ke hospital. "Biasanya situasi itu hanya dapat anda lihat dalam filem," katanya ketika ditemui. Sehingga kini, Coutinho masih ditempatkan di unit rawatan rapi tetapi dijangka dibenarkan pulang beberapa hari lagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Obama tiru fesyen rambut isteri

Posted: 28 Apr 2013 11:13 AM PDT

Washington: Sekali lagi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menjadikan dirinya sebagai bahan ketawa ketika dia menghadiri makan malam tahunan Persatuan Koresponden Rumah Putih, semalam.

Bercakap kepada hadirin, Obama bergurau mengenai rancangan radikalnya untuk penggal kedua sebagai presiden selepas memenangi pilihan raya akhir tahun lalu.


Memasuki majlis itu dengan iringan lagu rap All I Do Is Win nyanyian DJ Khaled, Obama berkata, kemenangannya ke atas Mitt Romnet membolehkan dia memperkenalkan perubahan besar-besaran dengan muncul sebagai penghias muka depan majalah Senior Leisure. "Saya bukan lagi sosialis Muslim seperti dulu," katanya.

Obama juga berseloroh untuk mengubah imejnya dengan meniru fesyen rambut terkini Wanita Pertama AS, Michelle. Majlis dihadiri ramai bintang, termasuk pelakon, Kevin Spacey dan Claire Danes; penyanyi Korea Selatan, Psy dan penyanyi AS, Katy Perry.


Penerbit dan pengarah terkenal, Steven Spielberg turut menghadiri makan malam itu dan mengumumkan untuk mengambil pelakon Daniel Day-Lewis menjayakan filem terbarunya berjudul Obama. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Kumpulan pemisah tuntut kemerdekaan

Posted: 28 Apr 2013 11:13 AM PDT

Bangkok: Kumpulan pemisah di selatan Thailand semalam berkata, mereka mahukan 'kebebasan' dari negara itu dan menyuarakan tuntutan, sehari sebelum rundingan yang bertujuan mengakhiri pergolakan selama sembilan tahun.

Thailand mengadakan rundingan damai rasmi yang pertama dengan wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Malaysia sebulan lalu, tetapi serangan yang dituding dilakukan pemisah di wilayah selatan negara itu berterusan. Wakil BRN, Hassan Taib yang muncul dalam kenyataan video untuk mendapat sokongan atas usaha kumpulannya menuntut kebebasan berkata, mereka akan mentadbir kawasan berbilang etnik itu dengan 'adil'.


"Kita patut mendapat kebebasan. Selepas itu, kita boleh mentadbir (kawasan ini) dengan seadil mungkin," katanya sambil menambah kumpulan itu bertujuan membawa keadilan dan kemakmuran di kawasan itu.

Rakan setugas Hassan, Abdul Karim Khatib yang muncul dalam satu lagi video berkata, BRN mahu Malaysia yang majoriti penduduknya adalah Islam menjadi orang tengah dalam rundingan itu dan meminta penyertaan pemerhati dari negara lain di rantau itu dan pertubuhan bukan kerajaan. Dia juga menggesa pembebasan semua tahanan.


Ketua Majlis Keselamatan Nasional Thailand, Paradorn Pattanatabut berkata, dia akan bertemu Hassan untuk pusingan terbaru rundingan esok (hari ini).


"Kami sudah mendengar permintaan mereka dan akan berbincang dengan mereka esok mengenai tuntutan itu," katanya. "Kami katakan dengan jelas sejak Daria Wallagi bahawa rundingan perlu dilakukan mengikut perlembagaan Thailand dan Malaysia hanya bertindak sebagai fasilitator. Saya rasa Malaysia akan menyatakan yang sama kerana ini adalah isu dalaman Thailand," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Guru rakam adegan seks dengan murid bawah umur dijel

Posted: 28 Apr 2013 11:12 AM PDT

Singapura: Seorang bekas guru drama yang melakukan hubungan seks dengan pelajarnya yang berusia 14 tahun dan merakam adegan itu dijatuhkan hukuman penjara setahun Khamis lalu.

Hakim daerah Siva Shanmugam berkata Aravind S Menon "telah menyalahgunakan kepercayaan dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai guru" apabila dia melakukan perbuatan itu pada 2009. Hakim menggelar perbuatannya merakam satu daripada aksi mereka sebagai "amat dikesali". Menon, 25, mengaku bersalah pada 11 April lalu kerana melakukan seks dengan pasangannya yang berusia di bawah 16 tahun. Mahkamah kemudian diberitahu dia bekerja dua kali seminggu di sekolah itu sebagai sukarelawan ketika remaja terbabit menyertai persatuan dramanya pada Mac 2008. Remaja itu mula meluahkan kepada Menon yang berusia 20 tahun ketika itu mengenai masalahnya di rumah dan di sekolah. Mereka mula rapat dan melakukan hubungan seks buat kali pertama di kediaman Menon di Choa Chu Kang pada Mei 2009.


Bimbang hamil, remaja terbabit menggunakan alat ujian kehamilan pada 31 Mei di kediaman Menon. Keputusannya negatif tetapi Menon terus melakukan hubungan seks bersama remaja itu pada hari sama dan sekali lagi pada Julai. Dia turut merakam satu daripada aksi mereka di telefon bimbitnya dan menyimpannya di komputernya.

Pada akhir Julai, ibu bapa remaja itu membaca mesej Menon di telefon bimbit pelajar terbabit dan menyuruhnya memutuskan hubungan mereka. Bapanya turut memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai kecurigaannya dan Menon kemudian dipecat. Pada Ogos 2009, remaja itu menghantar mesej pesanan ringkas kepada Menon dan memberitahu dia mahu menamatkan hubungan mereka sebelum Menon mengancam akan mencederakan keluarganya. - AsiaOne

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

Banjir kilat di Singapura

Posted: 28 Apr 2013 11:11 AM PDT

Singapura: Satu kejadian banjir kilat melanda persimpangan Chai Chee Road dan New Upper Changi Road kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sebuah teksi limosin ditemui terperangkap dalam air banjir dengan separuh daripada bahagian kenderaan itu ditenggelami air. Seorang saksi berkata, pemandu teksi limo itu yang terpaksa berenang keluar basah kuyup.


Kebanyakan kenderaan membuat pusingan U di simpang itu tetapi sekurang-kurangnya tiga bas yang penuh dengan penumpang turut terperangkap kerana tidak dapat bergerak lebih lanjut.

Seorang penunggang mostosikal yang cuba memecut merentasi air banjir juga terperangkap apabila motosikalnya tenggelam.


Walaupun banjir kilat itu surut selepas satu jam tetapi teksi terbabit masih tidak dapat bergerak.


Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di stesen MRT Paya Lebar. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29

No comments:

Post a Comment