Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei masih dahaga kejayaan

Posted: 17 Apr 2013 02:50 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei mengaku dua peristiwa manis dalam tempoh seminggu menguatkan lagi semangatnya untuk memburu koleksi pertama Kejohanan Dunia di China, Ogos ini.

Selepas menimang cahaya mata pertama, Kingston Lee pada Jumaat lalu, pemain nombor satu dunia itu terus menerima perkhabaran gembira apabila dinobat Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara kelmarin sekali gus gelaran kali keempat untuknya.


"Saya harap anugerah ini memberi lebih kekuatan dan semangat untuk saya menghadapi Kejuaraan Dunia akan datang.

"Saya pun baru terima cahaya mata dan dapat anugerah lagi, saya anggap semua ini tuah untuk saya," katanya.


Chong Wei juga mengaku belum puas meskipun sudah meraih banyak gelaran sepanjang kariernya.


"Saya harap dapat menang lebih banyak anugerah dan kejuaraan sepanjang tahun ini. Seperti saya katakan tadi, impian utama adalah memenangi Kejuaraan Dunia." Pemain berusia 31 tahun itu seperti dijangka memenangi anugerah Olahragawan Kebangsaan kelmarin, mengenepikan enam lagi pencabarnya termasuk badang negara Sazali Abd Samad yang pernah memenangi gelaran itu dua kali.

Foto

CHONG WEI (kanan) menerima gelaran Olahragawan 2012.

Dua tahun lalu pada Kejohanan Dunia di London, Chong Wei sekadar berpuas hati sebagai naib juara selepas kecundang di tangan seteru utama dari China Lin Dan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Rusa tekad baiki kedudukan

Posted: 17 Apr 2013 02:47 PM PDT

Seremban: Selepas terkandas di suku akhir Piala FA dengan kekalahan besar agregat 1-6 kepada Terengganu, Negeri Sembilan kini hanya fokuskan kepada saingan Liga Super dengan matlamat memulihkan reputasi skuad itu yang terperosok di dasar liga.

Kehadiran penyerang import baru Fabio Leandro Bar bosa dari Brazil diyakini mampu membawa perubahan terhadap jentera serangan pasukan selepas kegagalan Emanuel Matias De Porras dari Argentina membantu pasukan menjana kemenangan.


Jurulatih Divaldo Alves berharap pemain terus fokus meningkatkan prestasi liga demi memperbaiki kedudukan pasukan.

Katanya, peluang memperbaiki kedudukan dan memberikan saingan kepada pasukan lain tetap terbuka.


"Barbosa mampu menyelesaikan masalah ketumpulan barisan depan yang membelenggu pasukan sebelum ini kerana prestasi bekas pemain Samut Songkhram FC berpangkalan di Thailand ini lebih meyakinkan.


"Namun, kita tidak boleh menyandarkan harapan sepenuhnya kepada dia seorang sebaliknya semua pemain mesti memberi sumbangan berkesan demi memastikan kemenangan dicapai," katanya.

Barbosa sudah menjaringkan satu gol ketika pertama kali diturunkan menentang Lions X11 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu.


Menurut Alves, beliau mengemaskini jentera depan bagi memastikan Barbosa dapat membentuk gandingan mantap dengan Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Firdaus Azizul, selain bahagian sayap Shahurain Abu Samah, Mohd Nazrin Nawi dan Helmi Manan.

"Saya harap mereka dapat membentuk barisan depan lebih mantap kerana cabaran liga makin sukar khususnya menjelang pertemuan dengan Selangor di halaman sendiri, malam esok."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Sarawak mudah hilang bola

Posted: 17 Apr 2013 02:47 PM PDT

Kuching: Penyakit pasukan Bujang Senang yang mudah kehilangan bola menjadi punca kekalahan 0-2 kepada Kelantan pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri, kelmarin.

Jurulatih Robert Alberts berkata, anak buahnya tidak agresif, sering kehilangan bola dan membiarkan Kelantan mencipta jaringan mudah.


"Kami sepatutnya memberi tentangan lebih sengit. Kami memberikan mereka dua gol mudah. Kita boleh lihat perbezaan kualiti antara dua pasukan dari dua liga berbeza," katanya.

Sarawak adalah pasukan Liga Perdana sementara Kelantan dari Liga Super.


Kelemahan itu sering dibangkitkan Alberts terhadap prestasi anak buahnya pada setiap perlawanan.


Sementara itu pemain kelahiran Malaysia yang sebelum ini bermain di Liga Bolasepak Vauxhall, England, Junior Eldstal belum lagi memperlihatkan kehebatan pada aksi pertamanya. Eldstal berkata, dia masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Tonggak utama Perak cedera

Posted: 17 Apr 2013 02:46 PM PDT

Ipoh: Perak terus dihimpit masalah kecederaan apabila tonggak pertahanan Mohd Sharom Kalam tidak dapat diturunkan bagi pertemuan menentang T-Team di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah mengesahkan kecederaan pemain yang mengambil alih tugas kapten ketika Shahrulnizam Mustapa mengalami kecederaan pada awal musim.


"Shahrom mengalami kecederaan ketika pertemuan PKNS. Kecederaaannya agak teruk dan dia tidak dapat beraksi menentang T Team. Begitupun saya tidak bimbang kerana mempunyai pengganti di posisi itu," katanya. Azraai membayangkan akan menurunkan pemain muda Mohd Shamil atau S Sivakumar bagi digandingkan dengan Rafael Souza dan Mohd Khairi Kiman.

"Saya yakin siapa juga yang diturunkan mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan berkesan." Mengenai pertemuan itu, Azraai berharap anak buahnya mengusahakan pencapaian memberangsangkan.


"Kami perlu mengutip mata daripada perlawanan ini bagi mengelak tercicir jauh daripada pencabar lain." Sehubungan itu jurulatih itu berharap anak buahnya meningkatkan persembahan serta tidak mengulangi aksi longgar ketika menentang PKNS.


Begitupun beliau tetap mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah keupayaan T-Team walaupun dilanda pergolakan kecil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Ichiyanagi puji visi FC Ryukyu

Posted: 17 Apr 2013 02:46 PM PDT

Keputusan FC Ryukyu membawa masuk dua pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim dianggap satu tindakan bijak oleh kapten Yugo Ichiyanagi.

Ichiyanagi berkata, prestasi ditunjukkan dua bekas pemain Harimau Muda A itu setakat ini di luar jangkaannya sekali gus mencetuskan keyakinan mereka mampu membantu sasaran kelab menduduki kelompok pasukan teratas Liga Divisyen Tiga Jepun musim ini.


"Secara jujur saya terkejut dengan kebolehan dan kesungguhan Wan Zack Haikal dan (Nazirul) Naim dalam latihan. Mereka mampu bersaing dengan pemain lebih senior walaupun mereka masih muda.

"Wan Zack Haikal pula sudah beraksi dalam perlawanan pertama Sabtu lalu dan dilihat sudah dapat menyesuaikan diri dengan permainan pasukan. "Cuma mereka nampak masih malu untuk bergaul terutama Naim, mungkin kerana masalah komunikasi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan kelmarin.


Wan Zack Haikal, 22, dan Nazirul Naim, 19, menyertai kelab berpangkalan di Okinawa itu selepas menandatangani kontrak selama dua tahun dan setahun hujung bulan lalu.


Selepas lebih tiga minggu bersama skuad kendalian Norihiro Satsukawa itu, hanya Wan Zack Haikal berjaya membuat penampilan pertama ketika membantu pasukannya menang 2-1 ke atas Sagawa Printing SC, Sabtu lalu.

Namun malang menimpa pemain sayap itu apabila terpaksa berehat hampir sebulan kerana mengalami kecederaan buku lali kanan pada sesi latihan Isnin lalu sekali gus terpaksa diketepikan bagi perlawanan dengan Yokohama Sports and Cultures Club (YSCC) Sabtu ini.


"Agak mengecewakan apabila Wan Zack Haikal tidak dapat bersama pasukan. Daripada apa yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini, dia sememangnya pemain penting kepada kami," kata Ichiyanagi.

Kekecewaan itu turut dikongsi bersama penyerang kelab itu Kazuki Ganaha yang kini muncul penjaring terbanyak liga.


"Saya gembira bermain bersama Wan Zack Haikal dalam perlawanan sebelum ini kerana gerakannya sering memberi masalah kepada pemain lawan dan memberikan saya ruang untuk bergerak di bahagian depan.


"Saya harap dia cepat sembuh dan dapat beraksi semula kerana dia boleh menjadi aset penting kepada pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Harimau Selatan makin garang

Posted: 17 Apr 2013 02:45 PM PDT

Shah Alam: Keazaman tinggi dipamer pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk menewaskan Selangor mencetuskan kemaraan Harimau Selatan ke separuh akhir Piala FA.

Walaupun ketinggalan, anak buah Fandi Ahmad bangkit meledak dua gol pada separuh masa kedua untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dan menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.


"Kami sebenarnya tidak mahu tewas kali ketiga. Pemain amat menginginkan kemenangan. Kami jelas tenang kerana pernah melalui situasi sama ketika menentang Kedah (menang penalti pada pusingan kedua).

"Kami percaya akan melakukannya dan pemain memberikan aksi 200 peratus. Kami menentukan sendiri nasib kami," kata pengendali Johor DT Fandi selepas menyaksikan kemaraan pasukannya di Stadium Shah Alam, kelmarin.


Johor DT sebelum ini tewas 1-4 dalam aksi Liga Super kepada Selangor dan pada suku akhir pertama turut kecundang 1-2 sekali gus membakar semangat Harimau Selatan untuk menamatkan rentetan kekalahan kepada Merah Kuning.


"Saya harap ini menjadi permulaan kepada kebangkitan Johor." Johor DT bermula hambar pada peringkat awal perlawanan dengan Norshahrul Idlan Talaha bergerak sendirian di barisan depan namun segala-galanya berubah dengan kemasukan pemain import dari Argentina, Leonal Nunez pada minit ke-30, sejurus selepas jaringan pembukaan Mahali Jasuli untuk tuan rumah.

"Strategi kami menyimpan Nunez dan Mohd Safee (Sali) di bangku simpanan. Nunez tidak mendapat rentak pada babak pertama namun semuanya berubah di babak kedua. "Kami tahu dia mempunyai kekuatan sentuhan penyudah, sepakan percuma dan sebagainya. Dia diperlukan berhampiran dengan kotak penalti." Langkah terbabit menjadi apabila pemain dari Argentina itu melakukan dua rembatan dari luar kotak penalti di babak kedua bagi mengikat Selangor secara agregat dan seterusnya memenangi perlawanan menerusi penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Kecederaan Doe resahkan Selangor

Posted: 17 Apr 2013 02:45 PM PDT

Shah Alam: Selain tersungkur di suku akhir Piala FA, Selangor terpaksa membayar harga mahal apabila penyerang import Francis Forkey Doe mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Johor Darul Takzim (DT) kelmarin.

Peledak utama dari Liberia itu terpaksa dikeluarkan ketika separuh masa kedua baru berlangsung seminit sekali gus menyaksikan dia mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh dua minggu.


Perkembangan terbabit pastinya mencetuskan kegelisahan pengendali Selangor Irfan Bakti Abu Salim bagi mencari penyerang berkaliber untuk mengharungi beberapa perlawanan selepas ini termasuk aksi hidup mati dalam Piala AFC.

"Saya harap Afiq Azmi (kecederaan hamstring) kembali selain Ramzul Zahini Adenan," katanya ketika ditanya mengenai pilihan penyerang dimilikinya.


Malah Merah Kuning belum mendapat pengganti pemain pertahanan Peter Chrappan dengan tiga pemain yang diuji sebelum ini sudah dihantar pulang dan kini mahu menguji seorang lain pemain dari Ghana ketika tarikh tutup jendela perpindahan pemain semakin menghampiri.


Juara lima kali Piala FA itu seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mempertahankan kelebihan dimiliki pada babak pertama dengan membenarkan Johor DT bangkit menerusi penyerang importnya dari Argentina, Leonel Nunez mengheret permainan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Pilih pengurus berkemampuan

Posted: 17 Apr 2013 02:44 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan sukan kebangsaan diingatkan memilih pengurus berasaskan kemampuan dan bukan berdasarkan sifat pilih kasih terhadap individu tertentu.

Pandangan terbabit disuarakan Tan Sri Elyas Omar, 76, yang berpengalaman luas dalam kancah sukan tempatan apabila pernah memimpin beberapa persatuan sukan kebangsaan selain turut berpengalaman di kancah antarabangsa.


Katanya, tugas sebagai pengurus bukan mudah kerana individu terbabit membawa imej dan kepentingan negara terutamanya apabila membabitkan kejohanan di pentas antarabangsa.

"Mereka bukan saja perlu menjaga kebajikan atlet bertanding selain beberapa tugas lain seperti menjadi pemerhati terhadap kejohanan terbabit agar berlangsung dengan adil dan lancar. Mereka perlu bertindak sebagai 'watch dog' terutamanya dalam aspek pengadilan.


"Malah mereka turut perlu menjaga kelakuan atlet negara supaya tidak melakukan perkara tidak sepatutnya. Mereka perlu dipilih di kalangan yang benar-benar layak," kata bekas Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden membabitkan pengurus pasukan di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India baru-baru ini hingga membabitkan imej dan maruah negara di pentas antarabangsa.

Pandangan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu seiring dengan ingatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong agar semua persatuan sukan kebangsaan lebih berhati-hati memilih pengurus pasukan dan meletakkan kriteria tertentu bagi menggalas tugas itu.


Elyas turut berpandangan persatuan sukan kebangsaan perlu mengamalkan sistem penggiliran melantik pengurus bagi memberikan peluang kepada individu terbabit mencari pengalaman mengurus.

"Orang yang sama terlalu kerap juga tidak memberikan kesan yang baik begitu juga sebaliknya. Yang penting mereka mesti tahu menjalankan tanggungjawab diberikan persatuan. Setiap individu yang layak perlu diberi peluang seperti pentadbir persatuan peringkat negeri yang seharusnya turut didedahkan ke peringkat lebih tinggi.


"Secara tidak langsung, setiap persatuan tidak terlalu bergantung kepada individu tertentu pada masa depan dengan ramai calon berkebolehan dan berkemampuan dapat diketengahkan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Cardiff City FC kebanggaan Malaysia

Posted: 17 Apr 2013 02:44 PM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kejayaan kelab bolasepak Liga Kejuaraan Inggeris Cardiff City FC melayakkan diri ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kelab itu yang dimiliki Tan Sri Vincent Tan, Ahmad Shabery berkata, kejayaan itu dapat membawa jenama 'Malaysia' ke persada bolasepak antarabangsa.


"Saya amat gembira dengan kejayaan ini. Tahniah kerana ia sedikit sebanyak memupuk semangat kepada para pemain kebangsaan untuk bekerja lebih keras dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Kelab itu, yang menggunakan jersi yang tertera nama 'Malaysia', menamatkan penantian 51 tahun untuk layak beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).


Keputusan seri tanpa jaringan dicatat kelab bimbingan jurulatih dari Scotland Malky Mackay ketika menentang Charlton Athletic semalam membolehkan mereka beraksi dalam liga utama England itu buat julung kalinya.


Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, kelab itu sudah lama dianggap 'pasukan kebangsaan' kerana dimiliki rakyat Malaysia.

"Malaysia dan Cardiff City FC sudah lama mempunyai pertalian spiritual kerana apabila penduduk di sana melihat pasukan itu, mereka pasti mengaitkan dengan Malaysia kerana kita adalah penaja utama membawa mereka ke tahap ini." Beliau turut memuji program pembangunan di peringkat akar umbi yang dijalankan kelab itu dan menggesa pasukan Harimau Malaya bimbingan Datuk K Rajagobal mencontohi kelab itu.


Turut senada dengan beliau ialah legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun yang menyifatkan kejayaan kelab itu untuk beraksi di EPL musim depan pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.

"Skuad Harimau Malaya patut menjadikan kejayaan kelab itu pembakar semangat untuk berusaha lebih keras bagi melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik," katanya.


Bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan berkata, kejayaan Cardiff City FC membuka ruang besar kepada bakat bola sepak tempatan untuk menempatkan diri mereka ke peringkat antarabangsa.


"Kita perlu belajar daripada kelab itu jika ingin maju ke hadapan. Saya harap FAM mahupun pasukan negeri dan kelab tidak mempersia-siakan peluang menjalinkan kerjasama bersama Cardiff City yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan bolasepak era baharu," katanya.


Pada masa sama, Wan Jamak turut berharap kelab itu membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan untuk menimba pengalaman berguna beraksi bersama pasukan itu pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

Abu Samah selesai masalah Myanmar

Posted: 17 Apr 2013 02:44 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Abu Samah Abd Wahab membuktikan anugerah Tokoh Kepemimpinan Sukan 2012 dimenanginya kelmarin bukan satu kebetulan apabila berjaya melerai kekusutan tuan rumah Myanmar menangani persiapan acara sukan berbasikal menjelang Sukan SEA 2013 Disember ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Acara Berbasikal Sukan SEA 2013 itu meyakinkan Myanmar agar patuh kepada peraturan enam pelumba berkayuh pada acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita seperti yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.


Sebelum ini Persekutuan Berbasikal Myanmar (MCF) dikatakan cenderung untuk hanya membenarkan empat pelumba menyertai acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita sekali gus memberi impak paling besar kepada kebanyakan negara khususnya Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia.

"Myanmar nampak kurang bersedia dalam aspek teknikal. Bagaimanapun mereka tak boleh dipersalahkan kalau bersikap demikian. Yang penting mereka sanggup terima nasihat dan kepakaran teknikal seperti jumlah pelumba dibenarkan berkayuh dalam acara lepas beramai-ramai.


"Ada perbezaan antara empat atau enam pelumba yang berkayuh. Kita ambil Malaysia sebagai contoh terbaik. Misalnya empat pelumba skuad kebangsaan dan tiga tonggak TSG (Terengganu Cycling Team) telah dikenal pasti berpeluang besar untuk ke Myanmar," kata Presiden PKBM itu.


Empat kategori iaitu acara ujian masa individu, ujian masa berpasukan, acara lepas beramai-ramai individu serta berpasukan akan dipertandingkan di Naypyitaw.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad lebuh raya negara Aminuddin Sulaiman menarik nafas lega dengan perkembangan terbaru itu.


"Ia selesaikan banyak masalah yang ada dalam kepala saya sebelum ini," katanya yang membantu pasukan lebuh raya Malaysia muncul naib juara kategori berpasukan keseluruhan pada Tour of Thailand 2013 (ToT 2013).

Beliau mengaku sukar membuat pemilihan akhir andai hanya empat pelumba dibenarkan berkayuh di Naypyitaw.


Beliau mengaku Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd Fauzan Ahmad Lufti, Amir Mustafa Rusli, Mohd Adiq Hussainie Othman, Muhammad Shahrul Mat Amin, Saufi Mat Senan, Mohd Harrif Salleh dan Mohd Zamri Salleh antara calon pelumba pilihan hangat untuk diterbangkan ke temasya dwitahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/18

No comments:

Post a Comment