Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rumah Iron Man jadi inspirasi

Posted: 19 Apr 2013 12:07 PM PDT

Sepasang suami isteri menjadikan rumah canggih watak utama Iron Man, Tony Stark sebagai inspirasi kediaman mewah mereka selepas memenangi loteri bernilai £45 juta (RM209.3 juta) tahun lalu.

Dengan wang sebanyak itu, pasangan Matt dan Cassey Topham tidak teragak-agak membelanjakan £5 juta (RM23.3 juta) hanya untuk membina rumah futuristik mereka.


Rumah itu - dinamakan Serenity - bakal mempunyai ruang garaj yang terselindung di sebalik air terjun, taman botani, kolam renang dan pawagam.

Kediaman yang dilengkapi panel solar itu direka cipta firma seni bina terkenal di London, Baca Architects.


Bagaimanapun, sebelum boleh membina Serenity, pasangan terbabit perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak kerajaan. Selepas itu memenangi loteri berkenaan tahun lalu, pasangan Topham menyenaraikan keinginan yang mesti ada di rumah idaman mereka, termasuk "garaj yang luas" dan "kolam renang bergua." Pasangan Topham mengemukakan pelan itu kepada kerajaan tempatan di Nottinghamshire semalam. Apabila siap nanti, Serenity akan menjadi 16 kali ganda lebih luas berbanding kediaman biasa di Britain dan kosnya 55 kali ganda lebih mahal berbanding rumah mereka ketika ini di Stapleford.


Pasangan Topham membeli sebuah rumah berkembar pada harga £250,000 (RM1.2 juta) sejurus selepas memenangi loteri, tetapi memberitahu pereka supaya membina ruang khas bagi membolehkan mereka mengelak daripada perhatian yang tidak diingini. Bercakap mengenai Serenity sebelum berlepas untuk bercuti di Amerika Syarikat, Matt berkata, mereka juga mewajibkan rumah itu dibina dengan lima bilik tidur.

"Kami juga menghabiskan banyak masa untuk berbincang dengan arkitek mengenai bilik yang akan digunakan," katanya.


Apa yang penting, kata Matt, mereka tidak mahu hidup dalam rumah kaca.

"Kami mengutamakan reka bentuk kontemporari dan fleksibel untuk kegunaan sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Bas tambang murah sediakan katil

Posted: 19 Apr 2013 09:46 AM PDT

London: Sebuah perkhidmatan baru bas dari London ke Scotland yang menawarkan tempat tidur kepada penumpangnya akan dimulakan pada musim panas akan datang.

Beberapa bas tambang murah akan menghubungkan London dengan tujuh bandar utama Scotland dengan tiket semurah £15 (kira-kira RM70).


Bagi perjalanan ke Glasgow atau Edinburgh, penumpang akan tiba ke destinasi itu dalam tempoh kurang dari lapan jam.

Penumpang boleh meluruskan kerusi masing-masing menjadi katil jika mahu baring, selain diberikan berus gigi dan baju panas di sepanjang perjalanan.


Semalam, syarikat Megabus itu menunjukkan kepada media kenderaan yang akan digunakan bagi perjalanan itu.


Megabus membelanjakan £5 juta (RM23.3 juta) untuk membeli 10 bas baru yang direka khas bagi menyediakan lebih 1,700 tempat pada setiap minggu. Bas dua tingkat itu sepatutnya mampu memuatkan 53 penumpang, tetapi Megabus mengubah suai kenderaan berkenaan menjadi 42 'katil.' - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Anggota badan manusia dalam tali air

Posted: 19 Apr 2013 09:43 AM PDT

Chai Nat: Beberapa anggota badan manusia ditemui dalam dua beg dalam tali air di daerah Manorom semalam dipercayai milik seorang lelaki warga asing yang dibunuh ditempat lain sebelum dibuang di situ.

Penyiasat di Balai Polis Hangnam Sakhon, Cherd Thongchaiwattana berkata, penemuan itu dilaporkan kepada pihak berkuasa malam kelmarin.


Sebelum itu, katanya, orang awam melihat seekor anjing menggonggong objek dipercayai organ manusia.

"Kedua-dua beg itu ditemui di terusan yang kering dan terletak kira-kira 200 meter antara satu sama lain," katanya.


Beg pertama, kata Cherd, mempunyai tiga lapisan dan mengandungi dua kaki - yang dipotong rapi di bahagian lutut - berseluar jeans, selain tangan kiri dan sebahagian daripada bahu.


Beg kedua pula, katanya, adalah bekas karung baja yang mempunyai enam lapisan. "Ia mengandungi bahagian atas tubuh yang berpakaian kemeja lengan pendek hitam, seluar dalam pendek, paha dan tali pinggang coklat," katanya ketika ditemui, semalam.

Bagaimanapun, bahagian kepala gagal dikesan. Siasatan awal menunjukkan, mayat itu adalah seorang lelaki berusia antara 25 dan 30 tahun.


Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Penduduk lantik ketua balai polis

Posted: 19 Apr 2013 09:43 AM PDT

Untuk kali pertama dalam sejarah, polis Indonesia membenarkan orang awam melantik sendiri ketua balai polis masing-masing walaupun hanya di peringkat rendah.

Semalam, penduduk Kampung Laras dan daerah Bandar Huluan, Sumatera Utara, memilih seorang daripada tiga pegawai kanan polis untuk menjadi ketua pasukan itu. Tiga calon diberikan peluang memperkenalkan diri masing-masing dan membentangkan perancangan masa dean sebelum dipilih orang awam. Mereka ialah Tua Raja Tambunan, Lambas Sianipar dan G Saragih.


Dalam pengundian langsung, Lambas mendapat 80 peratus undi daripada kira-kira 300 penduduk yang menyertai pemilihan itu.

Tidak seperti pilihan raya, undian itu hanya dijalankan secara angkat tangan. Pemilihan itu dilakukan bagi mencari pengganti ketua balai polis di kawasan itu, Kastel Sitorus yang meninggal dunia baru-baru ini. Ketua Polis Simalungun, Andi S Taufik mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam pemilihan itu.


Kata Andi, polis akan mengeluarkan surat pengesahan pelantikan Lambas selewat-lewatnya sebulan lagi. "Kami akan mempertimbangkan keputusan undian serta rekod pegawai terbabit dalam mesyuarat dalaman bagi menentukan ketua polis akan datang," katanya. Sebenarnya, kata Andi, mekanisme pelantikan itu tidak tercatat dalam peraturan polis, namun pihak berkuasa sedia mempertimbangkan kaedah itu bagi mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat.


Andi berkata, pemilihan itu dicadangkan selepas seorang ketua balai polis di Dolok Pardamean, Andar Siahaan serta tiga anggotanya dibelasah selepas cuba menahan seorang tauke judi pada 27 Mac lalu. Isteri tauke judi itu menghasut orang kampung dengan mendakwa Dolok dan anggotanya sebagai pencuri.

Dolok meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Suspek Boston ditembak mati

Posted: 19 Apr 2013 09:42 AM PDT

Dua suspek dalam serangan Maraton Boston membunuh seorang anggota polis universiti.

Mereka juga melontar bom ke arah polis dalam kejadian tembak menembak semalam yang menyebabkan seorang daripada mereka terbunuh sementara adiknya melarikan diri.


Sehubungan itu, ribuan anggota polis dikerah dalam gerakan memburu yang melumpuhkan kawasan Boston.

Suspek dikenalpasti oleh pegawai polis dan seorang anggota keluarga sebagai Dzhokhar dan Tamerlan Tsarnaev, dua beradik dari wilayah berhampiran Chechnya di Russia.


Mereka menetap dekat Boston dan berada di Amerika Syarikat kira-kira 10 tahun lalu, kata seorang bapa saudara mereka.


Tamerlan Tsarnaev, 19, yang dinamakan oleh FBI sebagai Suspek Nombor Satu dan muncul dalam rakaman kamera pengawasan dengan bertopi besbol hitam mati dalam kejadian semalam. Adiknya, Dzokhar, 26, yang dilihat memakai topi besbol putih dalam rakaman serangan di garisan penamat perlumbaan Isnin lalu, melarikan diri.

Pihak berkuasa Boston menggantung semua pengangkutan massa dan memberi amaran kepada sejuta penduduk bandar raya itu serta sebahagian di kawasan pinggir supaya tidak keluar rumah ketika gerakan memburu dilancarkan.


Peniaga juga diminta supaya tidak membuka perniagaan sementara orang ramai yang berada di perhentian bas dan stesen kereta api bawah tanah diarah pulang.

"Kami percaya lelaki ini ialah pengganas. Kami percaya dia datang ke sini untuk membunuh," kata Pesuruhjaya Polis Boston Ed Davis.


Serangan Isnin lalu meragut tiga nyawa dan mencederakan 180 yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Mangsa letupan bom di Boston disoal siasat

Posted: 19 Apr 2013 09:37 AM PDT

Jeddah: Bapa seorang pelajar Saudi berusia 20 tahun yang menjadi mangsa letupan bom Maraton Boston berkata, anaknya disoal siasat mengenai kejadian itu, tetapi ia hanya prosedur rutin.

Bercakap kepada media Saudi semalam, Ali Alharbi berkata, anaknya, Abdurrahman adalah antara ratusan orang daripada pelbagai negara yang disoal oleh penyiasat.


Kejadian itu meragut tiga nyawa dan mencederakan lebih 170 orang itu.

Abdurrahman menyaksikan perlumbaan itu pada 16 April lalu apabila dua bom yang ditempatkan dalam tong sampah meletup menyebabkan dia cedera di badan.


Seorang lagi warga Saudi, Noura Al-Ajaji, cedera ringan.


Rabu lalu, Ali menulis dalam akaun Twitter anaknya dengan berkata, Abdurrahman mendapat penjagaan yang baik di hospital tempat dia dirawat.

Dia juga memuatnaikkan gambar Abdurrahman, termasuk satu yang menunjukkan pelajar itu bersama-sama dengan pegawai konsul Saudi di New York, Azzam Al Gain yang melawatnya di hospital.


Abdurrahman menjadi topik hangat di media Amerika Syarikat dengan satu artikel yang disiarkan oleh akhbar The New Yorker berjudul The Saudi Marathon Man yang mempersoal sama ada pelajar itu menjadi mangsa perkauman selepas dia disoal siasat. Menurut laporan, ketika dirawat di hospital, pegawai, ejen dan anggota dari unit K9 menyelongkar apartmen Abdurrahman.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

140 banduan di penjara Makkah lancar mogok lapar

Posted: 19 Apr 2013 09:36 AM PDT

Makkah: Direktorat Penjara Arab Saudi akan memberi reaksi kepada tuntutan 140 banduan di penjara Makkah yang melancarkan mogok lapar selama dua hari baru-baru ini.

Akhbar Al-Hayat melaporkan semalam, banduan berkenaan menuntut pihak berkuasa penjara membekalkan mereka perkakasan elektrik seperti cerek elektrik dan penggosok baju.


Pihak berkuasa mulanya menolak tuntutan itu dengan alasan ia mengancam keselamatan banduan.

Jurucakap direktorat Kolonel Ayoub Naheet memberitahu akhbar berkenaan, beliau bersama Pengarah Penjara Makkah dan anggota Suruhanjaya Hak Asasi serta Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NSHR) menemui banduan terbabit dan mendengar tuntutan mereka.


Beliau kemudian menyediakan laporan mengandungi tuntutan itu dan menghantarnya kepada pejabat Emir Makkah. Menurut Ayoub, beliau masih menanti jawapan daripada pejabat berkenaan.


"Semua tuntutan banduan itu adalah sah tetapi pihak direktorat tidak boleh menerima penggunaan mogok lapar sebagai cara untuk menyuarakan tuntutan mereka kerana tindakan seumpama itu mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan mereka," katanya.

Beliau berkata, banduan berkenaan mengadu mereka tidak dipedulikan oleh pelbagai pertubuhan dan dokumen mereka mengambil masa terlalu lama untuk diproses.


Timbalan Penyelia NSHR cawangan Makkah, Ibrahim Al-Nihyani berkata, banduan itu sudah menghentikan mogok lapar selepas tuntutan mereka didengar.

Menurutnya, NSHR juga akan menghantar laporan kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan.


Peguam Ahmad Al-Sidiri berkata, sebahagian banduan sudah mengakhiri tempoh hukuman tetapi masih kekal di penjara kerana hak peribadi mereka masih belum dipenuhi. Untuk dibebaskan, mereka perlu memenuhi hak itu.


Bagaimanapun, prosedur birokrasi kadang kala menjadi punca mereka terus ditahan meskipun sudah menamatkan tempoh hukuman.


"Jika seorang banduan sudah menjalani tempoh hukuman tetapi tidak mampu memenuhi hak peribadi, dia sepatutnya sudah dibebaskan. Bagaimanapun, jika dia sudah menamatkan tempoh hukuman itu tetapi masih dipenjara kerana layanan yang tidak adil, banduan itu patut memfailkan tuntutan pampasan," kata Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

27 korban bom dalam kafe siber

Posted: 19 Apr 2013 09:35 AM PDT

Seorang penyerang berani mati meletupkan dirinya dalam sebuah kafe popular di kalangan golongan muda yang mengguna Internet, menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh.

Kejadian yang disifatkan sebagai serangan tunggal terburuk tahun ini di ibu negara Iraq itu turut menyebabkan puluhan orang cedera.


Serangan lewat malam di barat Baghdad itu dilakukan dua hari menjelang pilihan raya peringkat wilayah yang akan menjadi ujian penting terhadap kestabilan politik Iraq selepas lebih setahun askar terakhir Amerika Syarikat meninggalkan negara itu.

Polis dan saksi berkata, petugas kecemasan bergelut untuk menarik keluar mangsa yang terperangkap apabila letupan itu memusnahkan sebahagian bangunan yang turut menempatkan sebuah pusat beli-belah di bawah kafe Dubai yang terletak di tingkat tiga.


"Letupan itu amat kuat. Sebahagian bangunan runtuh menyebabkan mereka yang membeli-belah di bawah juga cedera," kata polis.


Sepuluh tahun selepas pencerobohan yang diketuai tentera Amerika Syarikat, pejuang Sunni yang ada kaitan dengan al-Qaeda melakukan sekurang-kurangnya satu serangan besar dalam sebulan. Bagaimanapun, kumpulan berkenaan meningkatkan serangan berani mati sejak awal tahun ini sebagai sebahagian daripada kempen untuk mencetuskan konfrontasi antara penduduk Syiah dengan Sunni.

Lebih 30 orang terbunuh dalam beberapa siri pengeboman di seluruh Iraq Isnin lalu dan lebih 12 calon pilihan raya maut menjelang hari pengundian hari ini. Pilihan raya untuk memilih ahli majlis wilayah akan menjadi kayu pengukur bagi Perdana Menteri Nuri al-Maliki sebelum pilihan raya Parlimen diadakan tahun depan.


Peningkatan dalam keganasan di Iraq menyebabkan krisis politik berlaku dalam kerajaan Nuri yang berfahaman Syiah. Kerajaannya yang turut dianggotai kumpulan Arab Sunni dan Kurdis hampir lumpuh sejak tentera Amerika Syarikat meninggalkan Iraq pada Disember 2011.

Kumpulan tempatan al-Qaeda, Negara Islam Iraq sebelum ini berikrar untuk meningkatkan serangan. Pegawai keselamatan berkata, pengaruh kumpulan itu semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Israel mungkin bekal senjata kepada penentang Syria

Posted: 19 Apr 2013 09:35 AM PDT

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel enggan menolak kemungkinan membekalkan senjata kepada kumpulan penentang rejim Syria.

Dalam wawancara dengan sebuah stesen televisyen, Benjamin Netanyahu menyifatkan keputusan sama ada untuk campur tangan dalam perang saudara di negara itu atau tidak adalah persoalan yang amat rumit.


Meskipun pemimpin rejim Zionis itu tidak menyatakan dengan jelas komitmennya, kenyataan itu membayangkan dia sekurang-kurangnya menimbang untuk mengubah pendirian berkecuali dalam perang saudara di Syria yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

Sekutu utama Israel, termasuk Amerika Syarikat dan dan Jordan sudah mula menghulurkan bantuan kepada kumpulan sekular dan sederhana yang di Syria meskipun bimbang kumpulan Islam semakin berpengaruh di kalangan pejuang yang menentang rejim Bashar al-Assad.


Netanyahu berkata demikian ketika berbincang mengenai keadaan keselamatan yang semakin buruk di Syria dalam wawancara dengan BBC World News apabila ditanya sama ada Israel terbabit memberi bantuan senjata kepada kumpulan penentang berkenaan.


Pemimpin Zionis itu berkata, dia tidak dapat mengesahkan spekulasi itu tetapi tidak pula menafikannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/20

Bukan helikopter biasa

Posted: 12 Apr 2013 01:25 PM PDT

Sekali pandang, ia kelihatan tidak ubah seperti sebuah helikopter biasa, tetapi pesawat baru Northrop Grumman itu kekurangan sesuatu yang penting - juruterbang.

Pesawat MQ-8C Fire Scout itu dipamerkan kepada umum kali pertama beberapa hari lalu.


Ia dilengkapi peralatan elektronik tercanggih sehingga membolehkan ia dikendalikan tanpa juruterbang.

Pada masa sama, ia tetap mempunyai kemampuan sama seperti helikopter normal. Kenyataan firma Northrop Grumman menyebut, pesawat canggih itu dilengkapi pengesan untuk bertugas sebagai peninjau, pemantau dan pencari sasaran.


"Ia memberi sokongan kepada tuntutan perang bagi meningkatkan kesedaran terhadap situasi semasa," katanya.


MQ-8C Fire Scout itu menggabungkan dua sistem udara terbaik dalam pakej kos rendah serta pantas.

Awal tahun ini, Tentera Laut Amerika Syarikat menganugerahkan kontrak bernilai AS$71 juta (RM215.6 juta) kepada Northrop Grumman untuk menghasilkan enam pesawat tambahan MQ-8C bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 unit.


Naib Presiden Northrop Grumman, George Vardoulakis berkata, kontrak itu memberikan momentum penting kepada syarikat berkenaan bagi memenuhi keperluan Tentera Laut AS. Helikopter tanpa juruterbang itu dibina berdasarkan helikopter Bell 407 yang sering digunakan hospital, agensi berita, pengeluar filem dan penguat kuasa di seluruh dunia. Lebih 1,000 unit telah dijual dengan mencatatkan jumlah penerbangan terkumpul selama lebih tiga juta jam.

Namun, kini model itu mengalami pengubahsuaian radikal. Kata Northrop Grumman, pesawat MQ-8C itu boleh melaksanakan misi di darat atau laut, selain mampu berlepas atau mendarat di atas kapal perang.


"Ia juga boleh menjayakan pendaratan berjadual atau tidak bagi menurunkan tentera," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/13

No comments:

Post a Comment