Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Impak besar Wan Zack

Posted: 14 Apr 2013 10:54 AM PDT

Okinawa, Jepun: Impak diberikan pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor pada penampilan pertama bersama kelab barunya, FC Ryukyu kelmarin menjadi bualan hangat peminat bolasepak kelab liga divisyen tiga Jepun itu.

Ternyata aksi yang dipamerkan bekas pemain Harimau Muda berusia 22 tahun itu ketika membantu FC Ryukyu menewaskan Sagawa Printing SC 2-1 tidak mengecewakan.


Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu Sotaro Shinoda berkata, ramai peminat mula berbicara mengenai persembahan Wan Zack Haikal menerusi laman web rasmi kelab serta medium internet lain seperti Facebook.

"Ramai peminat terkejut apabila Wan Zack Haikal menyatakan dia tidak berpuas hati dengan permainannya kerana beraksi kurang baik sedangkan peminat semua menganggap dia beraksi dengan begitu baik," katanya.


Wan Zack Haikal, pemain kelahiran Pahang yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan FC Ryukyu, beraksi selama 80 minit pada penampilan sulung di Stadium Okinawa Athletic kelmarin.


Meskipun tidak menjaringkan gol namun gerakannya di bahagian sayap kiri banyak memberikan masalah kepada pertahanan lawan yang kerap mengasarinya sehingga dia terpaksa dikeluarkan kerana mengalami sedikit kesakitan di pangkal paha.

Foto

WAN ZACK (kiri) pamer aksi menakjubkan walau gagal jaring gol.

Seorang lagi pemain negara, Nazirul Naim Che Hashim tidak diturunkan kerana dilanda kecederaan buku lali kanan ketika latihan.


Aksi Wan Zack Haikal itu bukan saja memikat hati peminat kelab yang berpangkalan di Okinawa itu malah turut mendapat liputan akhbar tempatan seperti Okinawa Times dan Ryukyu Shimbo semalam.

Menurut Shinoda, selepas permulaan yang baik dipamerkan Wan Zack Haikal kini peminat kelab itu mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripadanya.


"Ramai peminat tidak menyangka dia boleh bermain dengan baik pada perlawanan pertama dan sekarang mereka yakin dia boleh tampil lebih hebat jika mendapat keserasian bersama pemain lain," katanya.


Kemenangan ke atas Sagawa itu melonjakkan FC Ryukyu ke tangga keempat dengan mengumpul 11 mata selepas enam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

PSG makin selesa

Posted: 14 Apr 2013 10:48 AM PDT

Paris: Jaringan separuh masa kedua Blaise Matuidi sudah cukup buat Paris St Germain melakar kemenangan 1-0 ke atas kelab bawahan liga Troyes dan melebarkan kelebihan 10 mata di kedudukan teratas Ligue 1, kelmarin.

PSG, yang mengikat Barcelona 1-1 pada awal pagi Khamis lalu namun tersingkir dalam kancah Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol tempat lawan, mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar.


"Amat sukar kerana kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk kembali cergas. Kami tahu ia bukan alasan namun kami tidak mempunyai pengalaman yang cukup dalam menangani situasi ini," kata penjaga gol PSG, Salvatore Sirigu.

"Kami hanya mahu melakukan tugas kami dan kami perlu meningkat. Kami tidak boleh mengulangi persembahan yang dipamerkan pada separuh masa pertama malam ini (kelmarin)." Matuidi mencetus kemenangan dengan menyempurnakan peluang yang jarang diperoleh apabila rembatannya mengatasi penjaga gol Yohann Thuram-Ulien berikutan hantaran silang Gregory Van der Wiel.


PSG kini mengumpul 67 mata dan 10 mata mengatasi Olympique Marseille ketika saingan berbaki enam perlawanan.


"Sepuluh mata adalah jurang yang besar namun Marseille dan Lyon masih mengejar kami. Kami perlu berhati-hati hingga hujung musim," kata Sirigu.

Marseille yang mengumpul 52 mata di kedudukan kelima bertandang ke Lille, semalam.


Pendahulu liga itu mencipta peluang pertama selepas perlawanan memasuki tiga minit dengan Kevin Gameiro, menggantikan pemain yang digantung Zlatan Ibrahimovic untuk mengetuai jentera serangan, mempunyai peluang terhidang menerusi hantaran Marco Verratti namun Thuram-Ulien berjaya menafikannya.

Troyes melakukan beberapa gerakan menarik dan hampir membuka jaringan selepas lapan minit namun sepakan kencang Stephane Darbion sekadar menggegar tiang.


Tuan rumah terus berusaha membuka jaringan namun gagal menewaskan Sirigu yang ampuh bertahan di gawang apabila turut menafikan usaha yang dilakukan Marcos dan Fabien Camus pada pertengahan separuh masa pertama. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Jaringan lewat Baptista julang Malaga

Posted: 14 Apr 2013 10:48 AM PDT

Madrid: Julio Baptista meledak jaringan masa kecederaan untuk membolehkan Malaga mencatat kemenangan 1-0 mengatasi Osasuna di laman sendiri awal pagi semalam bagi membantu kelab itu bangkit selepas tersingkir dalam kancah Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.

Pemain Brazil itu tidak dikawal dalam kotak penalti selepas bola sepakan percuma menuju ke kawasan itu dan dia menolaknya mengatasi Andres Fernandez pada minit ke-93.


Jaringan ketika masa kecederaan amat bermakna ketika dua minit masa tambahan menyaksikan jaringan Borussia Dortmund membolehkan kelab itu melepasi suku akhir kancah elit kejohanan Eropah dengan kemenangan 3-2 secara agregat pada awal pagi Rabu lalu.

Tamat perlawanan, Baptista dan pemain Malaga berkumpul di atas padang di Rosaleda bagi mengucapkan terima kasih kepada penyokong mereka yang memberikan sokongan padu kepada kelab itu selepas persembahan hebat pada penampilan pertama di Liga Juara-Juara.


Skuad kendalian Manuel Pellegrini kini melonjak ke kedudukan kelima dengan 50 mata ketika saingan berbaki tujuh perlawanan, terikat dengan Valencia yang jatuh ke tangga keenam selepas skuad kendalian Ernesto Valverde seri 3-3 dengan Espanyol.


Pasukan di tempat keempat Real Sociedad, kedudukan terakhir layak ke Liga Juara-Juara dengan mengumpul 51 mata, menentang Rayo Vallecano awal pagi tadi.

Saingan di Cornella El Prat menyaksikan Espanyol menyamakan kedudukan menerusi sepakan terakhir perlawanan untuk mencatat keputusan seri menentang Valencia, selepas empat gol dijaringkan dalam 10 minit terakhir di Barcelona.


Penyerang Espanyol Sergio Garcia mengatasi Victor Ruiz untuk merembat tinggi menggegar gawang pada minit ke-94 selepas Valencia dilihat bakal meraih tiga mata apabila meledak dua jaringan pantas di hujung perlawanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Siena keluar zon bahaya

Posted: 14 Apr 2013 10:47 AM PDT

Rome: Siena keluar daripada zon penyingkiran Serie A selepas kemenangan 3-2 dalam perlawanan getir dan kontroversi menentang kelab bawahan Pescara awal pagi semalam ketika Fiorentina menghampiri kedudukan ketiga bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

Innocent Emeghara menjaringkan gol pada minit ke-86 susulan Pescara bangkit selepas ketinggalan 0-2 untuk melonjak ke tangga ke-17 dengan mengumpul 30 mata, tiga mata mengatasi Genoa dan Palermo yang masih kurang satu perlawanan dan sembilan mata berbanding pasukan terbawah liga.


Fiorentina kendalian Vincenzo Montella mengatasi perlawanan sukar bersama Atalanta apabila melakar kemenangan penting menerusi penalti ketika perlawanan memasuki tempoh sejam hasil sepakan David Pizarro susulan bola terkena Guigliemo Standardo dan jaringan Marcello Larrondo 11 minit kemudian.

Fiorentina ketinggalan tiga mata di belakang AC Milan beraksi kurang satu perlawanan.


"Seperti yang kami katakan sebelum perlawanan, kami perlu terus memandang ke depan selain turut memerhatikan pasukan yang mengekori," kata Montella mengenai Lazio yang mengekori rapat kedudukan mereka.


"Kemenangan ini memberikan kami satu lagi lonjakan ke arah yang tepat. Objektif utama kami adalah layak ke Eropah." Atalanta, di kedudukan ke-13 dengan 37 mata dan masih belum selamat di zon penyingkiran, menyaksikan German Denis dibuang padang pada minit terakhir kerana terjahan keras ke atas pemain tengah Fiorentina, Pizarro. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Falanie ungguli Terbuka Lelaki

Posted: 14 Apr 2013 10:47 AM PDT

Melaka: Walaupun kali pertama melalui trek bagi kawasan hutan berhampiran Durian Tunggal dan Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) tidak menghalang Ahmad Falanie Ali dari Kuala Lumpur mengungguli kategori terbuka lelaki pada Kayuhan Mini Jambori Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Kelab Berbasikal Tasik Utama (TUCC), semalam.

Latihan di pelbagai bentuk muka bumi secara konsisten menjadikan pembantu tadbir di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mampu meraih tempat pertama pada acara julung kali dianjurkan oleh PKNM dan TUCC untuk basikal gunung itu.


Menurut Ahmad Falanie, baginya trek yang dilaluinya agak 'biasa' dan sama seperti tempat dia dan rakan berlatih sebelum ini.

Namun, katanya ia juga bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal di samping pengalaman selama 10 tahun berbasikal menjadikan pelbagai halangan pada laluan sepanjang 35 kilometer itu bukan satu penghalang.


"Saya juga pernah menyertai jambori 100 peratus dengan melalui trek 'off-road' dan latihan juga turut melalui laluan mencabar tanpa laluan tidak sukar dan ini tidak memberi halangan buat saya pada hari ini (semalam).


"Rezeki saya hari ini boleh menang dan kali pertama juga dapat nombor satu bagi jambori yang diadakan di negeri Melaka," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Seramai 570 peserta menyertai mini jambori itu dengan acara dibahagikan kepada tiga iaitu kategori terbuka lelaki, wanita dan industri.


Bagi setiap kategori juara meraih hadiah wang tunai RM300, RM200 (kedua) dan RM100 (ketiga) dan hadiah bagi pemenang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Yusof Jantan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut melepaskan peserta jambori mini itu.


Sementara itu, bagi kategori sama tempat kedua dimenangi Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Zamzi Mahamat (ketiga).


Dalam kategori terbuka wanita tempat pertama diraih Mariam Kamal, Aimi Iwasaki (kedua) dan Nor Wa heda Kamaruddin (ketiga).


Bagi kategori industri pula Mohd Azmu Abd Latip muncul juara diikuti Elambre Eugenio (kedua) dan Awaluddin Bujang (ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Mohd Safwan, Poh Kuan atlet cemerlang MSSP

Posted: 14 Apr 2013 10:46 AM PDT

Kuantan: Dua cacatan rekod baru kejohanan dalam acara lontar peluru dan melempar cakera berjaya menobatkan atlet kebangsaan, Chin Poh Kuan selaku olahragawati Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pahang (MSSP) di Stadium Darul Makmur, minggu lalu.

Dalam acara lontar peluru atlet yang mewakili kontinjen MSS Bentong itu bersaing bagi kategori bawah 18 tahun dan berjaya mencatat 10.35 meter dan 32.90 meter bagi acara lempar cakera.


Anugerah olahragawan juga berpihak kepada atlet MSS Bentong, Mohd Safwan Saffri yang mencatat rekod baru dalam acara 110 dan 200 meter lelaki B-18.

Poh Kuan yang kini belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, selepas berjaya mencatat dua rekod baru kejohanan MSSP sasaran kini adalah merangkul pingat emas pada kejohanan MSSM bulan depan.


Menurutnya, dia akan berusaha melakukan cacatan 12 meter dalam acara lontar peluru dan 35 meter bagi acara melempar cakera sekali gus mencerahkan peluang merangkul pingat emas.


"Tempoh masa yang ada akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi kekuatan fizikal selain memperkemaskan lagi teknik balingan dalam dua acara ini.

"Saya berharap penyertaan kali keenam pada MSSM di Kuantan bulan depan akan menjadi sejarah terindah seterusnya dapat membantu kontinjen Pahang cemerlang di laman sendiri," katanya.


Poh Kuan yang mewakili negara pada Kejohanan 'Little Athletics' WALAA di Perth, Australia pada 2010 dan 2011 berkata, kejayaan meraih dua pingat emas pada MSSM tahun lalu diharap berulang tahun ini.

Sementara itu, bagi Mohd Safwan, kejayaan cemerlang pada MSSP kali ini diharap menjadi landasan membantu kontinjen Tok Gajah berada dalam kelompok terbaik pada kejohanan MSSM.


"Saya percaya saingan pada kejohanan MSSM kali ini lebih sengit namun kelebihan beraksi di gelanggang sendiri diharap berakhir dengan kejayaan membanggakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

'Lupakan kes'

Posted: 14 Apr 2013 10:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang tidak mahu memanjangkan beberapa insiden yang membabitkan pengurus skuad trek negara Ibrahim Mustapa semasa Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, bulan lalu.

Ibrahim yang juga Setiausaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menarik perhatian banyak pihak apabila didakwa menghilangkan diri semasa saingan sedang berlangsung dengan melawat Taj Mahal selain perkara membabitkan aspek pemakanan dan dobi atlet negara.


"Tutup kes. Saya tidak mahu memeningkan kepala memikirkan perkara ini. Saya mahu memberikan tumpuan kepada latihan selain pelajaran ketika ini," kata Azizulhasni ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Azizulhasni sebelum ini mempertahankan tindakannya mendedahkan perkara itu kepada umum kerana beranggapan ia kerap kali berlaku dan kejadian di India sudah tidak mampu disembunyikan lagi sebagai salah seorang pelumba senior dalam skuad negara.


Kekecohan di New Delhi mula didedahkan Azizulhasni apabila Ibrahim gagal berada di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi semasa majlis penyampaian pingat emas pertama skuad negara yang menyaksikan ia hampir berlangsung tanpa lagu NegaraKu dimainkan.


Ibrahim sebaliknya bersama skuad paracycling negara berada di Taj Mahal yang mana beliau turut bertindak sebagai pengurus mereka.

PKBM bagaimanapun sudah memutuskan untuk menghadapkan Ibrahim bagi diadili Jawatankuasa Disiplin susulan kegagalannya be rada di velodrom ketika atlet negara sedang bersaing dalam acara yang disertai.


Selain Ibrahim, beberapa insiden lain membabitkan atlet lebuh raya negara turut mendapat perhatian PKBM yang menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengenakan hukuman setimpal ke atas mereka yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Fakhrusy beraksi pada ARRC

Posted: 14 Apr 2013 10:43 AM PDT

Sepang: Fakhrusy Syakirin Rostam memulakan langkah baru dalam kariernya apabila pelumba muda itu disenaraikan menyertai Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Naib juara kategori Wira Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 itu akan bersaing bagi kategori Underbone 115cc mewakili pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.


Turut mewakili pasukan itu juara Underbone 115cc 2009, Mohd Affendi Rosli dan pelumba muda Jepun, Kazuki Masaki.

"Mengambil bahagian dalam perlumbaan Underbone 115cc ini bagai mimpi jadi kenyataan. Bukan mudah untuk pelumba muda seperti saya diserap ke dalam antara pasukan terbaik di Malaysia. Jadi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada SCK Racing, terutamanya pengurus pasukan, Soong Chee Kieong kerana memberi peluang dan kepercayaan untuk membuktikan kebolehan saya," ujar Fakhrusy.


Walaupun yakin mampu memberi saingan pada perlumbaan pembuka musim itu, Fakhrusy tidak mahu terlalu yakin kerana kehadiran ramai pelumba berbakat dan mempunyai lebih banyak pengalaman.


"Misi mencari kejayaan pada Kejuaraan ARRC ini amat sukar kerana ada ramai pelumba berkebolehan. Bagaimanapun saya tidak tertekan kerana ini hanyalah tahun pertama saya beraksi pada kejuaraan ini dan fokus saya hanyalah untuk mencari pengalaman dan mempamerkan peningkatan pada setiap pusingan," jelas Fakhrusy yang berasal dari Johor.

Sementara itu, pengurus pasukan, Chee Kieong menjelaskan mengapa beliau memilih Fakhrusy untuk menyertai SCK Racing tahun ini.


"Fakhrusy seorang pelumba berbakat besar dan meletakkan dia dalam kejuaraan dengan tahap persaingan yang amat tinggi boleh membawa impak positif terhadap kariernya. Tambahan pula, kami memilih Fakhrusy untuk mewakili pasukan ini kerana dia salah seorang pelumba yang amat konsisten di litar dan amat berdisiplin," kata Chee Kieong.

Tiket masuk dan tempat letak kenderaan pada Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang adalah percuma buat orang awam.


Maklumat lanjut sila hubungi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR) di talian 03-87338787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Motosikal Asia PET RONAS (ARRC) di www.asiaroadracing.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Bintang Asia rampas tempat ketiga

Posted: 14 Apr 2013 10:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan Bintang Asia menamatkan saingan Piala Axiata di tempat ketiga selepas menewaskan juara bertahan, Indonesia 3-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Bagai dijangka pasukan Asia meraih mata pertama menerusi perseorangan wanita Tai Tzu Ying yang mengatasi Lindaweni Fanetri 21-18, 22-20.


Percaturan menurunkan Dionysius Hayom Rumbaka untuk merampas mata daripada Lee Hyun Il juga tidak menjadi apabila Hyun Il menang 21-19, 16-21, 21-6 menjadikan kedudukan Asia mendahului 2-0.

Harapan Indonesia untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dihidupkan beregu campuran, Muhammad Rijal-Debby Susanto yang menang 16-21, 21-16, 21-15 ke atas Tarun Kona-Ashwini Ponappa menjadikan kedudukan 2-1.


Hendra Setiawan-Muhammad Ahsan yang turun menentang Zheng Bo-Bao Chunlai dalam pertemuan hidup mati Indonesia itu tidak mampu menyelamatkan keadaan apabila Ahsan mengalami kecederaan dan Garuda tidak mampu bertarung selepas kalah 12-21 di set pertama, mengambil keputusan menarik diri.


Hasil kemenangan itu, bintang Asia membawa pulang wang tunai AS$150,000 (RM456,179) manakala Indonesia AS$100,000 (RM304,119).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

Tonik terbaik!

Posted: 14 Apr 2013 10:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasukan campuran negara mendapat suntikan semangat sebelum bersaing pada Piala Sudirman bulan depan apabila muncul juara Piala Axiata menewaskan Thailand 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan pasukan negara memenangi hadiah wang tunai AS$400,000 (RM1.2 juta) sementara Thailand AS$200,000 (RM608,239).


Harapan melihat Sonia Cheah melakar kejutan sama seperti menewaskan pemain nombor sembilan dunia, Tai Tzu Ying tidak kesampaian.

Namun perseorangan wanita negara yang menduduki ranking ke-41 dunia itu tetap memberi saingan sengit sebelum tewas 16-21, 17-21 kepada jaguh Thailand, Ratchanok Intanon menyebabkan skuad negara ketinggalan 0-1.


Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menyamakan kedudukan apabila pasangan kelima dunia itu mengatasi gandingan nombor enam dunia Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam 21-16, 21-15.


Perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, di sebalik baru saja menerima cahaya mata sulung Jumaat lalu, menjadikan kedudukan 2-1 apabila menang ke atas Tanongsak Saensomboonsuk 21-12, 21-18.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang turun sebagai pasangan terakhir tidak menghampakan apabila menang ke atas Boonsak Ponsana-Songphon Anugritayawon 21-10, 21-17.


"Saya turun beraksi selepas pasukan meminta saya untuk memastikan kita meraih kejuaraan pertama dalam acara berpasukan campuran, memang keputusan ini dibuat saat akhir. Saya juga fikir, kemenangan akan membantu meningkatkan psikologi bagi Piala Sudirman," kata Chong Wei yang mahukan kejuaraan pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Axiata.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara berpasukan campuran adalah pada temasya Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan kali pertama melakukannya di Komanwel Melbourne 2006.


Sementara itu itu, barisan Bintang Asia menang 3-1 ke atas juara bertahan Indonesia, sekali gus muncul pemenang tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$150,000 (RM456,179) manakala Indonesia AS$100,000 (RM304,119).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/15

No comments:

Post a Comment