Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


'Kami tak akan disakiti lagi'

Posted: 16 Apr 2013 01:09 PM PDT

London: Seorang ibu yang sarat mengandung dipercayai membunuh diri bersama tiga anaknya selepas menulis dalam laman Facebooknya: "Kami tak akan disakiti lagi."

Fiona Anderson dikatakan terjun dari sebuah bangunan tempat letak kereta setinggi 15 meter.


Beberapa jam kemudian tiga anaknya, Levina, tiga, Addy, dua dan Kyeden yang berumur 11 bulan ditemui mati di rumah panagsanya, kira-kira suku kilometer dari bangunan berkenaan.

Rakannya mendedahkan, Fiona, 'ibu pintar' yang berusia 23 tahun meninggalkan beberapa mesej meluahkan rasa kecewa selepas Craig McLelland, bapa ketiga-tiga anaknya, meninggalkannya untuk bercinta dengan wanita lain.


Dia sebelum ini menulis: "Tidak ada siapa inginkan kami. Tidak ada siapa yang membantu kami. "Orang sepatutnya membantu kami menipu dan cuba mengambil anak saya. Hanya Craig yang kami ada, tetapi dia juga sudah pergi." Fiona dari Lowestoft, Suffolk, juga menulis: "Ibu amat sayangkan kamu dan saya akan sentiasa menjaga kamu. Saya memohon maaf kerana menyebabkan kamu kecewa. Kita tak akan disakiti lagi." Pakar Patologi dari Pejabat Dalam Negeri semalam melakukan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu untuk menentukan punca kematian mereka.


McLelland tiba di rumah pangsa Fiona selepas dimaklumkan ada orang membunuh diri. "Saya dapat merasakan siapa dia," katanya.

Foto

FIONA

Foto

MCLELLAND bersama ketiga-tiga anaknya.

Foto

RUMAH pangsa tempat mayat kanak-kanak itu ditemui.

Rakan Fiona Karleigh Burlingham, 20, berkata, Craig meninggalkan wanita itu kira-kira sebulan lalu.


"Ketiga-tiga anaknya sihat dan dibesarkan dengan baik. Dia melalui saat getir." Seorang rakan lain berkata: "Kami diberitahu dia menulis dalam laman Facebooknya malam tadi: 'Anak saya akan pergi bersama saya.' Tidak sangka ada orang terfikir dia akan mencederakan dirinya, lebih-lebih lagi anaknya. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Sarkas diharam guna haiwan liar

Posted: 16 Apr 2013 12:53 PM PDT

Northamptonshire: Persembahan Sarkas di Britain akan diharam daripada menggunakan haiwan liar menerusi undang-undang yang akan dipinda.

Rang undang-undang mengenainya akan dibentangkan dan ia akan menyaksikan pengharaman penggunaan haiwan liar eksotik. Hanya binatang domestik seperti arnab, anjing dan kuda dibenar melakukan persembahan.


Langkah itu dibuat selepas akhbar Daily Mail mendedahkan kekejaman yang dilakukan ke atas seekor gajah, Anne yang hidup dirantai. Pemiliknya Bobby Roberts didapati bersalah atas tuduhan melakukan kekejaman ke atas haiwan selepas rakaman secara sulit menunjukkan Anne ditendang dan dipukul dengan serampang peladang.

Perbuatan itu mencetuskan bantahan dan pada Jun 2011 anggota Parlimen memutuskan tanpa mengundi mengarahkan menteri terbabit mengenalkan pengharaman penggunaan haiwan liar di sarkas pada 2012.


Aktivis hak asasi haiwan sejak sekian lama mendesak kerajaan mengharamkan penggunaan haiwan seperti kuda belang, singa, harimau, ular dan buaya.


Kerajaan Britain memperkenalkan sistem lesen tahun lalu sebagai langkah sementara dengan pemilik sarkas perlu mendapatkan kebenaran menggunakan haiwan seumpama itu.

Bobby dipercayai memohon lesen mengadakan persembahan dengan haiwan seumpama itu, tetapi gagal memperolehnya. Pengkritik berkata, ia menunjukkan kerajaan melakukan kesilapan besar dalam menawarkan skim itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Naik MRT percuma

Posted: 16 Apr 2013 12:52 PM PDT

Singapura: Singapura semalam mencadangkan rancangan untuk menyediakan pengangkutan percuma ketika waktu puncak setiap pagi bagi mengurangkan kesesakan di rangkaian transit aliran massanya.

Menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA), mereka akan memulakan percubaan selama setahun mulai 24 Jun ini.


Kenyataan LTA menyebut, penumpang yang menaiki kemudahan Metro ke 16 destinasi terpilih sebelum jam 7.45 pagi tidak dikenakan bayaran.

"Pengguna yang tiba di stesen di antara 7.45 pagi dan 8 pagi akan diberi diskaun sehingga 50 sen (RM1.23) daripada harga asal tiket," kata agensi itu.


Harga tiket di Singapura ditentukan bergantung kepada jarak perjalanan masing-masing di antara 83 sen (RM2.04) hingga (RM4.79).


Menurut LTA, pelan itu dibuat untuk menggalakkan orang ramai yang mampu dan mahu membuat perubahan jadual perjalanan harian ke tempat kerja sebelum tiba waktu puncak. "Ia sebahagian daripada usaha kerajaan cuba mengurangkan kesesakan pada setiap pagi hari bekerja dalam tempoh jangka pendek," katanya.

Masalah kesesakan di rangkaian pengangkutan awam Singapura menimbulkan kemarahan orang ramai dan sesetengah daripada mereka menyalahkan kerajaan tidak berusaha secukupnya mengawal jumlah pekerja warga asing di negara itu.


Selain masalah pengangkutan, kebanjiran warga asing juga didakwa mengecilkan peluang pekerjaan dan perumahan untuk warga Singapura.

Kemarahan itu berlarutan sehingga pilihan raya umum pada 2011 apabila parti pemerintah memperoleh jumlah undi paling rendah dalam sejarah 50 tahun ia memerintah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

Saintis cipta tanaman padi serap garam

Posted: 16 Apr 2013 12:51 PM PDT

Manila: Sekumpulan saintis berjaya mencipta tanaman padi yang mampu menyerap garam bagi membolehkan petani bersawah di atas tanah pinggir pantai yang boleh ditebus guna.

Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) berkata, penyelidik agensi itu kini dalam proses menyempurnakan benih sebelum ia dapat diuji secara meluas. Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, IRRI berkata, mereka berharap benih padi baru itu dapat ditanam petani dalam tempoh empat atau lima tahun lagi. Benih baru itu dibangunkan dengan menggabungkan sejenis padi eksotik liar di kawasan air payau dengan benih dibiakkan IRRI.


"Hasilnya sejenis padi baru yang mampu membuang garam diambil dari tanah ke uara melalui kelenjar yang ada pada daun pokoknya," kata kenyataan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

2 pemimpin Abu Sayyaf cedera

Posted: 16 Apr 2013 12:51 PM PDT

Manila: Dua pemimpin kumpulan Abu Sayyaf termasuk seorang daripadanya berada dalam senarai individu paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) cedera, tetapi berjaya melarikan diri dalam serangan tentera di selatan Filipina, kata pihak berkuasa semalam.

Serangan itu, kata pegawai tentera, membunuh lapan militan dan membolehkan pihak berkuasa merampas kubu serta bahan letupan kumpulan terabit.


Komander briged tentera Filipina Carlito Galvez berkata, lebih 100 anggota tentera menyerang kawasan persembunyian Abu Sayyaf di bandar Tipo Tipo, Basilan.

Katanya, tentera memburu dua pemimpin kumpulan itu, Isnilon Hapilon dan Puruji Indama, tetapi kedua-dua mereka melarikan diri. Sekurang-kurangnya tiga anggota tentera cedera dalam pertempuran awal dan dua pertempuran susulan dengan 30 pejuang Abu Sayyaf.


Selepas menawan kubu militan terbabit, kata Galvez, tentera menemui bahan mentah untuk membuat bom, selain komponen raifal penembak curi. Washington menawarkan habuan sebanyak AS5 juta (RM15 juta) bagi menahan atau membunuh Isnilon yang dituduh terbabit dalam serangan bom maut, penculikan dan pembunuhan tebusan termasuk warga Amerika Syarikat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

3 maut dalam letupan Boston

Posted: 16 Apr 2013 12:51 PM PDT

Boston: Dua butir bom yang meletup dalam tempoh selang beberapa saat di garis penamat larian paling banyak diperkatakan di dunia menyebabkan tiga maut dan lebih 140 cedera, manakala jalan raya dipenuhi darah dan kaca, semalam.

Seorang daripada mangsa yang terbunuh ialah budak lelaki berusia lapan tahun.


Di sebalik serangan mengejutkan itu, pihak berkuasa masih tertanya-tanya siapakah yang bertanggungjawab atas serangan itu dan mengapa ia dilakukan. Penyiasat berkata, tiada pihak mengaku bertanggungjawab merancang serangan bom pada Hari Patriotik satu daripada cuti umum paling terkenal di Boston.

Bagaimanapun, letupan yang dilakukan di tengah orang ramai itu mengundang kebimbangan jika ia didalangi pengganas. Ketika mengulas kejadian itu di Rumah Putih, Presiden Barack Obama berhati-hati tidak menggunakan perkataan 'pengganas' atau 'keganasan'. "Kita akan mencari siapa yang melakukan serangan ini. Kita akan mencari sebab ia dilakukan.


"Mana-mana individu, mana-mana kumpulan yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan tegas," katanya.


Sementara itu, sumber Rumah Putih pula berkata, insiden itu ditangani sebagai serangan pengganas. Siasatan kini diketuai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan memperolehi satu waran geledah di sebuah rumah di pinggir Boston.

Pegawai FBI juga meminta sebarang rakaman video, audio atau gambar dirakam penonton maraton itu supaya diserahkan kepada mereka untuk disiasat. Seorang pegawai keselamatan Eropah berkata, bukti awal membayangkan serangan itu bukan dilakukan pengebom berani mati. "Tetapi masih terlalu awal untuk menolak kemungkinan itu sepenuhnya," katanya.


Letupan berkenaan berlaku kira-kira berselang 10 saat dan 90 meter antara satu sama lain.

Ia menyebabkan penonton larian itu tercampak dan sekurang-kurangnya seorang pelari putus kaki. Mangsa lain mengalami patah tulang, cedera terkena serpihan dan rosak gegendang telinga. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/17

No comments:

Post a Comment