Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sorok banduan dalam beg

Posted:

Caracas: Pihak berkuasa penjara kini melarang semua pelawat daripada membawa beg pakaian ke premis itu selepas pengawal nyaris diperdaya melalui percubaan banduan melarikan diri, lapor media semalam.

Baru-baru ini, seorang pembunuh, Gavinson Garcia, masuk ke sebuah beg pakaian dibawa teman wanitanya, Susana Blanco, dalam cubaannya memboloskan diri dari Penjara Yare II.


Bagaimanapun, rancangan itu terbongkar apabila pengawal melihat Susana, 22, bersusah-payah menarik beg pakaian berkenaan ketika melepasi pintu penjara.

Apabila beg berkenaan diperiksa, pengawal penjara menemui Garcia yang cuma bersinglet dan berseluar pendek berkerekot di dalamnya.


Akhbar El Nuevo Herald melaporkan, Garcia meletakkan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.


Sumber berkata, Susana dibayar kira-kira RM3,500 untuk membantu Garcia melarikan diri.

Foto

PENGAWAL penjara menemui Garcia dalam sebuah beg pakaian hitam dibawa teman wanitanya ketika cuba memboliskan diri dari penjara.

"Kami percaya Garcia juga mungkin memberi wang kepada banduan lain untuk bersekongkol dengannya," katanya.


Sumber itu berkata, Garcia mungkin tersilap kerana menyangka pihak berkuasa penjara hanya menjalankan pemeriksaan ke atasnya ketika dia masuk ke situ.

"Barangkali dia tak menjangkakan kami turut memeriksanya ketika dia cuba keluar dari sini," katanya. Keadaan fizikal Garcia yang agak kecil dengan tinggi kira-kira 1.6 meter memudahkan dia dimuatkan di dalam beg berkenaan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Sekolah rampas 68 sampel air mani

Posted:

New York: Sebuah sekolah seni merampas 68 bekas berisi air mani seorang penuntutnya sebelum ia sempat dijadikan bahan pameran.

Menurut sumber, bahan itu ditemui dalam sebuah peti sejuk dan tindakan diambil kerana ia dianggap membawa risiko kesihatan serta keselamatan.


Pameran Take This Sperm And Be Free of Me itu membabitkan 68 bekas mengandungi air mani Marc Bradley Johnson dan ia ditawarkan kepada pengunjung untuk dibawa pulang.

Ia diadakan di Galeri Seni Visual Manhattan. Menurut Johnson, 23, bekas itu mewakili 'penciptaan, keibubapaan, keinginan, kejantanan, fantasi serta realiti', tetapi pihak sekolah berpendapat air mani berkenaan tidak lebih daripada sekadar 'bahan buangan biologi berbahaya.' Kata Johnson, dia mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mempamerkan 'hasil seni' berkenaan. -DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Sewa piramid, Spinx kepada firma asing

Posted:

Kaherah: Kementerian Kewangan memang mengemukakan cadangan supaya Kementerian Antikuiti Mesir mempertimbangkan idea menyerahkan pelbagai monumen negara itu kepada firma asing sebagai langkah segera mengatasi krisis kewangan.

Khabar angin mengenai cadangan itu beredar di Internet sejak beberapa minggu lalu.


Semalam, Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Adel Abdel Sattar mengesahkan kewujudan cadangan berkenaan.

Kata Adel, antara monunen yang dicadangkan untuk diserahkan kepada firma pelancongan antarabangsa itu ialah piramid di Giza, Sphinx, Kuil Abu Simber dan Luxor.


"Memang ada cadangan menyewakan monumen itu, tetapi ia tidak membabitkan Qatar atau sebarang negara lain di Teluk," katanya kepada stesen televisyen ONTV Mesir, semalam.


Sebelum ini, ada laporan mendakwa projek berkenaan dikemukakan sebagai langkah segera Mesir menjala lebih banyak dana bagi mengatasi krisis kewangan. Menurut laporan itu, Qatar berminat dalam perjanjian mengkomersialkan aset sejarah paling berharga Mesir untuk tempoh lima tahun.

Sebagai balasan, Mesir menerima bayaran dianggarkan RM619 bilion - cukup untuk membayar hutang negara serta memulihkan kegawatan ekonomi semasa. Kata Adel, pada Januari lalu dia 'terkejut' apabila Kementerian Kewangan mengemukakan cadangan seorang cendekiawan Mesir, Abdallah Mahfouz, yang menawarkan lelongan bagi hak mengeksploit monumen negara itu.


"Di sebalik bantahan terhadap cadangan itu, saya mendapatkan nasihat perundangan daripada Kementerian Antikuiti dan kami bersetuju menolaknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Kereta jadi barang mewah

Posted:

Singapura: Ketika penduduk republik ini mengeluh dengan harga tinggi Sijil Pemilikan (COE) kereta, beberapa lagi masalah perlu mereka hadapi sebelum dapat memiliki kenderaan.

Pertama, Lembaga Kewangan Singapura (MAS) mengambil langkah mengehadkan pembiayaan untuk kenderaan bermotor.

Ini bermakna, untuk membeli sebuah kereta, mereka memerlukan bayaran pendahuluan 40 hingga 50 peratus, tidak termasuk cukai berkaitan dan COE.

Selain itu, tempoh pinjaman diubah kepada lima daripada 10 tahun. Ia membabitkan kereta baru dan terpakai, tetapi tidak motosikal dan kenderaan komersial.


Selain itu, pihak berkuasa Singapura juga akan mengenakan kadar cukai berperingkat untuk kereta penumpang berdasarkan nilai pasaran terbuka.


Langkah ini menjadikan pemilikan kereta semakin sukar bagi golongan sederhana di republik itu.

Dalam pada itu, Singapura juga akan melaksanakan denda terhadap kereta yang mengeluarkan asap pada tahap tertentu mulai Julai ini sementara sesetengah bank sudah mengumumkan kenaikan kadar faedah pinjaman.

Sebahagian besar penduduk negara itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ramai berkata, tindakan terbaru itu hanya menjarakkan lagi jurang antara golongan kaya dengan miskin.

Penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata: "Saya terfikir untuk membeli sebuah BMW3. tetapi, selepas pengumuman langkah itu, segala impian saya musnah.

"Saya perlu membayar wang pendahuluan S$200,000 (RM440,000) untuk pinjaman pinjaman 50 peratus. Sudah tiba masanya saya pindah ke luar negara."

Wang pendahuluan yang tinggi juga akan mendorong orang ramai membeli kereta lebih kecil. Ini bermakna peningkatan jumlah kereta kecil di republik itu dan menjadikan kereta eksotik lebih eksotik.

Mereka yang pasti terjejas ialah pasangan muda, keluarga dan pegawai pemasaran yang memerlukan kenderaan untuk tugas masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Biscuit sama berat budak empat tahun

Posted:

St Charles (Missouri): Dengan berat 16 kilogram, kucing bernama Biscuit ini hampir sama berat dengan kanak-kanak berusia empat tahun.

Sebuah pusat perlindungan haiwan kini berusaha mencari rumah baru untuknya.


Pemilik pertama kucing itu ialah wanita cacat terlalu memanjakannya, termasuk memberi haiwan itu banyak makan.

Kini, Biscuit mempunyai berat tiga kali ganda berbanding kucing dewasa biasa.


Biscuit diserahkan oleh tuannya kira-kira setahun lalu kerana tidak berdaya untuk menjaganya, kata jurucakap pusat perlindungan, Teresa Gilley.


"Tuannya tidak berniat membuang Biscuit. Dia tidak mampu lagi untuk menjaganya dengan lebih baik," kata Gilley. Menurut Gilley, kucing itu kini sudah mula menyesuaikan diri dengan diet rendah kalori.

"Ketika mula tiba, dia hanya boleh berjalan beberapa tapak sebelum duduk dalam keadaan mencungap. Kini, tenaganya sudah meningkat. 'Malah dia sudah boleh melompat naik ke atas kerusi," kata Gilley. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Rakyat Fiji sertai Taliban

Posted:

Suva: Polis Fiji bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat laporan kononnya rakyat negara itu menyertai Taliban.

Meskipun Liga Muslim Fiji menyangkal laporan berkenaan, Pengarah Jabatan Jenayah Luke Rawalai berkata, mereka memandang serius terhadap dakwaan itu.


Katanya, rakyat Fiji yang menyertai Taliban melanggar undang-undang antikeganasan negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

600 pekerja Indonesia dipindahkan

Posted:

Lahad Datu: Kira-kira 600 warga Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit di sini dipindahkan ke kawasan selamat berikutan ketegangan yang dicetuskan penceroboh rakyat Filipina.

Langkah memindahkan mereka dilakukan pejabat konsul Indonesia di Sabah.

Pegawai konsul Soepeno Sahid memberitahu wartawan, tindakan itu diambil selepas berlaku kejadian tembak menembak kelmarin yang meragut 12 nyawa penceroboh Filipina dan dua anggota polis Malaysia.

Semua warga Indonesia itu bekerja di ladang Felda Sahabat 17 yang diduduki 200 orang keturunan Sultan Sulu sejak 11 Februari lalu.


"Mereka akan kembali ke ladang itu sebaik krisis berakhir kononnya untuk menuntut hak ketuananan terhadap Sabah," kata Soepeno. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

Cuba lemas kekasih dengan payu dara

Posted:

Unna (Jerman): Seoranq wanita dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan cuba menyebabkan teman lelakinya lemas dengan mengguna payu daranya.

Karin Hoffer dituduh mengepit muka teman lelakinya dengan payu daranya ketika mereka melakukan seks.

Mahkamah diberitahu, lelaki itu, Andreas Koller terpaksa bergelut untuk bernafas dalam kejadian berkenaan.

Pendakwa raya berkata, sebaik Koller berjaya melepaskan diri daripada dada Karin, wanita berusia 33 tahun itu cuba mencekiknya pula.


Hakim menangguhkan kes itu apabila peguam memberitahu mahkamah, tertuduh mengalami 'trauma psikologi' dan tidak berdaya menjalani perbicaraan.


"Saya sungguh mencintainya. Dia tidak memerlukan hukuman penjara. Yang diperlukan ialah terapi psikiatrik," kata Koller. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

No comments:

Post a Comment