Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bakar 11 motor

Posted: 30 Nov 2012 02:04 PM PST

KAJANG: Perbuatan khianat dipercayai motif 11 motosikal dengan 10 daripadanya musnah dalam kebakaran membabitkan pelbagai motosikal di Pangsapuri Kos Rendah Taman Tasik, Sungai Chua, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian jam 3.30 pagi itu dilakukan sekumpulan individu yang menyimbah minyak petrol sebelum membakar motosikal milik penduduk itu.


Menurut mangsa yang dikenali sebagai Suraya, 25, dia terdengar bunyi bising di tingkat bawah rumahnya, tetapi tidak mengendahkannya kerana menyangkakan pergaduhan di kalangan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila terdengar letupan kuat sebelum seorang jirannya menjerit meminta dia keluar menyelamatkan diri.


"Saya terus turun dan terkejut apabila mendapati motosikal saya yang dibeli sejak dua tahun lalu musnah dijilat api.


"Api menjulang tinggi dan asap tebal menyebabkan tembok kaki lima dan bahagian depan rumah saya di tingkat satu hitam dan hampir terbakar," katanya.

Katanya, kejadian itu yang pertama membabitkan kenderaan penduduk dibakar meskipun sebelum ini kerap berlaku insiden pergaduhan di pangsapuri berkenaan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

"Siasatan awal tidak menolak kejadian itu bermotifkan dendam dan kami masih menunggu keputusan siasatan di tempat kejadian daripada unit forensik untuk mengesan suspek," katanya.


Katanya, berdasarkan rekod polis, tiada aktiviti membabitkan kumpulan gengster wujud di kawasan berkenaan namun siasatan lanjut dijalankan dari semua sudut.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.31 pagi sebelum jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.


Katanya, api yang marak berjaya dikawal dalam tempoh lima minit dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


Simbah asid dekat alat sulit

Posted: 30 Nov 2012 01:49 PM PST

GEORGETOWN: Berang selepas mendapat tahu seorang remaja berusia 18 tahun merogol adiknya yang masih bawah umur, seorang lelaki bertindak nekad mencurahkan asid ke celah paha pemuda terbabit sehingga hampir mengenai kemaluannya.

Kejadian berlaku di sekitar pusat bandar ini, Selasa lalu dan ia mempunyai kaitan dengan kes seorang gadis berusia 16 tahun mendakwa dirogol dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di Jalan Magazine, di sini, pada 13 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, selepas kejadian itu diketahui keluarga gadis terbabit, satu laporan polis dibuat pada Isnin lalu.

Menurutnya, pemeriksaan perubatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa, namun siasatan lanjut masih dilakukan.


"Polis menahan teman lelaki gadis itu pada Selasa lalu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk diambil keterangan sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin sehari kemudian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


Penderitaan Rohaya dapat perhatian

Posted: 30 Nov 2012 01:33 PM PST

TANJUNG KARANG: Penderitaan suri rumah, Rohaya Mohamed Ariffin, 41, yang mempunyai benjolan menyamai ketumbuhan kronik atau dikenali sebagai lipoma di perut, belakang bahu kanan dan bawah paha kanan seberat hampir 60 kilogram sejak 37 tahun lalu mendapat perhatian Pejabat Parlimen Tanjung Karang yang menghulurkan bantuan kelmarin.

Bantuan wang tunai dan barangan keperluan harian itu disampaikan Datuk Mohd Shafie Asnawi, Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang berkunjung ke rumah ibu dua anak itu di Kampung Parit Empat, Ban Tiga, Sekincan, di sini.


Mohd Shafie berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib Rohaya dan memantau keadaannya dari masa ke semasa memandangkan kes ini sudah dibawa ke pengetahuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Saya difahamkan LZS akan menanggung keseluruhan kos pembedahan. Walaupun kunjungan ini hanya membawa sumbangan keperluan harian dan wang tunai, namun saya akan pastikan kunjungan kali kedua bersama Datuk Seri Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang dibuat dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


Pemandu jengkaut pantang ajal

Posted: 30 Nov 2012 01:31 PM PST

BINTULU: Hanya beberapa saat memisahkan nyawa seorang pemandu jengkaut apabila jentera berat dipandunya tiba-tiba terbalik dalam kejadian berdekatan Jalan Tatau-Bintulu, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa Augustine Jinggut, 48, terselamat selepas dia nekad terjun menerusi pintu bersebelahan tempat duduknya ketika kenderaan dipandu hampir terbalik.


Menceritakan detik cemas itu, Augustine berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu jengkaut dalam perjalanan ke tapak pembinaan sebelum kenderaan dipandu terhuyung-hayang.

"Saya berteriak meminta pertolongan sebaik berasa sesuatu kelainan dengan jentolak dipandu seperti mahu terbalik. Tanpa membuang masa, saya membuka pintu sebelum jengkaut itu terbalik.


"Saya juga bernasib baik kerana bahagian depan menahan jengkaut menjadi penahan, jika tidak, sudah tentu saya bersama-sama kenderaan itu terhumban dalam gaung berdekatan," katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, dia bersyukur kerana rakannya sempat menghulurkan bantuan sebaik mendengar suaranya meminta pertolongan.

"Malam tadi (kelmarin), saya bermimpi terselamat apabila terjun ke tebing sungai selepas perahu saya kayuh karam dan kejadian ini menyamai mimpi saya alami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


Penangan Ariff Tokyo

Posted: 30 Nov 2012 01:30 PM PST

Oleh Nasharuddin Muhammad, Ahmad Saufi Mansor, Sufian Thauri Muhammed, Lokman Zainal Abidin, Nazarali Saeril, Hairulazim Mahmud, Muhd Izawan Baharin, Maiamalina Mohammed Amin, Intan Mas Ayu Shahimi, Yusmizal Dolah Aling, Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Nyanyian lagu Warisan secara spontan oleh wakil Kelab Umno Luar Negara, Ariff Yasir Zulkafli menyebabkan suasana Dewan Merdeka bertukar sebak terutama apabila Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin turut mengikut mendendangkannya dengan penuh bersemangat.

Ariff Yasir dari Kelab Umno Tokyo pada mulanya agak gelabah ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden sehingga Badruddin beberapa kali 'menyelit' sehingga mengundang ketawa perwakilan.


Nyanyian pelajar itu yang diiringi Badruddin membuat seluruh perwakilan dalam dewan bangun dan turut sama menyanyikan lagu itu sehingga habis, malah ada antara mereka kelihatan mengalirkan air mata.

Menurutnya, semua ahli Umno perlu melupakan segala sengketa dan merapatkan saf bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.


"Kita lupakan segala sengketa, hati kita bersihkan, buang segala dengki dan iri hati. Kita rapatkan saf dan betulkan barisan demi mempertahankan Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.


Sebelum itu, Ariff Yasir berkata, dia berbangga dengan Malaysia kerana menjadi satu-satunya negara yang tidak mengiktiraf Israel.

"Kalau tidak percaya buka pasport anda muka surat dua, ada tulis kita boleh pergi semua negara kecuali Israel. Saya sangat bangga, malah menerusi Kelab Putera 1Malaysia, kita menghantar bantuan kemanusiaan ke banyak negara yang dilanda bencana, menunjukkan Malaysia mempunyai ciri-ciri negara maju," katanya.


Dia turut mengesyorkan supaya kedai hab halal dibina di luar negara bukan saja bagi membantu rakyat Malaysia, malah mempromosikan produk tempatan.

"Macam saya ada masalah nak cari kicap, yang ada kicap dari Indonesia," katanya.


Katanya, antara usul popular Kelab Umno Luar Negara ialah menaikkan biasiswa, tetapi pada tahun ini mereka tidak mahu minta.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


Pembahas Selangor gamatkan dewan

Posted: 30 Nov 2012 01:28 PM PST

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan usul ekonomi semalam, berakhir dalam suasana meriah apabila Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengambil peluang beberapa kali mencelah ucapan wakil Selangor, Datuk Ramli Norani.

Keadaan bertambah gamat apabila Badruddin cuba mengheret Ramli untuk bersetuju dengan beberapa isu serius berkaitan pasar tani dalam nada seloroh.


"Cer (cuba) cerita… cer cerita pasal dia nak ambil pasar tani ini. Pasar tani di Selangor yang Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) jaga ni dia nak ambil," kata Badruddin disambut sorakan perwakilan.

Ramli berkata, keputusan terkini mesyuarat Exco Selangor mahu mengambil alih penjaja pasar malam, pasar pagi dan pasar tani.


"Bayangkan mereka yang berniaga di pasar tani ini adalah orang kampung…yang membelinya pula ada golongan yang mewah sebab pasar tani sediakan barang yang bagus-bagus (Badruddin tiba-tiba mencelah, 'tambah dua minit lagi' sambil disambut ketawa gamat).


"Semalam Sabah bagitau Tan Sri sudah luluskan untuk buat pasar tani di Sabah, tetapi ini di Selangor habis nak dimansuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


‘Bimbang YB minta bantuan’

Posted: 30 Nov 2012 01:28 PM PST

KUALA LUMPUR: "Dulu, apabila jumpa wakil rakyat di kawasan, peniaga berlari-lari untuk bersalam, cium tangan dan tanya YB (Yang Berhormat) apa yang boleh mereka bantu, tapi sekarang nampak saja kelibat YB, mereka berlari lintang pukang meninggalkan kita kerana bimbang wakil rakyat BN (Barisan Nasional) akan minta bantuan.

"Begitulah nasib jadi wakil rakyat di negeri dikuasai pembangkang di Selangor, saya sendiri merasainya. Dulu ribuan peniaga dihasilkan, tetapi kini tiada lagi. "Dewan serbaguna yang kita sendiri bina pun perlu bayar sepenuhnya kepada mereka sedangkan ia adalah untuk persidangan dan kegunaan orang ramai," kata wakil Selangor, Abdul Shukor Idrus.


Menurutnya, biarpun dijemput menghadiri program, namun ia tidak memberi sebarang erti, tidak ubah seperti askar hilang senjata kerana pembangkang mula sombong dengan penafian sumbangan kerajaan sebelum ini selain menggunakan kuasa yang ada untuk menjual anak syarikat kerajaan negeri.

"Perintah saja Selangor, mereka nak jual lima aset penting kepada Bumiputera di Selangor seperti Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam dan Bangi, Menara PKNS di Petaling Jaya, Wisma Yakin dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).


"Sudahlah harta yang ada selama ini dijual, yang ditambah tak ada. Ini menjadikan peniaga Bumiputera di Selangor begitu terhimpit ditambah pelbagai isu lain seperti sampah yang nampaknya seperti tidak akan selesai," katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.


Beliau turut menggamatkan dewan apabila mengajak perwakilan negeri itu berjanji kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor untuk merampas kembali tampuk pemerintahan pada pilihan raya umum akan datang. "Sebagai membalas jasa Presiden, marilah kita berjanji di hadapan beliau untuk kita berjuang bersungguh-sungguh, berhabis-habisan, kita hadiahkan sebuah kerajaan BN di negeri Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


‘Pesta fitnah’ pembangkang tutup hasil kejayaan BN

Posted: 30 Nov 2012 01:26 PM PST

KUALA LUMPUR: Kejayaan negara dalam pelbagai bidang hingga menjadi kebanggaan di pentas dunia termasuk keupayaan menguruskan masyarakat berbilang bangsa dan agama perlu dijadikan penyuntik semangat ahli Umno untuk terus melakar kejayaan cemerlang pada masa depan.

Wakil Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abd Aziz berkata, ketika ini, terlalu banyak hasil usaha keras dilakukan pucuk kepimpinan negara yang membuahkan hasil, tetapi dipandang sepi rakyat angkara 'pesta fitnah' dimulakan pembangkang.


Menurutnya, tindakan tanpa henti pembangkang menyerang dasar dan pemimpin Umno serta Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk meraih sokongan rakyat terutama menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Katanya, ahli parti perlu mengenang kembali susah-payah pemimpin terdahulu membina negara yang asalnya mundur hingga menjadi satu destinasi dikenali di seluruh dunia dalam semua segi termasuk kepesatan ekonomi, sukan serta kemakmuran sedia ada.


"Pemimpin Umno membina negara dengan pelbagai dasar baru. Bermula dari kampung-kampung yang diberikan infrastruktur terbaik seperti klinik, sekolah dan hospital sehinggalah kita dikenali di dunia.


"Ini perkara unik yang patut kita banggakan berada di negara terdiri berbilang bangsa dan kaum, tidak ada dalam dunia yang sama hebat seperti kita, asas kekuatan kita yang berjaya menyatukan mereka," katanya ketika berucap membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


‘Wakil rakyat lembu kenyang’

Posted: 30 Nov 2012 01:26 PM PST

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno di pelbagai peringkat diingatkan mengambil iktibar daripada sikap pemimpin pembangkang yang gagal berkhidmat untuk rakyat, sebaliknya hanya menjadi 'wakil rakyat lembu kenyang'.

Wakil Terengganu, Datuk Wira Rosli Mat Hassan berkata, contoh paling tepat adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tidak nampak khidmatnya kepada rakyat tanpa mengira Melayu, Cina mahupun India.


"Ini peringatan penting sebab dalam Umno ada juga pemimpin kita yang apabila roh perjuangannya tidak ada, jati diri sudah longgar, berasa hati kuat sangat, dia pun jadi lembu kenyang.

"Jadi, tak kira sama ada dicalonkan atau tidak, kita kena bekerja kuat. Biarlah diri kita muflis, jangan sampai hati kita yang muflis," katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.


Ketua Umno Bahagian Dungun itu berkata, soal bankrap berniaga, hilang pangkat, darjat atau kedudukan tidak sepatutnya menjadi perkiraan mana-mana pihak asalkan kepentingan parti didahulukan.


"Parti kita kena kuat dan kita sendiri kena beringat, walaupun tak tercalon pada pilihan raya akan datang, sekurang-kurangnya kita boleh atur dan susun bila ada kuasa. "Sebab itu kita jangan bankrap politik. Umno berada di landasan baik dan ia juga menjadi parti 'ormat' (organisasi masyarakat) serta dinamik dalam gerak kerjanya.

"Kita sedia mendekati perubahan dengan memberi tumpuan kepada rakyat keseluruhannya," katanya.


Beliau juga menasihatkan pemimpin di pelbagai peringkat dan sayap supaya tidak mudah panik ketika berdepan cabaran pembangkang.

"Sebenarnya, Umno gagasan baru Presiden konsisten dari dulu hingga sekarang. Kita sentiasa bersatu, bersedia dan berkhidmat.


Cuma di tengah-tengah jalan, memang ada kelemahan dan kesilapan. Begitupun saya percaya ini dapat diselaraskan menerusi pembaharuan politik dalam parti.


"Kita ada Bahagian Strategi Umno Pusat yang melihat kehendak akar umbi, senarai harapan rakyat, isu kawasan, kedudukan parameter rakyat, kehendak, suasana dan prestasi pemimpin Umno secara keseluruhan. "Apa yang tinggal adalah usaha kita untuk berdepan pilihan raya akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


Muhasabah, lihat sejarah

Posted: 30 Nov 2012 01:25 PM PST

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu harus bermuhasabah untuk sedar betapa sukarnya membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Ketua Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu berkata, sampai masanya rakyat melihat semula sejarah untuk sedar dan menginsafi hakikat bahawa negara pernah dijajah lebih 400 tahun.


"Sejak belum merdeka hingga kini, Umno parti yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan memperkasakan Islam hingga dinobatkan sebagai agama rasmi.

"Jadi, jangan kerana kesilapan dan kebodohan hari ini, kita dijajah semula oleh mereka yang menunggu peluang berbuat demikian," katanya ketika membahas usul Ucapan Dasar Presiden, semalam.


Menurutnya, rakyat sepatutnya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Libya, Mesir, Syria dan Palestin.


"Di sana, orang Islam dihina, dicaci, dicemuh, dibunuh dan dirogol tanpa perikemanusiaan. Sanggupkah kita menerima nasib sama?" soalnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/01


No comments:

Post a Comment