Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


AVB tolak Beckham

Posted: 01 Dec 2012 01:49 PM PST

LONDON: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menolak cadangan untuk membawa David Beckham ke White Hart Lane, meskipun mengakui dia masih seorang pemain hebat.

Berita itu pastinya mengejutkan penyerang Spurs, Jermain Defoe, yang sebelum itu memberitahu bahawa Beckham yang akan menyertai perlawanan terakhirnya bersama Los Angeles Galaxy hujung minggu ini, akan diterima menyertai kelab itu dengan tangan terbuka.


Tottenham cuba mendapatkan Beckham secara pinjaman dua musim lalu ketika musim rehat MLS tetapi tawaran itu tidak menjadi kenyataan biarpun bekas kapten England itu pernah berlatih di kelab utara London untuk enam minggu.

Villas-Boas mengakui bahawa biarpun pada usia 37 tahun, Beckham adalah pemain yang hebat tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan menawarkan sebarang kontrak kepadanya.


"Dia adalah seorang pemain yang hebat," kata pengurus Tottenham itu.


"Rentak permainan di Liga Perdana Inggeris begitu pantas dan dia mempunyai banyak pengalaman dalam mengharunginya.

"Dia memberi banyak sumbangan kepada bola sepak Inggeris. Itulah sebabnya semua orang tidak sabar menunggu ke mana haluannya selepas ini.


"Seronok jika dia kembali ke Eropah tetapi bukan di sini. Tidak, saya tidak fikir seperti itu." Selepas menang enam gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu Liga Juara-Juara di Old Trafford, Beckham sebelum ini menyatakan dia tidak berminat bermain dengan kelab ternama England kecuali Manchester United.

Bagaimanapun itu tidak menghalang Defoe daripada mengumumkan bahawa bekas pemain Real Madrid itu sepatutnya datang ke Tottenham.


"Dia boleh datang ke Spurs jika dia mahu, kami sedia menyambut kedatangannya.


"Dia adalah seorang pemain yang hebat dan saya fikir banyak menyumbang kepada sukan ini.


"Jika anda bercakap mengenai seseorang yang menyumbang segala-galanya untuk sukan ini dan masih mahu bermain dan menghadapi cabaran lain, masih mahu mencapai sesuatu sekali pun sudah mencapai segala-galanya, saya fikir dia seorang yang istimewa." -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Hope tetap fokus

Posted: 01 Dec 2012 01:48 PM PST

HOPE Solo meredakan drama yang menyelubungi kehidupan peribadinya, sewaktu dia bersiap sedia bersama pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat untuk perlawanan pertunjukan menentang Ireland.

"Hidup saya hebat. Hidup saya gembira," kata penjaga gol itu.


Hope membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan sejak berkahwin dengan bekas pemain NFL, Jerramy Stevens di Washington pada 13 November lalu, sehari selepas dia ditahan di sebuah parti kerana terbabit dalam keganasan rumah tangga. Hakim mengesahkan bahawa tiada bukti untuk menahan Stevens, tetapi perkara itu masih dalam siasatan.

Hope bercakap selepas menjalani latihan gimnasium bersama rakan sepasukannya di Jeld-Wen Field, Portland. Pasukan kebangsaan negara itu menentang Ireland, Rabu lalu dalam jelajah penghargaan AS selepas menjuarai Sukan Olimpik London dengan menewaskan Jepun, 2-1 di perlawanan akhir.


Pada perlawanan itu, AS membelasah Ireland 5-0 dan Alex Morgan tampil cemerlang dengan hatrik pada separuh masa pertama.


"Malang sekali apa yang dilakukan media adalah menghakimi sebelum maklumat sebenar diketahui. Sukar untuk dilihat, ia kebenaran yang pahit dan ia sebahagian daripada kehidupan," katanya.

"Saya gembira. Saya gembira dengan perkahwinan ini. Saya tidak bertolak ansur dengan keganasan rumah tangga. Saya tidak pernah dipukul sepanjang hidup saya." Hope melakar karier gemilang bersama pasukan kebangsaan, membantu pasukan untuk memenangi dua pingat emas Olimpik berturut-turut tetapi dia tidak pernah sunyi daripada perhatian. Daripada kritikannya di Twitter mengenai bekas rakan pasukan kebangsaan, Brandi Chastain ketika Sukan Olimpik London sehinggalah penampilannya dalam "Dancing with the Stars." Polis berkata bahawa mereka dipanggil kerana berlaku kekecohan di sebuah rumah di Kirkland, pinggir bandar Seattle pada awal pagi 12 November lalu.


Hope dan abangnya menyalahkan gangguan daripada tiga lelaki tidak dikenali.

Pegawai polis mempertahankan bahawa mereka mempunyai sebab untuk menahan Stevens kerana mereka mendapati ada bukti berlakunya pergaduhan termasuk luka di siku Hope, serta kenyataan bahawa kedua-duanya bergaduh, menurut maklumat mahkamah.


Pada hari berikutnya, Hope dan Stevens berkahwin, Hope, 31, memuat baik gambarnya yang tersenyum di sisi Stevens, 33 di Twitter dua hari kemudian.


Stevens dipilih menyertai Seahawks pada 2002 selepas beraksi cemerlang di Washington tetapi dia turut terbabit dalam kes di luar acara football Amerika, termasuk memandu dengan cuai kerana melanggar sebuah rumah penjagaan.


Musim terbaiknya di Seahawks adalah pada 2005 apabila pasukan itu menjuarai kejuaraan NFC.


Hope turut berpindah ke Washington. Kedua-duanya mula menjalinkan hubungan selepas Sukan Olimpik London.


"Seperti yang saya katakan, kami gembira dan itulah yang penting," kata Hope.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Gerrard jadi ‘cikgu’

Posted: 01 Dec 2012 01:47 PM PST

BRENDAN Rodgers percaya Steven Gerrard menggalas tanggungjawab tambahan musim ini dalam membantu melindungi dan membimbing beberapa pemain remaja yang ketika ini baru menyertai kesebelasan utama Liverpool.

Limpahan pemain remaja berbakat menyaksikan pemain seperti Raheem Sterling, Andre Wisdom dan Suso berjaya bersama skuad senior dalam kejohanan sejak Ogos lalu.


Malah pengurus itu turut menjelaskan bagaimana Gerrard memanfaatkan tanggungjawab sebagai kapten untuk membantu pemain muda melangkah keluar daripada peringkat Akademi.

"Dia pernah bermain dalam pasukan di sini sebelum ini, di mana dia dikelilingi pemain berbakat," kata Rodgers.


"Jelas sekali dia bersedia menggalas tugas itu sekarang kerana ia membabitkan kumpulan yang lebih muda.


"Dia rasa lebih bertanggungjawab untuk menjaga pasukan ini kerana memiliki ramai pemain muda ini.

"Sebagai kapten kelab, mungkin dia merasai keperluan untuk melakukannya sewaktu kami berdepan situasi seperti ini. Mungkin ia sesuatu yang berada di mindanya tanpa disedarinya.


"Tetapi lihat saja kepada dirinya pada akhir perlawanan menentang Swansea. Bola meluru ke gawang lawan pada minit terakhir dan Daniel Agger segera melakukan tandukan. Jika dia gagal menyempurnakan, Steven Gerrard pasti akan menyudahkannya." Pengurus itu juga memberi penekanan bahawa kaptennya tidak diminta menggalas tugas yang lebih defensif musim ini dan Gerrard masih menjadi penggerak dalam barisan tengah Reds yang dibarisi tiga pemain.

"Saya tidak fikir ada perubahan yang ketara dalam permainannya, dari segi apa yang saya minta dia lakukan," kata Rodgers. "Saya hanya mahu dia menjadi dirinya sendiri.


"Dia serasi dengan pasukan dan memberi keseimbangan apabila kami gagal mendapat bola tetapi tiada apa yang berbeza yang dituntut daripadanya. Tanggungjawab pemain tengah dalam formasi 4-3-3 adalah mara ke kubu lawan dan mendapatkan gol.


"Steven sudah berada di kelab ini sejak lama dan dia pemain yang mencetuskan perubahan dalam pasukan. Mungkin dia tidak mendapatkan gol sebanyak diingininya musim ini tetapi dia begitu efektif.


"Tiada apa yang lebih atau kurang yang diminta daripadanya dari aspek tanggungjawab pertahanan. Sudah tentulah kami mahu pemain tengah menjaringkan gol, kami mahu mereka berada di kubu lawan dan membuat gerakan penyudah.


"Kami sudah lihat apa yang dilakukan Steven dari bahagian tengah yang sebelum ini biasa dilakukannya dengan cemerlang.


"Perkara menariknya adalah dia mahu terus membolos kubu lawan. Permainan kami bukan sekadar penguasaan bola. Sudah tentulah ia membabitkan penguasaan bola tetapi juga mengenai tempo dan kelajuan permainan kami dan apabila dia mendapat bola dan menghantarnya, tempo permainannya begitu luar biasa.


"Mungkin perkara itu tidak diberi perhatian sekarang tetapi jelas sekali dia berusaha bersungguh-sungguh dan menjadi produktif untuk kami. Semakin lama, dia akan menjadi semakin baik."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Zamri terpantas

Posted: 01 Dec 2012 01:47 PM PST

MESKIPUN gelaran juara keseluruhan sah menjadi milik pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 2, Azlan Shah Kamaruzaman, ia tidak menghalang Mohd Zamri Baba daripada mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul pelumba terpantas sesi ujian masa pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2012 yang berlangsung di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline itu mengungguli saingan CP130 dengan catatan 53.107s, mendahului 0.009s di hadapan Mohd Affendi Rosli (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 1).


Mohd Ramdan Mohd Rosli dari Petronas Syntium Moto Yamaha AHM menduduki catatan ketiga terpantas dengan 53.282s.

"Saya tidak menyangka dapat mencatat masa terpantas kerana kami tidak meletakkan sebarang sasaran di sini. Tidak ada apa lagi hendak dikejar sama ada kedudukan individu mahupun berpasukan," kata Zamri.


"Apa yang saya dan juga seluruh ahli pasukan lakukan hanyalah memberikan yang terbaik sama ada dari segi pelarasan mahupun dengan aksi saya di atas litar. Mungkin disebabkan itulah saya dapat beraksi dengan baik pada sesi ujian masa hari ini." Mohd Hafiz Nor Azman pula mengesahkan kedudukannya selaku juara keseluruhan kategori Wira sekalipun belum sempat membuat perhitungan dalam perlumbaan akhir hari ini.


Selepas beraksi sembilan pusingan, pelumba Team Mos Track Pro Yamaha Racing itu mendahului senarai kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 165 mata sambil dicabar hebat oleh Fakhrusy Syakirin Rostam (AAP Mazoil Armstrong Motorsport) yang berada di kedudukan kedua dengan hanya tujuh mata membezakan kedudukan mereka.

Malangnya, Fakhrusy terpaksa menarik diri daripada meneruskan saingan kali ini selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika sesi latihan bebas yang berlangsung pagi semalam.


Tanpa kehadiran Fakhrusy, kedudukan Hafiz gagal dipintas mana-mana pelumba lagi memandangkan pencabar di tempat ketiga, Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) jauh di belakang apabila sekadar mengumpul 123 mata.

Hafiz yang muncul pelumba kedua terpantas pada sesi ujian masa semalam dengan catatan 54.801 saat, berada di belakang Tengku Amirul yang mencatatkan 54.680s. Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) berada di kedudukan ketiga dengan catatan 55.179s.


Bagi Hafiz, dia sebenarnya tidak menyangka dapat memperoleh gelaran lebih awal kerana menjangkakan perebutan mahkota keseluruhan akan ditentukan sehingga ke garisan penamat.


"Saya begitu gembira dengan kejayaan merangkul gelaran ini, malah saya rasakan cukup bertuah kerana gelaran dapat ditentukan sebelum perlumbaan bermula lagi. Mungkin ini yang dikatakan sebagai cukup bernasib baik. Pada masa sama, saya tetap akan memberikan aksi terbaik kerana mahu menamatkan saingan musim ini di atas podium," jelas Hafiz.


"Walaupun begitu, saya bersimpati kepada Fakhrusy kerana dia tidak dapat meneruskan perlumbaan. Jika tidak, saya jangkakan kami pasti akan bersaing sengit pada perlumbaan terakhir musim ini sebagaimana yang telah kami tunjukkan sepanjang sembilan pusingan lepas. Saya dan pasukan juga sebenarnya sudah membuat persediaan dan strategi terbaik bagi memastikan saya layak ke perlumbaan akhir pada hari esok (hari ini)," katanya.


Dalam kategori CP115, hasrat Mohd Amirul Ariff Musa untuk menjulang mahkota keseluruhan musim ini semakin hampir setelah dia berjaya mencatat masa terpantas dengan catatan 53.945s.


Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu mengatasi Mohd Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) yang mencatatkan 54.198s manakala Sasitharen Sukumaran di kedudukan ketiga, 54.489s.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Impi jadi polis

Posted: 01 Dec 2012 01:46 PM PST

ATLET angkat berat negara, Azizah Fadzil sedia terima aduan orang ramai jika menjadi anggota polis.

SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...

AZIZAH FADZIL (AF): Saya mungkin seorang anggota polis.

S: Jika anda seorang anggota polis, di jabatan mana anda akan berkhidmat?
AF: Saya suka berada di pejabat. Mungkin saya memilih untuk berada di balai dan melayan aduan orang ramai.

S: Adakah ini disebabkan anda seorang yang ramah dan mudah mesra dengan orang lain?

AF: Ya.

S: Ada sesiapa di kalangan keluarga anda menjadi polis?

AF: Tiada.

S: Hobi anda?
AF: Bersukan.

S: Jika anda tidak menyertai sukan angkat berat, anda mungkin menceburi sukan...

AF: Saya suka semua jenis sukan tetapi saya mungkin memilih acara olahraga.

S: Idola anda dalam sukan ini?

AF: Amirul Hamizan Ibrahim dan jurulatih saya, Faizal Baharom. Kedua-duanya memenangi pingat emas di Sukan Komanwel. Saya ingin mengikut jejak mereka.

S:Kartun kegemaran anda?

AF: Saya suka Naruto kerana wataknya yang kelakar tetapi sentiasa pentingkan keselamatan kampungnya. Saya juga meminati kartun Sailormoon.

S: Ramai yang tidak tahu apa reaksi anda selepas gagal tersenarai ke Olimpik London. Boleh anda kongsikan bersama pembaca Metro Ahad?

AF: Sangat kecewa. Semua orang mahu ke Olimpik tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Malah saya tidak mendapat penjelasan yang terperinci mengapa saya tidak terpilih. Mujurlah jurulatih, rakan dan keluarga memberi sokongan.

S: Matlamat anda selepas ini?

AF: Saya sudah mula membuat persediaan untuk ke Sukan Sea 2013 dan Sukan Komanwel 2014. Saya masih bercita-cita untuk ke Olimpik Rio.

S: Makanan kegemaran yang anda tahu masak?

AF: Laksa Pulau Pinang.

S: Jika diberi peluang menghabiskan masa sehari dengan selebriti/tokoh, anda memilih untuk bersama...
AF: Nora Danish. Saya rasa dia seorang yang comel.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Sterling pening kepala

Posted: 01 Dec 2012 01:46 PM PST

LONDON: Bintang muda Liverpool, Raheem Sterling kini terbabit dalam isu kontrak dengan pengurusnya, Brendan Rodgers.

Pemain itu kini berdepan tekanan untuk menandatangani kontrak baru dan menegaskan dia masih belum ditawarkan sebarang kontrak.


"Bagaimana Raheem boleh segera menandatangani kontrak itu jika tiada apa-apa untuk ditandatangani?" demikian menurut satu sumber.

Sterling, 18 dan rakan sepasukannya dalam keadaan serba salah apabila Rodgers membuka mulut, meminta pemain baru skuad England itu supaya terus berada di Anfield.


Dalam dua pertemuan sebelum ini, difahamkan tiada sebarang tawaran rasmi dibuat.


Biarpun sering diturunkan dalam kesebelasan utama Liverpool dan berjaya menyertai skuad senior England, Sterling menerima bayaran �2,500 (RM12,165) seminggu.

Dia menyertai kelab itu dari QPR, Februari 2010 pada usia 15 tahun dan itu adalah tawaran pertama buatnya.


Tiada pemain yang boleh menandatangani kontrak profesional jangka panjang sehingga berusia 18 tahun, yang akan disambut pemain sayap itu Sabtu depan.

Sterling dikatakan gembira di Liverpool selepas mereka memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.


Reds dikatakan bersedia membayar pemain Blackpool, Thomas Ince �25,000 (RM121,661) seminggu jika datang ke Anfield.


Sterling dikatakan bakal mendapat gaji kurang daripada itu.


"Jika saya adalah Raheem, saya akan segera menandatangani kontrak itu. Kontrak itu bukan yang terbesar sepanjang hidupnya dan apa yang ditunjukkannya sekarang adalah potensi yang hebat," kata Rodgers. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


No comments:

Post a Comment