Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Ajal selamat kawan

Posted: 01 Dec 2012 02:21 PM PST

KUALA KRAI: Memilukan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang cuba menyelamatkan rakannya berusia enam tahun daripada lemas turut menerima nasib sama di Sungai Durian, berdekatan Pondok Sungai Durian, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, Muhammad Zarrin Mohd Amin pada mula mandi bersama Muhammad Abdul Latif Alias di Sungai Durian, di sini. Bagaimanapun, tiba-tiba Abdul Latif dihanyutkan arus deras, menyebabkan Zarrin cuba menyelamatkannya.


Bagaimanapun, cubaan Zarrin menarik rakannya gagal, malah dia turut dihanyutkan arus deras sebelum tenggelam.

Kejadian disaksikan adik Zarrin, Muhammad Qiamuddin, 6, lalu segera memaklumkan seorang penduduk kampung yang juga anggota bomba sebelum terjun ke sungai dan berjaya menemui mangsa beberapa minit kemudian.


Kedua-dua mangsa, yang belajar di Sekolah Pondok Sungai Durian dan bakal memasuki tahun satu tahun depan, dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) dengan sebuah kereta penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan jam 7 malam.


Jenazah dua sahabat dari Sungai Durian, di sini, dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Sungai Durian jam 9.30 pagi semalam.

Menurut Qiamuddin, ketika abang dan rakannya mandi, dia hanya duduk di tebing sungai.


"Saya nampak Latif lemas dan abang cuba bantu, tapi dia terus tenggelam.

"Saya beritahu kejadian itu kepada seorang pak cik (penduduk kampung yang juga anggota bomba), dan dia terjun ke sungai dan dapat cari (menemui) abang serta rakannya. Selepas itu mereka dibawa ke hospital," katanya yang sedih selepas mendapat tahu abangnya meninggal dunia.


Kakak sulung Muhammad Zarrin, Nur Hidayah, 24, pula berkata, arwah rapat dengan Latif serta sering bermain bersama.


"Arwah tidak menunjukkan perubahan. Jika ada sekalipun, mungkin kami tak perasan sebab arwah sentiasa aktif dan periang. Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.


Dalam pada itu, bapa Abdul Latif, Alias Mamat, 43, ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia berada di anjung rumah dan mengasah parang sebelum didatangi jiran memaklumkan anaknya lemas.


Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut dan reda dengan apa yang berlaku.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdul Rahman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta tiada unsur jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Ditahan selepas beberapa minit kebas tabung wang

Posted: 01 Dec 2012 02:19 PM PST

SERDANG: Seorang lelaki yang disyaki melarikan tabung wang derma untuk kanak-kanak spastik dari sebuah klinik di Jalan Kenari, Puchong, di sini, berjaya ditahan beberapa minit kemudian, kelmarin.

Difahamkan, seorang orang awam yang menyedari lelaki terbabit mengambil tabung berkenaan sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.


Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, berdasarkan makluman itu, dua anggota peronda segera mengesan kereta suspek.

"Pemeriksaan polis menemui kereta dipandu suspek di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP). Kedua-dua anggota terbabit menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut.


"Hasil pemeriksaan menemui tabung derma terbabit di bahagian but kereta. Polis kemudian membawa suspek ke Balai Polis Puchong Jaya," katanya.


Abd Razak berkata, siasatan lanjut turut menemui kad pengenalan dan kad ATM milik seorang wanita yang diletakkan dalam dompet milik suspek.

Menurutnya, polis juga mendapati kad pengenalan berkenaan milik seorang mangsa samun di Taman Murni, Cheras.


Malah, suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dia ditahan reman bagi siasatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Gerudi peti besi

Posted: 01 Dec 2012 02:19 PM PST

JASIN: Licik apabila selain memotong kabel kamera litar tertutup (CCTV) di siling, penjenayah dikatakan menebuk lubang pada peti besi menggunakan mesin gerudi untuk melarikan wang RM10,000 dari sebuah kilang pembekal buah-buahan di sekitar daerah ini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, dua suspek tidak bertopeng sebelum itu memanjat siling untuk ke pejabat utama di tingkat atas premis berkenaan dan mengumpil pintunya bagi membolehkan mereka menyusup masuk.

Penyamun itu dipercayai mengambil masa tiga jam untuk melakukan kerja berkenaan sebelum ia disedari pengawal keselamatan kilang terbabit, jam 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan daripada pengurus premis berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.


"Berdasarkan siasatan awal, pengawal keselamatan mendakwa ternampak individu memanjat bumbung dan segera mengejutkan pekerja yang tidur.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Remaja selisih maut nekad lompat motosikal

Posted: 01 Dec 2012 02:18 PM PST

GEORGETOWN: Seorang remaja terselamat apabila nekad melompat dari motosikalnya yang dirempuh sebuah kereta ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Uban menghala ke Sungai Nibong, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, mangsa berusia 18 tahun ketika itu bersama beberapa penunggang motosikal lain berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah.


Menurut sumber, pada masa sama, seorang lelaki memandu kereta Proton Satria datang dari arah bertentangan dan melanggar lampu isyarat yang masih merah lalu merempuh sebuah Proton Exora.

"Akibat rempuhan itu, proton Exora dipandu lelaki tempatan hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.


"Mujur seorang remaja sempat melompat dari motosikalnya yang ketika itu turut diseret Proton Exora terbabit dan nyaris merempuh beberapa penunggang lain," katanya.


Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian menahan lelaki yang memandu Proton Satria berkenaan sebelum menghubungi polis.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang memandu Proton Satria terbabit adalah warga Asia Barat dan pemeriksaan mendapati dia memandu dalam keadaan mabuk.


"Hasil pemeriksaan turut menemui sebotol arak dalam kereta dan dia juga langsung tidak mengingati kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Upah ‘bapa ayam’ RM450

Posted: 01 Dec 2012 02:17 PM PST

KUALA LUMPUR: Bermodalkan bayaran RM450 sebagai upah khidmat orang tengah, satu sindiket pelacuran dikesan boleh menghubungkan lelaki hidung belang dengan pelacur kelas atasan, termasuk pelajar dan wanita daripada golongan profesional di negara ini.

Difahamkan, kebanyakan pelanggan bagi khidmat orang tengah itu membabitkan golongan kenamaan dan kaya berikutan wanita berkenaan menerima bayaran sebagai gadis pengiring antara RM1,200 hingga RM4,500 untuk langganan selama satu hingga enam jam.


Berdasarkan siasatan Metro Ahad, khidmat sebagai orang tengah itu diatur melalui sebuah laman web sosial yang menawarkan khidmat gadis pengiring dan difahamkan turut menarik perhatian pelanggan dari Singapura.

Wartawan cuba berhubung dengan orang tengah berkenaan melalui e-mel, dan maklum balas diterima menyatakan jika bayaran upah diterima, mereka akan menyertakan gambar gadis pengiring berkenaan.


"Saya ada lebih 40 kenalan gadis freelance (sambilan), ada seorang gadis Cina belajar di kolej, dua pelajar kolej Melayu, seorang campuran Melayu-Cina, bakinya gadis tempatan Cina dan Melayu.


"Bayar saya RM450, saya beri semua senarai nombor contact (kenalan), atau RM300 untuk 20 contact saja. Semuanya freelance di Kuala Lumpur dan Selangor," kata orang tengah dalam e-mel itu.

Wartawan turut difahamkan, mereka membantu pelanggan berhubung dengan wanita terbabit dan bayaran boleh dilakukan melalui pemindahan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) atau transaksi Internet.


Orang tengah itu juga akan membantu jika nombor telefon bimbit wanita terbabit bertukar untuk mendapatkan nombor baru bagi mengelak perbuatan itu dihidu pihak berkuasa.

Sementara ini, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan jenayah pelacuran bagi mengelak ia menjadi lebih serius.


"Sebelum ini, polis sering membuat tangkapan terhadap wanita yang menjadi gadis pengiring (escort), tapi kebanyakannya membabitkan wanita yang bekerja biasa, bukan di kalangan profesional.


"Apapun, kita akan membuat siasatan dan bertindak dengan segera," katanya.


Jalil berkata, polis memandang serius masalah pelacuran yang berlaku dan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lanjut.


"Kita akan lakukan lebih banyak operasi lagi untuk menutup semua ruang mereka (sindiket) melakukan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Rakam gambar tanpa anak bongsu

Posted: 01 Dec 2012 02:15 PM PST

KOTA TINGGI: "Saya tak sangka kelakuan pelik mereka merakam gambar bersama pada Aidilfitri lalu tanpa kehadiran anak bongsu, Ammar Haziq, 3, petanda mereka empat beranak bakal meninggalkan kanak-kanak itu seorang diri.

"Ini kerana empat beranak berkenaan maut dalam kemalangan pagi tadi (semalam), manakala Ammar Haziq masih kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Mersing akibat cedera di kepala dan badan," kata Rafidah M Yusof, 36.


Adik kepada arwah Abdullah M Yusof itu berkata, kali terakhir dia berjumpa abangnya Aidilfitri lalu di rumah keluarga di Blok 19, No 446 Felda Air Tawar 5.

"Saya diberitahu, arwah yang juga anak keempat daripada 10 beradik mengunjungi rumah ibu untuk membaiki lampu minggu lalu.


"Malangnya, saya tak sempat bertemunya kerana ada urusan lain. Tanpa diduga, perjumpaan pada Aidilfitri lalu adalah kali terakhir kami bertemu.


"Apabila dilihat semula gambar keluarganya yang dirakamkan, keempat-empat mereka didapati bergambar bersama kecuali Ammar dan ia mungkin petanda anak bongsu mereka bakal ditinggalkan," katanya ketika ditemui di Felda Air Tawar 5, di sini, semalam.

Katanya, arwah abangnya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Johor Bahru dan tinggal di Taman Daiman, Kota Tinggi.


Menurutnya, keluarganya terkilan dengan kejadian menimpa arwah kerana tidak tahu perancangan mereka ke Jengka, Pahang, untuk menghantar adik bongsu kakak iparnya mendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Jam 9 pagi tadi (semalam), kami menerima panggilan menyatakan abang mengalami kemalangan dan meninggal dunia.


"Lebih mengejutkan apabila diberitahu, kakak ipar yang bertugas sebagai guru Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Menengah Tun Habab, di sini, dan dua anak mereka turut maut," katanya.


"Kami pasti merindui arwah kerana sikapnya yang ikhlas, rajin dan gemar membantu adik-beradik serta berharap roh mereka dicucuri rahmat," katanya.


Katanya, mereka kini berharap Muhammad Ammar yang kini dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pulih secepat mungkin.


Abdullah dan dua anaknya yang meninggal dunia, Muhammad Aiman Syakirin, 8 dan Maisarah, 4, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, manakala jenazah isterinya Samsiah Maidin, 37, dan kakaknya, Noraini, 41, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 3.


Sementara itu, ibu Samsiah, Minah Ismail, 60, berkata, sempena cuti sekolah dia mengajak mangsa sekeluarga menghantar adik bongsu Samsiah yang akan mendaftar masuk ke UITM Jengka, Pahang.


"Bagaimanapun, hasrat kami tidak kesampaian dan terpaksa menguruskan pengebumian jenazah dua anak, seorang menantu dan dua cucu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Jalan licin tak sempat mengelak

Posted: 01 Dec 2012 02:15 PM PST

MERSING: Keadaan jalan licin selepas hujan dipercayai menyebabkan pemandu lori tangki minyak sawit tidak mampu mengelak atau memberhentikan kenderaan itu sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas ke laluan bertentangan dalam kemalangan maut membabitkan lima sekeluarga manakala seorang lagi parah di Kilometer 13 Jalan Endau - Mersing, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, kereta dinaiki enam sekeluarga itu dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Jengka, Pahang, untuk menghantar ahli keluarga mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka.


Empat yang maut di lokasi ialah Abdullah M Yusof, 43, isterinya; Samsiah Maidin, 37; anak keduanya, Maisarah, 4, dan kakak ipar Abdullah, Noraini, 41.

Anak sulung mereka, Muhammad Aiman Syakirin, 8, pula maut ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Mersing, manakala anak bongsu pasangan itu, Ammar Haziq, 3, yang duduk di depan bersama ibu bapanya kini mendapatkan rawatan di unit kecemasan hospital sama akibat cedera di kepala dan badan.


Pemandu lori tangki terbabit, Azhar Mohd Othman, 29, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Pasir Gudang, Johor Bahru untuk menghantar minyak sawit dari arah Endau.


"Tiba-tiba saya dapati kereta itu hilang kawalan lalu melintang di depan laluan saya. Saya cuba mengelak namun gagal, menyebabkan kenderaan saya merempuh MPV itu.

"Saya tak mampu buat apa-apa kerana kereta yang menuruni bukit itu dalam keadaan laju, sedangkan saya memandu lori menaiki bukit dan akibat pertembungan itu, MPV berkenaan melekat di depan lori.


"Saya keluar dari lori dan mendapati mereka parah sebelum saya menghubungi polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, siasatan awal mendapati MPV dipandu Abdullah dalam perjalanan ke Pahang.


"Sebaik tiba di lokasi iaitu kawasan berbukit, kenderaan arwah Abdullah yang menuruni bukit dipercayai hilang kawalan, menyebabkan MPV dipandunya berpusing dan melintang di laluan bertentangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Suami, anak sakit

Posted: 01 Dec 2012 02:15 PM PST

KUALA LUMPUR: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Seorang wanita reda dengan ujian Allah apabila bukan saja perlu menjaga anak yang terlantar sakit akibat cerebral palsy (kelumpuhan otak), malah menguruskan suaminya yang kini menderita sakit misteri.

Setiap hari, Rosnah Abdul Walad, 47, membahagikan masa menguruskan dua insan tersayang yang terlantar sambil sesekali dibantu anak dan menantunya.


Anak keduanya, Nabil Najmi Zainal Abidin, 16, menghidap CP sejak lahir manakala suami, Zainal Abidin Md Said, 48, diserang sakit misteri sejak empat tahun lalu, menyebabkan sakit dari paras dada hingga kaki.

Menurutnya, penyakit menimpa suaminya, seorang anggota polis trafik, bermula ketika dia ingin bersiap ke tempat kerja empat tahun lalu, apabila tubuhnya tiba-tiba terasa bisa dan kaki seperti dilayur dengan api dan sakitnya hingga seperti hendak tercabut.


Berikutan kejadian itu, Zainal Abidin yang meraung kesakitan dikejarkan ke hospital, tetapi pemeriksaan kesihatan dan ujian darah mendapati dia tidak mengalami penyakit.


"Selepas itu, saya berikhtiar mengubati suami dengan pengamal perubatan Islam dan tradisional. Suami mengalami panas dalam badan yang keterlaluan seperti ada bola api yang bergerak-gerak daripada kaki ke belakang badan.

"Sudah ramai pengamal perubatan Islam dan tradisional saya temui dalam ikhtiar mengubati sakit suami. Ketika berubat, pernah keluar cacing halus daripada liang roma suami, kaca halus dan pelesit.


"Setiap kali selepas berubat, tubuhnya keletihan dan tidak berdaya. Suami memang ada kencing manis sebelum diserang sakit misteri tetapi keadaannya terkawal.

"Bagaimanapun, selepas mengalami sesak nafas, kadar gula dalam darahnya mendadak tinggi hingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Besi, dekat sini.


Suri rumah itu berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di tingkat satu kediaman untuk anggota polis di Cheras, tetapi memohon pindah ke unit rumah di tingkat bawah di Sungai Besi bagi memudahkan membawa anak dan suami menjalani rawatan.


"Saraf suami sangat sensitif, tidak boleh disentuh hingga kalau angin daripada kipas dihalakan kepadanya, tubuhnya terasa sakit.


"Bermacam kesakitan dialami seperti kebas, sakit seperti disiat-siat, pedih, seperti kena minyak panas dan kadangkala tubuhnya seperti diikat dengan bengkung ketat yang berisi duri menyebabkannya rasa bisa. Ada masanya, suami rasa badannya digantung dengan batu.


"Bermacam cara pengubatan saya ikhtiar untuk mengubati suami hingga ada pihak mengambil kesempatan menipu serta melakukan kaedah diragui.


"Kini, jika ada yang mahu berubat dengan membakar kemenyan atau berubat dengan mengenakan pengeras, saya akan tolak," katanya.


Tahun pertama mengalami sakit misteri, Zainal Abidin hanya diam menahan kesakitan, terlantar di atas katil dengan makan, minum dan memakai lampin pakai buang.


Tahun kedua, dia mampu bertinggung dan sedikit bertenaga selepas diberi vitamin. Namun, Rosnah terpaksa menghentikan pengambilan makanan tambahan itu disebabkan harganya mahal.


Tahun ketiga, Zainal Abidin yang kecewa tidak mahu berubat dan kini, emosi suaminya semakin tidak menentu.


"Sekarang, bisa dirasainya semakin kuat dan dia lebih ingat mati. Ketika dia meraung kesakitan, saya cuba kuatkan mental dan semangat. Hanya Tuhan tahu penderitaannya," katanya.


Rosnah membawa suaminya menjalani fisioterapi di Pusat Dalam Komuniti (PDK) seminggu sekali, manakala Nabil pada setiap hari. Selain Nabil, pasangan itu mempunyai dua anak, Mohd Zulkarnain, 24, yang mengalami masalah pembelajaran dan pelupa, kini berkahwin dan bekerja di stesen minyak manakala Mohd Zulfikar, 21, bekerja di kafe siber.


"Alhamdulillah, mujur dua anak kami pandai bawa diri. Saya minta mereka tidak memeningkan kepala saya. Zulfikar sebelum ini pernah bekerja tetap tetapi terpaksa berhenti kerana sukar mahu meluangkan masa dan mendapatkan pelepasan untuk menjaga Nabil sementara saya membawa suami menghadiri temu janji di hospital.


"Walaupun terlantar sakit, atas timbang rasa majikan, suami masih menerima gaji pokok tetapi kini dalam proses untuk pencen awal disebabkan masalah kesihatan. Selepas ini tidak tahu bagaimana nasib kami sekeluarga.


"Saya harap kesihatan suami pulih seperti sedia kala. Kami mengalu-alukan jika ada pihak menawarkan mengubati suami tetapi biar ia tidak menyimpang daripada ajaran Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


Harum nama negara

Posted: 01 Dec 2012 02:14 PM PST

An error was encountered while publishing this resource.

Resource not found

Sorry, the requested resource does not exist.

Check the URL and try again.

Resource: http://www.hmetro.com.my/articles/Harumnamanegara


Troubleshooting Suggestions

  • The URL may be incorrect.
  • The parameters passed to this resource may be incorrect.
  • A resource that this resource relies on may be encountering an error.

For more detailed information about the error, please refer to the error log.

If the error persists please contact the site maintainer. Thank you for your patience.

(Also, the following error occurred while attempting to render the standard error message, please see the event log for full details: name 'section' is not defined)

‘Kalau tak jadi calon?’

Posted: 01 Dec 2012 02:14 PM PST

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak meminta ahli Umno bermuhasabah diri dengan menjawab sendiri satu soalan cepu emas ditanyakannya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

"Kalau saya nak buat survey (kaji selidik), saya boleh tanya satu soalan cepu emas. Soalan cepu emas itu ialah "kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN (Barisan Nasional).


"Saya hendak bagi lima kemungkinan jawapan. Yang pertama, akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong; ketiga tak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima, lompat parti.

"Ini survey penting, tanya diri sendiri. Tak perlu edar borang, jangan bimbang. Saya nak tuan-tuan dalam dewan ini dalam perjalanan pulang nanti, dalam kereta, dalam bas ekspres, cuba tepuk dada tanya selera.


"Jawapan yang kita hendak pada soal cepu emas itu ialah kalau saya tak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong calon BN dan atau itu jawapannya, kalau itu dalam hati, insya-Allah dalam PRU-13, BN akan menang dua pertiga," katanya.


Najib berkata, beliau percaya pakatan pembangkang tidak kuat dan yakin orang ramai akan memihak kepada Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

"Yang saya khuatir sikit saja, soal kita sesama kita. Katakan dengan penuh yakin dan percaya, katakan dari hati dan jiwa kita, demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan Umno demi kedaulatan dan kesucian agama Islam kerana Umno mempertahankan Islam.


"Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno pembela rakyat," katanya.

Justeru, beliau berkata, ahli Umno mesti bersatu dan menolak persengketaan kerana perpaduan adalah tiang seri kepada perjuangan parti.


Menurutnya, Umno sudah melakukan transformasi yang menyaksikan banyak perubahan sehingga mendapat pujian banyak pihak termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan dunia Islam.


Katanya, kerajaan BN bersikap adil dengan mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik.


Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Perdana Menteri berkata, Umno dan BN bersedia untuk menang besar pada PRU-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.


Malah, beliau yakin dan percaya momentum semangat kemenangan yang dicetuskan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 semalam akan berterusan sehingga hari pengundian.


"Kita akan buat sehabis mungkin untuk memenangi dua pertiga, itulah sasaran dan matlamat kita pada pilihan raya umum nanti," katanya.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin. Berkaitan unsur sabotaj, Najib menyerahkan perkara itu kepada semua ahli parti untuk menilai diri sendiri sama ada tergamak melakukan pengkhianatan atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/02


No comments:

Post a Comment