Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ular jaga anak

Posted:

Dongguan: Seorang bapa menemui penjaga sempurna untuk anaknya, seekor ular sawa.

Chan Liu meninggalkan anaknya, Azhe, 13, bersendirian dengan ular seberat 100 kilogram itu di kediamannya di Dongguan, selatan China.

Ular itu tidak disimpan dalam kandang. Malah Azhe mengejutkan penduduk tempatan dengan sering mengucup dan memeluk ular sepanjang 4.6 meter itu.

"Dia begitu berhati-hati dengan saya. Tidak pernah dia membelit saya dengan kuat," kata Azhe.

Foto

AZHE bersama 'penjaganya' di bilik tidur.

Foto

Kanak-kanak itu mencium ular sawa yang enam tahun lebih tua daripadanya.


Dia dilahirkan enam tahun selepas bapanya membawa pulang sebiji telur ular sawa dan menetaskannya.


Chan berkata: "Saya sentiasa beranggapan ular adalah haiwan paling cantik dan saya ingin melihat apa yang akan terjadi apabila anak saya dilahirkan.

"Selepas yakin ular itu tidak akan mencederakannya, kami mula meninggalkan mereka bersama bersendirian. Mereka kini tidak boleh berpisah."

Akhirnya, keluarga itu mula menganggap ular sawa Burma itu sebagai penjaga anak mereka.

"Saya tidak fikir penculik berani untuk bergelut dengannya," kata Chan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Itu bukan isteri saya!

Posted:

Capetown: Seorang suami terkejut semalam apabila membuka keranda di majlis pengebumian isterinya di sebuah gereja dan mendapati mayat orang lain di dalamnya.

Keluarga Galant mengatur majlis itu untuk Magdalene Galant, 58, yang mati pada 26 Januari lalu akibat serangan sakit jantung.


Kematiannya bertukar menjadi tragedi berganda apabila pengurusan rumah mayat menghantar mayat lain dan berkeras menyatakan ia mayat Magdalene.

Si suami, Michael Galant berkata, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila membuka keranda itu.


"Kebimbangan saya menjadi kenyataan apabila semua yang hadir juga terkejut.


"Anak saya mendekati saya dan berkata, 'Itu bukan emak.' Saya tahu ini kesilapan besar," kata Galant. Keluarga itu kemudian berkata, mereka bertanya mengenai kesilapan itu kepada pekerja rumah mayat.

Anak Galant, Leota Lakay berkata, pekerja terbabit tidak dapat menjelaskan bagaimana mayat itu boleh tertukar.


"Mereka mulanya bertegas berkata, itu ibu saya. Saya memberitahu mereka, saya kenal ibu saya.

"Mereka kemudian mengaku silap, menarik laci yang salah di rumah mayat," kata Leota.


Keluarga itu berkata, mereka cuba menghentikan majlis berkenaan tetapi pekerja berkenaan meyakinkan mereka supaya meneruskannya.


Orang semakin ramai datang untuk memberi penghormatan terakhir tetapi berita kemudian tersebar bahawa mayat di dalam keranda itu bukan Magdalene.


"Kami sungguh trauma. Kami hanya mahu memberi penghormatan terakhir kepada isteri saya. Tetapi ini yang berlaku," kata Galant.


Selepas majlis itu, pekerja membawa keluarga itu ke rumah mayat.


"Apabila tiba, mereka menunjukkan kepada kami mayat Magdalene masih ada di situ dan mereka menghantar mayat orang lain untuk kami kebumi," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Nama saya Osama bin Laden, bapa saya Bill Clinton

Posted:

New Delhi: Seorang pemohon jawatan guru di Uttar Pradesh, mengisi borang secara online untuk mendapatkan jawatan guru dengan menggunakan nama 'Osama bin Laden.'

Tidak cukup dengan itu, dia meletakkan Bill Clinton' sebagai nama bapanya.


Permohonannya sudah pasti ditolak kerana tidak akan ada orang yang mempercayainya.

Tetapi, bukan dia seorang yang berbuat demikian, malah ratusan pemohon turut menggunakan nama palsu yang pelik dengan harapan menarik perhatian pihak berkuasa untuk dipilih mengisi jawatan guru di sekolah di negeri di utara India itu.


Seorang pemohon lain, kerana ingin menunjukkan dia boleh berbahasa Inggeris, meletakkan namanya 'Abcdefgh' dan nama bapanya Xyz.


Satu permohonan yang diterima pula, menggunakan nama Tuhan Hindu, Jai Sri Ram., dipercayai mungkin untuk menunjukkan dia dapat membantu meningkatkan ajaran agama Hindu di kalangan pelajar di negeri itu. Ada pula pemohon memberikan namanya Farji yang bermakna 'palsu'. Dalam ruang nama bapa, dia meletakkan Farji Singh, yang jika diterjemahkan bermakna Singh Palsu.

Dan tidak mengejutkan apabila semua pemohon itu meletakkan kelulusan akademik paling tinggi, dengan markah 100 peratus untuk semua peperiksaan, bagi mencerahkan peluang dipilih mengisi kekosongan jawatan itu. Jurucakap Jabatan Pelajaran Uttar Pradesh berkata, pihaknya menerima jutaan permohonan untuk mengisi 72,825 kekosongan jawatan guru sekolah rendah tetapi hanya 20 peratus daripadanya dipercayai jujur. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Terkejut 'si mati' jawab telefon

Posted:

Darlington: Seorang pesara terpaksa meyakinkan rakan dan anggota keluarganya bahawa dia masih hidup dan sihat selepas sebuah akhbar menyiarkan makluman mengenai kematiannya.

Akhbar Northern Echo menyiarkan makluman itu, mendorong kenalan George Simpson menelefon keluarganya untuk mengucapkan takziah. Mereka terkejut apabila yang menjawabnya ialah Simpson sendiri.


Kekeliruan berlaku apabila akhbar berkenaan menerima permintaan untuk menyiarkan makluman mengenai kematian seorang lelaki yang juga bernama George Simpson, 84. Northern Echo yang menyangka lelaki itu Simpson yang memang dikenali penduduk Darlington tetapi berusia 81 tahun, menyiarkan makluman mengenai kematiannya, lengkap dengan gambarnya.

"Saya menerima panggilang hingga dari Australia, mengucapkan takziah atas kematian saya," kata Simpson. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Hakim tidur dipecat

Posted:

Moscow: Seorang hakim dipecat selepas dia tertidur di mahkamah dan kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang defendan.

Hakim Yevgeny Makhno dari Mahkamah Bandar Blagoveshchensk di timur jauh Russia dipaksa melepaskan jawatannya kerana tertidur beberapa kali ketika membicarakan seorang ahli perniagaan atas tuduhan menipu.


Kes berkenaan menjadi skandal kebangsaan selepas peguam defendan memuatnaikkan video dalam Internet yang menunjukkan Makhno tidur ketika perbicaraan. Makhno mendakwa dia tidak tidur, sebaliknya mendengar perbicaraan itu dengan mata tertutup.

Sebuah mahkamah lebih tinggi bagaimanapun enggan menghukumnya, sebaliknya menyuruh dia mengambil ujian sebelum dilantik semula menjadi hakim.


Defendan pula akan dibicarakan sekali lagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Rambo sokong akta larangan senjata api

Posted:

Beverly Hills: Aktor Sylvester Stallone berkata, walaupun terkenal dengan imej Rambo dan terbabit dalam aksi tembak-menembak dalam filem terbarunya, "Bullet to the Head", dia menyokong undang-undang pengawalan senjata.

Stallone menyokong akta Brady Bill 1994 yang sudah lupus yang menggariskan pengharaman senjata dan berharap larangan itu dapat dilaksanakan semula. "Saya tahu orang marah dan berkata: 'Mereka akan mengharamkan senjata api.' Siapa yang memerlukan senjata api kecuali anda ingin melakukan serangan. Anda tidak boleh memburu dengannya. Siapa yang akan menyerang kediaman anda, tentera?," katanya. Aktor, penulis dan pengarah berusia 66 tahun itu berkata, dia juga berharap lebih banyak tumpuan diberikan terhadap kesihatan mental bagi mengelak kejadian pembunuhan beramai-ramai terus berlaku. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

DNA babi dalam daging halal

Posted:

London: Kementerian Kehakiman Britain semalam menggantung sebuah syarikat pembekal daging ke penjara selepas ujian mendapati daging yang dicop halal yang dibekalkannya mengandungi babi.

Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan berkata, pai daging yang dilebelkan halal ditarik balik serta-merta selepas DNA babi ditemui di dalamnya.


Menurutnya, semua penjara yang terbabit sudah dimaklumkan.

Agensi Standard Makanan berkata, pihak berkuasa sudah mula menyiasat bagaimana ia boleh berlaku dan setakat mana produk itu diedarkan ke seluruh negara itu.


Ujian terhadap makanan yang dikatakan halal itu dilakukan selepas beberapa pasar raya Britain didapati menjual daging burger lembu yang mengandungi daging kuda. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Pelajar Harvard digantung pengajian

Posted:

New York: Kira-kira 60 pelajar Universiti Harvard digantung dan yang lain berdepan tindakan disiplin ekoran skandal penipuan secara besar-besaran di kolej elit itu, lapor akhbar kampus berkenaan semalam.

Harvard Crimson memetik e-mel daripada Dekan Fakulti Sastera dan Sains, Michael Smith yang mengatakan lebih separuh kes dalam skandal itu berlaku tahun lalu menyebabkan keputusan menggantung pengajian dilakukan. Kira-kira separuh daripada pelajar lain yang disiasat berdepan tindakan disiplin, lapor akhbar terbabit. Pegawai di Harvard tidak dapat dihubungi untuk pengesahan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Buang mayat di tepi jalan

Posted:

Bekasi: Seorang peniaga buluh ditangkap selepas dia dituduh membuang mayat anak saudaranya, Ading Bin Ersin yang mati selepas terjatuh dari lori.

Kejadian berlaku kelmarin ketika peniaga berkenaan, AD, 42, bersama-sama Ading, 43, menghantar pesanan buluh kepada seorang pelanggan di Bogor.

Ading yang menjadi kuli bapa saudaranya, terjatuh dari lori yang mereka naiki, menyebabkan dia mati.

Kerana panik, AD membuang mayat anak saudaranya berhampiran kediamannya sementara motosikal milik Ading ditinggalkan kira-kira satu kilometer dari tempat mayat dibuang.


"Saya berharap polis menganggap dia mati kerana kemalangan motosikal," kata AD ketika disoal siasat.


Polis menahannya atas tuduhan tidak membantu mangsa selepas kemalangan itu hingga menyebabkan dia mati.

"Sebelum dibuang, AD membawa mayat mangsa sekeliling Bekasi dan Karawang kerana memikirkan cara untuk membuangnya," kata Ketua Polis Bekasi, Bambang Wahyudi.

AD berdepan hukuman penjara sembilan tahun jika sabit kesalahan. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Penentang Morsi serang istana

Posted:

Kaherah: Penentang Presiden Mohamed Morsi melontar batu dan bom api ke arah pintu masuk istananya kelmarin, bertempur dengan polis yang melepaskan gas pemedih mata serta meriam air.

Ini adalah kali pertama istana presiden menjadi sasaran serangan selepas keganasan politik Mesir meletus minggu lalu.

Pasukan keselamatan membenarkan mereka berarak merapati pintu pagar utama tetapi beberapa penunjuk perasaan mengambil kesempatan melontar batu dan kasut menerusi pagar.

Ada yang memanjat pagar itu untuk mendapat sudut lebih baik bagi melontar batu.


Polis dan Pengawal Republikan yang mulanya tidak bertindak, akhirnya melepaskan tembakan meriam diikuti dengan gas pemedih mata selepas bom api di lontar ke dalam pekarangan istana.


Ia disusuli dengan ketibaan polis pencegah rusuhan di jalan raya di luar istana itu.

Pertempuran berlaku selama beberapa jam sehingga lewat malam.

Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan mercun. Seorang pemuda berusia 23 tahun mati selepas ditembak di dada dan dahi sementara 50 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan, Morsi bagaimanapun tidak berada di istana itu.

Tunjuk perasaan di depan istana itu adalah sebahagian daripada demonstrasi di bandar raya di seluruh negara yang dianjurkan oleh pembangkang selepas kira-kira 60 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan, pertempuran dan rusuhan sebelum ini.

Ramai penunjuk perasaan mendesak Morsi meletak jawatan dan menuduh Ikhwanul Muslimin yang diketuainya memonopoli kuasa dan gagal menangani masalah yang semakin meningkat di negara itu.

Tindakan Morsi memuji pasukan keselamatan Mesir selepas jumlah kematian yang tinggi turut menyemarakkan lagi kemarahan penentangnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

No comments:

Post a Comment