Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Shahidan mahu jumpa presiden

Posted:

"Datuk Seri (Shahidan Kassim) (gambar) berkeras tidak mahu membalas surat pertuduhan diterimanya kerana mahu mengadap Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan Majlis Tertinggi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Ammar Hassan mengenai surat jawapan pertuduhan yang perlu dijawab Shahidan sebelum jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, Shahidan selaku Presiden PFA sebelum ini memutuskan untuk tidak menjawab surat pertuduhan FAM kerana mahu ia diselesaikan seperti adik-beradik dan bukan seperti di mahkamah.


"Pihak PFA juga dimaklumkan Shahidan dan saya akan bertemu pengurusan tertinggi FAM termasuk Presiden, Sultan Ahmad Shah selepas baginda selesai menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Kami akur dengan tiga pertuduhan itu dan jika FAM masih mahukan surat jawapan, PFA minta mereka beri tempoh lebih lama," katanya.


Menurutnya, mereka tidak mahu membincangkan perkara ini ketika Sultan Ahmad Shah menjalani rawatan kerana tidak mahu memburukkan suasana.


Ammar berkata, beliau difahamkan, Shahidan hanya menghantar surat peletakan jawatan kepada Sultan Ahmad Shah namun belum menjawab surat mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad. "Beliau hantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kewangan (AJK) FAM dan AJK Bola Sepak Wanita FAM pada hari sama menerima surat pertuduhan sebelum melantik peguam bagi mewakilinya dalam soal ini.

"PFA tetap dengan pendirian mahu melihat kemajuan dalam bola sepak Malaysia dan tidak mahu memburukkan keadaan." Sementara itu, Ammar berkata, pihak PFA juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan beberapa isu dalam masa terdekat dan akan menggariskan dua perkara penting.


Katanya, yang pertama, pihaknya mahu menggariskan perkara membabitkan kes berkaitan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KFA) Tan Sri Annuar Musa dan FAM di selesaikan di luar mahkamah.

Menurutnya, perkara kedua ialah berkenaan pertuduhan diterima Shahidan dan mahu ia diselesaikan seperti adik-beradik kerana ia berlaku berikutan salah faham dan pertama kali dilakukan beliau.


Jumaat lalu, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar, menerima surat pertuduhan daripada badan induk itu yang mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM. Shahidan juga ketika ditemui mengaku menerima surat pertuduhan terbabit dan tidak akan menjawabnya. Bagi pertuduhan pertama, beliau berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Status FAM. Untuk pertuduhan kedua, beliau berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM. Bagi pertuduhan ketiga pula, Shahidan melalui artikel sama dituduh membuat kenyataan bercanggah, mempertikaikan, mempersoalkan, atau fakta yang diberikan tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014. Bagi pertuduhan ini beliau berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000. Surat itu turut menyatakan Shahidan diberi tempoh hingga jam 12 tengah hari 8 Februari ini untuk memberi maklum balas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

'Masih terlalu awal'

Posted:

London: Penyerang Manchester United, Wayne Rooney (gambar) percaya masih terlalu awal untuk memikirkan trofi Liga Perdana Inggeris boleh dibawa kembali ke Old Trafford.

United yang kecundang pada hari terakhir liga kepada seteru setempat, Manchester City musim lalu, kini selesa dengan kelebihan sembilan mata berbanding City di tempat kedua serta 16 mata di depan pasukan tangga ketiga, Chelsea.


Bagaimanapun, fakta musim lalu yang menyaksikan United selesa lebih lapan mata tetapi kecundang selepas empat perlawanan terakhir, memberikan lonjakan semangat kepada City sekali gus menyebabkan Rooney enggan terbawa-bawa dengan situasi dimiliki skuad kendalian Alex Ferguson itu.

"Setiap keputusan amat penting," kata Rooney menjelang perlawanan United bertemu bekas kelabnya, Everton di Old Trafford, malam esok.


"Lihatlah perlawanan antara City dan Queens Park Rangers. Mereka sepatutnya menang perlawanan itu dan mempunyai banyak peluang tapi akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri," kata Rooney yang menjaringkan gol pertama England ketika menewaskan Brazil, 2-1 pada perlawanan persahabatan di Wembley.


"Ia hampir berlaku ke atas kami ketika bertemu Southampton sehari selepas itu.

"Kami mungkin hanya dapat melihat kedudukan sebenar dengan baki empat atau lima perlawanan dan terus bekerja keras." Berbanding City, United perlu memberi tumpuan kepada saingan lain termasuk pusingan kedua Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid yang menampilkan bekas bintang Old Trafford, Cristiano Ronaldo di Sepanyol, pertengahan minggu depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Misi rapat jurang mata

Posted:

Manchester City berharap mampu memanfaatkan peluang komitmen Manchester United pada saingan Liga Juara-Juara dan cuba merapatkan jurang ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bermula dengan kunjungan ke Southampton, malam ini.

Keputusan seri 2-2 diraih City ketika bertemu Liverpool di laman sendiri minggu lalu membolehkan United melebarkan jurang di tangga teratas liga kepada sembilan mata dengan baki 13 perlawanan.


Bagaimanapun, ketika United memikul dua tugas sukar berkunjung ke Real Madrid minggu depan serta menanti kunjungan Everton, malam esok, kegagalan City pada saingan Liga Juara-Juara bermakna mereka boleh memberi tumpuan penuh terhadap saingan domestik.

Selain perlawanan di tempat sendiri bertemu pasukan Liga Kejuaraan, Leeds United pada saingan Piala FA, 17 Februari ini, City kini berpeluang mengejar United.


Ivory Coast yang tersingkir pada suku akhir Piala Negara-Negara Afrika bermakna, pengurus City, Roberto Mancini boleh menggunakan khidmat Yaya (gambar) dan Kolo Toure di Southampton.


Yaya memainkan peranan penting ketika melakar kejuaraan liga musim lalu, iaitu ketika City bangkit daripada ketinggalan lapan mata sebelum mengecewakan United pada hari terakhir liga.

"Kami agak jauh ketinggalan berbanding United tapi apa yang perlu kami lakukan ialah cuba melakukan perkara sama seperti musim lalu," kata pemain tengah itu.


"Apa saja boleh berlaku. Kami mempunyai skuad hebat dan saya rasa paling penting kami mesti bekerjasama.

"Atas kertas, United sebuah pasukan yang hebat. Tapi perebutan bagi kejuaraan liga masih belum berakhir." Kunjungan kali terakhir Everton ke Old Trafford pada April tahun lalu menyaksikan mereka bangkit daripada ketinggalan 2-4 untuk mengikat kedudukan 4-4.


Selain perlu turun bertemu Real pada pusingan kedua Liga Juara-Juara, United juga dijadual bertemu Reading pada saingan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

'Masih belum cukup'

Posted:

Jack Wilshere menegaskan masih banyak lagi mampu disumbangkannya selepas pemain tengah Arsenal itu mempamer aksi memberangsangkan pada perlawanan persahabatan antara England dan Brazil, kelmarin.

Prestasi Wilshere ketika England mencatat kemenangan pertama 2-1 ke atas juara dunia lima kali, Brazil di Wembley sejak 23 tahun lalu dipuji rakan sepasukan serta pengkritik sukan.


Kini pemain tengah berusia 21 tahun itu diharap dapat membantu Arsenal meraih tiga mata ketika berkunjung ke Sunderland kerana pasukan pelawat berusaha berada di kelompok empat pasukan terbaik liga.

Wilshere terpaksa berehat selama 17 bulan akibat kecederaan buku lali dan lutut namun sejak kembali beraksi November lalu, dia menjadi watak penting buat Arsenal.


Akhbar The Times melabel Wilshere sebagai 'lebih Brazil berbanding pemain Brazil' selepas mempamerkan aksi terpuji pada perlawanan dengan hos Piala Dunia 2014 itu.


"Saya dapat rasakan prestasi bertambah baik. Saya tidak pernah puas hati dengan kedudukan semasa. Saya sentiasa mahu melakukan yang terbaik dan bekerja keras ketika sesi latihan.

"Saya mahu mengekalkan prestasi terbaik ini untuk kelab dan apabila dipanggil menyertai skuad England." Prestasi Theo Walcott ketika bertemu Brazil turut dipuji pengurus Arsenal, Arsene Wenger dalam usahanya merapatkan jurang dengan Tottenham Hotspur yang menduduki tangga keempat.


Namun, ketika Wilshere dan Walcott menjanjikan gandingan penyerang terbaik, keutamaan Wenger adalah pertahanan selepas Laurent Koscielny mengalami kecederaan pada perlawanan persahabatan ketika Perancis tewas kepada Jerman serta kapten, Thomas Vermaelen turut mengalami kecederaan buku lali.

Sebastien Squillaci dan pemain muda, Ignasi Miquel berada dalam senarai menunggu untuk digandingkan dengan Per Mertesacker sementara Nacho Monreal dijangka diturunkan bagi menggantikan tempat Kieran Gibbs yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Juve sedia kukuh cengkaman: Matri

Posted:

Milan: Penyerang Juventus, Alessandro Matri yakin pasukan itu mampu mengatasi cabaran Fiorentina sekali gus melebarkan kelebihan ke atas Napoli, hujung minggu ini.

Fiorentina memaksa Juventus seri tanpa jaringan di Florence hujung September lalu dan Matri berkata: "Kami sedia menghadapi Fiorentina dan melihat semula pertemuan pertama musim ini selepas mereka bertindak cemerlang dan menyukarkan kami.


"Mereka menikmati kempen liga yang hebat namun kami mengambil serius menghadapi perlawanan ini dan rileks menjelang pertemuan." Dilabel pilihan utama merangkul kejuaraan, langkah Juve bagaimanapun mampu disekat dengan kehebatan penyerang Napoli dari Uruguay, Edinson Cavani yang terus mencetak gol.

Napoli yang dibimbing Walter Mazzarri kini tidak kalah enam perlawanan berturut-turut dengan Cavani, yang baru-baru ini dikaitkan dengan kelab kaya raya, Paris St-Germain dan Manchester City, sudah menjaringkan 18 gol liga.


Lazio pasti hanya mengharapkan sekurang-kurangnya seri di laman sendiri dengan Napoli.


Namun Napoli begitu mengagumkan sejak akhir-akhir ini, manakala Lazio tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir liga termasuk kalah di tangan Genoa (2-3) dan Chievo (0-1).

Lazio, yang berdepan Borussia Moenchengladbach pada pusingan kedua Liga Europa minggu depan turut kehilangan penyerang veteran Jerman, Miroslav Klose selama dua bulan yang cedera paha kanan.


Mereka membawa masuk Louis Saha awal minggu ini, namun jurulatih Lazio dari Bosnia, Vladimir Petkovic menegaskan pemain Perancis itu yang dilepaskan Sunderland bulan lalu, bukannya pengganti Klose. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Barca tiada istilah penat

Posted:

Pertahanan Barcelona, Jordi Alba tidak percaya perjalanan jauh Sepanyol ke Qatar pada pertengahan minggu dan sepak mula awal menentang Getafe esok mampu menjejaskan kelab Catalan itu.

Perlawanan esok menyaksikan Barca bermain pada jam 12 tengah hari kali pertama sejak diperkenalkan liga itu awal musim lalu.


Namun Alba, seorang daripada sembilan pemain Barca yang terbabit dengan kemenangan 3-1 Sepanyol ke atas Uruguay Rabu lalu, tidak percaya ia boleh dijadikan alasan sekiranya pendahulu liga itu gagal mengekalkan kelebihan sembilan mata ke atas Atletico Madrid.

"Getafe lawan yang liat. Mereka agresif, mempunyai pemain berkualiti dan bermain dengan bagus. Mereka pasti menyukarkan kami tapi aksi jam 12 tengah hari tidak boleh dijadikan alasan," katanya.


Februari pasti menjadi bulan penting buat Barca dengan perlawanan besar menentang Real Madrid pada Piala Raja Sepanyol dan AC Milan dalam Liga Juara-Juara ketika mereka cuba mengulangi kejayaan menjulang tiga kejuaraan pada 2008-09.


Namun ia bermula dengan sempurna selepas Lionel Messi dilapor menyambung kontraknya bersama kelab itu hingga 2018.

Alba menghargai kehadiran Pemain Terbaik Dunia dalam pasukannya berbanding berdepannya beberapa kali ketika bersama Valencia.


"Bulan ini penuh dengan perlawanan sukar tapi kami perlu kekalkan tahap sama dalam setiap pertandingan. Pasukan ini mampu melakukannya dan membuktikannya sebelum ini.

"Saya tidak boleh bayangkan bagaimana Messi pada 2018 tapi sambungan kontrak ini satu berita hebat buat semua penyokong Barca.


"Malang kerana saya berdepannya sebagai lawan sebelum ini dan kini saya gembira menjadi rakan sepasukannya. Saya tidak pernah lihat sesiapapun melakukan apa yang dilakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Keshi bukti kehandalan

Posted:

Jurulatih Nigeria, Stephen Keshi ingin membuktikan kehandalan jurulatih Afrika apabila pasukannya berdepan Burkina Faso pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi Isnin ini.

Bekas pemain pertahanan antarabangsa itu berpeluang muncul individu kedua memenangi kejuaraan sebagai jurulatih dan pemain selepas menjadi kapten skuad Nigeria yang memenangi kejuaraan terakhir negaranya pada 1996.


Usaha membuktikan jurulatih Afrika setaraf keupayaan jurulatih dari Eropah dan Amerika Selatan yang banyak bekerja di benua itu melonjakkan semangat pengendali berusia 51 tahun itu yang turut mencetus kemarahan dengan menyatakan jurulatih asing tidak bagus.

Beberapa kali sepanjang kejohanan Piala Negara-Negara Afrika tahun ini, beliau mengutarakan isu itu di sidang akhbar.


"Orang putih hadir di Afrika hanya kerana wang," katanya. "Mereka tidak melakukan apa yang kami boleh lakukan. Saya tidak mengamalkan perkauman tapi itulah yang berlaku.


"Saya tidak pernah menentang jurulatih kulit putih di Afrika kerana sering bekerja dengan mereka.

"Jika anda mahu membawa seorang jurulatih hebat dan berpengalaman dari Eropah, saya sedia belajar daripada jurulatih itu kerana beliau lebih bagus dan memiliki lebih banyak pengalaman berbanding saya.


"Pada masa sama, kami mempunyai ramai pemain Afrika berkualiti atau bekas pemain yang boleh melakukan perkara sama tapi mereka tidak diberi peluang hanya kerana mereka berkulit hitam. Saya tidak sukakannya." Menanti Keshi pada final nanti adalah jurulatih Burkina Faso, Paul Put yang melakar keajaiban mengemudi Stallions ke perlawanan akhir.

Put digantung tiga tahun kerana menentukan keputusan perlawanan di Belgium dan selepas penggantungan itu berakhir, beliau tidak diperlukan mana-mana kelab di negaranya.


Pengendali berusia 56 tahun itu berhijrah ke Afrika, mulanya menjadi pencari bakat di Guinea kemudian melatih Gambia dan ahirnya mengikat kontrak bersama Burkina Faso pada 1 April.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Serena, Maria tak beraksi

Posted:

Saingan Piala Fed Kumpulan Dunia 2013 bermula hari ini tanpa kehadiran nama-nama besar seperti Serena Williams (gambar) dan Maria Sharapova dengan perubahan format disasarkan untuk menarik minat terhadap kejohanan itu.

Serena dan Maria beraksi pada Piala Fed 2012, terutama untuk melepasi kriteria ke Sukan Olimpik namun tidak terbabit kali ini apabila Amerika Syarikat berdepan Itali dan Russia menanti kunjungan Jepun minggu ini.


Serena yang beraksi hanya enam perlawanan sejak 1999, mengalami kecederaan belakang manakala Maria, dengan rekod hanya tiga penampilan Piala Fed sejak kali pertama pada 2008, diketepikan daripada skuad Russia.

Ketiadaan mereka mengurangkan jumlah pemain kelompok 10 terbaik beraksi dalam Kumpulan Satu Dunia kepada hanya tiga pemain, pemain nombor tujuh, Sara Errani dari Itali, ranking kelapan Petra Kvitova dari Republik Czech dan pemain nombor sembilan, Samantha Stosur dari Australia tersenarai.


Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) mengumumkan perubahan membabitkan perlawanan penentuan pada kejohanan itu, kelmarin.


Berbekal format baru, jika perlawanan diputuskan selepas perseorangan ketiga, perseorangan keempat tidak akan beraksi sebaliknya acara beregu dilangsungkan.

Namun jika perlawanan itu hanya ditentukan selepas perseorangan keempat, acara beregu tetap dimainkan dengan perlawanan tie-break (pertama mencecah mata 10).


Bekas juara Wimbledon, Petra mengetuai juara bertahan, Republik Czech menentang Australia di Ostrava dan dia beraksi perlawanan Piala Fed ke-14 sejak 2007.

Namun, dia berhempas-pulas musim ini, kalah mengejut pada pusingan kedua Terbuka Australia disusuli kecundang pada suku akhir di Paris minggu lalu ketika beraksi sebagai pilihan kedua.


"Pencapaian saya tidak seperti yang saya inginkan tapi saya masih percaya ia tetap OK. Saya boleh bermain tenis dan sukakan Piala Fed," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Misi besar MBSA

Posted:

Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertekad layak ke Liga Super Selangor 2014 selepas cemerlang pada aksi pembukaan Bahagian Perdana, menewaskan MPKE, 2-0 di Wisma MBSA Shah Alam, baru-baru ini.

Penolong jurulatih MBSA, Mohd Tarmiz Mohd Ismail berkata, kemenangan terbabit membakar semangat pemain untuk memperaga persembahan terbaik musim ini selepas terkandas pada peringkat kumpulan tahun lalu.


Beliau berkata, skuad yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Zainal Nordin juga berjaya mencipta kejayaan memberangsangkan selepas mara ke suku akhir Piala FA.

Berikutan itu, MBSA juga bertekad mara lebih jauh pada saingan itu yang bakal disambung tidak lama lagi.


"Latihan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat di bawah tunjuk ajar Zainal di Wisma MBSA menjadi azimat berharga buat pemain mencipta sentuhan berbisa pada saingan bahagian Perdana dan Piala FA kali ini.


"Kejayaan muncul juara Piala Datuk Bandar 2011 lalu antara kejayaan paling manis buat pasukan yang sekali lagi ingin diulangi sepanjang saingan 2013.

"Gabungan muka baru dan berpengalaman menjadi taruhan untuk meraih banyak gelaran tahun ini terutama layak ke Liga Super dan mengintai kejuaraan Piala FA Selangor," katanya.


Beliau berkata, latihan keras Zainal yang juga bekas kapten Selangor nyata memberi impak berkesan kepada sentuhan pemain yang amat berbeza berbanding musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

Pahang tekad pertahan kejuaraan PESAYA

Posted:

Kuantan: Kontinjen Yayasan Pahang (YP) yakin akan mengulangi pencapaian muncul juara keseluruhan Pesta Sukan Antara Yayasan SeMalaysia (PESAYA) Ke-11 di Politeknik Sultan Ibrahim, Pasir Gudang, Johor berlangsung selama lapan hari bermula hari ini.

Biarpun sedar kontinjen YP bakal dicabar hebat terutama Johor selaku tuan rumah, 138 atlet berazam mengekalkan gelaran dimenangi tahun lalu.


Ketua Kontinjen YP, Kamaruddin Koskani Abdul Hamid berkata, sejak Oktober tahun lalu, semua atlet sudah menjalani latihan intensif setiap hari bagi merealisasikan impian itu.

"Semua kontinjen pasti menyenaraikan atlet terbaik dan sebagai juara bertahan, kami tetap yakin mampu mengekalkannya.


"Sasaran kami ialah muncul juara empat daripada 11 acara disertai, iaitu bola sepak, futsal, bola jaring dan bola tampar. "Bagaimanapun, sukan lain turut berpeluang untuk muncul juara," katanya pada majlis penyerahan bendera di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang (YP), Tanjung Lumpur, Kuantan kelmarin.


Penyerahan bendera disampaikan Pengurus Besar YP, Datuk Saariah Saad kepada Kamaruddin yang yang turut disaksikan atlet dan pegawai.

Pada PESAYA 2009, Pahang selaku tuan rumah muncul juara keseluruhan diikuti Johor dan Sabah.


Pada edisi kali ini, selain bola sepak, futsal, bola tampar, bola jaring, turut dipertandingkan sepak takraw, badminton, ping pong, boling, petanque, karom dan golf.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/09

No comments:

Post a Comment