Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


9 dituduh jual buah pinggang

Posted:

Beijing: Sembilan orang semalam dituduh menjual buah pinggang masing-masing di pasaran gelap dan merekrut orang lain untuk bertindak sama.

Mereka yang semuanya berusia 30-an, mencari orang yang ingin berbuat demikian menerusi Internet dan memujuk mereka menjual organ itu di bandar raya Hangzhou,
Rangkaian penyeludupan buah pinggang itu didakwa merekrut seramai 38 orang sejak November 2011 yang telah menjual organ masing-masing sebelum polis Hangzhou melakukan penahanan pada Mei tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua.


Seorang daripada tertuduh, Lyu Qing, memberitahu mahkamah, dia memperoleh kira-kira 20,000 yuan (RM9,935) hasil daripada menjual buah pinggangnya.

Menurut Xinhua, Lyu meraih 161,000 yuan (RM79,978) melalui penyeludupan buah pinggang sejak dia mula menjalankan kegiatan itu sehingga dia ditangkap.

Orang ramai yang bersedia menjual buah pinggang mereka ditempatkan di sebuah rumah sewa di daerah Jianggan di Hangzhou sebelum proses pembedahan dilakukan.
Kegiatan itu dipercayai bermula sejak November 2011.

Kes itu menyerlahkan perdagangan organ secara haram di China yang berpunca daripada terlalu banyak permintaan berbanding penawaran.

Kira-kira 1.5 juta orang berada dalam senarai menunggu mendapatkan organ itu sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun.

Hakikat bahawa hanya segelintir rakyat China bersetuju menderma organ mereka selepas mati menyemarakkan lagi kegiatan pasaran haram.

Pada Disember lalu, seorang pakar bedah China dan enam rakannya dipenjarakan kerana dituduh terbabit dalam perdagangan organ secara haram dan sengaja menyebabkan kecederaan selepas seorang remaja menjual buah pinggangnya untuk membeli iPad dan iPhone.

Song Zhongyu menjalankan pembedahan secara haram terhadap pelajar berusia 17 tahun itu yang bersetuju memberikan organnya untuk ditukar dengan gajet bernilai kira-kira RM8,930.

Kisah pelajar itu terbongkar selepas ibunya curiga apabila melihat dia menggunakan peralatan berkenaan.

Dia akhirnya mengaku menjual buah pinggangnya selepas berdepan masalah kesihatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Siasat mayat wanita Malaysia dalam simen

Posted:

Bandar Seri Begawan: Polis Brunei, semalam melancarkan siasatan terhadap kematian seorang wanita Malaysia yang mayatnya ditemui dalam blok simen di perkarangan rumah seorang rakannya, kematian ngeri terbaru yang mengejutkan di negara itu.

Voon Su Ching, 39, dilapor hilang suaminya pada 13 Februari selepas tidak pulang selepas keluar membeli kek untuk hari jadi anaknya.


Polis menemui mayatnya lima hari kemudian di rumah rakannya yang meminta dia memantau kediaman itu sementara dia bercuti menyambut Tahun Baru Cina.

Jurucakap polis Brunei, Pengiran Abdul Salam Ghani berkata, bedah siasat sudah dijalankan dan polis masih menanti laporan pemeriksaan itu bagi menentukan punca kematian.


"Mayat mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya dan akan dibawa pulang ke Malaysia," kata Abdul Salam kepada wartawan.


Beliau bagaimanapun menafikan laporan media Malaysia bahawa seorang suspek sudah ditahan dan enggan mengulas lebih lanjut mengenai siasatan itu.

Voon yang berasal dari Sarawak menjalankan perniagaan mencuci kereta di Brunei dan tinggal bersama suami dan anak lelakinya.


Banglo tempat mayat itu ditemui masih diperiksa polis.

Sebuah akhbar Malaysia sebelum ini melaporkan, mayat Voon ditemui selepas pemilik banglo itu menemui blok simen setinggi tiga meter di lamannya dengan bau yang busuk.


Jenayah ganas jarang berlaku di Brunei. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Jermaine Jackson tukar nama keluarga

Posted:

Los Angeles: Penyanyi Jermaine Jackson mempunyai nama belakang yang baru iaitu Jacksun.

Hakim di Los Angeles semalam meluluskan penukaran nama penyanyi itu.


Jermaine yang berusia 58 tahun, abang kepada mendiang raja pop, Michael Jackson bagaimanapun tidak hadir di mahkamah. Jermaine memohon menukar nama keluarganya itu atas "sebab artistik" dan menurutnya ia tiada kena-mengena dengan perbalahan keluarga baru-baru ini, berkait hak penjagaan anak Michael dengan ibunya, Katherine. Peguamnya Bret D Lewis berkata, Jermaine berada di Eropah kerana mengadakan konsert. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Anas letak jawatan

Posted:

Jakarta: Pengerusi Parti Demokrat yang memerintah Indonesia, Anas Urbaningrum mengumumkan perletakan jawatannya semalam selepas dinamakan suspek dalam satu kes rasuah membabitkan wang berjuta dolar.

"Saya berhenti daripada menjadi pengerusi Parti Demokrat," katanya pada sidang akhbar.


Anas, 43, dinamakan suspek, semalam kerana didakwa menerima 'hadiah atau dijanjikan hadiah' dalam kes rasuah berkait dengan pembinaan sebuah pusat sukan Hambalang berhampiran Jakarta.

Projek itu bernilai 1.17 trilion rupiah (RM362 juta).


Peletakan jawatannya sudah dijangka kerana semua pegawai Parti Demokrat baru-baru ini menandatangani 'perjanjian intergriti' untuk melepaskan jawatan mereka jika dinamakan sebagai suspek rasuah. Mempertahankan pengakuan tidak bersalahnya, Anas berkata, beliau akan melalui prosedur undang-undang yang perlu. Sudah diketahui secara meluas bahawa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, penaung Parti Demokrat tidak memilihnya untuk jawatan pengerusi pada 2010 dan semalam tertuduh memberitahu bahawa beliau percaya tuduhan rasuah itu bersangkut-paut dengan hal itu. Tuduhan yang membabitkan Anas adalah skandal terbaru yang melanda parti pemerintah dan satu lagi insiden yang memalukan presiden yang menang besar pada pilihan raya 2009 atas platform untuk melawan rasuah.


Kes rasuah yang menghantui Parti Demokrat telah menjejaskan popularitinya yang jatuh kepada lapan peratus pada Disember tahun lalu daripada kira-kira 21 peratus pada 2009. Pilihan raya baru dijadual diadakan tahun depan. Disember lalu, Menteri Sukan, Andi Mallarangeng yang pernah menjadi jurucakap presiden, terpaksa meletak jawatan selepas dinamakan suspek dalam kes sama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Parah diserang suami cemburu

Posted:

Jakarta: Seorang wanita parah apabila diserang suami sendiri kerana cemburu.

Sulinda dilapor ditikam di punggung, kaki dan tangan. Lebih teruk lagi, tindakan suaminya, Ropi'i menyebabkan urat nadi tangan kiri mangsa putus dan pergelangan kaki kirinya patah. Kepalanya juga luka selepas ditetak dengan parang.


Kejadian berlaku di rumah keluarga si suami di Kampung Karangsembung, di daerah Brebes, Jawa Tengah.

Ibu Ropi'i, Rokhana berkata, serangan itu berlakuselepas pasangan suami isteri yang berkahwin enam bulan lalu baru pulang dari Jakarta.


"Mereka tidak menunjukkan sebarang tanda perkelahian apabila tiba di rumah. Tiba-tiba mereka bertengkar di dalam bilik dan Sulinda meluru keluar sambil meraung dengan darah membasahi tubuh," kata Rokhana. Ropi'i menghilangkan diri sejak kejadian itu.


Dalam keterangannya kepada polis di hospital, Sulinda berkata, dia sering bertengkar dengan suami yang kerap mengancam hendak membunuhnya.

"Saya tidak menghiraukan ancaman itu. Tetapi pada hari itu, dia betul-betul marah," kata wanita itu.


Polis yang melancarkan gerakan memburu Ropi'i percaya lelaki itu kini berada di Jakarta. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Pelajar desak undur tentera dari selatan Thai

Posted:

Bangkok: Persekutuan Pelajar Thailand (SFT) menggesa kerajaan mengundurkan tentera dari Selatan negara itu, membatalkan undang-undang darurat dan memilih rundingan damai bagi menyelesaikan masalah di wilayah berkenaan.

SFT bersama Yayasan Potensi Masyarakat kelmarin mengadakan seminar bertajuk 'Marohso Chantarawade dan Rakan: Pemberontak Siam atau Wira Pahlawan Pattani?.' Wakil Pertubuhan Pandang Kiri, Wattana Wan berkata, pertempuran pada 13 Februari lalu di Narathiwat yang menyebabkan 16 pejuang pemisah terkorban dan tiada kemalangan jiwa di kalangan pegawai keselamatan mencetuskan kebencian penduduk tempatan terhadap pegawai kerajaan dan mendorong lebih ramai menyertai pejuang pemisah. "Kumpulan pemisah dibentuk mereka yang berang dengan kejadian masa lalu dan mereka tidak mahu diperintah kerajaan. "Saya sarankan kerajaan mengundurkan tentera dari kawasan itu dan membiarkan penduduk tempatan memutuskan cara pentadbiran mereka," katanya.


Penyelaras Belia Untuk Pembangunan, Artef Sohko berkata, kerajaan tidak boleh menafikan terdapat pergerakan pembebasan dianjurkan penduduk tempatan bagi menentang kerajaan Thai. "Pertempuran pada 13 Februari mengorbankan 16 pejuang pemisah. Walaupun tewas, mereka berjaya meraih simpati rakyat.

"Jika anda bertanya kepada penduduk tempatan di sana, anda akan tahu apa mereka inginkan," katanya.


Dia membantah langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana membolehkan pemisah menyertai menerima pengampunan.


Wakil Yayasan Potensi Masyarakat, Chalida Thacharoensak berkata, punca sebenar pemberontakan ialah penindasan terhadap penduduk tempatan menerusi penguatkuasaan undang-undang darurat dan undang-undang keselamatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Enam polis cedera di Pattani

Posted:

Pattani: Enam anggota polis mengalami kecederaan selepas tiga bom dilontar ke dalam perkarangan balai polis dalam satu kejadian berani di daerah Kapho, di sini, semalam.

Menurut laporan, kejadian berlaku ketika kebanyakan anggota polis di balai berkenaan sedang mengadakan latihan sukan. Bom tangan yang dilempar itu jatuh di atas sebuah trak sebelum meletup. Bagaimanapun, keenam-enam mangsa yang cedera tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.


Gerakan menjejaki penyerang yang dipercayai melarikan diri di kawasan semak di belakang balai berkenaan selepas serangan itu sudahpun dilancarkan.

Kejadian berlaku selepas dua anggota tentera cedera dalam dua serangan berasingan di wilayah itu.


Dalam pada itu, sebuah kereta Honda Civic dirampas di daerah Muang di Yala selepas disyaki dipasang dengan bahan letupan. Menurut laporan, kereta yang berpendaftaran plat Malaysia itu dimiliki seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Yi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Penentang bentuk kerajaan

Posted:

Damsyik: Kumpulan penentang Syria, Gabungan Kebangsaan akan membentuk kerajaan di 'kawasan yang sudah dibebaskan' di negara itu.

"Kami bersetuju membentuk kerajaan untuk menguruskan hal ehwal di kawasan yang sudah dibebaskan," kata jurucakap kumpulan itu, Walid al-Bonni selepas bermesyuarat di Kaherah.


Menurutnya, gabungan itu akan bermesyuarat di Istanbul, Turki, pada 2 Mac untuk menentukan perwakilan dan memilih ketua.

Walid juga berkata, kerajaan kumpulan penentang itu akan berpusat di Syria.


Rundingan di Kaherah itu membincangkan cadangan pengerusinya, Ahmed Moaz al-Khatib untuk berunding secara langsung dengan rejim Presiden Bashar.


Bagaimanapun, pada akhir perbincangan, mereka mencapai keputusan bahawa 'Bashar dan pemerintah tentera dan keselamatannya tidak boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian politik.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 29 orang, termasuk kanak-kanak terbunuh awal semalam apabila tiga misil dilepaskan di Aleppo, utara Syria.


Seorang aktivis penentang berkata, kira-kira 10 orang dari satu keluarga terperangkap dalam runtuhan bangunan ekoran serangan itu di Tariq al-Bab di kawasan Ard al-Hamra.

Pengarah Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman pula memberitahu wartawan, serangan berkenaan turut menyebabkan 50 orang cedera.


Menurutnya, jumlah mangsa mungkin meningkat memandangkan ramai yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.


Rakaman video yang dimuatnaikkan ke YouTube menunjukkan kepulan asap memenuhi ruang angkasa kawasan itu sementara suara seorang lelaki kedengaran meminta bantuan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Hukuman bekas Presiden Taiwan ditambah

Posted:

Taipei: Hukuman penjara ke atas bekas presiden Taiwan Chen Shui-Bian berhubung kes rasuah pada 2009, dilanjutkan kepada 18 bulan lagi, menjadikannya 20 tahun.

Keputusan itu diambil berikutan timbulnya lebih banyak kes lain.

Chen, 62, sudah pun menjalani hukuman penjara 18 setengah tahun atas kesalahan rasuah dan pelaburan wang haram ketika menjadi presiden pada 2000-2008.

Mahkamah tinggi semalam melanjutkan tempoh hukuman itu setelah dia juga didapati bersalah menerima rasuah daripada ahli perniagaan dalam kes gabungan kewangan berprofil tinggi.


Dia disabitkan bersalah atas pertuduhan itu Disember lalu.


Hukuman ke atas isterinya, Wu Shu-chen turut ditambah, menjadikannya 20 tahun walaupun dia dikecualikan daripada menjalani hukuman itu kerana masalah kesihatan.

Pasangan itu juga diarahkan membayar denda sebanyak Tw$450 juta (RM46.5 juta), kata satu sumber mahkamah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Lebih 200 diculik bebas

Posted:

Beirut: Kumpulan bersenjata pengikut Syiah dan Sunni Syria dilapor sudah membebaskan lebih 200 orang yang mereka tahan dalam kes penculikan membalas dendam dua minggu lalu.

Aktivis pembangkang berkata, pernculikan di wilayah Idlib itu bermula 14 Februari lalu apabila sebuah bas membawa penduduk Syiah, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, diculik ketika dalam perjalanan ke Damsyik, dipercayai oleh kumpulan bersenjata Sunni. Tindakan itu mendorong penduduk dua kampung Syiah bertindak balas dengan menculik penduduk Sunni, sebahagian besarnya juga wanita dan kanak-kanak, di kampung berhampiran. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

No comments:

Post a Comment