Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Abadikan nama kekasih di muka

Posted:

Moscow: Seorang lelaki yang gemarkan tatu mengabadikan namanya di wajah teman wanitanya kurang daripada 24 jam selepas mereka bertemu buat kali pertama.

Lesya Toumaniantz dari Saransk, Russia membenarkan Rouslan Toumaniantz mengukir nama 'Ruslan' di wajahnya menerusi tulisan gergasi Gothik pada hari mereka bertemu.

Pasangan itu yang bertemu di laman sembang dalam talian berkata, mereka serta-merta 'jatuh cinta' dan kemudian segera bertemu di Moscow, tempat di mana mereka akan berkahwin.

"Ia adalah simbol kesetiaan abadi kami. Saya mahu dia mentatu setiap inci tubuh saya," kata Lesya.

Foto

WAJAH Lesya yang ditatu kurang daripada 24 jam selepas bertemu kekasihnya buat kali pertama.

Foto

LESYA berkenalan dengan Toumaniantz di laman sembang di Internet.


Bekas pelajar sastera yang gilakan tatu dan mempunyai kakak yang bekerja sebagai pelukis tatu itu berkata, di atas keningnya, Toumaniantz melukis 'Semuanya Untuk Cinta'.


"Semuanya untuk Ruslan," katanya ketika memuat naik gambar tatunya dalam Facebook hari ini.

Dan kini Lesya yang sudah pun menggunakan nama Toumaniantz walaupun baru sahaja bertunang pada 20 Januari lalu belajar untuk membuat tatu di bawah bimbingan tunangnya itu.

"Rancangan mereka untuk hidup bersama, termasuk Lesya belajar melukis tatu dan membolehkan seluruh tubuhnya ditatu seperti mana yang selalu diidamkannya, selain sudah tentu untuk membina keluarga," kata seorang rakan Toumaniantz.

Toumaniantz berkata: "Saya tahu ada orang yang bimbang Lesya membuat keputusan terburu-buru yang akan dikesalinya kelak, tetapi kadangkala keputusan terbaik dibuat serta-merta berdasarkan gerak hati berbanding keputusan yang sudah lama berlegar di fikiran anda.

Rakan Lesya membanjirinya dengan mesej memuji kerja seni itu dan mengatakan betapa cantik dia kelihatan.

"Kamu pasti sangat gembira kerana mempunyai tatu itu. Ia nampak hebat," tulis Ralf Bieler.

Kerja seni Toumaniantz itu pernah menjadi tajuk utama akhbar pada 2009 selepas dia mentatu 56 bintang di wajah seorang gadis berusia 18 tahun yang kemudian menipu dan menuduhnya mentatunya ketika dia tidur.

Toumaniantz melarikan diri dari Belgium selepas skandal yang dicetuskan Kimberley Vlaeminckin pada 2009. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Pen mampu kesan kesalahan ejaan

Posted:

London: Menggunakan pen dan kertas boleh menjadi pengalaman menakutkan kepada ramai orang hari ini.

Tanpa kelengkapan pemeriksaan ejaan seperti di komputer, sesetengah kesalahan ejaan yang memalukan sukar untuk dielakkan.


Tetapi kini anda tidak perlu bimbang kerana ada bantuan yang dapat menyelesaikan masalah itu. Kesalahan ejaan dapat diatasi dengan pengeluaran pen berteknologi tinggi yang akan bergetar setiap kali kesalahan dikesan. Pen dicipta syarikat Jerman Lernstift itu bertujuan membantu kanak-kanak sekolah belajar menulis, tetapi ia sesuai digunakan untuk semua peringkat usia.

Pen yang masih dalam tahap percubaan itu mampu mengesan kesalahan ejaan atau pembentukan huruf dengan amaran getaran ketika digunakan penggunanya. Pengguna boleh memilih antara dua fungsi: Mod kaligrafi - menunjukkan kecacatan bentuk dan kemudahan membaca atau mod Ortografi - mengesan kesalahan ortografik dan tatabahasa.


Pengesan yang dibina dalam pen itu dapat mengesan pelbagai pembentukan huruf dan segera bergetar jika kesalahan dikesan. Menurut laman web Lernstift, pereka Falk dan Mandy Wolsky mendapat ilham untuk menghasilkan pen itu ekoran percubaan anak lelaki mereka ketika mula-mula menulis.


Mereka menjelaskan dalam laman web syarikat terbabit: "Daripada perkataan pertama terdapat kesalahan." Diharapkan pen itu dapat mendorong kanak-kanak menulis dengan lebih tepat dan cepat.

Pereka terbabit akan melancarkan projek dibiaya melalui sumbangan orang ramai yang menyokong konsep di sebalik ciptaan itu bagi mengutip wang untuk membangun dan memasarkan idea berkenaan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

SBY nafi culas bayar cukai

Posted:

Jeddah: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono semalam berkata beliau dan keluarga tidak pernah cuai dalam menjelaskan cukai pendapatan.

Bercakap kepada wartawan Indonesia yang mengiringi lawatannya ke Arab Saudi, Susilo menjelaskan, tidak ada sebarang usaha yang dilakukan beliau dan keluarga untuk mengelak membayar cukai itu.


Pemimpin Indonesia itu mengulas laporan Jakarta Post minggu lalu yang membangkitkan isu cukai pendapatan keluarganya.

"Saya memandang berat mengenai laporan yang berkata kami tidak membayar cukai pendapatan dengan teratur," katanya tanpa menjelaskan secara terperinci mengenai cukai pendapatan yang dijelaskan beliau.


"Proses mengisytiharkan pendapatan kami juga dilakukan dengan teliti dan jujur. Selepas mengisi borang, saya minta diperiksa kembali, bimbang jika ada yang tertinggal atau terkurang kerana saya tidak mahu walau satu rupiah terkurang," kata pemimpin Indonesia itu.


Menurutnya, butiran yang disebut oleh Jakarta Post mengenai jumlah pendapatan dan cukai yang dibayar keluarganya sama sekali menyimpang dengan data Jabatan Cukai.

"Sebagai presiden, saya telah melaporkan seluruh harta kekayaan yang saya miliki. Begitu juga dengan keluarga saya. Kami melakukannya mengikut peraturan,". - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Peraih buah ditembak kumpulan pemisah

Posted:

Yala: Empat peraih buah ditembak mati oleh anggota kumpulan pemisah di wilayah selatan Thai ini, semalam.

Jurucakap tentera, Kolonel Pramote Romin berkata, mayat mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita ditemui dengan tangan dan kaki terikat dalam sebuah gudang yang digunakan sebagai pangkalan perniagaan mereka di daerah Krong Pinang.


Mereka beragama Buddha dan berasal dari wilayah Rayong, timur Thailand yang sering berulang-alik ke wilayah majoriti penduduk Islam di selatan untuk membeli buah-buahan. "Mangsa biasa datang untuk membeli buah-buahan seperti durian dan dokong di wilayah selatan. "Mereka sudah biasa dengan masyarakat dan kawasan di sini," katanya.

Peniaga peniaga kelima dapat menyelamatkan diri. Kerajaan Thailand cuba untuk memperbaiki ekonomi wilayah selatan yang dilanda konflik dengan menggalakkan peniaga membeli buah-buahan, getah dan produk keluaran tempatan lain untuk jualan di seluruh negara itu.


Bagaimanapun, kumpulan pemisah yang berjuang untuk kuasa autonomi menganggap mereka yang mempunyai kaitan dengan kerajaan sebagai sasaran dalam perjuangan mereka sejak sembilan tahun lalu.


Pada 1 Februari lalu, anggota pemisah melepaskan tembakan ke arah sebuah trak dipenuhi sukarelawan yang melatih petani teknik menanam padi di Pattani, membunuh dua orang dan mencederakan puluhan yang lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Ashraf, Bunga buka restoran

Posted:

Jakarta: Pasangan suami isteri, Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari (BCL) akhirnya berjaya merealisasikan impian mereka yang tertunda gara-gara banjir.

Impian mereka, membuka sebuah restoran, TGI Friday, direalisasikan semalam apabila ia dibuka secara rasmi di Lippo Mall Keman Village di Jakarta Selatan.


Ketika ditanya sama ada ia pelaburan hari tua, Bunga menjawab: "Sebenarnya tidak juga kerana saya mahu terus berada dalam dunia hiburan hingga ke hari tua. Restoran ini sebenarnya adalah impian Ashraf." Menurut Bunga, dia sendiri pada awalnya bimbang kerana takut usaha itu tidak berhasil. Bagaimanapun, melihat kepada kesungguhan Ashraf, keyakinannya meningkat.

"Bimbang memang bimbang. Tetapi Ashraf bersungguh-sungguh, termasuk belajar selok-belok berniaga," kata artis itu.


Kini, yang hanya difikirkan pasangan itu ialah cara untuk membahagikan masa. "Dia perlu memikirkannya kerana ini perniagaannya," kata Bunga. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Tak peduli ancaman

Posted:

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Israel memandang remeh ancaman Syria dan Iran untuk melancarkan serangan balas berikutan tindakannya menyerang kemudahan tentera Syria minggu lalu.

"Israel tidak bimbang mengenai ancaman Iran atau Syria. "Kami tidak melakukan sebarang persiapan bagi menghadapi ancaman berkenaan. Tetapi kami sudah bersedia untuk berdepan dengan serangan berkenaan kerana tahu Iran mempunyai keupayaan dan niat untuk menyerang Israel, kata jurucakap Kementerian Luar Yigal Palmor kepada agensi berita China, Xinhua, semalam.


Pegawai Zionis itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran, Saeed Jalili yang berkata, rejim Zionis itu akan menyesal kerana menyerang Syria.

"Kami tidak menambah jumlah tentera di sempadan Syria. "Tetapi, kami menempatkan dua tembok pertahanan peluru berpandu Iron Dome bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan dari Iran," kata Palmor. - Xinhua

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Diselar samakan Presiden Iran dengan monyet

Posted:

Washington: Tokoh Republikan, Senator John McCain membandingkan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dengan monyet diselar oleh rakan senat dari parti sama yang menganggap tindakan bekas calon presiden 2008 itu berbau perkauman.

McCain, Isnin lalu menulis dalam Twitter: "Mahmoud Ahmadinejad mahu menjadi rakyat Iran pertama ke angkasa lepas. Bukankah dia sudah ke sana minggu lalu." McCain kemudian menghubungkan kata-katannya dengan berita Iran melancarkan monyet ke angkasa lepas.


Selepas diselar, McCain menulis: "Jangan marah. Takkan tak boleh berjenaka." Kenyataannya tidak memuaskan hati rakan senator yang juga dari Parti Republikan, Justin Amash, yang menulis dalam Twitter: "Anda sepatutnya bersikap lebih waras dan tidak membuat lawak berbau perkauman." Ketika berkempen pada 2008, McCain mencetuskan kekecohan apabila dia berkata 'Bom Iran.' mengikut nada lagu Beach Boys, 'Barbara Ann.' - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Mahmoud tak puas hati sekutu ditahan

Posted:

Teheran: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menyelar badan kehakiman negara itu berhubung penahanan sekutunya dan juga bekas pendakwa raya, Saeed Mortazavi.

Saeed ditangkap awal semalam dan dihantar ke Penjara Evin, tempat tahanan politik dan wartawan dikurung atas arahannya.


Bercakap kepada wartawan sebelum berlepas ke Mesir, Mahmoud menyifatkan penahanan itu sebagai 'tindakan tidak senonoh.' Presiden Iran itu juga berkata, beliau akan menangani isu Saeed sekembalinya dari lawatan tiga hari ke Kaherah.

Saeed digantung tugas pada Ogos 2010 berhubung kematian tiga penunjuk perasaan antikerajaan selepas pilihan raya presiden 2009 yang menyaksikan Mahmoud dilantik.


Isu Saeed mencetuskan pertengkaran antara kerajaan dengan Parlimen, Ahad lalu dengan Mahmoud menuduh Speaker, Ali Larijani dan keluarganya rasuah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

No comments:

Post a Comment