Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Saya tetap tanding'

Posted:

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh (gambar) tidak akan menarik diri daripada menjadi calon Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun beliau tidak menolak kemungkinan salah satu daripada calon dari Asia akan menarik diri selepas ini.

Semalam adalah hari terakhir pencalonan presiden BWF yang akan dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Mei depan dan hanya tiga calon, dua dari Asia (Tenggara) Nadzmi dan Justian Suhadinata (Indonesia) serta calon Eropah, Paul Erik Hoyer Larsen (Denmark).


"Pencalonan sudah dibuat dan saya tetap akan bertanding. Ketika ini ada dua wakil dari Asia dan keadaan ini mengundang perpecahan undian di kalangan Asia sehingga membuatkan Eropah mengambil peluang," kata Nadzmi.

Meskipun begitu, Nadzmi tidak menolak kemungkinan salah satu daripada calon Asia menarik diri tetapi beliau tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berbuat demikian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Liverpool tersingkir

Posted:

Juara lima kali Piala Eropah, Liverpool tersingkir daripada kempen Liga Europa menerusi gol jaringan di tempat lawan kepada pasukan dari Russia, Zenit Saint Petersburg meskipun melakar kemenangan 3-1 di Anfield, semalam.

Ketinggalan dua gol dalam perlawanan pertama, Liverpool yang mencari gol pendahuluan begitupun dikejutkan apabila pertahanan mereka, Jamie Carragher gagal menyekat percubaan Hulk sekali gus menjadikan agregat 3-0 buat pasukan pelawat.


Liverpool bagaimanapun bangkit menghasilkan dua gol menerusi Luis Suarez yang kemudian disusuli Joe Allen tetapi belum cukup untuk menyekat Zenit mara ke pusingan ketiga.

Pengurus Liverpool Brendan Rodgers berkata: "Kami mungkin tewas perlawanan malam ini (semalam), tetapi dalam sudut semangat juang dan menyerang kami sebenarnya menang." Di sebalik kegagalan Liverpool, masih ada kelab Inggeris yang terselamat dalam aksi semalam dengan gol jaringan lewat permainan Mousa Dembele membolehkan Tottenham menempatkan diri dalam kelompok 16 pasukan terakhir selepas mencatat kemenangan agregat 3-2 ke atas Lyon biarpun seri 1-1 pada perlawanan pertama.


Spurs yang akan berdepan Inter Milan selepas ini memenangi perlawanan pertama 2-1 namun ketinggalan dalam aksi kedua menerusi jaringan Maxime Gonalons pada minit ke-17 sebelum Dembele menjaringkan gol penyelamat buat kelab London itu.


Sementara itu, gol ketiga Shola Ameobi di Eropah musim ini, melalui sepakan penalti membolehkan Newcastle menang 1-0 ke atas Metalist Kharkiv, selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di Tyneside minggu lalu.

Kelab Inggeris itu akan bertemu kelab Russia, Anzhi Makhachkala pada pusingan berikutnya.


Dalam perlawanan lain, kelab Russia, Rubin Kazan menyingkirkan juara bertahan Atletico Madrid 2-1 menerusi agregat meskipun Falcao menghadiahkan gol tunggal kemenangan buat kelab Sepanyol itu.

Inter juara Piala Eropah 2010 melepasi halangan menerusi agregat 5-0 selepas mencatat kemenangan 3-0 pada aksi kedua ke atas wakil Romania, Cluj yang beraksi dengan 10 pemain selepas Mario Camora menerima kad merah.


Bintang Colombia, Fredy Guarin menjaringkan dua gol untuk Inter sebelum Marco Benassi menyumbat gol ketiga.


Kelab Jerman, Stuttgart meraih kemenangan 2-0 ke atas Genk di Belgium bagi agregat 3-1 hasil jaringan Arthur Boka dan Christian Gentner.


Kelab Itali, Lazio mengalahkan musuh dari Jerman, Borussia Moenchengladbach 2-0 dengan Antonio Andreva dan Alvaro Gonzalez menghasilkan gol pada babak pertama untuk layak dengan agregat 5-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

United tanpa Rooney

Posted:

Manchester United bakal beraksi tanpa Wayne Rooney (gambar) dan Phil Jones pada pertemuan menentang Queens Park Rangers (QPR) hari ini ketika mereka meletakkan sasaran untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 15 mata.

Rooney yang menjaringkan 10 gol pada 11 perlawanan sebelum ini mengalami masalah resdung manakala Jones pula cedera buku lali ketika kelab itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Reading dalam pertembungan pusingan kelima Piala FA, Isnin lalu.


Dengan prestasi baik di Piala FA dan keputusan seri 1-1 dengan Real Madrid dalam saingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara minggu lalu, United kini boleh kembali mengalih tumpuan dalam misi memburu gelaran ke-20 mereka dalam saingan Liga Inggeris.

Kunjungan ke Loftus Road adalah yang pertama daripada lima perlawanan berturut-turut yang mana United bakal berdepan pasukan yang berada di kedudukan liga separuh ke bawah sebelum mengharungi perlawanan yang mungkin bakal menentukan kejuaraan di laman sendiri menentang Manchester City 8 April ini.


Dengan City bakal melayan pasukan di tangga ketiga liga, Chelsea di gelanggang sendiri esok, kemenangan yang diraih United ke atas QPR boleh memberi tamparan hebat dalam perebutan gelaran.


Begitupun, selepas melihat bagaimana pasukannya membazirkan lapan mata ke atas City musim lalu, Alex Ferguson terus memberi amaran kepada pemainnya supaya memberi sepenuh perhatian dengan misi kali ini.

"Satu-satunya cara yang kami boleh lakukan ialah memberi tumpuan pada setiap perlawanan," kata pengurus kelab itu. "Saya boleh memahami daripada sudut mata Manchester City kenapa mereka bercakap mengenai kami keciciran mata.


"Tetapi kenyataannya mereka juga boleh keciciran mata juga." City belum berputus asa dalam merebut gelaran meskipun selepas gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan - paling mengecewakan tewas 1-3 kepada Southampton dalam penampilan sebelum ini yang menyaksikan mereka tercicir 12 mata. Mereka kini mendapat tekanan daripada Chelsea yang mengambil kesempatan di atas kekalahan City di St Mary dengan menumpaskan Wigan Athletic 4-1 bagi merapatkan kedudukan empat mata dengan skuad kendalian Roberto Mancini.

Arsenal pula mengharungi minggu mengecewakan apabila tersingkir dalam kempen Piala FA kepada pasukan divisyen dua Blackburn Rovers dan kemudian kalah 1-3 di tangan Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara tapi mereka mempunyai sebab untuk mengalahkan Aston Villa hari ini.


Tottenham Hotspur ketika ini memiliki kelebihan empat mata ke atas Arsenal dalam kedudukan terakhir Liga Juara-Juara namun dengan Spurs tidak beraksi sehingga Isnin ini, kemenangan yang diraih Gunners akan membolehkan mereka menghidupkan peluang untuk menyingkirkan musuh setempat itu.


Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berdepan tekanan berikutan kekalahan pasukannya kepada Bayern di laman sendiri Selasa lalu namun penyerang Theo Walcott berkata, salah satu cara untuk mengatasi masalah adalah semua pihak bersatu dan bergerak ke depan.


"Kami memiliki pengurus yang berkaliber untuk membawa kami ke kedudukan sepatutnya," katanya.


"Kami perlu positif untuk mengharungi situasi ini. Kami tidak boleh hilang semangat. Semua pihak perlu bersedia untuk memberikan aksi terbaik. Kami mempunyai rekod baik dalam Liga Perdana sebelum ini, itu kami tidak boleh nafikan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Tonik terbaik Milan berdepan Inter

Posted:

MILAN: Usaha AC Milan untuk mencipta kebangkitan selepas aksi buruk pada awal kempen Serie A berdepan cabaran getir apabila berdepan musuh setempat Inter di San Siro esok.

Permulaan Milan musim ini selepas beberapa bulan menduduki tangga kedua di belakang Juventus dan lebih setahun selepas memenangi gelaran 2011 adalah yang terburuk dalam sejarah dan menyebabkan kedudukan jurulatih, Massimiliano Allegri terancam.


Allegri bagaimanapun memiliki peluang baik untuk memperbaiki kedudukan pasukannya ke tangga ketiga dengan baki 13 perlawanan dan kemenangan ke atas Barcelona 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Rabu lalu turut menghidupkan kembali kempen mereka musim ini.

Juve kini menduduki tangga teratas dan mendahului Napoli dengan empat mata dan kedua-dua pasukan ini dianggap calon terbaik untuk merebut scudetto berikutan Milan ketinggalan 11 mata namun berkongsi 44 mata dengan Lazio di tempat keempat.


Inter di tangga kelima, satu mata di belakang kehilangan momentum dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan menantikan kunjungan Milan yang mula mendapat keyakinan.


Meskipun mencatat kemenangan ke atas Barca, Allegri tidak mahu anak buahnya mengambil mudah pertemuan dengan Inter.

"Kami tidak boleh dibuai dengan kemenangan itu, kami perlu bersedia bagi perlawanan dengan Inter. Ia satu lagi perlawanan sukar untuk kami atasi," kata Allegri selepas perlawanan Rabu lalu.


Inter meneruskan kemaraan dalam Liga Europa semalam hasil kemenangan 3-0 ke atas Cluj untuk mencatat agregat 5-0.

Jurulatih Inter, Andrea Stramaccioni mendapat perkhabaran buruk minggu lalu apabila beliau kehilangan penyerang Argentina, Diego Milito untuk baki musim ini selepas mengalami kecederaan lutut yang serius.


"Ia pertembungan setempat, kami tahu Milan dalam prestasi terbaik tapi kami perlu memberikan saingan," kata Stramaccioni. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Xavi janji kebangkitan

Posted:

Xavi menafikan yang kekalahan 2-0 Barcelona di tangan AC Milan Rabu lalu adalah malam terburuk mereka musim ini.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu menjadi pemain tunggal Barca yang berjaya melepaskan rembatan di San Siro, namun dia tetap yakin yang mereka masih boleh mengelak dari tersingkir di pusingan 16 terakhir buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.


"Saya tidak fikir ini adalah persembahan terburuk kami. Kami beraksi teruk tapi bukan yang terburuk," katanya.

"Kami gagal mendapatkan kelebihan menerusi sayap atau melepaskan cubaan dari jarak dekat. Dengan erti kata mudah, kami gagal mendominasi permainan dan dalam saingan Eropah, inilah harganya." Pendahulu La Liga melakukan persiapan untuk melayan kunjungan Sevilla di laman sendiri hujung minggu ini sebelum menempuh satu lagi perlawanan sukar menentang Real Madrid di separuh akhir Piala Raja Sepanyol, Selasa ini.


Bagaimanapun, pengurus sementara Jordi Roura boleh menggunakan khidmat David Villa selepas penyerang itu terlepas aksi di Milan sementara Eric Abidal kembali memperkuatkan pasukan buat kali pertama sejak setahun lalu, selepas melakukan transplan hati.


Sementara Real Madrid pula akan berkunjung ke pasukan bawahan liga, Deportivo la Coruna yang masih memburu kemenangan pertama musim ini, di bawah jurulatih baru Fernando Vazquez.

Madrid ketinggalan 16 mata di belakang Barca, justeru Jose Mourinho dijangka merehatkan beberapa pemain utama untuk aksi Selasa ini biarpun pertahanan Depor, Ayoze Diaz mahu mencapai kemenangan ke atas juara bertahan itu. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Kvitova, Wozniacki ke separuh akhir

Posted:

Dubai: Petra Kvitova (gambar) dari Republik Czech menewaskan juara bertahan Agnieszka Radwanska 6-2, 6-4 di Terbuka Dubai untuk melakar pertemuan separuh akhir dengan Caroline Wozniacki.

Pemain Itali, Roberta Vinci akan menentang rakan senegara yang juga gandingan beregu wanitanya, Sara Errani dalam satu lagi separuh akhir selepas dia memalukan pilihan ketujuh Samantha Stosur 6-2, 6-4.


Juara Wimbledon 2011, Kvitova tidak memenangi sebarang perlawanan sejak dua edisi lalu di Dubai, mampu melakar kemenangan ke atas lawan dari Poland itu biarpun melakukan 38 unforce error.

"Saya gembira berada di sini dan mempamerkan pemain terbaik setakat ini," kata pilihan keenam, Kvitova. "Kemenangan ini pasti menjadi penyuntik semangat buat saya sepanjang musim ini." Bercakap mengenai lawannya di separuh akhir, Wozniacki yang menewaskan pemain Perancis, Marion Bartoli 4-6, 6-1, 6-4, berkata: "Saya saksikan permainannya menentang Marion dan perlawanan itu amat bagus. Saya jangkakan perlawanan sama esok (hari ini).


"Saya perlu bermain agresif seperti hari ini kerana perlawanan pasti berlangsung rali." Pemain Australia, Stosur yang rekod kalah-menang 5-7 musim ini mempamerkan prestasi buruk menjerit kekecewaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

McIlroy, Woods tersingkir awal

Posted:

Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy dan juara utama 14 kali, Tiger Woods tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Golf Match Play Dunia, semalam.

Pemain Ireland, Shane Lowry, ranking 68 dunia dan pemain pilihan tercorot daripada 64 pemain, menewaskan Mcllroy ketika Charles Howell menjinakkan Woods di Kelab Golf Ritz Carlton di Dove Mountain.


Lowry, yang juga rakan Mcllroy ketika amatur suatu ketika dulu, melakukan birdie untuk memenangi lubang ke-12 dan ke-13 dengan eagle untuk meraih dua kelebihan.

"Saya melihat bola bergerak ke sana sini, tapi berjaya memasukkannya," kata Lowry mengenai chip dilakukannya di lubang ke-12. "Perkara sebegitu menaikkan semangat saya.


"Kemudian saya melakukan pukulan cantik yang membolehkan saya mendapat momentum." Mcllroy memperbaiki satu pukulan pada lubang ke-14 tetapi bergelut di lubang ke-15 selepas bola memasuki bunker.


Dia kemudian melakukan birdie di par tiga lubang 16 tetapi gagal menyekat kemenangan Lowry.

"Saya berasa sangat baik ketika ini kerana untuk berdepan seorang pemain serba sempurna seperti Woods, anda perlu bermain sempurna seperti dia juga ," kata Howell.


"Tetapi penting untuk saya tidak terlalu dibuai mimpi kerana ia hanya pusingan pertama, dan saya masih mempunyai perlawanan esok dan saya tidak sabar menanti perlawanan itu." Woods juara 2003, 2004 dan 2008 pula menganggap dia bermain dengan baik tetapi lawannya lebih cemerlang hari ini dengan mencipta birdie. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Uji kelab Thailand

Posted:

Juara bertahan, PKNS FC yang kini berada pada fasa terakhir persiapan bertekad mempertahankan kejuaraan Liga Futsal Kebangsaan tahun ini walaupun menyedari saingan kali ini lebih mencabar selepas melihat keupayaan pasukan lawan yang bertanding bagi musim 2013.

"Cabaran tahun ini lebih sukar, baik untuk pasukan lelaki atau wanita. Setiap pasukan yang bertanding semakin mantap, ditambah pula dengan format liga yang sedikit berbeza berbanding tahun lalu. Namun inilah yang perlu kita tempuhi untuk memastikan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu tidak terlepas dari genggaman kita," kata Presiden, Noor Hisham Mohd Ghouth ketika Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Futsal PKNS FC, baru-baru ini.


Melihat kepada kesungguhan pasukan bertanding, PKNS FC juga tidak terlepas melakukan persiapan lebih rapi dengan membawa masuk beberapa pemain baru serta menganjurkan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Thailand.

Ketua jurulatih, Chiew Chun Yong mengekalkan hampir 70 peratus pemain lama bagi pasukan lelaki manakala 50 peratus bagi wanita. Selebihnya adalah pemain baru yang kebanyakannya berusia bawah 21 tahun.


"Kemasukan pemain muda ini antara perancangan jangka panjang kita untuk mengekalkan pasukan agar sentiasa berdaya saing untuk tempoh dua hingga tiga tahun lagi," kata Chun Yong PKNS FC turut menjalani latihan di Thailand di samping menentang beberapa pasukan ternama di negara itu seperti Nonthaburi FC, BCU serta pasukan Liga Premier Thailand yang akan diketahui kemudian.


Sebagai rekod, pasukan lelaki PKNS FC adalah juara liga musim lalu selepas menewaskan MPSJ FC 7-2 pada perlawanan akhir manakala pasukan wanita turut bergelar juara selepas menumpaskan lawan mereka di final, Selangor dengan 1-0.

Dalam majlis sama, Noor Hisham turut mengumumkan pasukan PKNS FC menerima tajaan daripada Figos yang berjumlah RM100 ribu dan berharap pemain lebih bersemangat untuk mengekalkan kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Terbuka Lelaki pembuka tirai

Posted:

Saingan Karnival Futsal Harian Metro di Kuching, Sarawak akan membuka tirai hari ini dengan kategori Terbuka Lelaki bakal mempamerkan kehebatan masing-masing.

Sebanyak 116 pasukan akan bersaing pada saingan yang kali pertama berlangsung di negeri Bumi Kenyalang ini, sambutan yang sememangnya cukup menggalakkan.


Untuk hari ini, pertandingan berlangsung sehingga peringkat separuh akhir sekali gus menyaksikan empat pasukan terbaik akan menyambung semula saingan esok.

Terbuka Wanita dan Lelaki Bawah 17 pula akan memulakan aksi esok pada saingan yang dibawa oleh Ambank.


Berlangsung di Arena Sukan, Kuching, setiap pasukan dijangka memberikan saingan sengit dengan pendaftaran berlangsung dua kali iaitu pada jam 8 pagi serta 2 petang.


Pasukan dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan penganjur dan hadir dengan penuh semangat kesukanan.

Hanya pengurus atau ketua pasukan perlu hadir untuk proses pendaftaran dengan mengumpul kad pengenalan asal setiap pemain.


Untuk Terbuka Lelaki, juara bakal membawa pulang RM3,000, manakala naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan keempat (RM500).

Terbuka Wanita pula menawarkan RM2,000 bagi juara, naib juara (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan keempat (RM500).


Kategori Lelaki Bawah 17 menawarkan RM1,500 untuk juara, naib juara (RM1,000), ketiga (RM700) dan keempat (RM500).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

Selangor longlai

Posted:

Selangor gagal memanfaatkan peluang untuk merampas takhta Liga Super selepas Johor Darul Takzim (JDT) sekadar seri tanpa jaringan dalam aksi petang semalam.

Berdepan pasukan bergelar adik, PKNS FC ternyata membosankan apa lagi dengan ketiadaan penyerang import, Francis Forkey Doe membuatkan jentera serangan yang dipimpin Amri Yahyah lesu dengan penyudah tumpul.


Kehambaran permainan memaksa peminat kedua-dua pasukan akur dengan seri tanpa jaringan di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, JDT yang turut berpeluang merampas kedudukan teratas milik ATM, berkesudahan 0-0 sekali gus meletakkan pasukan itu dengan label bintang tanpa sinar.


Berbekalkan satu mata, kedudukan teratas tidak bertukar dengan ATM masih di puncak dengan 14 mata diikuti Selangor dengan mata sama, manakala JDT keempat, 13 mata, berkongsi dengan LionsXII di kedudukan ketiga.


Pertembungan dua pasukan bawahan, Negeri Sembilan dengan T-Team juga berkesudahan seri tanpa jaringan.

Hasil keputusan itu, Negeri Sembilan kekal di tangga ke-11 di atas pasukan tercorot, Terengganu dan T-Team kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/23

No comments:

Post a Comment