Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pengadil di tahap amatur

Posted:

Johor Bahru: Selepas sekian lama berdiam diri akhirnya Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang boleh ditakrif masih berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional.

Tunku Ismail nyata kecewa dengan mutu pengadilan yang langsung tidak berkualiti apabila kerap membuat keputusan meragukan, terutama kesalahan yang begitu jelas dilakukan pasukan lawan, bagaikan tidak endah sebaliknya menghukum kesalahan yang dilakukan pemain Johor Darul Takzim.


Katanya, mutu pengadil yang tidak berada di tahap memuaskan bukan saja membabitkan aksi Johor Darul Takzim, malah boleh dikatakan semua pasukan yang bersaing pada kancah Liga M juga kecewa dengan kegagalan pengadil mengawal perlawanan dan sudah tiba masa Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan.

"Saya hormati Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Timbalan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi apa yang saya ingin persoalkan tindakan lanjut daripada pegawai FAM berhubung mutu pengadilan yang lemah dan saya difahamkan ketika saingan liga berehat selama tiga minggu semua pengadil menjalani kursus namun tiada sebarang peningkatan yang ditunjukkan.


"FAM harus bertindak segera untuk memperbaiki apa jua kelemahan yang membabitkan pengadil dalam saingan Liga M dan harus memastikan semua pengadil yang bertugas pada aksi liga berkualiti.


"Kita sudah buat pelaburan besar bagi memastikan mutu bola sepak di Johor ditingkatkan tetapi usaha itu akan sia-sia seandainya pengadil gagal berfungsi dengan baik yang menjejaskan rentak permainan bukan saja kepada Johor Darul Takzim bahkan membabitkan pasukan lain dalam saingan Liga M," katanya pada sidang media tergempar di Hotel Thistle, di sini, tengah malam kelmarin.

Foto

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Bagi mengukuhkan bukti betapa mutu pengadilan masih lemah, Tunku Ismail menegaskan satu salinan rakaman perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim dan beberapa pasukan lain akan diserahkan kepada FAM untuk dinilai dan turut disusuli dengan surat rasmi.


"Hargailah keringat pemain yang bertungkus lumus di padang kerana mereka menjalani latihan pada sesi pagi dan petang dan beraksi pada saingan Liga M tapi jika mutu pengadilan tidak berkualiti ia pasti menjejaskan rentak permainan sekali gus menjatuhkan moral pemain itu," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

SMKB kental

Posted:

Baling: Kekentalan pertahanan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Baling (SMKB) mengekang setiap asakan lawan membantu mereka mencipta sejarah muncul juara bola sepak peringkat Zon Baling Bawah 15 Tahun buat kali pertama di padang Sekolah Model Khas, baru-baru ini.

Sekolah itu muncul juara selepas menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera (SMKTP), 2-1 yang menyaksikan kedua-dua gol dijaringkan pada babak kedua.


Sebanyak tujuh sekolah Zon Baling, SMKB, SMKTP, SMK Siong, SMK Bongor, MRSM, SM An-Najjah dan Sekolah Model Khas Baling menyertai pertandingan itu.

Berikutan kemenangan itu, SMKB akan mewakili Zon Baling ke peringkat Zon Kuala Pegang, Kuala Ketil dan Zon Sik bulan depan.


Pengurus pasukan SMKB, Fuad Yahya berkata, semangat sepasukan menjadi teras kejayaan mereka.


"Sikap pemain yang patuh arahan jurulatih di samping daya ketahanan diri tinggi ketika berdepan lawan menjadi aset kami.

"Semua pemain dilatih teknik pengawalan bola dan berdisiplin ketika latihan serta mempunyai keinginan untuk berjaya. "Semua nilai yang diterapkan itu membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan berkesan," katanya.


Pada kejohanan itu, SMKB merangkul Piala Pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Bayu, Datuk Azmi Che Husain dan piala iringan serta medal dan sijil penyertaan disumbangkan Penolong-Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Zon Baling.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Baling/Sik, Abd Razak Md Noh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Kem suntik semangat peserta

Posted:

Padang Serai: Seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah di Kedah dipilih menyertai Kem Jati Diri Menuju Kejohanan Karate Kebangsaan 2013 di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Bukit Besar, Kulim, Kedah, baru-baru ini.

Kem itu anjuran bersama Persatuan Karate Negeri Kedah (PKNK), Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan Kelab Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan negeri Kedah.


Ia diadakan bagi memberi semangat baru kepada peserta sebelum menghadapi Kejohanan Karate Kadet dan Junior Kebangsaan 2013 di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar pada 1 hingga 3 Mac.

Pengerusi Kem Jati Diri, Ir Devan Iyavoo berkata, sambutan menyertai latihan itu begitu menggalakkan dan peserta diberi pelbagai latihan untuk membawa pulang pingat pada kejohanan itu.


Menurutnya, peserta dari negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak pasti hebat.


Peserta dilatih Stalin Savarimuthu dengan dibantu dua rakannya, K Suresh Kumar dan T Gomagan.

Seorang peserta, Muhammad Arash Sirajudeen, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim berkata, dia perlu bekerja keras untuk membawa pulang pingat emas.


Penyelaras Parlimen Padang Serai, Halim Hasan sebelum menyampaikan sijil kepada peserta berkata, generasi muda perlu mempelajari bidang karate.

"Seni mempertahankan diri ini perlu dipelajari belia masa kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Sapu bersih!

Posted:

Mersing: Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Nitar 1, Mersing Johor meraih beberapa kejuaraan pada Kejohanan Ping Pong Bawah 12 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Mersing di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pai Chee.

Jurulatih, Ruzlan Sulong berkata, kejayaan bersih diraih dalam acara perseorangan perempuan selepas wakil sekolah itu, Nurul Irdina Aqilah Mohd Fadhil muncul juara manakala Anis Hanim Ruzlan, naib juara.


Menurutnya, pasangan Nurul Irdina Aqilah dan Anis Hanim kemudian muncul juara kategori beregu.

"Kejayaan kami berkat kerjasama semua pihak.


"Latihan seminggu yang diadakan bersama seorang lagi jurulatih, Aziz Kasim sebelum kejohanan membuahkan hasil yang baik.


"Juara dan naib juara terpilih mewakili MSSD Mersing ke Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Johor (MSSJ) tidak lama lagi.

"Saya akan adakan latihan lebih kerap bagi menghadapi kejohanan itu kerana tahap saingan jauh lebih tinggi," katanya.


Sementara itu, Nurul Irdina berjanji menjalani latihan lebih pesat untuk menghadapi kejohanan peringkat MSSJ di Segamat tidak lama lagi.

"Saya ingin mempamerkan aksi lebih baik kerana semua peserta pertandingan itu juara daerah masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

'Mandjou masih berbisa'

Posted:

Kota Bharu: Jurulatih Bojan Hodak mengharapkan penyerang import, Keita Mandjou terus membuktikan kemampuan dengan menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya selepas membantu Kelantan menewaskan Terengganu, 2-0 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Dua jaringan dihasilkan penyerang berusia 33 tahun dari Guinea itu membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam perlawanan awal.


Hodak gembira pemain import pilihannya itu akhirnya mengakhiri kemarau jaringan.

Katanya, dua gol itu satu permulaan baik bagi Mandjou bagi meneruskan baki empat perlawanan pusingan pertama liga.


"Saya orang paling gembira apabila menyaksikan Keita menjaringkan dua gol dan terbukti dia membalas kepercayaan diberikan terhadapnya.


"Jika seorang penyerang itu sudah yakin, dia tidak akan berhenti menjaringkan gol dan jaringan malam ini (kelmarin) satu permulaan baik buatnya," katanya.

Berikutan itu, Hodak yakin Mandjou akan bangkit seperti bekas penyerang import Kelantan, Mohd Ghaddar yang beraksi hambar pada permulaan tapi akhirnya menjadi pemusnah pihak lawan selepas menemui sentuhan sebenar.


Jurulatih berusia 41 tahun dari Crotia itu juga mengaku pemain tengah, Mohd Shakir Shaari dan kapten, Mohd Badhri Radzi atau Piya dibantu pemain veteran, Indraputra Mahayuddin begitu kreatif mencorak permainan.

"Mohd Shakir dan Piya gandingan pemain tengah terbaik negara ini, malah mereka berdua mencorak permainan dengan baik bagi mencipta peluang kepada rakan sepasukan. Pengalaman Indraputra juga banyak membantu kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Aksi buruk hantui JDT

Posted:

Johor Bahru: Aksi tidak konsisten terus menghantui Johor Darul Takzim selepas hanya mampu seri 2-2 dengan LionsXII pada saingan Liga Super walaupun memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, kelmarin.

Apa tidaknya, skuad Harimau Selatan bermula lesu pada babak pertama sebelum bangkit mempamerkan aksi lebih garang pada babak kedua namun sudah terlambat apabila sekadar berpuas hati mengutip satu mata ketika harapan menggunung diletakkan pada skuad kendalian Fandi Ahmad meraih tiga mata.


Senario itu mengundang rasa kurang puas hati Fandi yang begitu kecewa dengan persembahan kesebelasan utamanya selepas tidak mengikut strategi dirancang apabila benteng terlalu leka dan memudahkan lawan merobek gawang.

"Kami bermain baik pada babak kedua apabila sering mengasak kubu LionsXII. Bagaimanapun saya terkejut dengan corak permainan lawan yang begitu disiplin dan konsisten. Itu yang tidak ada pada pemain saya apabila gagal menyamai rentak permainan lawan.


"Mungkin ramai yang hairan kenapa saya keluarkan Aidil Zafuan Abd Radzak pada minit ke-36 selepas dia mengalami kecederaan otot perut dan terpaksa digantikan. Apapun pemain perlu lebih bertanggungjawab dan beberapa pemain berpengalaman belum beraksi dengan baik.


"Sehingga perlawanan ketujuh, saya belum dapat mengumpul kesebelasan terbaik ketika Zaquan Adha Abd Radzak masih dibelenggu kecederaan dan ia menjejaskan perancangan membentuk barisan mantap namun saya yakin pemain mampu atasi tekanan dan belajar daripada kesilapan," katanya.

Mengenai tindakannya mengeluarkan kapten Safiq Rahim, beliau menegaskan pemain tengah itu mengalami kecederaan buku lali dan terpaksa melakukan rombakan.


Bagaimanapun, Fandi puas hati komitmen Daniel Guiza yang berkerja keras dengan Simone Del Nero mencorakkan permainan terutama pada babak kedua dan asakan bertali arus membuahkan hasil menerusi jaringan penyamaan Norshahrul Idlan Talaha.

"Kami boleh menang atau mungkin tewas pada perlawanan itu. Apapun sikap positif pemain pada 20 minit terakhir mula beri tekanan kepada LionsXII membolehkan kami mencipta gol penyamaan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Dollah akui Pahang tak bernasib baik

Posted:

Kuantan: "Kami tidak bernasib baik." Itu komen ringkas jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengulas kekalahan kedua berturut-turut Pahang pada saingan Liga Super musim ini.

Di Stadium TLDM Lumut kelmarin, skuad Tok Gajah ditimpa malang apabila tumbang 0-1 di tangan Perak dan lebih memalukan, gol tuan rumah 'dihadiahkan' pemain paling berpengalaman Pahang, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-45.


Dollah berkata, kekalahan itu tidak patut diterima skuadnya memandangkan mereka menguasai permainan tapi ketumpulan barisan serangan membuatkan mereka terpaksa akur dengan keputusan memedihkan itu.

"Memang kecewa kerana pemain sudah memberi persembahan terbaik dan bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan tapi nasib tidak menyebelahi kami," katanya.


Selepas tujuh perlawanan, Pahang kini menghuni tangga kelima dengan memungut 12 mata hasil empat kemenangan.


Sejak Liga Super bersambung minggu lalu, ini adalah kekalahan kedua Pahang selepas dibelasah 0-3 oleh Lions XII dan keadaan itu cukup meresahkan peminat Tok Gajah kerana mereka pernah gah menduduki persada Liga Super sebelum arena bola sepak tertinggi negara itu berehat selama tiga minggu.

Justeru, bagi Dollah, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali perlu menewaskan Kelantan di Stadium Darulmakmur, Sabtu ini, bagi menarik semula kepercayaan dan sokongan peminat.


"Saya harap pemain dapat bangkit untuk memperbaiki kedudukan sekali gus menceriakan semula penyokong kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

'Kami akan bangkit'

Posted:

Kuala Lumpur: Meskipun dipilih sebagai Pemain Terbaik ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelmarin, ia tidak memberi sebarang makna kepada penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali selepas pasukannya tewas 0-2 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

Bagi pemain berusia 27 tahun itu, ia tetap satu kegagalan baginya kerana tidak mampu membantu Selangor mencatat kemenangan bagi meneruskan aksi cemerlang mereka yang menduduki tangga teratas liga sebelum sepak mula.


"Terpilih sebagai pemain terbaik adalah kejayaan peribadi tapi gagal membantu pasukan menang memang sukar untuk dilupakan.

"Saya rasa kami sudah beraksi dengan baik, mungkin tiada penyudah sempurna daripada jentera serangan.


"Ketiadaan Amri (Yahyah) juga sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan jentera serangan. Saya rasa kalau dia ada, kami mungkin meraih keputusan lebih baik," katanya.


Amri, penyerang utama Selangor tidak beraksi kelmarin kerana memenuhi hukuman penggantungan dua perlawanan.

Norazlan berkata, meskipun pahit untuk menerima kekalahan itu, dia percaya Selangor pasti bangkit apabila menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, esok.


"Sudah tentu kami mahu mengutip tiga mata dan cuba sedaya upaya untuk tidak mengulangi kesilapan seperti ketika bertemu ATM.

"Dengan kehadiran semula Amri dalam pasukan, saya yakin kami mampu meraih keputusan lebih baik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Tekad tebus kesilapan

Posted:

Kuala Lumpur: Kegagalan meraih tiga mata penuh meskipun hampir-hampir melakukannya ketika bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, kelmarin mengecewakan ketua pasukan PKNS FC, Mohd Helmi Remeli.

Malah pemain pertahanan itu mengaku sikap terlalu yakin mampu menewaskan lawan selepas mendahului 2-1 akhir babak pertama menyebabkan mereka mensia-siakan peluang meraih tiga mata penuh.


"Saya rasa kami terlalu yakin dapat tewaskan Negeri Sembilan dan pada separuh masa kedua, kami tidak beraksi seperti separuh masa pertama.

"Dengan Negeri Sembilan berada di tempat terbawah liga, kami fikir mudah untuk tewaskan mereka. Tetapi sebaliknya berlaku apabila lawan berjaya jaringkan gol penyamaan," katanya.


Mohd Helmi bagaimanapun berkata, di sebalik kegagalan meraih tiga mata itu, dia tetap puas hati persembahan rakan sepasukannya.


"Ini semua pengajaran untuk kami. Apapun satu mata tetap berharga." Kegagalan menyempurnakan peluang terhidang menyebabkan Mohd Helmi menggesa rakan sepasukan tidak mengulangi kesilapan sama ketika bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, esok.

"Walaupun Selangor tewas pada perlawanan terakhir, saya yakin mereka akan bangkit apabila bertemu kami.


"Sudah tentu kedua-dua pasukan mensasarkan untuk meraih tiga mata. Kami akan cuba mencipta kejutan." Selangor yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim gagal meraih tiga mata kelmarin selepas tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

Yang penting tiga mata: Karim

Posted:

Ipoh: "Tidak mengapa saya tidak jaringkan gol asalkan kami menang."

Begitulah kata awang import Perak, Karim Rouani selepas mengharungi 45 minit yang cukup mendebarkan apabila Pahang bangkit pada babak kedua dalam usaha memadam kelebihan 1-0 tuan rumah di Stadium TLDM, Lumut, malam kelmarin.


"Siapa jaring gol tidak kisah. Yang penting kami kutip mata penuh," kata Karim ketika mengulas kegagalannya menyumbang gol pada perlawanan itu.

Pemain kelahiran Perancis itu bagaimanapun berjanji akan terus mencuba untuk memecah kebuntuan jaringan dalam perlawanan seterusnya serta bertekad memberikan persembahan terbaik kepada Perak.


"Hasrat saya ialah memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan. Selepas beraksi dalam dua perlawanan, saya yakin mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.


"Saya gembira dapat memainkan peranan berkesan buat pasukan. Saya tidak kisah kejayaan peribadi kerana bagi saya kami bermain sebagai satu pasukan. Jika senang kami sama-sama senang, jika susah sama-sama susah." Mengenai kejayaan ke atas Pahang itu, Karim berkata, ia berkat kesungguhan dan kerja keras setiap anggota pasukan walaupun mereka tertekan hebat pada babak kedua apabila pelawat bangkit meningkatkan asakan.

"Pahang bukan calang-calang pasukan. Kami bernasib baik dapat mengekalkan kelebihan dimiliki.


"Kejayaan ini cukup penting buat kami. Saya harap ia merintis jalan kepada pencapaian memberangsangkan lagi selepas ini." Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah mengalami nasib malang apabila Jalaluddin Jaafar tertanduk bola ke gawang sendiri selepas pergelutan dengan Mohamad Rafiuddin Roddin sejurus sebelum rehat.

Petanda nasib tidak menyebelahi skuad Tok Gajah ialah apabila dua cubaan singgah di palang dan tiang selain mendapati penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias sebagai penghalang besar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/21

No comments:

Post a Comment