Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Serpihan meteorit ditemui

Posted:

Sekumpulan saintis menemui cebisan batu angkasa yang terhempas di pinggir Chelyabinsk minggu lalu dan setiap satu daripadanya dijangka boleh dijual sehingga RM31,000.

Pakar menjalankan pencarian di lubang seluas 15 meter di tasik beku di Urals dipercayai terhasil akibat hentaman meteorit itu. Selepas tiga hari menyelidik, mereka menemui cebisan batu mempunyai medan magnet kuat serta memancarkan kesan radiasi tinggi luar biasa.


Kata sumber, kedua-dua ciri itu petanda kuat cebisan itu datang dari angkasa lepas.

Gambar cebisan itu mula muncul di laman sesawang iklan ringkas Russia, Avito.Ru dan didakwa diperoleh dari sekitar kawasan Chelyabinsk.


Seorang pengguna laman sesawang itu menawarkan cebisan itu pada harga lebih RM31,000 manakala seorang lagi sedia menjual 18 kepingan batu itu pada harga RM53 setiap satu.


Menurut laporan, penduduk Chelyabinsk kini memungut batu-batuan di jalan yang diharap cebisan meteorit itu.

Bagaimanapun, bukan semua mahu menjualnya.


Seorang wanita berkata, tiada sebab untuk dia menjual cebisan meteorit berkenaan.

"Saya tidak hidup kaya-raya sebelum ini. Justeru, mengapa mahu mula hidup mewah sekarang?" katanya.


Kira-kira 1,200 orang cedera apabila meteorit terhempas di wilayah tengah Russia itu Jumaat lalu selain merosakkan tingkap 900 sekolah dan hospital, selain merosakkan 100,000 rumah. Meteorit itu terhempas di kawasan tidak berpenghuni tatkala penduduk Chelyabinsk panik melihat langit mereka berkilauan ketika objek itu terbang melintasi wilayah didiami 1.13 juta orang itu.


Sehari kemudian, penyelam mencari kesan meteorit, tetapi gagal mendorong sesetengah saintis mempersoalkan sama ada lubang besar itu terhasil akibat hentaman objek itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Posmen musnah 30,000 surat dijel

Posted:

London: Seorang posmen dipenjara selepas didapati bersalah memusnahkan hampir 30,000 surat yang sepatutnya diserahkan.

Bapa kepada dua anak, Jabur Hissan didakwa menanam lebih 29,000 surat di taman rumahnya.


Tertuduh juga didakwa membakar 400 surat lain serta membuang hampir 200 surat di sungai. Di mahkamah, Jabur berkata, dia menyangka dia cuma membuang surat yang tidak penting.

Sebaliknya, Jabur, 32, turut memusnahkan pelbagai dokumen yang diperlukan orang ramai, termasuk bil dan surat-menyurat. Sesetengah surat itu boleh diserahkan Jabur ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Birmingham. Hakim mengarahkan Jabur dipenjara lapan bulan kerana "mencipta risiko yang merosakkan." - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Kes baru rasuah seks di Singapura

Posted:

Singapura: Bekas ketua pertahanan awam republik ini semalam menghadapi perbicaraan kerana dituduh menuntut khidmat seks daripada seorang ahli perniagaan wanita.

Dalam kes kedua yang seumpamanya, Peter Lim, 52, didakwa meminta khidmat itu pada 2010 daripada Pang Chor Mui, pengurus besar Nimrod Engineering sebagai balasan kepada kontrak membekal peralatan untuk kegunaan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).


Perbicaraan itu diadakan tiga hari selepas bekas ketua polis narkotik, Ng Boon Gay dibebaskan daripada tuduhan rasuah apabila hakim menolak dakwaan bahawa dia menuntut khidmat seks daripada seorang kontraktor bagi membantu wanita itu mendapatkan tender kerajaan. Kes rasuah peringkat tinggi jarang berlaku di Singapura yang terkenal kerana keberkesanannya serta birokrasi yang mendapat gaji yang tinggi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Pasangan pusing dunia terbunuh

Posted:

Bangkok: Pasangan warga Britain yang dalam pengembaraan 18 bulan ke seluruh dunia dengan berbasikal terbunuh dalam nahas jalan raya di Thailand, kata polis semalam.

Mary Thompson dan Peter Root dari Pulau Guernsey, Britain yang berbasikal merentasi Eropah dan Asia Tengah, merakam perjalanan mereka merentasi negara seperti Tajikistan, Kazakhstan dan China dalam filem dan blog. Polis Thai berkata, pasangan dalam usia pertengahan 30-an itu dalam perjalanan di jalan utama di wilayah timur Chachoengsao Rabu lalu apabila sebuah trak pikap tersasar dari lorong jalan dan melanggar mereka.


"Mereka adalah pelancong yang mengembara ke beberapa negara sebelum sampai di Thailand," kata pegawai polis tempatan, Leftenan Chaiyong Butrwan kepada media.

Menurutnya, pemandu tempatan berusia 25 tahun yang ditahan di tempat kejadian itu menunduk untuk mengambil topinya dari lantai kenderaan dipandunya menyebabkan trak pikap itu tersasar dan merempuh mangsa. Kedutaan Britain di Bangkok berkata, pihaknya sudah maklum dengan kematian pasangan terbabit dan keluarga mangsa sudah diberitahu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Jumpa 7 lagi mayat dalam lumpur

Posted:

Petugas penyelamat semalam menemui tujuh lagi mayat dalam lumpur selepas banjir dan tanah runtuh melanda daerah ini di Sulawesi Utara, Indonesia semalam, meningkatkan jumlah kematian kepada 17.

Suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila anggota keluarga mangsa meratap apabila penduduk dan petugas menarik keluar mayat disaluti lumpur dari tujuh perkampungan yang musnah akibat bencana itu.


Turut ditemui semalam ialah mayat empat kanak-kanak. Dalam pada itu, lebih 1,000 kediaman musnah, ditenggelami air sungai yang melimpah tebing berikutan hujan lebat.

Keadaan itu memaksa kira-kira 8,100 orang berpindah ke pusat perlindungan sementara.


Pihak berkuasa berhempas-pulas mendapatkan jentolak dan traktor meredah jalan yang ditenggelami air beberapa jam selepas hujan lebat yang mengakibatkan tanah runtuh di kawasan berbukit.


Beratus-ratus anggota polis, tentera dan penduduk juga terpaksa menggunakan tangan, penyodok dan cangkul untuk mencari mangsa.

Ketua Polis Sulawesi Utara, Brigadier Jeneral Dicky Atotoy berkata, 14 mayat ditarik keluar dari lumpur dan sisa runtuhan rumah yang musnah, termasuk empat kanak-kanak berusia antara tiga hingga 10 tahun. Satu lagi mayat ditemui terapung di sungai.


Ketua Kampung Tingkulu, antara kawasan paling teruk terjejas berkata, penduduk sibuk membersihkan timbunan tanah kesan daripada tanah runtuh sebelum ini, apabila tiba-tiba lumpur dan batu-batan jatuh dari kawasan bukit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Lima maut di Peshawar

Posted:

Peshawar: Militan, termasuk pengebom berani mati, menyerang pejabat pegawai kanan Pakistan di Peshawar semalam menyebabkan lima orang maut.

Ketika kejadian, pegawai kanan politik bagi daerah Khyber Mutahir Zeb, sedang bermesyuarat di pejabatnya.


Bagaimanapun, Mutahir tidak cedera dalam serangan berkenaan. Khyber sebahagian daripada wilayah separa autonomi di sempadan Afghanistan dan menjadi sasaran utama operasi pasukan keselamatan memburu anggota Taliban. Sekurang-kurangnya lima maut apabila pengebom berani mati meletupkan dirinya berhampiran pintu masuk kompleks itu yang turut menempatkan sel tahanan militan. Jurucakap hospital berkata, selain lima terbunuh, tujuh lagi cedera parah. "Korban terdiri daripada empat anggota keselamatan dan seorang awam berusia 60 tahun," katanya. Sesetengah pihak mengagak, serangan itu dilancarkan dalam usaha militan cuba membebaskan tahanan. - AFP Laporan tidak disahkan pula membayangkan, sesetengah tahanan mungkin terlepas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Bashar yakin rejim kalahkan pejuang

Posted:

Beirut: Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata, tenteranya akan memperoleh kemenangan dalam perang menentang pejuang antikerajaan yang cuba menyingkirkan rejimnya, lapor sebuah akhbar Lubnan, semalam.

Bercakap kepada sekumpulan ahli politik Lubnan yang melawat Syria, Bashar berkata, masa depan negara itu juga menjadi hak kumpulannya.


"Kami pasti akan menang berdasarkan perkembangan politik dan ketenteraan waktu ini," katanya.

Akhbar as-Safir tidak menamakan ahli politik Lubnan yang bertemu Bashar itu. Rejim Bashar sering mendapat sokongan daripada penduduk Lubnan, seperti pemimpin puak Druz, Talal Arslan.


Kata Bashar, kenyataannya tidak bermakna segala kemelut di Syria selesai kerana banyak yang perlu dilakukan bagi memenangi 'kumpulan pengganas.' Menurutnya, Syria memiliki kesungguhan untuk mengalahkan konspirasi yang ada kini.


"Kumpulan yang setia kepada kerajaan mewakili majoriti mutlak penduduk negara ini.

"Jika tidak, bagaimana anda mahu menjelaskan kesetiaan diplomat Syria di seluruh dunia yang tetap yakin kepada kerajaan walaupun menerima pelbagai tawaran yang menggiurkan," katanya. Setakat ini dua duta Syria di Iraq dan Emiriah Arab Bersatu berpaling tadah pada tahun lalu, selain seorang diplomat kanan di London serta Cyprus mengambil tindakan sama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Tawan pusat penting

Posted:

Pejuang antikerajaan Syria menawan sebuah pusat pemeriksaan penting berhampiran lapangan terbang Aleppo, semalam ketika mereka terus berperang menguasai beberapa lapangan terbang di utara negara itu.

Pengarah Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia Rami Abdel Rahman berkata, pos pemeriksaan itu terletak beberapa ratus meter dari lapangan terbang tentera di Nayrab.


"Ia terletak di laluan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo," katanya. Menurut Rami, pejuang antikerajaan juga bertempur dengan tentera Syria di sepanjang laluan ke lapangan terbang berkenaan. Kemaraan semalam kejayaan terbaru dicapai kumpulan antikerajaan sejak menguasai pangkalan udara al-Jarrah, Hassel dan Pangkalan 80 di Aleppo.

Pada 12 Februari lalu, 12 pejuang antikerajaan melancarkan perang menguasai pangkalan udara utama dan lapangan terbang antarabangsa di wilayah Aleppo.


Langkah itu juga bertujuan merampas bekalan peluru dari gudang di situ. Ketika ini, pejuang masih cuba menawan lapangan terbang antarabangsa itu yang ditutup sejak 1 Januari lalu. Sementara itu, tentera Syria bersiap sedia melakukan "pembersihan" dalam tempoh 48 jam akan datang di kawasan strategik dikuasai pejuang antikerajaan.


Akhbar prokerajaan, Watan, melaporkan tentera kini difokuskan untuk

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Imam kahwin menerusi Skype dipenjara

Posted:

Dubai: Seorang imam dan seorang pelajar yang mendakwa berkahwin menerusi Skype, dipenjara setahun setiap seorang atas tuduhan menjalinkan hubungan tanpa ikatan perkahwinan.

Sebuah mahkamah Dubai mendapati imam warga Pakistan berusia 39 tahun itu dan pasangannya berumur 19 tahun bersalah mengadakan seks suka sama suka walaupun mereka mengaku tidak bersalah dan bertegas menyatakan perkahwinan mereka sah.


Mahkamah itu enggan menerima sijil akuan nikah mereka yang disahkan pihak berkuasa Pakistan.

Imam itu berada di Pakistan dengan beberapa saksi dan seorang jurunikah yang melangsungkan pernikahannya dengan pelajar itu yang berada di Dubai menerusi Skype tahun lalu.


Tiga bulan selepas perkahwinan itu, bapa wanita itu gadis itu membuat laporan polis, menuduh imam itu merogol anaknya.


Kedua-dua defendan berkenaan akan diusir ke negara asal mereka selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwa raya di Dubai bagaimanapun menolak tuduhan rogol ke atas imam itu, sebaliknya menuduh pasangan terbabit mengadakan seks tanpa bernikah.


"Ya Tuan, memang saya tiduri isteri saya. Kami sudah berkahwin." kata imam itu kepada hakim.

Peguam imam berkenaan berkata pernikahan itu turut didaftarkan di kedutaan Emiriah Arab Bersatu di Islamabad sebelum dia berlepas ke Dubai untuk bersama-sama isterinya. Menurutnya, pernikahan melalui Skype tidak melanggar undang-undang Pakistan.


Peguam itu juga berkata, bapa wanita berkenaan membuat laporan polis kerana tidak mahu anaknya berkahwin dengan anak guamnya kerana dia miskin.


Ketika perbicaraan, si bapa mengaku mengetahui mengenai perkahwinan itu tetapi mendakwa anaknya telah disihir. -SG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

Mesir arah tangkap ulama kontroversi

Posted:

Mesir semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap pendakwah Salafi yang baru-baru ini menghalalkan pemerkosaan terhadap penunjuk perasaan wanita.

Ahmad Mahmoud Abdullah yang lebih dikenali dengan nama Abu Islam, akan didakwa dengan tuduhan menghina agama, lapor koresponden Al-Arabiya.


Ahmad yang juga pemilik stesen televisyen swasta 'al-Ummah' mencetuskan kontroversi selepas dia menyelar wanita dan agama Kristian. Dia sudah pun berdepan dengan perbicaraan kerana kes mengoyak Bible ketika menunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah September lalu, berkait dengan filem yang menghina Nabi Muhammad (SAW).

Peguam Negara Mesir menerima beberapa aduan menuduh Abu Islam menghina agama Kristian melalui kenyataan yang dibuatnya dalam akhbar Tahrir, selain di stesen televisyen miliknya. Siasatan terbaru dibuat ekoran aduan difailkan oleh aktivis Kristian Koptik, Nagib Gibrail yang menuduh Abu Islam menghina Kristian dalam rancangan televisyen. Pendakwah Mesir itu sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai apabila berkata, pemerkosaan dan gangguan seksual terhadap penunjuk perasaan wanita di Dataran Tahrir adalah wajar sambil menambah mereka ialah 'tentera perang Salib yang tidak tahu malu, tidak tahu takut, malah tiada ciri-ciri kewanitaan.' Dalam kenyataan terbarunya, Abu Islam menyifatkan Hari Valentine sebagai acara untuk orang Kristian, sambutan untuk penzinaan dan pelacuran. Undang-Undang Mesir melarang penghinaan terhadap mana-mana agama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

No comments:

Post a Comment